Saturday 30 October 2010

"Janganlah berlaku pada orang lain"

Lagi-lagi berita mengenai salah guna kuasa oleh polis. Kezaliman dan kerakusan segelintir pihak polis yang meletakkan undang-undang dan hukuman di tangan mereka.

"Kita tidak membenci polis, namun kita benci dengan tingkah laku polis yang menyalahgunakan kuasa" kata-kata YB Lim Kit Siang di dalam Forum bertajuk "Ketua Polis Bertukar: Institusi Polis Berubah?" yang diadakan baru-baru ini.

Memang benar, lantaran sikap segelintir polis yang melampau begini ditambah dengan tindakan dan hukuman yang tidak dikenakan ke atas mereka membuat rakyat hilang keyakinan dan benci dengan apa yang berlaku di hadapan mata.

Baru-baru ini satu inkeus tentang kematian Gunasegaran yang didakwa mati akibat dibelasah polis ketika di dalam tahanan polis. Ada saksi yang melihat seorang polis yang dikenal pasti bernama Lans Koperal Mohd Faizal Mat Talib telah memukul dan menendang Gunasegaran di dada dan belakangnya.

Namun keputusan akhir inkues tersebut ialah tiada bukti yang kukuh bagi menunjukkan akibat sebenar kematian beliau, maka polis yang didakwa telah bebas dan selamat.

R.Ganga, kakak kepada Mendiang Gunasegaran seorang wanita yang berani dan tahu akan haknya tidak membiarkan kematian adiknya begitu sahaja. Beliau bangun untuk mendedahkan hal sebenar yang berlaku.

" Apa yang berlaku kepada adik saya tidak patut berlaku pada orang lain" dalam sedu tangis, air mata ditahan dari mengalir keluar dari kelopak matanya.

Dalam kesedihan dan keperitan kehilangan ahli keluarga yang yang disayangi dan mungkin adik yang diharapkan untuk menyara keluarga beliau masih punya harapan dan ingatan kepada nasib rakyat Malaysia yang lainnya.

Bukan mudah untuknya mengusahakan agar ada yang mahu tampil ke hadapan apatah lagi ke muka pengadilan untuk membuktikan bahawa adiknya bukan mati mengejut atau akibat dari pengambilan dadah seperti yang didakwa, tetapi akibat keganasan polis yang sepatutnya menjaga keselamatan awam dan membantu menegakkan keadilan.

Dalam usahanya beliau berjaya mendapatkan beberapa orang saksi untuk tampil membantu membela kematian adiknya. Beliau berjaya membawa 3 orang saksi yang melihat sendiri kejadian tersebut dan ketiga orang mereka telah mengatakan bahawa polis telah memukul Gunasegaran.

"Saya tidak gembira dengan keputusan yang disampaikan semalam, susah untuk dapatkan saksi, saya ambil masa sebulan untuk lakukannya. Saya masih terkejut dan trauma dengan apa yang berlaku" kata R. Ganga dalam sidang media yang diadakan baru-baru ini.

"Saya kecewa dan sedih dengan keadaan mayat adik saya ketika dibenarkan melihat di Hospital" jelas R.Ganga lagi.

Mayat Gunasegaran dalam keadaan yang amat teruk di dalam simpanan bilik mayat HKL, maka ianya membuatkan proses bedah siasat untuk menentukan sebab kematian menjadi sukar.

"Polis minta saya cium suami saya, saya cium sebelum mereka membawanya keluar. Polis kemudiannya memukul suami saya di hadapan saya dan anak-anak", pengalaman ini diceritakan oleh isteri kepada seorang saksi dalam inkues kematian Gunasegaran.

Bagaimana dan mengapakah polis boleh bertindak sehingga ke tahap ini. Memukul mangsa sudah tentu satu perbuatan yang tidak dibenarkan, apatah lagi memukul di hadapan ahli keluarga di dalam kawasan rumah mangsa. Ini sungguh satu tindakan yang zalim!

S.Saraswathy (gambar di atas duduk di sebelah kiri) adalah isteri kepada salah seorang saksi, Selvachandran yang telah berani tampil ke muka pengadilan bagi menyatakan bahawa Gunasegaran telah dipukul oleh polis.

Malangnya selepas keputusan dijatuhkan mengenai sebab kematian Gunasegaran, pada hari Isnin, polis telah pergi ke rumah beliau dan beliau telah ditangkap oleh polis. Beliau kemudiannya telah digari dan dipukul oleh polis sebelum dibawa pergi.

Polis telah mengancam akan mengenakan tahanan selama 60 hari yang kemudiannya akan ditambah dua tahun lagi!!!

Kenapa? Mengapa perkara ini boleh berlaku. Kita fikirkan sendiri.

Tidak cukup dengan perkara di atas yang telah berlaku, semalam dilaporkan bahawa polis sekali lagi telah ke rumah Selvachandran. Tindakan ini sudah pasti untuk mengancam dan menakutkan ahli keluarganya.

Perkara ini sudah pasti tidak boleh didiamkan. Maka satu Memorandum Protes akan diserahkan ke Bukit Aman.

Tarikh : 30 Oktober 2010
Masa : 10 pagi
Tempat : Bukit Aman, pintu masuk Lake Garden.

Maklumat lanjut boleh dibaca di sini: Jelas Info

Saturday 23 October 2010

Kisah Nasi Lemak Seringgit


"Assalamu'alaikum, Assalamu'alaikum, Assalamu'alaikum" selagi salam tidak dijawab dan tuan rumah tidak menjengukkan muka selagi itu ucapan salam akan terus diberikan.

Ucapan salam setiap pagi hari minggu untuk tuan rumah di sepanjang jalan di kawasan perumahan kami.

"Wa'alaikummussalam" menjengukkan wajah ke luar tanpa perlu tahu siapa tuan punya suara, kerana sudah tahu benar siapa yang memberikan salam tersebut.

"Cik, cik, nak beli nasi lemak tak, kuih pun ada" sapa anak kecil berumur sekitar 12 tahun dengan lemah lembut dan penuh sopan santun.

Hati dan renungan mata siapa sahaja pasti tidak akan sanggup untuk menolak jualan anak muda ini.

Kadangkala memang cuba juga untuk mendiamkan diri di dalam rumah kerana tidak mahu membeli nasi lemak kerana sudah ada cadangan untuk memasak atau memang sudah ada makanan sarapan terhidang atas meja di dapur.

Ada sekali pernah juga jualannya aku tolak, namun hati meronta terasa bersalah. Suatu pagi ketika aku baru tiba di rumah, anak muda ini baru selesai menjual makanannya dan melalui di hadapan rumah kami.

Ketika aku bersusah payah hendak mengeluarkan barangan dari dalam kereta dan membawa masuk ke dalam rumah, dengan sopan santun anak muda ini menyapaku.

"Cik, biar saya tolong cik angkat barangan ni cik" lemah lembut dan penuh sopan santun lagi menyapa aku.

"Ah, tak apalah dik, makcik boleh buat sendiri" dalam hati teringat peristiwa aku pernah menolak jualannya dan mata melirik melihat jualan di dalam bakulnya yang sudah kosong. Alhamdulillah, seringkali jualan habis dan laku.

"Tak pe, tak pe cik, saya boleh tolong" tanpa berlengah mengangkat beg dan membawanya masuk ke dalam pagar rumah ku.

Dalam hati berdetik terus, " baik betul anak ini, sopan santun dan rajin sekali".

Sukar lagi untuk terjumpa anak-anak sebayanya yang melakukan pekerjaan yang sedemikian, bersusah payah membantu keluarga dan memiliki peribadi yang sungguh mulia.

Siapakah ibu dan ayahnya, pasti sejuk perut ibu yang mengandung dan tenang walau hidup dalam kepayahan.

Sejak dari itu pasti aku tidak akan melepaskan peluang untuk membeli hasil jualannya walau sudah ada makanan yang terhidang di atas meja.

"Cik, nak beli nasi lemak?"

"Kuih ada?"

"Ada, karipap dengan donut"

"Ok, bagi makcik nasi lemak 5"


"Terima kasih makcik"


Nasi lemak RM 1, berbaloi dan kenyang perut menjamahnya. Alhamdulillah. Moga masih ramai anak-anak yang dibesarkan oleh kita, ibu-ibu dan ayah-ayah terus berperibadi mulia dan sedar akan tanggungjawab sebagai hamba dan Khalifah di bumi Allah.

Friday 22 October 2010

Bicara kami dari dalam Kamar Mahkamah.

Dialog 1

"ha ni, kenapa kamu tak datang semalam?"
tanya Hakim sambil tangannya menulis sesuatu di atas kertas.

"Mohon maaf Tuan, saya betul-betul lupa, tak tahu lansung" jawab Abg Dino dengan nada yang sungguh lembut dan mendayu-dayu.

"Takkan orang lain tak beritahu kamu dan kenapa kamu tidak menelefon orang lain?" tambah Hakim lagi memohon penjelasan.

" Maaf Tuan, handphone saya hilang, saya tak ada nombor sesiapapun" jelas Abang Dino dengan nada yang membuatkan sesiapa sahaja yang mendengarnya pasti akan terharu.

"Habis tu macamana kamu boleh datang pula hari ini?" tanya Hakim lagi masih tidak puas hati.

"Oh..ada kawan yang menghubungi isteri saya dan memaklumkan" jelas Abang Dino dengan harapan semua persoalan dan jawapan diterima Tuan Hakim.

"Baiklah, kamu boleh duduk, lain kali pastikan dapat tarikh-tarikh perbicaraan" tegas Hakim.

"Baik, Tuan, Terima Kasih Tuan"......

Ha....ha....kami di belakang semuanya menahan gelak walaupun hati cukup terharu dengan dialog Tuan Hakim dan OKT yang tidak hadir pada hari pertama dari 3 hari perbicaraan dijakankan.

Dialog 2

"Ha ni kenapa pula tak hadir semalam?' tanya Tuan Hakim dengan pelat-pelat Kelantan.

" Mohon maaf Tuan, saya balik kampung semalam baru sampai hari ni" selamba memberi jawapan.

"Ha, lain kali tengok tarikh hari perbicaraan, rancang betul-betul" tegas Hakim tanda tiada kompromi.

"Maaf Tuan.Tuan saya nak minta diri awal nak bawak anak pergi klinik" sambung lagi permintaan OKT ini.

" Tak perlu, kes ini separuh hari sahaja hari ini, petang nanti boleh boleh pergi" wah tegas sungguh Hakim kali ini dalam keadaan dia mungkin menahan kesabaran.

"Baik Tuan, Terima Kasih Tuan" OKT menghabiskan permintaan dan berlalu untuk mengambil tempat duduk semula.

Dialog 3.

"Tuan, saya ingin memaklumkan yang saya baru menerima pesanan ringkas dari OKT no 2 yang beliau baru menyelesaikan menjual nasi lemak dan akan datang ke Mahkamah sebentar sahaja lagi" bangun peguambela bagi OKT no 2 menjelaskan tentang ketiadaan OKT tersebut di Mahkamah pada pagi berkenaan.

"Ok, tak apa, kita tunggu hingga dia datang." tegas Hakim dengan penuh diplomasi kali ini.

Namun bagi pihak Pendakwaan sukar juga untuk mendapat ehsan dari mereka.

"Tuan, kami mohon waran tangkap dikeluarkan bagi OKT-OKT yang gagal hadirkan diri ke Mahkamah" tegas pihak Timbalan Pendakwaraya.

"Tidak mengapa, kita tunggu hingga mereka datang di akhir sesi baru waran tangkap dikeluarkan. Bagi yang dah dikeluarkan waran tangkap boleh dibatalkan sekiranya mereka hadir di akhir waktu" Tuan Hakim bersuara sambil mengunakan kuasa budi bicara yang ada pada seorang hamba Allah.

Dialog 4.

"Ha ni kenapa lambat lagi, selalu saja datang lambat" tanya Hakim kepada OKT no 2.

"Mohon maaf Tuan Hakim, saya ada temujanji ulangan dengan doktor pagi ini sebab itu saya lambat" bicara OKT ke 2 di hari yang lain pula.

"Hish...apa lah Tan ni, cakap sajalah yang saya kena jual nasi lemak pagi-pagi dan pastikan ianya habis terjual, kalau tidak siapa yang nak pastikan saya punya wang untuk teruskan kehidupan menyara isteri dan dua orang anak" dengus OKT 20 yang duduk di sebelah saya sepanjang masa di dalam Mahkamah.

Akhirnya, sekian dahulu sedikit perkongsian dialog-dialog yang perlu kami lalui sebelum sesuatu kes dapat mula dibicarakan.

Atas sebab dialog-dialog di atas jugalah, saya sebagai seorang suri rumah sepenuh masa dengan anak-anak yang semua bersekolah dari waktu pagi hingga ke petang berusaha seboleh mungkin untuk berada di dalam kamar mahkamah, agar pihak peguambela yang bertugas, tanpa kami berikan sebarang bayaran tidak perlu bersusah payah untuk bangun mengemukakan berbagai alasan.

Begitu juga dengan sahabat-sahabat saya yang lain terutamanya Aiman Athirah, Mai Suharah dan beberapa orang OKT lelaki yang lainnya yang sering muncul di dalam kamar Mahkamah Sesyen Jenayah 5, Mahkamah Jalan Duta.

Juga agar bila Tuan Hakim mendongak kepalanya ke arah kerusi di galeri tidaklah banyak sangat lompongnya dan agar Pihak Pendakwaraya tidak akan cuba mengatakan bahawa kami tidak mengambil berat dan tidak endah dengan kes yang lalui ini.

Juga agar sahabat-sahabat OKT kami yang benar-benar dalam kesusahan dan memang punya alasan yang kukuh untuk tidak dapat hadir tidak menerima akibat yang tidak sewajarnya.

Ini hanya sedikit ujian bagi kami untuk teruskan perjuangan. Perjuangan yang di dalamnya sebenarnya terkandung hakikat bahawa di setiap perhimpunan aman ada yang ditangkap , dipenjarakan, didakwa dan dibicarakan tanpa sebarang alasan yang kukuh oleh pihak polis.

Thursday 14 October 2010

Aman dan Lega

Banyak sungguh rasanya untuk dikongsi bersama. Kena fikir satu persatu.

Terlalu banyak isu dalam negara, perlu dedah satu persatu setakat yang mampu.

Semalam, Rabu 13hb Oktober 2010 setelah melalui episod perbicaraan sejak bulan Mac 2009 setelah ditangkap pada 6 hb Februari 2009 di perkarangan Masjid Ubudiyyah kerana membantah perlantikan Dato' Dr Zambry sebagai Menteri Besar Perak melalui rampasan kuasa kerajaan Pakatan Rakyat Perak oleh Barisan Nasional, perbicaraan kes OPS BUBAR DUN PERAK telah sampai ke penghujungnya..............syukur yang teramat.

Kes ini hanya membabitkan suami bersama 12 rakan OKT yang lain, namun diri ini cuba sedaya mungkin untuk turut bersama dengannya setiap kali kes dijalankan di Mahkamah Kuala Kangsar. Kecuali di hari di mana saya perlu menghadiri perbicaraan kes yang melibatkan diri sendiri iatu kes OPS PADAM 3 atau kes PROTES kenaikan harga minyak dan barangan.

Semalam saya telah 'missed' hari yang sudah lama kami sekeluarga nanti-nantikan kerana pada hari yang yang sama perbicaraan kes PROTES dijalankan di Mahkamah Sesyen Jenayah 5 Jalan Duta sejak 3 hari yang lepas.

Kami berdua bertukar-tukar situasi perbicraan di mahkamah. Lansung tidak menyangka bahawa kes tersebut akan diselesaikan dengan segera, namun sekitar jam 10.30 pagi berita diterima bahawa peguambela Augustine Anthony akan cuba selesaikan kes pada hari tersebut juga. Seterusnya pada jam 11 pagi berita diterima bahawa peguambela selesai soal balas saksi terakhir iaitu pegawai penyiasat. Pihak pendakwaraya masih ingin mengemukakan beberapa orang saksi lagi termasuk Ketua Polis Perak tetapi ditolak oleh pihak peguambela.

Syukur yang teramat. Kini ada dua proses lagi yang perlu ditunggu namun ianya InsyaAllah tidak akan membebankan kami dengan perlu berulang alik ke Kuala Kangsar sekerap setahun yang lepas.

Peguam

Prosedur yang perlu dilalui ialah penggulungan oleh peguam. Tarikh yang telah ditetapkan ialah pada 26hb November ini. Kemudiannya Puan Hakim akan menetapkan satu tarikh lagi untuk keputusan....segalanya akan ditentukan pada tarikh itu, apakah mereka semua dibebaskan tanpa perlu membela diri atau ada cukup bukti keatas semua tertuduh atas dakwaan keatas mereka.

Namun bagi pihak peguambela mengikut perjalanan kes, kami yakin kebenaran akan berpihak keatas pihak kami. Namun tiada siapa dapat meneka akan kelutusannya kerana ini adalah kes politik apatah lagi melibatkan pihak Istana.

Sebahagian OKT

Buat masa ini kami mahu menarik nafas lega dan memanjatkan segenap kesyukuran kepada Allah (SWT) Yang Maha Adil lagi Maha Bijaksana. Terasa ringan sedikit beban yang perlu digalas, bak kata Asiah anak kami yang bongsu "Aman". Entah apa maksudnya saya tidak tahu, namun itulah jawapannya sebaik dimaklumkan bahawa perbucaraan Kes Kuala Kangsar telah selesai.

Bagi kakaknya yang sering perlu ditinggalkan untuk beberapa hari setiap kali kami perlu ke Kuala Kangsar pula ialah: "Leganya, tak payah tumpang-tumpang rumah orang lagi".
Ya...lega buat masa ini, moga Allah terus kurniakan 'kelegaan' buat kami dan kita semua..Amin.

Tuesday 12 October 2010

Kasih sayang, Cantik, MasyaAllah.

Foto oleh: Abah Anas
Lokasi : Taman Melewar (Markaz)
Tarikh : 9-10-10

"Beauty lies in the eyes of the beholder". Maka nilai sendiri di mana letaknya kecantikan yang ada.

bila kamu memandang segalanya dari tuhanmu
yg menciptakan segalanya
yg menimpakan ujian
yg menjadikan sakit hati mu
yg membuat keinginan mu terhalang
serta menyusahkan hidup mu
pasti akan damailah hati mu
kerana masa kan ALLAH sengaja mentakdirkan
segalanya untuk sia-sia.....

lizay_73

dipetik dari ruang komentar di blog labun kulup sakah

kasih seorang ayah, juga ibu............tidak bertepi...........

Bak bait-bait lagu Maher Zain...For the rest of my life


Kasih sayang yang tidak bertepi "For the rest of my life, I'll be with you, I'll stay by your side, honest and true..till the end of my time...I'll be loving, loving you...for the rest of my life,Thru days and night,I`ll thank Allah for open my eyes, Now and forever I…I`ll be there for you"


ini lah mereka adik dan kakak

"First Ladies Summit" Apa, untuk siapa???

Foto : Abah Asiah
Lokasi : Taman Melewar (Markaz)
Tarikh : 9 Oktober 2010
Event : Ceramah "Mari Tolak Khurafat BN-UMNO"

Anak-anak ini apa mereka kesah....pemimpin bercakap di belakang mereka boleh terus bermain, merekacipta mainan apa saja untuk menghilangkan kebosanan...hidup ini indah buat mereka tanpa gangguan...Tahu tak yang sekarang ni sedang berlansung First Ladies Summit...sedang berbincang tentang isu kanak-kanak...isu anda...berjuta-juta wang rakyat dihabiskan agaknya...baca kat link ni...First Ladies Summit apa yang depa nak buat...

Atas daya usaha 'First Lady of Malaysia' mereka membincangkan tentang apa yang patut dilakukan untuk anak-anak ini demi untuk menjamin masa depan mereka. Kata 'First Lady of Malaysia' ini dalam ucapan sulong pembukaannya ialah "to make this world a better place for the children"

Maka beliau pun mengarahkan semua hadirin bertepuk tangan pada ucapannya yang disampaikan dengan penuh perasan itu.

Antara program-program yang akan diadakan ialah program bicara dengan wanita pertama, pertunjukan budaya, majlis berkongsi pengalaman, menetap deklarasi wanita pertama, pertunjukan fesyen dan lawatan ke sekitar Putrajaya. Program pada 12 dan 13 Oktober akan diadakan di sekitar Putrajaya, Hotel Palace of Golden Horses dan Hotel Royale Chulan.

Selepas program tiga hari itu yang membawa tema ’A Child Today, A Leader Tomorrow’, para delegasi akan melakukan lawatan bersama ke beberapa destinasi pelancongan seluruh negara. Antaranya ke Kuala Lumpur, Pulau Langkawi, Pulau Pinang, Terengganu, Pahang, Sabah dan Sarawak. dipetik dari sini.


Ada kawan Makcik bagitahu makcik...kan Kerajaan luluskan RM100 juta bajet untuk projek PERMATA yang Rosmah bertanggungjawab ke atasnya...cuba baca kat link ni...PERMATA. Jadi agaknya kena la Rosmah belanja bagi habis duit tu...kalau tak kena pulangkan balik....Entahlah macam logik je...

Kesian kat adik-adik dan anak-anak makcik dan seluruh anak-anak di Malaysia kan...apa hasil dan habuan yang anak-anak semua dapat ya???

Monday 11 October 2010

ZUNAR: "MENGKARTUNKAN LOGO UMNO ADALAH HASUTAN?"

Sabtu 9 Oktober 2010 jam 10 - 12 tengahari telah diadakan 1 sesi pertemuan Zunar dan peminat-peminatnya yang menunggu untuk mendapatkan majalah kartun yang paling sensasi lagi dikehendaki.

Tidak ramai yang datang pada awalnya lantaran kemungkinan akibat kesesakan jalanraya tau mungkin agak gerun untuk ke sana. Apa tidaknya kartunis ini menjadi buruan polis dan pihak Kementerian Dalam Negeri. Namun hingga ke akhirnya semakin ramai yang datang.

Beratur semua untuk mendapatkan tandatangan istimewa dari beliau.

Bagi mereka yang datang sejak dari awal beruntung kerana dapat mendengar secara 'live' pengalaman Zunar diserbu, ditangkap dibawa "tour de BALAI".

Menurut Zunar ada 10 orang polis datang ke pejabatnya dan pada masa yang sama 15 orang polis lagi telah menyerbu pergi ke syarikat percetakan yang pernah mencetak majalah kartun Gedung Kartun. Semua ini dengan tujuan untuk menakut-nakutkan pihak syarikat percetakan dari menerima projek percetakan.

Polis-polis yang telah ke Cheras telah mengugut pekerja di syarikat itu untuk memanggil tuan punya syarikat percetakan datang dengan segera dan jika tidak mereka akan 'seal' kedai tersebut.

Polis dengan tegas ingin memburu 3000 naskah cartoon-o-phobia yang telah dicetak.

Jika alasan dan tujuan utama mereka mencari bukan sahaja pengurus syarikat percetakan tetapi juga pemilik syarikat ialah untuk menakut-nakutkan mereka dari mencetak buku kartun Zunar, jelas Zunar tujuan polis membawa Zunar ke 7 buah balai atau "le tour de BALAI' pada malam kejadian ialah demi untuk menggagalkan majlis pelancaran yang sepatutnya berlansung pada malam tersebut.

"Polis membawa kenderaan dengan laju dengan bergari beramai-ramai, nasib baik tak ada kemalangan, kalau ada kemalangan akan ada tajuk '4 polis terkorban dan Zunar selamat'", sempat lagi Zunar berseloroh dan menyebabkan semua ketawa berdekah-dekah.

" Ketika lawatan saya ke Muzium Kartun di Indonesia, kartunis di sana terkejut dengan penangkapan saya" cerita Zunar pengalaman beliau ke Bali sebaik selepas dibebaskan.

" Bagaimana di Malaysia ada KLCC yang tinggi pun boleh hingga menangkap kartunis. Dulu di zaman Suharto beliau juga tidak suka kartunis tapi tidak lah sampai tangkap cuma tegur saja" cerita zunar mengenai komen yang dilontarkan oleh kartunis di sana.

Zunar menegaskan bahawa penahanan ini adalah salah dan berniat jahat. Beliau mahu polis memulangkan semula 66 buah buku cartoon-o-phobia kepadanya. Sekiranya mereka mahu beliau boleh memberikan satu naskah lengkap dengan tandatangan darinya.

Menurut Zunar lagi, penjelasan kenapa majalah kartunnya diburu dan ingin dirampas seperti yang disebutkan oleh Menteri Dalam Negeri ialah atas beberapa alasan yang besar.

Satunya ialah kerana ianya MENGGANGGU KETENTERAMAN AWAM, menghasut dan boleh membuat ORANG AWAM MERUSUH!!

Komen lansung dari peminat yang datang ialah "patutlah jalan jam teruk masa saya nak datang ke sini".

Menghakis kepercayaan orang awam terhadap institusi kehakiman, polis dan mempersendakan kalimah Allah.

Gambar di atas Saudara Zunar sedang menunjukkan logi UMNO yang terkandung di dalam majalah kartunnya yang didakwa sebagai ada unsur hasutan....kata mereka logo UMNO yang digambarkan menjadi KATAK ini MENGHASUT!!

Saudara Zunar mendedahkan bahawa beliau telah dimaklumkan bahawa Art Centre yang berpengkalan di New York akan mengadakan sebuah lelongan dan majalah cartoon-o-phobia akan dilelong sebanyak 5 buah pada event tersebut. Ianya diadakan atas sebab kartunisnya ditangkap.

Paling menarik Zunar sempat menceritakan pengalaman 'manisnya' berada di lokap. Makan nasi berlaukkan 'cucu ikan kembung'. Perkongsian pengalaman dengan banduan yang lain yang ada menginap di sana berbulan-bulan lamanya setelah tahanan reman yang terus disambung tanpa adanya peguam.

Banyak lagi pendedahan yang menarik dan 'membeliakkan' mata kami semua termasuklah sistem kuota yang digunakan bagi mencukupkan tangkapan yang berkaitan dengan dadah.

Berkongsi-kongsi cerita dengan peminat yang lain. Kebanyakan yang datang bukan sekadar membeli seorang senaskah majalah kartun, ada yang beli hingga 50 naskah dengan tujuan memberikan secara percuma kepada sahabat handai dan kaum keluarga.

penghargaan pada jurugambar : ABAH ASIAH

Friday 8 October 2010

Bagaimana nak buang air besar ni????

Bila saya terbaca 'caption' di gambar yang dikepilkan kepada saya di laman facebook oleh Saudara Jonos yang juga seorang kartunis untuk menjemput orang ramai hadir bersama Zunar, tiba-tiba mengimbau juga pengalaman sendiri.

Saudara Jonos menulis "Tanyalah bagaimana beliau mahu buang air besar dalam lokap merujuk lukisan kartun yang beliau seludup keluar dengan memasukkannya ke dalam kasut."

Kalau rujuk lakaran gambar lokap yang Zunar huni seperti di atas, bolehkah anda bayangkan bagaimana agaknya anda mahu membuang air besar atau kecil???

Entahlah, saya juga tiada jawapan walau saya pernah menghuni 3 buah lokap di penjara yang berbeza. Tapi paling lama pun 3 hari 2 malam saja.

Syukur Allah beri nikmat yang berupa lansung tidak terasa nak buang air besar. Namun kami perlu jua membersihkan badan dan mengambil wuduk di tempat yang sama rupanya seperti di atas. Tandas yang terbuka dan terpampang untuk dilihat umum dan rakan-rakan.

Di penjara Pudu kami bernasib baik kerana dapat menumpang ehsan menggunakan tandas warden Penjara yang bersih lagi dijaga rapi oleh penghuni penjara tersebut. Jadi untunglah kami. Tidak dapat bayangkan sekiranya kami harus menggunakan tandas lokap. Lokap yang kami huni di Penjara Pudu tidak ada tandas di dalam sel lokap.

Di Penjara Bukit Jalil pula lokapnya adalah seperti di lakaran di atas, dan kami harus bijak memikirkan bagaimana menggunakannya...saya memang tak sanggup nak pijak lantai tandas tu, maka terpaksa berpaut pada dinding2 dan pijak di tebing-tebing sekitar tandas itu.

Kami mandi di kala semua penghuni lokap lain tidur, di malam kedua ketika hampir 10 orang rakan-rakan kami dibebaskan dan hanya tinggal berlima orang kami gunakan selimut-selimut kecil yang dibekalkan oleh penjara kepada kami semua sebagai tabir. Kami gantung dan ikat di sepanjang jeriji-jeriji besi yang menghadap sel tahanan yang lain. Namun warden penjara telah memasang lampu dan membuat rondaan di bahagian lorong kecil sel kami..geram...sudahlah wardennya kebanyakannya adalah wanita yang berupa lelaki!!!!

Di lokap Mahkamah Jalan Duta pula rasanya amat teruk dan lebih terbuka, dan lebih teruk ada pula CCTV.... bila perlu ambil wuduk dan cuci tangan saya tanggalkan cermin mata agar pandangan saya pada mangkuk tandas itu tidak jelas....

Apa-apapun syukur kami berjaya mengharunginya.....maka esok ingin pula saya dan keluarga pergi mendengar pengalaman Saudara Zunar pula. InsyaAllah.

Marilah bersama-sama kami di sini:

Wednesday 6 October 2010

Bergambar bersama Maher Zain?????

Orang ramai heboh memperkatakan tentang Maher Zain...di sana sini bergambar dengan Maher Zain. Hah..saya cemburu juga sebab lama tak berkongsi gambar apa-apa, jadi saya nak kongsi gambar kami yang satu ketika dulu jadi juga dikerumuni oleh jurugambar:))

Sekali sekala dapat juga kami bergambar bersama..inilah kami yang sering diperkatakan oleh diri kami sendiri dan bukan orang lain kerana kamilah yang sedang mengharunginya sejak hampir 3 tahun yang lalu. Kini kami berulang alik menapak dan turun naik lif mahkamah jalan Duta.

Ha..bukan mudah untuk kami dapat bergambar bersama para peguam kami yang sungguh dedikasi ini. Di dalam gambar ini hanya kelihatan dua orang dari hampir 10 orang peguam yang mewakili kami. Turut bergambar bersama kami ialah Saudara Roger dan Saudara Nasha. Sungguh dedikasi mereka datang tanpa perlu dipanggil dan disuruh. Merasakan ini adalah tanggungjawab mereka menegakkan keadilan dan menjunjung prinsip Hak Asasi Manusia.

Kami sebagai yang tertuduh dan didakwa sudah tentulah perlu hadir atau waran tangkap akan disebut menjadi pengganti diri.

Jangan main-main turut ditangkap bersama kami adalah dua orang warga emas, dua orang paling depan kiri, Pakcik Nawi, dan sebelah kanan Pakcik Zamhuri. Mereka ditangkap bersama kami di Demo PROTES kerana mereka memakai baju Unit AMAL dan pegawai yang menangkap telah tidak faham maksud AMAL apabila ditanya oleh peguambela, Amer Hamzah.

Soalan dari Peguambela Amer Hamzah dan jawapan dari pegawai penangkap ASP Rajendran.

Soalan : Apa maksud AMAL?

Jawapan : Amal satu perkataan yang umum.

Soalan : Apa maksud perkataan AMAL?

Jawapan : Bergantung pada apa konteks yang digunakan.

Soalan : AMAL bermaksud 1 perkataan yang positif baik.

Jawapan : Tak tahu tak faham.

Soalan : AMAL buat kebajikan-charity.

Soalan : Saya tak nak jawab soalan tersebut terlalu umum.

Itulah cerita kami...kena tangkap sebab berhimpun....

INSYAALLAH...INSYAALLAH...yang berkumpul kerumun Maher Zain tak akan ditangkap....

Kesian pakcik Nawi dan Pakcik Zamhuri dah di usia emas harus menghabiskan waktu-waktu berhimpun di dalam mahkamah....bersama kami-kami....


oooopppppsss.....Maher Zain lagi ke ni....ramai kerumun.....polis pun kerumun???

Ini gambar yang sempat diambil di Mahkamah Rayuan Kuasa-Kuasa Khas Jalan Duta ketika mendengar permohonan pelajar UKM4 yang dituduh di bawah AUKU kerana kononya mereka menolong parti politik di PRK Hulu Selangor...


Kes mereka didengar sama hari dengan perbicaraan Kes PROTES dan di level yang sama dengan kamar mahkamah kami...maka kami pun tumpanglah memanggil wartawan dan jurukamera mengambil gambar kami.

Akhir sekali..bagi yang telah berkunjung di entry ini kerana 'key word' Maher Zain...haruskah aku memohon maaf???????

Tapi tiada maaf pada polis yang pantang lihat kami berkumpul lebih dari 3 orang ke atau 5 orang ke bila ada perhimpunan aman...kami berhimpun dengan aman......