Sunday 30 January 2011

Tenang-Kita tetap menang!!!!


UBAH SEKARANG SELAMATKAN MALAYSIA UNDILAH PAS

"Kemenangan hakiki telah kita perolehi dengan bersama perjuangan ini. Ubah Sekarang Selamatkan Malaysia"

Kata-kata semangat Cikgu Mala di dalam siri ceramah terakhirnya semalam di DUN Tenang.

Kalau bicara tentang kalah menang dalam pertarungan di dalam Pilihanraya di Malaysia ni, memang ramai yang tidak yakin Pakatan Rakyat akan menang dalam Pilihanraya yang diadakan. Namun usaha gigih tetap dijalankan.

"Ini muda lagi, baru nak hidup. Ni dah lama".

Kata seorang pakcik tua bersungguh-sungguh pada kami antara suara dan kata-katanya yang agak sukar nak difahami.

Mulanya apabila mendengar suaranya yang bersungguh-sungguh tersebut kami kira dia akan buat perubahan kali ini. Rupanya akhirnya dia menambah:

"Yang ini dah lama, dah sebati dengan pakcik, pakcik pilih yang ini. Yang ini muda lagi, baru nak hidup"
kata Pakcik tua itu apabila kami menunjukkan biodata Calon bersama gambarnya.

Cikgu Mala bersama suami yang datang ke tapak ceramah. Ceria bersama walau teruk ditabur fitnah.
"Beliau mengalami stress, depression dan bukannya demam atau sakit. Depression terapi sebaiknya ialah untuk bersama isteri dan keluarga" jelas Hanipa Maidin di dalam ceramahnya semalam juga.

Begitulahkan sukarnya jika sesuatu perkara tersebut sudah sebati dalam diri 50 tahun lebih bersama rakyat Malaysia. Walau kezaliman jelas dilakukan terhadap rakyat, tetap sukar untuk buat perubahan.

Tidak rasa apa-apakah apabila ada berita bahawa RM888 BILION (sila baca di sini) wang lesap dari dalam negara mengalir ke luar negara...wang siapakah itu..tak terbayangkan kah betapa banyaknya wang itu...satu ketika bila negara ini muflis...empunya wang tersebut bergembira dan tersenyum.

Biarkanlah kini... "Ah tak perlu kata apa-apa, ayah saya dah senang, kami dah senang, kenapa nak pilih PAS" kata seorang wanita muda kepada Fadiah dan Farhana yang turut sama berkempen pada hari itu.

Ya, anda mungkin senang, kata anda FELDA dah beri segalanya pada anda, namun berapa banyak pula yang FELDA telah ambil dari anda dan yang lain-lain. Anda mungkin senang, tapi bagaimana pula jiran di sebelah anda dan di sekeliling anda?.

Orang ramai yang tidak pernah jemu hadir mendengar pendedahan dari pimpinan Pakatan Rakyat

"Assalamu'alaikum Kak, kami dari Pakatan Rakyat nak memperkenalkan calon di kawasan Tenang, ini calon kami, Cikgu Mala, harap akak dapat undi calon ni" lebih kurang sapaan kami kepada seorang penduduk sebuah rumah Felda yang sudi menerima sapaan kami.

"InsyaAllah" katanya yang keluar dari pintu rumah memakai tudung warna merah hati dengan brooch 1 Malaysia yang besar tersemat kemas di tudung.

"Terima kasih ya Kak, moga sudi buat sedikit perubahan kali ini" kami akhiri sentuhan kami.

"Tapi saya tetap pilih BN"

Dia pula mengakhiri pertemuan kami tersebut. Kami tersenyum kerana tahu sejak dari awal apa pilihannya. Namun sekurangnya dia sudi menerima risalah dan menerima kami dengan baik. Allah jua yang memegang hati-hati manusia. Manusia sepatutnya boleh berfikir yang baik, buat pilihan untuk kebaikan diri dan manusia yang lainnya. Bukan buat pilihan untuk sesuatu yang merosakkan dan menzalimi diri.

Memang sukar untuk buat perubahan apabila sesuatu itu sudah sebati dan tinggal karat dalam diri. Namun jika dikikis sedikit demi sedikit dengan sentuhan, penjelasan dan pendedahan InsyaAllah berkat usaha untuk kebaikan pasti Allah akan membuka jalan untuk kemenangan.

Walau hujan lebat dan terpaksa berpayung masih setia duduk mendengar.

Syukur walau seketika dari jam 5-6 petang sahaja dapat juga kami bergerak dari satu rumah ke satu rumah di kawasan Felda Cempelak di DUN Tenang. Mana tahu ada hati yang ternampak bulan di hati mereka ketika sedang memangkah kertas undi, mana tahu ada hati yang dibalikkan oleh Allah untuk memilih kebenaran dan keadilan.

"Makcik, ni lambang bulan ni, esok makcik pangkah yang ini ya, tengok ni gambar ni" kami berusaha menunjukkan gambar tersebut kepada makcik yang sudah uzur dan sukar berjalan. Anaknya menarik tangan kami untuk tetap masuk singgah dan berkempen kepada ibunya.

Di hadapan rumah mereka dan banyak rumah yang lain sudah terpahat dan tergantung lambang dacing yang besar. Sekiranya petugas yang datang dari Pakatan Rakyat mungkin tanpa berfikir panjang tidak akan singgah di rumah tersebut.

"Tak lah kak, ada orang datang letak staple kat sini" kata anak makcik tersebut.

"Kenapa tak buka buang saja" tanya kami kepadanya.

"Macamana nak buka takut juga" begitulah ceritanya.

Kita berusaha, inilah peluang yang ada untuk kita mendekati rakyat untuk memilih calon yang kita ketengahkan khususnya dan secara terus menerus mahu mereka buat perubahan. Peruabahan untuk kebaikan dan keselamatan rakyat sepanjang masa dan bukannya hanya seminggu atau sebulan sebelum pilihanraya.

"Ummi kenapa basikal dia orang semua saja ada raga di depan" tanya Asiah kepada saya apabila dia nampak beberapa orang anak seusia dengannya menunggang basikal ke sana sini di dalam Felda tersebut.

"Ye lah itukan basikal perempuan memangla ada raga di depan" saya cuba menjelaskan tanpa menyedari apa sebenarnya yang dirujuk oleh Asiah anak bongsu saya berumur 10 tahun yang turut mengekori kami.

" Wah cantiknya basikal adik ni, baru dapat ke?" tegur saya kepada seorang anak perempuan yang bermain basikal baru di dalam rumahnya yang kami singgah untuk merayu undi.

Jelas terpampang logo Barisan Nasional yang besar di hadapan raganya. Anak itu malu-malu dan menyembunyikan dirinya. Beruntung anak ini dengan habuan di pilihanraya.

Asiah senyum penuh makna pada saya. "Nantilah kalau ada rezeki lebih ummi belikan, tapi ummi malas beli sebab pencuri terlalu banyak" disambut dengan kehilangan seri di muka Asiah.

Untuk pengundi di waktu pilihanraya, apakah nasib pengundi sama selepas itu.
"Ish...teruknya jalan ni" keluh saya ketika kami dalam perjalanan pulang dari Labis menuju ke Segamat. Di dalam gelap malam, jalan tanpa lampu, hujan lebat kami terpaksa mengelak lopak-lopak air sepanjang jalanan...

" Rosmah ni tak de duit. Habis duit belanja beli kain, pergi Dubai, pergi Oman". Pantas saja Asiah jawab dari kerusi belakang. Di usia 10 tahun dia sudah dapat lihat dan baca apa sebenarnya berlaku dan apa kepincangan yang ada.
"Ummi do'akan Asiah dapat jadi pemimpin di usia 20an lagi, muda macam Cikgu Mala". Komen saya kepada komentar spontan Asiah awal tadi.

"Asiah do'akan PAS akan menang" sambung Asiah lagi.

Ya kita berusaha walau sedikit mana yang kita mampu dengan cara kita sendiri. Selebihnya kita berserah kepada Allah.

Moga generasi Asiah tidak kita tinggalkan dalam kesusahan dan terus dizalimi hasil sikap tidak kesah kita..."kami dah senang, ayah saya senang" moga sikap itu tidak kita biar berkarat dalam diri tanpa kita sedar ada saudara kita yang untuk membeli beras terpaksa juga membuka mulut untuk mohon pertolongan.

"Kita impikan bulan mengambang di Tenang. Tiada yang mustahil" kata-kata Cikgu Mala di dalam ceramah terakhirnya.

(sedikit catatan pengalaman ketika berkempen sebentar setelah terserempak dengan kumpulan YB Sivarasa, Latheefa Koya, Hj Suhaimi Said, Fadiah dan Farhana dari Lawyers for Liberty di Felda Chempelak)



Saturday 29 January 2011

Moga Bulan mengambang di DUN Tenang!!!



Memang power Cikgu Mala. Petah berkata-kata. Bak kata Tuan Guru Nik Abdul Aziz

"Cara dia menggunakan bahasa (dalam temuramah) nampak hebat.

"Beliau nampak hebat dan layak untuk menjaga bumi Allah, bukan Johor (sahaja)," katanya.

Moga pengundi di Tenang membuat pilihan yang sebaiknya. Begitu juga semua rakyat di Malaysia lihat sendiri contoh pimpinan yang cuba diketengahkan oleh Pakatan Rakyat.

Kata-katanya dan impiannya di akhir temuramah membuatkan air mata mahu mengalir keluar.

Besar cabarannya bagi seorang wanita, isteri dan ibu apabila bergerak aktif dalam aktiviti masyarakat apatah lagi bergerak aktif dalam politik. Moga Cikgu Mala akan berjaya atau setidaknya PAS akan terus mengenengahkan beliau untuk berada di peringkat Pusat.

Hikmah beliau dipilih sebagai calon di Tenang...tidak ramai yang mengenalinya sebelum ini termasuk diri saya sendiri :)

Thursday 27 January 2011

Sempena 3 tahun perjuangan OKT PROTES

Dedikasi untuk kita semua walau nama anda tidak disebut di sini....wajah anda dan persaudaraan kita dalam perjuangan tetap terpahat dalam ingatan....Moga satu hari nanti kita juga berupaya mengangkat tangan tinggi menyambut saat kita dibebaskan sepenuhnya.

OKT Wanita bergambar beramai-ramai pada lingkungan jam 3-5 pagi di dalam Penjara Pudu sebelum di bawa masuk ke dalam lokap.

Tarikh 26hb Januari adalah tarikh ulangtahun ke 3 Perhimpunan Aman Membantah Kenaikan Harga Minyak dan Barangan diadakan di hadapan KLCC. Seingat saya perhimpunan tersebut adalah perhimpunan terakhir yang dijalankan dalam siri Demonstrasi Membantah Kenaikan harga barangan khususnya minyak dan tol. Ketika itu kerajaan menaikkan harga tol, minyak dan barangan beberapa kali. Rakyat marah dan bangun membantah.

Ini juga adalah kali pertama saya ditangkap setelah terlibat aktif dalam setiap perhimpunan aman yang dijalankan sejak September 1998.

Kami ditangkap, dipenjarakan di Penjara Pudu selama 3 hari dua malam dan kemudiannya didakwa di Mahkamah dan seterusnya dibicarakan. Perbicaraan hingga kini memasuki tahun ke 3 belum nampak jalan keluar untuk selesai lagi.

Masa berlalu, masing-masing kami di yang menjadi OKT seramai 45 orang mempunyai masalah dan hal yang tersendiri. Setiap kali perbicaraan dijalankan pasti akan ada yang tidak dapat hadir dengan pebagai masalah dan alasan. Kehidupan perlu diteruskan, nafkah perlu terus dicari.

Gari-gari besi yang menanti kami di malam kami ditangkap dan diletakkan di IPK KL.

Kini dalam sejarah kami...

1. Seorang dari kami Allahyarham Azhar sudah meninggal dunia beberapa bulan yang lepas. (di dalam gambar beliau pemuda berbaju kuning duduk membelakangkan pagar besi Pudu Jail).

2. Di sebelahnya Abang Dino bertugas dengan YB Zuraidah kini dan sebelum ditangkap, in between beliau cuba bekerja sebagai pemandu teksi yang mungkin memudahkannya lagi untuk hadir ke Mahkamah.

3. Rani, wanita di kiri sekali sudah berbulan-bulan juga tidak dapat menghadirkan diri ke mahkamah kerana sakit. Beliau disahkan mempunyai tumour di dalam kepalanya.

4. Di sebelahnya di hadapan, berbaju merah hati, Mai Suharah. Ketika ditangkap, belumpun berumah tangga, kini sudah mempunyai seorang cahaya mata. Begitu juga Fatimah di belakangnya.

5. Nor Aziyati...ya, saya simpati kepadanya dan dapat merasai kesusahannya apabila suami saya juga menerima nasib yang sama. Kehabisan cuti tahunan kerana sering ke Mahkamah.

6. Ginie Lim, kini sedang melanjutkan pelajarannya di United Kingdom. Terpaksa juga bertolak pergi di hari perbicaraan dijalankan. Terpaksa 'take the risk'. Kasihan dia, terpkasa juga datang ke perbicaraan di hari di mana beliau telah terpaksa bertolak ke luar negara, dan pemergiannya terpaksa di dengar dan dibantah oleh Pihak Pendakwaraya.

Selainnya...kami-kami OKT wanita yang lainnya, Aiman Athirah Al Jundi kekal gagah perkasa berjuang sehabis dan sedaya mampu sepenuh masa untuk memenangkan pemerintahan yang Adil bersama PAS. Kohi Kogi bersama JERIT dan PSM, begitu juga Saraswathy semuanya memegang jawatan dan amanah yang besar untuk Selamatkan Malaysia.

Oh, seorang lagi yang tiada di dalam gambar ialah seorang ibu muda yang ketika ditangkap beliau sedang mengandung. Ditangkap bersama suaminya. Maka dia telah tidak dihantar ke lokap bersama kami.

Dan saya...masih seorang ibu dan isteri yang bercita-cita tinggi walau tidak berdaya menjadi aktivis sepenuh masa namun tetap ingin terus kekal menjadi seorang aktivis masyarakat selagi terdaya masa dan tenaga.

Kini..kita masih merindui suasana yang sama, rakyat sama-sama bangun melawan kezaliman pemerintah ke atas kita.

Tunisia...Mesir......memaksa rakyat bangkit apabila kezaliman melata hingga rakyat tersiksa...setiap perjuangan pasti memerlukan pengorbanan dan akan tersiksa untuk jangkamasa yang lama...

Benar sekali kata teman OKT kami ini...Kohi Kogi "Perjuangan berterusan....bersama kita berjuang untuk membina negara yang lebih adil dan saksama....".

Wednesday 26 January 2011

Apa aktiviti First Lady hari ini agaknya???

Hari ini keluar dari rumah awal dari kebiasaannya. 6.30 pagi sudah siap masuk kereta untuk menghantar suami ke tempat kerja. Dek kerana kereta yang satu lagi terpaksa masuk workshop selama 3 hari. Mungkin ini kali pertama saya keluar waktu penduduk Kuala Lumpur yang lainnya keluar mencari rezeki.

Dalam suasana pagi yang masih kelam, lampu kereta di jalan sebelahnya di Lebuhraya Cheras menuju Kuala Lumpur kelihatan deretan lampu kereta...panjang...dan ini juga pemandangan tika malam malam menjelang.

Sukar menjadi penduduk Kuala Lumpur ni ya...siang malam, setiap hari jiwa dirundung resah dengan kesesakan jalanraya demi keluar untuk mencari rezeki yang halal dalam menampung kehidupan yang sukar dengan taraf hidup yang semakin tinggi.

Radio yang terpasang tika jam 7.00 pagi menyiarkan warta pagi. Jelas kedengaran tajuk berita:

"Lawatan Rosmah ke Oman dibiayai sepenuhnya oleh Negara itu".

Sukar nak percaya. Walau apa pun terdetik di hati indahnya hidup menjadi "First Lady Of Malaysia" ni. Sana sini mahu pergi mungkin boleh petik jari saja. Sudahlah hidup mewah, orang yang mewah juga mahu membiayai dirinya 'with the whole entourage" diiringi isteri-isteri Menteri dan isteri-isteri Timbalan Menteri berserta pegawai-pegawai mereka.

Tiba-tiba saya terkenangkan sms yang saya terima dari salah seorang isteri bekas tahanan ISA, yang di'forwardkan' kepada saya oleh seorang isteri bekas tahanan ISA juga, Norlaila Othman.

Mesej memohon bantuan kewangan dari kami di Pusat Sokongan Keluarga Tahanan ISA, memohon sumbangan wang bagi mencukupi tambang perbelanjaan untuk beliau menziarahi suaminya yang kini ditahan di Manila. Suaminya telah ditahan dibawah akta ISA di Kem Tahanan Kamunting dan sudah dibebaskan. Oleh kerana beliau adalah warga Filipina maka beliau telah dihantar balik dan disambung ditahan di sana.

Kasihan bukan...terpaksa memohon wang sumbangan untuk menziarahi suami yang dizalimi.

Sebelum itu kami juga menerima sms bantuan dari seorang lagi isteri tahanan ISA yang hanya inginkan sedikit wang hanya untuk membolehkan ibunya membeli beras.

"Kak, boleh bantu saya, saya sudah cuba hubungi En L, tapi dia tak sihat. Ibu saya nak minta tolong beli beras saja, saya belum dapat kerja"
.

Kasihan bukan...perlu wang bukan untuk beli pakaian atau lain-lain keperluan...cuma untuk beli beras..makanan asasi kita rakyat Malaysia...

Dan...mereka terus bermewah-mewahan.......hidup bak puteri kayangan....Indahnya Hidupmu wahai "First Lady of Malaysia".

Tuesday 25 January 2011

Nak terus merungut sajakah kita??

Hari ini disebabkan terlalu mengantuk ketika memandu saya membuat keputusan membelok kereta memasuki kawasan tempat letak kereta di dalam bangunan Pasaraya TESCO Selayang. Bukan pertama kali tetapi sudah beberapa kali mengambil tindakan ini. Park kereta, matikan enjin, turunkan sedikit cermin tingkap dan lelap sekejap. Bila bangun rasa segar semula.

Kali ini memandangkan sudah berada di pasaraya, saya buat keputusan untuk masuk ke pasaraya dan beli beberapa barang keperluan rumah yang kebetulan sudah habis. Bawang besar, sabun mencuci dan lauk pauk. Saya suka juga membeli ikan dan lauk basah lain kerana selalunya agak murah. Tetapi hari ini nasib tidak menyebelahi saya, semua ikan, udang mahal-mahal belaka.

Sambil melihat-lihat bawang-bawang yang hendak dibeli tiba-tiba seorang makcik di sebelah saya merungut sambil berkata-kata:

"Apa nak buat dah pencen, gaji pun kurang, ambil je la bawang yang ni, balik masak rebus-rebus je".

Saya pun merungut "buruknya bawang ni" .

Makcik sambung "inilah yang paling murah".

Saya terdiam dan turut pilih beberapa biji bawang besar yang buruk tetapi murah itu untuk dibeli setelah dipilih beberapa biji yang paling baik.

Begitulah nasib rakyat..dibebani dengan kenaikan harga barang.

Mampu merungut sajakah kita...atau kita ada kuasa untuk merubah keadaan...masih mahu pilih kerajaan yang mendahulukan rakyat hanya untuk kesenangan mereka?

Di lain kali saya akan cuba untuk tidak terus mendiamkan diri bila terdengar rungutan begini...kita patut terus mendidik rakyat tentang hak kita untuk mengubah Malaysia menjadi sebuah negera yang lebih selamat untuk semua.

1 undi kita sangat berharga....

Thursday 20 January 2011

Eh! Hakim Lain, Mana boleh!!!!

19hb Januari 2011, kami memulakan perjalanan dari Gombak menuju ke Kuala Kangsar seawal jam 5.30 pagi untuk membolehkan kami tiba di perkarangan Bangunan Mahkamah Kuala Kangsar tepat masanya jam 8.30 pagi. Syukur kami tiba di Kuala Kangsar jam 8.00 pagi maka dapatlah kami bersarapan terlebih dahulu kerana menjangkakan perbicaraan akan berlansung lama.

Memasuki kamar mahkamah seperti biasa jika ada kes yang lain berjalan seiring maka penuh juga kamar mahkamah. Peguambela Augustine Anthony telah sedia berada di tempatnya.

Belum sempat melabuhkan badan ke bangku mahkamah terdengar jeritan polis mahkamah seperti biasa "court bangun" dan Hakim masuk mengambil tempatnya.

Terkejut dan terpegun!

Mana mungkin Hakim yang baru pula mengambil tempat. Kes lain dipanggil untuk disebut dahulu dan saya masih menaruh harapan kemungkinan dia akan keluar dan Hakim Norsalha, Hakim asal kes 'OPS Bubar DUN Perak' akan keluar mengambil tempatnya semula.

Keadaan yang tenang jadi sedikit kecoh apabila ke semua 13 orang OKT (orang kena tangkap) dipanggil nama seperti rutin biasa untuk berbaris dan mengambil tempat.

"Meor Shafrizal, Zulhaizam, Mohd Faiz, Isha, Bad Latif, Ade Hilmi, ........" hingga semua 13 orang mereka siap berdiri mengambil tempat.

Maka harapan saya untuk melihat Puan Salha masuk dan menyambung misinya yang bermula pada 13hb Fenruary 2009 hancur berkecai. Hakim yang baru itu masih di situ.

"Hakim lain!!!" jerit hati saya sambil melontarkan kata hati itu ke dalam laman sosial Facebook dan Twitter.

"Hakim lain!! Kami sudah dpt info yg Hakim kami telah ditukar ke Sg Petani 1 Januari dulu. Kes dibicara di hadapan Hakim lain mana adil dapat Hakim baru pulak!" 8.42am.

Ya, bagaimana mereka sanggup meletakkan Hakim lain untuk mendengar penghujahan peguam bela dan pendakwaraya dan seterusnya membacakan keputusan apabila hampir dua tahun kes dibicarakan dan didengar di hadapan Hakim yang lainnya. 30 orang lebih saksi dikemukakan, 1000 keping gambar dianalisa, 5 keping VCD ditontonkan dan diputar entah berapa puluh kali di setiap kali perbicaraan dijalankan, mana mungkin penghakiman dibuat di hadapan Hakim yang hanya akan baca nota hujahan ke dua belah pihak.

Laju sahaja saya mendapat respon dari sahabat seorang peguam muda Puspa "Eh eh tuntut hakim yg sama! "

Ya memang betul...dengan segera Peguambela Augustine Anthony bangun memperkenalkan diri dan memohon agar hujahan didengar di hadapan Hakim Norsalha juga kerana Augustine telahpun menyerahkan nota hujahan pihak pembelaan sejak tarikh pertama ditetapkan untuk sesi penggulungan iaitu pada 26hb November 2010. Malah beliau telah menyerahkan teks tersebut lebih kurang dua minggu lebih awal.

Pada tarikh 26hb November 2010, Timbalan Pendakwaraya, Puan Julia yang mengetuai pihak pendakwaan tidak muncul tanpa sebarang notis dan nota hujahan mereka juga tidak diterima. Maka sesi berkenaan telah terpaksa ditangguhkan pada tarikh yang baru Isnin 20hb Disember 2010.

Pada hari Jumaat 17hb 2010 ketika kami sudahpun berada di luar daerah bercuti sebelum meneruskan perjalanan ke Kuala Kangsar untuk ke mahkamah. Kami telah menerima panggilan dari Mahkamah memaklumkan bahawa kes terpaksa ditangguhkan ke tarikh yang baru pula iaitu 19hb Januari 2011. Bila ditanya mengapa ditangguhkan di saat akhir, jawapan yang saya terima ialah "Puan tidak ada". Mudah saja...

19hb Januari, kami menanti kedatangan tarikh tersebut dan yakin segalanya akan berjalan lancar kerana tarikh tersebut sepertimana tarikh yang lainnya dipilih oleh Mahkamah sendiri. Tapi sayangnya ianya tetap terpaksa ditangguhkan sehingga waktu kami sudah berada di dalam mahkamah setelah membuat pelbagai persediaan.

Tuan Haji Nazeer ketua kumpulan OKT menunjukkan salinan nota hujahan dari pihak pendakwa yang baru diterima sambil diperhatikan oleh peguambela, Augustine Anthony. Satu nota yang nipis sahaja berbanding salinan hujahan pihak kami.

Sekali lagi wajah Timbalan Pendakwara tidak kelihatan lansung. Di luar mahkamah setelah kami beredar keluar dan berkumpul Peguambela Augustine menunjukkan salinan nota hujahan yang beliau lihat ada diatas meja ketika beliau masuk ke dalam mahkamah pada pagi tersebut!

"Ya Allah Sabarkanlah kami. Ditangguh, Peguambela mohon sebut semula sebab mahu submission di dibuat di hadapan Puan Hakim yg asal. Tangguh 28hb utk sebutan dan OKT tak perlu hadir ke Mahkamah."

Begitulah kata hati saya memohon moga Allah terus menerus mengurniakan buat kami kekuatan dan kesabaran menghadapi kerenah Mahkamah dan segala yang berkaitan dengannya. Kami diuji dengan pelbagai ujian sepanjang perjalanan kes dibicarakan.

Apabila kami gagal hadir sekali sahaja... "Minta OKT tiba dalam masa sejam dari sekarang".

Apabila kami lewat sekali sekala sahaja..... "Lain kali jangan lewat atau waran tangkap akan dikeluarkan".

Apabila peguambela menyatakan tidak dapat hadir kerana ada urusan lain yang lebih amat penting.... " Tak mengapa OKT boleh bela diri mereka sendiri jika peguambela tidak dapat hadir " atau dikatakan "apakah kes tersebut atau urusan tersebut lebih penting atau sengaja mencari alasan untuk menangguhkan kes".

Apabila mereka lewat atau gagal hadir.................kami pulang dengan penuh kekecewaan menyimpan rasa dendam dan geram di hati yang berpanjangan...akhirnya kami menerima kenyataan ini dengan hati yang terbuka kerana bak kata Fadiah seorang peguam muda di Lawyers for Liberty, OKT, kita adalah Orang Kena Tindas.

Namun respon dan kata-kata sokongan dari sahabat semua terus memberikan kekuatan kepada kami.

"Kesiannya.. Letih, Duit minyak. Moga Allah beri kesabaran dan kekuatan." Ya memang benar, memang amat 'frustrating' setelah kita meletakkan sepenuh harapan.

"ikut suka dia nak tangguh2 ...dengar pun geramm !!. Ya memang betul geram dan marah bukan sahaja ikut suka masa mereka nak tangguh-tangguh, lagi zalim ikut suka nak letak Hakim lain pula.

Seperti biasa kami akan menghiburkan hati dengan mencari kedai makan kegemaran selain warong Makcik "Blues" berdekatan stesen keretapi, warong Abang Lan di tepi jalan di Sayong kami cari untuk menjamu selera dengan laksanya yang sedap dan air kelapa lemon yang menyegarkan.


"Ada kes ya pagi ni?" tanya kakak pemilik kedai isteri Abang Lan.

"Semalam kami buat di sini buat solat hajat untuk kes ni." jelas kakak lagi. Syukur dan tenang sungguh rasa hati mendengarnya. Ramai yang memberikan sokongan kepada kami semua
.


Pesuruhjaya PAS Perak Ustaz Abu Bakar Hussin memberikan kata-kata semangat bahawa setiap perjuangan pasti ada dugaan untuk semua. Beliau berterima kasih kepada pasukan peguambela yang bertungkus lumus berusaha. Mereka semua sentiasa membantu memberi dan terus menberi.



Ramai yang turut datang memberikan semangat namun semua tidak sempat masuk melabuhkan diri ke dalam mahkamah kerana beberapa minit sahaja kes sudah ditangguhkan. Pimpinan PAS Perak ramai turut hadir. Antara yang hadir ialah Pesuruhjaya PAS Perak Ustaz Abu Bakar Hussin, ADUN Titi Serong, Drs. Khalil Idham Lm, ADUN Lubok Merbau, hH Zainuddin, YDP Kuala Kangsar Tn. Hj. Ibrahim dan Bendahari PAS Perak, Hj Abdul Rahim Ariff.

Terima Kasih semua.

Walau siapa kita, sebagai rakyat jika kita biarkan pemimpin berkuasa dan bermaharajalela maka kita akan terusan menjadi orang yang tertindas dan dizalimi...namun kena terus berusaha dan bak kata Zunar kena terus mendapat 'title' 'Orang Kuat dan Tabah' untuk terus beroleh keadilan.

"Zunar Kartunis Kak N, Bad dan semua OKT (Orang Kuat dan Tabah) , semoga beroleh keadilan.

Dan jangan jadi OKU dulu kini dan selamanya......"Ronasina Kartunis kami sentiasa mendoakan keadilan tertegak. kami sedia di belakang. jangan jadi OKU sudah..(Orang Kuat Umno).

Bertemu lagi pada 28hb Januari 2011...moga mendapat satu tarikh yang sesuai untuk Hakim 'Membacakan' keputusannya setelah selesai sesi penggulungan nanti.

Kami beredar dari Mahkamah menuju ke Kelab Sultan Idris untuk berbincang dan makan-makan seperti biasa.

Sebahagian dari OKT.

Isteri-isteri OKT, Isteri YB Zainuddin berkot hijau dan yang membelakang kamera ialah Suhana OKT wanita.

Wednesday 19 January 2011

OKT Ops Bubar DUN PERAK..Do'akan yang terbaik buat kami....

(gambar di hari pertama mereka di bawa ke mahkmah untuk disambung reman..tiada dapat mengagak nasib mereka ketika itu maka suami menyampaikan amanat kepada saya)

Secara tiba-tiba badan terasa berpeluh-peluh..saya memang tidak dapat tidur lena setiap kali mahu memulakan perjalanan awal pagi kerana bimbang saya tidak terjaga dan kami bakal lewat tiba di Mahkamah.

Sepanjang perbicaraan dijalankan sejak 6b Februari 2009 sehingga kini entah berapa kali kes dijalankan tidak dapat saya kira lagi. Saudara Augustine Anthony peguambela kami telahpun bertanya kepada saya sekiranya saya mempunyai rekod berapa kali semuanya kes dijalankan sepanjang hampir dua tahun ini...entahlah, saya tidak punya rekod yang lengkap. Tetapi setiap bulan pasti tidak kurang dari 7 hari ianya dijalankan, jadi kemungkinan hampir 100 hari kami menghabiskan banyak masa berharga di sana.

Sepanjang ianya diadakan tidak ada seorang pun OKT yang gagal hadir kecuali satu sesi di mana salah seorangnya Adik Faiz perlu menjalani peperiksaan di Kolejnya dan sekali lagi kami terpaksa mencipta alasan tidak hadir, kerana Hakim menetapkan kes bermula jam 8am dan berakhir untuk separuh hari sahaja. Maka memandangkan suami sememangnya sudah lama kehabisan cuti tahunan dan kami juga terasa amat tidak berbaloi untuk travel jauh dan hanya untuk duduk di dalam mahkamah untuk masa dua atau tiga jam sahaja, maka kami tidak ke sana.

Memang perit melalui episod perbicaraan ini, namun tidak sangka kami berjaya mengharunginya dengan sokongan dan do'a semua..kami terus bertahan...Syukur Alhamdulillah.

Hari ini 19hb Januari adalah sesi penggulungan kes. Pada tarikh pertama yang ditetapkan pada hampir sebulan yang lepas memang telah dengar desas desus bahawa Puan Hakim akan terus membacakan keputusannya sebaik selesai sesi penghujahan.

Malam ini tiba-tiba tangan dan mata saya sampai ke blog Cina Islam dan saya terkejut dan peluh sejuk terasa mengalir apabila membaca:

"Menurutnya juga kemungkinan pihak mahkamah akan membaca keputusan penghakiman kes tersebut." (peguambela Hj Aminuddin)

Kes ini lain dari yang lain, sebelum ini hampir kesemua kes yang melibatkan tangkapan di Perhimpunan Aman yang berlaku di Kuala Lumpur semua yang ditangkap dan dibicarakan akhirnya dibebaskan oleh Mahkamah setelah pihak pendakwaan gagal membuktikan dakwaan dan tuduhan mereka. Maka semua bebas tanpa perlu membela diri.

Ini kes di luar Kuala Lumpur dan melibatkan institusi RAJA....kita nantikan kesudahannya...Hanya Allah yang Maha Adil dan Bijaksana...

Apa pun do'akan yang terbaik buat kami...apa yang saya runsingkan sekiranya keputusan tidak menyebelahi kami, maka kami harus melaluinya semula berulang alik ke Mahkamah Tinggi pula kemungkinannya...

Tuesday 18 January 2011

'Ops Bubar DUN PERAK' hampir ke penghujungnya.


Esok pagi 19hb Januari 2011 perbicaraan Kes Himpunan Mansuh akan diteruskan untuk hari ke 3 berturut-turut. Kebiasaannya sebagai seorang suri rumah saya tidak punya masalah besar untuk menghadiri sebarang kes yang dijalankan. Pagi menghantar anak ke sekolah dan terus pecut ke Mahkamah di Jalan Duta. Jika habis hingga ke petang saya akan terus pulang dan menjemput anak-anak dari sekolah. Syukur dengan kelapangan tersebut.

Namun esok saya harus buat pilihan walau pilihan saya memang 100% untuk menemani suami saya ke Kuala Kangsar. Perbicaraan kes 'Ops Bubar DUN Perak' sudah hampir ke hujungnya dan esok kedua-dua pihak pendakwaraya dan pembelaan akan membuat penggulungan untuk kes ini yang telah ditangguhkan sebanyak dua kali kerana kegagalan di pihak pendakwaraya. Bila sudah tiba ke peringkat penghujahan bermakna penghujung dan penamat bagi kes ini yang akan genap dua tahun pada 5 hb February ini sudah tidak lama lagi.

Maka bagi saya ianya satu detik dan hari yang pasti tidak ingin saya mahu lepaskan berlalu tanpa saya di sana, kerana sebelum ini saya pasti akan bersama. Sama-sama membantu team peguambela mencatat setiap hujahan dan keterangan di dalam mahkamah dan saya suka melakukannya.

Malah sebenarnya esok saya harus buat 3 pilihan sebenarnya antara perbicaraan Kes Himpunan Mansuh, PROTES dan juga Kes Ops Bubar DUN Perak.

Moga Allah perkenankan keinginan saya ini.

Sunday 16 January 2011

Pengajaran dari Keluarga Cacat Penglihatan.

Hari ini saya menilai diri, memejam mata membayangkan bagaimana kiranya dunia saya gelap, hidup di dalam kegelapan apabila nikmat melihat tidak sama dengan hamba Allah yang lainnya.

Saya terpegun dan terharu melihat sepasang suami isteri, keduanya cacat penglihatan.

Seorang anak memimpin tangan seorang ibu, membawa ibunya duduk bersama kami ibubapa yang lainnya yang sedang berkumpul di dalam sesi mesyuarat Kelab Kelas Tingkatan 3 Sekolah Menengah Islam Al-Amin Gombak. Mesyuarat diadakan di ruang solat surau sekolah.

Seketika kemudian anak yang sama membimbing tangan sang ayah pula untuk duduk sebaris dengan bapa-bapa yang lainnya di hadapan.

Saya terpegun, terharu memerhatikan gelagat mereka. Mesyuarat disertai oleh ibu bapa yang baru 'melantik diri sendiri' untuk menjadi ahli jawatankuasa Kelab Kelas Tingakatan 3 bagi memastikan anak-anak dapat cemerlang di dalam pelajaran dunia dan akhirat.

Kedua ibu dan ayah ini bukan menjadi AJK tetapi mereka mahu mengikuti sama. Saya kira mereka lambat hadir pada hari itu dan telah terlepas sesi awalnya.

Selesai mesyuarat dan perbincangan kami semua mula mengundurkan diri keluar dari perkarangan sekolah menuju ke kenderaan masing-masing. Saya juga mula menghidupkan enjin kereta dan jauh sedikit di hadapan kelihata kedua ibu dan ayah ini berjalan berpimpinan tangan bersama dua orang anak lelaki mereka.

"Nak balik ke mana" tegur saya setelah membunyikan hon dan memberhentikan kereta.

"Nak balik ke Selayang Baru", jawap mereka.

"Naiklah saya hantarkan", saya mempelawa mereka masuk apabila memikirkan agak jauh untuk mereka keluar dari kawasan sekolah menunggu bas.

Di dalam perjalanan saya mengorek sedikit sebanyak kesah kehidupan mereka. Saya kagum kerana tadinya di sesi taaruf saya telah mendengar mereka berdua menjelaskan yang mereka berdua bekerja sebagai operator telefon sebuah agensi kerajaan dan suaminya di sebuah Bank di Kuala Lumpur. Saya kagum kerana bukannya murah untuk membayar yuran bulanan di sebuah sekolah swasta. Bilangan anak-anak mereka sama dengan anak-anak saya yang bersekolah. Dua orang di sekolah rendah dan dua orang di sekolah menengah.

"Macamana anak-anak ni ke sekolah", tanya saya cuba mengorek lagi memandangkan kedudukan rumah mereka di Selayang agak jauh dari sekolah di Sg Pusu Gombak.

"Naik van ke sekolah", jawab si ibu.

"Berapa bayaran sebulan untuk semua", saya terpegun sebab saya yakin pasti mahal upahnya.

" 780 ringgit sebulan",....memang terkejut saya mendengarnya.

"Banyaknya tu, hampir 800 ringgit dan yuran sekolah lagi" terpegun lagi saya dibuatnya dengan pengorbanan mereka dengan gaji sudah tentu jauh lebih rendah dari ibu-bapa lain yang menghantar anak ke sekolah Al-Amin.

"Ya lah, orang kata anak-anak ni kan aset kita, jadi saya tak mahu kedekut keluar perbelanjaan", jelas si ibu ini lagi. Saya terpegun lagi apatah lagi bila memikirkan diri sendiri sering juga resah dengan yuran pengajian yang tinggi yang perlu ditanggung untuk kesemua anak setiap bulan.

"Betul tu, tapi ramai juga ibu bapa yang tidak mampu membayar yuran di sekolah", kami bersembang lagi mengenai hal ehwal sekolah.

Saya membayangkan nasib anak-anaknya yang ibu bapa mereka tidak mempunyai kereta apatah lagi dapat memandu kereta sendiri membawa anak-anak ke sana ke mari. Sedangkan kebanyakan kita kini sudah pasti memiliki paling kurang sebuah kereta seorang.

"Anak saya selalu ceritakan yang kereta-kereta yang menghantar mengambil anak-anak di sekolah besar-besar dan hebat-hebat belaka", fakta yang memang saya tidak dapat menafikannya.

"Ayah tengok ni kereta ni ada kerusi lagi di belakang", jerit seorang anak mereka yang berada di darjah dua ketika mula melangkahkan kaki memasuki kereta saya.

Dalam hati saya berkata dengan kereta saya yang buruk ini pun mereka sudah terpegun, tak terkata di hati saya menilai kehidupan mereka. Jauh sungguh....

"eh, akak nak hantar kami sampai mana ni, ingatkan nak hantar ke bus stand sahaja" tiba-tiba si ayah di belakang mencelah. Mungkin sudah terasa agak jauh perjalanan kami.

"Ah, tak apalah saya hantar terus ke rumah, lagipun saya dah biasa dengan jalan ni", saya cuba menjelaskan keadaan.

Akhirnya kami sampai di kawasan perumah rumah pangsa kos rendah mereka. Dari tadi ketika memandu memang saya melihat dan mendengar si ibu sedang meraba-raba di dalam beg tangannya. Saya dapat menghidu yang beliau ingin memberi saya wang tambang. Sebaik sampai dia menghulurkan wang tersebut.

"Ambillah duit ni, duit minyak" katanya.

"Eh apa pulak, tak perlu simpan saja, saya lebih terhutang budi dengan kesah kehidupan yang saya dengar", saya menolak pemberian mereka dengan baik.

Saya masih terpegun dan terharu.....Kesah hidup mereka sekeluarga menyentuh hati saya, bahkan banyak kesah pengorbanan ibu ayah dalam mendidik anak di dalam perbincangan kelab kelas Tingkatan 3 siang tadi menyentuh hati saya untuk lebih berkorban masa dan tenaga untuk mendidik anak masa kini yang penuh dengan cabaran.

Friday 14 January 2011

Keputusan Kes ISA7 hari ini-Beri Sokongan.

"Aiiitt...kenapa ni nampak moyok saja?" tanya saya sebaik Asiah memasuki kereta selepas mengambilnya dari rumah kawan baiknya.

"Asiah rasa boringla. Asiah rasa macam nak tinggal lagi rumah Mawaddah, nak mandikan Amin" dengan mulut yang muncung menerangkan rasa hatinya.

"Ooo..tapi macamana esok nak sekolah, buku baju semua?" tanya saya menduga Asiah.

"hhhhmmm..." tak ada jawapan dari Asiah.

"Okayla, nanti malam ummu hantarkan". Saya beri cadangan.

"Ok, ummi bawa semua buku sekolah Asiah dengan baju sekolah" wah terus ceria mukanya.

Sebenarnya hati ummi juga ceria dan rasa terjawab cara bagaimana nak keluar awal dari rumah untuk ke Mahkamah jam 8.30 pagi.

Awalnya, dalam perjalanan pulang dari Majlis "Teh Tarik Session" bersama Zunar di Sooka berdekatan KL Sentral anjuran Malaysian Digest saya menerima berita bahawa esok pagi Mahkamah akan membuat keputusan untuk kes ISA7. Kes di mana 7 orang Mahasiswa (bekas mahasiswa) kini ditangkap hampir 10 tahun yang lepas ketika berdemonstrasi di Masjid Negara membantah penahanan ISA ke atas 10 orang tahanan Reformasi ketika itu. Mereka pada waktu itu masih bergelar mahasiswa dan ada di antara mereka telah dibuang dari Universiti.

Pada Jun 2009 satu Mahkamah telah mendapati mereka bersalah setelah dibicarakan dan sudah dikenakan denda lebih RM3000 seorang. Selepas itu peguambela mereka telah membuat rayuan dan hari ini keputusan akan dibacakan ke atas mereka dan saya rasa terpanggil untuk pergi memberi sokongan walau mendapat berita "last minute".

Semalam ketika menghantar barangan Asiah ke rumah Mawaddah, sekali lagi Asiah menunjukkan muka yang masam dan sedih.

"Aiittt kenapa pulak ni" tanya saya sekali lagi.

"Asiah rasa sedih lah, Asiah rasa nak baliklah" jawab Asiah selamba.

"hhhhmmm....buat susah-susahkan ummi je lah Asiah ni"...bebel saya.

"Alah ummi ni, ummi nak ke Asiah nangis malam-malam ingatkan Ummi", pandai jelah Asiah beri alasan.

Begitulah kesahnya...semuanya bukannya mudah...perlukan sokongan dan menyokong antara satu sama lain....dulu hingga kini.

Wednesday 12 January 2011

Betapa sakitnya kita ini.....

Sedang khusyuk-khusyuk menatap skrin komputer tiba-tiba handphone berdering.


"Kak N kat mana ni?" tanya Sham.

"Hi..hi...kat rumah lagi" tadi beria saya katakan pada Sham nak bergerak dari rumah jam 11 pagi namun saya tunggu hingga Sham bersiap keluar dari rumahnya baru saya akan bergerak keluar dari rumah di Gombak menuju ke Masjid Jamek Kajang. Sham tinggal tidak jauh juga dari Masjid Kajang dan gerainya di sana.

Terus saya bersiap dan berlepas ke Kajang. Perjalanan sangat lancar. Bertolak jam 12 tengahari, 12.30 hari saya sudah ada di dalam perkarangan Masjid Kajang. Menyesal juga sebenarnya keluar agak lewat kerana saya berniat untuk membantu Sham membuka kedainya.

Namun bila tiba di sana pintu gerai masih tertutup. Syukur, dan Syam tiba beberapa minit kemudian. Dapatlah sedikit sebanyak saya membantu apa yang patut.

Sikit saja bantunya saya sudah mengambil sebungkus nasi lemak dari gerai sebelah dan bercadang untuk duduk dan makan di meja di hadapan gerai. Tiba-tiba muncul seorang wanita bersama seorang anak perempuannya mundar mandir di hadapan gerai bertanyakan di mana letaknya telefon awam. Kami membantu menunjukkan tempatnya yang tidak jauh dari gerai. Namun seketika kemudian dia datang balik katanya ianya tak berfungsi dan bercadang mencari yang lain.

Kemudian terkeluarlah cerita sedih dari mulutnya setelah lama tertahan dan saya mengorek sedikit demi sedikit kisah hidupnya dan apa tujuannya dia ke situ.

Saya menyerahkan handphone saya agar dia dapat menghubungi kawannya untuk meminta pertolongan membawanya pulang kerana ada sekampit beras 10kg untuk dibawa pulang. Malangnya kawan tersebut juga tidak membawa kereta.

Saya jemput dia duduk dahulu dan kami berbual-bual. Tujuan dia datang ke Masjid ialah untuk mengambil beras tersebut dan sumbangan sebanyak RM30. Beliau hidup susah dan sudah berusaha memohon bantuan zakat tetapi tidak berjaya.

Mempunyai 8 orang anak, suami sakit dan kebanyakan anak-anak mempunyai penyakit lelah yang kronik. Beliau juga tidak ada kerja tetap selain hanya mengambil upah mencuci rumah sekali sekala kerana beliau juga berpenyakit lelah. Mempunyai kemahiran menjahit tetapi tidak mempunyai mesin jahit. Pernah ada mesin jahit namun telah dirampas apabila beliau gagal membayar sewa rumah yang dahulu dan semua barangan dirampas apabila rumah mereka disita.

Pernah mencuba menjual buah-buahan namun tidak banyak mendatangkan hasil kerana wang pendapatan terpaksa digunakan untuk membayar balik hutang-hutangnya.

Beliau menceritakan segala jerih payah hidupnya sambil cuba menahan air mata dari keluar. Beliau kemudiannya mengeluarkan sebungkus plastik yang di dalamnya terdapat sehelai jubah. Katanya ibu mertua yang hadiahkan lepas balik dari Mekah dan dia ingin menjualnya untuk mendapatkan wang. Saya menyuruhnya simpan semula.

Sham yang memang agak pakar dalam bidang ini kerana mereka suami isteri juga berusaha mencari rezeki dengan pelbagai jalan cuba membantu dengan pelbagai cadangan agar dia dapat berusaha sendiri. Namun kata Sham "dia buntu tu". Ya mungkin juga apabila sudah terlalu susah dengan suami yang bermasalah dan anak-anak yang sakit.

Kami menjemputnya makan namun berkali-kali juga dia menolak kerana dia tidak sampai hati untuk makan tanpa anak-anaknya. Dia tetap tidak mahu makan. Katanya dia sudahpun membeli roti dan air dari wang RM30 yang diterimanya itupun kerana sudah menggigil kelaparan.

Tengahari itu kami berdua membantu wanita itu bersama seorang anak perempuannya yang berusia 9 tahun sekadar yang kami mampu. Bekalkan sedikit makanan dan sedikit wang untuk mereka sekeluarga. Selepas ini tidak tahu bagaimana, kami juga agak buntu bagaimana untuk membantu..anak perempuannya sekadar duduk diam bermain dengan botol air yang diisinya dengan sekotak air soya yang Sham hulurkan.

Hari itu dia tidak ke sekolah kerana ibunya tidak tahu apa yang boleh diberikan sebagai makanan untuk anak kecil itu...

Saya terkenangkan anak-anak saya di rumah.....saya juga terkenangkan kalau saya kaya raya punya wang yang berjuta pasti saya dapat bantu dengan lebih lagi dan mudah saja namun saya juga tertanya adakah di saat itu.....dengan harta melimpah ruah apakah saya masih punya rasa seperti yang saya punya sekarang untuk membantu sedaya yang mungkin....

Apapun kami bersyukur dapat terus membantu dan kakak di gerai sebelah yang menjual nasi lemak juga gembira dan berpuas hati mengemas gerainya dengan lebih awal lagi.

"Awal kak habis hari ini?" tegur Sham kepadanya.

"Alhamdulillah, berkat banyak bungkusan yang diambil tadi agaknya" jawapnya sambil tersenyum.

Begitulah putaran hidup...kita tidak akan jatuh miskin dengan menyumbang, memberi dan terus memberi...

Tuesday 11 January 2011

Ubah Gaya Hidup Anda Sekarang!!!

Hari ini rutin seperti biasa 8.00 pagi keluar menghantar Asiah anak yang paling bongsu ke sekolahnya di Desa Melawati. Jauh sedikit dari rumah kami di Gombak. Tiba-tiba hati terasa ingin duduk sendirian lepak-lepak minum sambil membaca suratkhabar sebelum pulang ke rumah.

Sambil duduk sendirian meneliti tajuk-tajuk berita di dalam akhbar Sinar Harian Selangor terdetik di hati ingin menghubungi Sham Mama kepada Annisa dan An-Nur.

" Sham, tudung-tudung tu kalau ada yang rasa tak ramai yang suka boleh pulang balik dan ambil yang lain. Bila free sms akak dan akak akan call Sham balik. Nak pegi pun rasa badan tak larat lagi nak drive jauh."

Memang sejak Khamis lepas badan tidak berasa sihat dan hingga hari ini selera makan berubah dan kurang berselera makan dan badan pula rasa lemah dan tidak sehat setelah dilanda gastrik dan demam panas.

Sham dan suaminya Fendi membuka gerai di perkarangan Masjid Jamek Kajang milik MAIS. Pelbagai barang seperti tudung, baju, jubah lelaki, songkok, telekung, buku dan bermacam barangan ada di sana. Mereka juga menjual minuman panas dan sejuk. Istimewa di sana ialah ABC Nyonya Sham.

Sham membalas sms saya: " Annur masuk wad jam 4 pagi tadi. Ni baru sampai rumah..."

An-nur dan Annisa memang sering keluar masuk wad, sudah tentu menjadi cabaran dan memerlukan kekuatan buat mereka. Apatah lagi perlu terus mencari rezeki.

"Ye ke..kat Hospital Serdang ke..Sham nak g hospital pkl berapa?" saya minta kepastian dari Sham agar dapat saya ziarah Annur dan Sham sekali di sana.


Rupanya Sham hanya akan pulang ke rumah sebentar untuk tidur dan rehat sebelum keluar semula untuk membuka kedai mereka.

Mampukah saya untuk terus berehat dan melepak dengan hanya sakit badan yang sedikit??? Rasa tidak berdaya untuk berdiam diri.

Saya membaca kisah mereka di sini dengan hati saya masih memikirkan betapa ramai lagi rakyat yang menderita dan betapa ramai lagi rakyat yang memiliki segalanya....namun kita semua terus berusaha untuk hidup dengan titik peluh kita sendiri walau kehidupan makin menekan dengan kenaikan harga setiap barangan penting secara mendadak dan berterusan.

Sungguh tertekan nasib rakyat untuk terus menghirup nafas hidup yang segar di bumi Malaysia ini.

"Rosmah dan Najib menginap di Hotel Atlantis, Dubai, di Bridge Suite yang kadar semalamnya ialah RM 100,000!" ujar YB Azmin Ali di dalam ceramahnya semalam.

Memang kita tidak boleh menerima berita selagi ianya tiada sumber yang sahih. Namun berita ini disampaikan oleh Azmin di dalam ceramhnya di Dewan AU2, Taman Keramat semalam, disaksikan oleh ribuan rakyat dan turut serta Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man, YB Saari Sungib serta YB Tony Pua.

Namun hati rasa terus pedih dan tersiat mendengarnya.

Monday 10 January 2011

Waran Tangkap dan Penyiksaan bertahun-tahun.

Semalam ketika menghadiri Majlis Solat Hajat Perdana di Stadium Malawati saya terserempak dengan adik seOKT Orang Kena Tangkap dalam kes PROTES yang masih dalam perbicaraan sejak Januari 2008 hingga kini.

Beliau memaklumkan kepada saya mengenai perkembangan kes tersebut. Sudah lama saya tidak mengikutinya kerana perbicaraan telah ditangguhkan agak lama apabila salah seorang peguam, Amer Hamzah telah menarik dirinya dari mewakili salah seorang OKT beliau. Amer membuat keputusan mengejut tersebut bukan kerana ikut suka hatinya tetapi atas alasan yang patut kami semua terima dengan hati yang terbuka walaupun ianya membuatkan perjalanan kes tersebut terganggu.

Alasan Amer Hamzah ialah OKT yang tersebut telah tidak pernah hadir dengan begitu lama dan banyak kali tanpa menghubungi beliau. Malah OKT tersebut juga sudah tidak dapat dihubungi oleh rakan-rakan seParti dengannya sudah agak lama juga. Alasan Amer lagi dia juga tidak mahu dipersalahkan oleh OKT terbabit sekiranya sesuatu keputusan yang tidak memihak kepada kes kami ini berlaku dan OKT tersebut mungkin bakal menyalahkannya. Maka keputusan yang terbaik ialah untuk beliau menarik diri.

Tuan Hakim telah menerima keputusan tersebut maka tarikh perbicaraan kami seperti yang ditetapkan pada pertengahaan bulan Disember adalah hanya dikhususkan untuk OKT tersebut dibawa oleh polis dan OKT yang lainnya yang waran tangkap telah berkali-kali dikeluarkan.

Waran tangkap akan dikeluarkan apabila OKT gagal hadir tanpa sebarang sebab dan tanpa memaklumkan kepada peguambela masing-masing. Namun sekiranya OKT tersebut hadir sebelum kes ditangguhkan di hujung perbicaraan atau keesokan harinya dengan alasan yang baik, waran tangkap tersebut akan dibatalkan.

Apa yang terjadi kepada OKT yang tersebut di atas ialah beliau telah dibawa ke mahkamah dan beliau telah terpaksa membayar wang jaminan tambahan sebanyak RM1000.00 dengan seorang penjamin yang baru.

Bagi kami semua, ketika ditangkap, kesemuanya telah dibantu oleh TS Khalid Ibrahim yang ketika itu masih bukan seorang MB Selangor dengan wang ikat jamin seorang RM1000. SUARAM, PAS dan mungkin NGO lain juga turut sama menyumbangkan sejumlah wang untuk semua 45 orang yang ditangkap ketika itu.

Hari ini khabarnya masih ada antara OKT dalam kes PROTES ini yang perlu hadir di mahkamah apabila beberapa kali gagal hadir perbicaraan tanpa alasan dan tanpa memaklumkan kepada peguam.

Pengajarannya...apabila kita telah terlibat..keluar berdemo tanpa paksaan, ditangkap ada yang membantu membela dan membayar wang jaminan, maka tugas kita untuk teruskan hadir di Mahkamah...InsyaAllah keputusan akan berpihak kepada kita kerana tujuan mereka memang untuk menyusahkan hidup kita sepanjang kes dibicarakan bertahun lamanya.

Apa yang berlaku apabila ada sebilangan OKT yang tidak hadir ialah bukan sahaja suasana menjadi sangat 'obvious' apabila banyak ruang yang kosong tetapi secara tidak lansung kita telah menyusahkan banyak pihak samada peguam mahupun OKT. Apatah lagi peguambela yang membuat pembelaan tanpa kita membayar mereka.

Saya pernah diakhir sesi perbicaraan apabila Tuan Hakim menangguh kes kerana ada yang tidak hadir tanpa sebab telah terkeluar kata-kata "Kesian kami Tuan yang memang selalu datang ke Mahkamah". Tidak sangka pula Tuan Hakim yang duduk jauh di hadapan terdengar dan menyoal kembali. Maka dengan beraninya saya harus bangun dan mengulanginya kembali.

"Kesian kami Tuan yang sering datang duduk dalam mahkamah ni." Syukur mood Tuan Hakim baik dan dia sekadar tersenyum sahaja dan memahami.

Sudah tentu ramai yang terduga dengan cabaran hari kerja dan macam-macam lagi, caranya mudah...lebih-lebih lagi dengan Tuan Hakim yang menghakimi kita..banyak cara untuk kita..tapi yang lebih penting berbincang dengan peguambela, memaklumkan mereka dan rajin-rajinlah mendapatkan maklumat dari rakan OKT yang lain.

InsyaAllah bila Hakim membuat keputusan yang positif untuk kita seperti yang berlaku dalam Kes APCETII, Kes Harakah, Kes KESAS, Kes BERSIH, Kes Peguam hak Asasi, Kes Mat Sabu dan banyak kes yang lain, ianya akan menjadi sungguh manis walau kita didera oleh sistem Mahkamah bertahun-tahun lamanya.

Wajah-wajah Tok Guru Nik Aziz-Solah Hajat Perdana Stadium Malawati.











Foto : ABAH ANAS

Wednesday 5 January 2011

"What improvements would you like to see for Malaysia in 2011?"

Hari ini saya pulang dari kedai runcit di hadapan rumah dengan tersenyum girang. Tidak perlu lagi saya mencongak-congak dan memikirkan di dalam kepala apa yang telah saya beli dan diisi di dalam beg plastik yang dibawa pulang dari kedai runcit apabila barangan yang dibeli untuk sekali masak mencecah hampir RM50.

Oleh kerana kedai runcit terletak beberapa langkah sahaja di hadapan rumah maka telah menjadi kebiasaan saya untuk hanya membeli bahan masakan bila perlu dan di kedai baru memikirkan apa yang hendak dimasak. Seringkali hati sakit dengan harga barangan yang tinggi dan tidak dilupakan untuk mengenang nasib rakyat lain yang mungkin tidak punya pendapatan tetap.

Hari ini di kedai saya mengambil 3 ekor ikan kembong, sayur taugeh, tauhu, timun dan juga ikan bilis. Jumlah harga belian saya ialah RM10.60. Harga ini dibayar untuk hidangan makan malam untuk 5 orang sekeluarga. Saya dikira beruntung kerana hanya perlu memasak untuk makan malam sahaja di hari persekolah kerana anak-anak pulang hampir waktu asar atau selepas itu.

Saya mencatatkan rasa hati ini di dalam ruangan Facebook dan menerima komen yang menyedarkan diri saya bahawa kelegaan saya hanyalah untuk hari ini dan untuk diri sendiri. Bagaimana dengan mereka di luar sana? Bagaimana dengan anda....tiap-tiap mulut dalam ahli keluarga kita perlu diisi....dan harga barangan terus naik tanpa mengira tahap dan taraf kehidupan rakyat kebanyakannya yang terus terhimpit dengan gaji yang bukan lagi cukup-cukup makan.

"~* yg anak 10 org cam ner..itu baru sekali makan...3 x makan camner..gaji baru RM 750 sebulan..."

Ya, bagaimana mereka yang punya tanggungan yang ramai dan gaji yang sangat minima...

...dan Perdana Menteri kita bertanya ini di laman twitternya...

Mohd Najib Tun Razak
What improvements would you like to see for Malaysia in 2011? Participate in my new poll now:

Jawapannya...kita tidak mahu menara setinggi 100 tingkat, jambatan bengkok, jalan yang sekadar diturap-turap dan apa saja projek yang membazir wang rakyat. Kami rakyat juga tidak perlu bag tangan, seluar dalam atau apa saja yang dimurahkan harganya..cukuplah sekadar kami berasa selamat dan tidak dibelenggu dengan kesusahan akibat dari kenaikan harga yang mendadak dan sepanjang masa.

Tuesday 4 January 2011

"Selasa bersama Profesor Morrie" dan Dato' Shahnon Ahmad.

"Ummi esokkan birthday Asiah, Ummi nak beli hadiah apa untuk Asiah?" petah saja Asiah bertanya pada Ummi.

"Alamak ummi tak perasanla dah esok dah birthday Asiah, tengoklah nanti macamana."

Itulah akibatnya, harijadi Asiah jatuh pada 4hb Januari, terasa terlalu cepat dan dekat sangat dengan tahun sebelumnya. Apatah lagi dengan kesibukan baru buka sekolah.

Apa nak buat sudah jadi kebiasaan pula kini bila harijadi perlu beri hadiah walau pada hari kebiasaan apa yang diingini tetap dibeli. Akur saja dengan kehendak anak tetapi tidaklah berlebihan.

Maka di sebelah malamnya kami sekeluarga keluar tanpa kedua orang abang Asiah dan Asma', jalan-jalan 'window shopping'. Pegang itu, tengok ini, cuba itu dan pakai ini. Itu sudah cukup memuaskan hati semua. Abah pula setiap kali ke shopping mall akan singgah di kedai alat telekomunasi dan tanpa jemu bertanya dan mencuba alat komunikasi canggih dan pekedai juga tanpa jemu memberi layanan sebaiknya.

"Okaylah boss, terima kasih, lain kali kami datang lagi" sambil tersenyum, berulang kali d i setiap kedai yang disinggahi. Apa nak buat jamu mata dan selera saja. Lainlah kalau gaji mencecah RM 425,000 seperti gaji CEO SYABAS, maka benarlah istilah 'dengan hanya petik jari saja" tersebut!

Jalan punya jalan akhirnya destinasi yang mesti juga disinggahi ialah kedai buku POPULAR. Mesti, untung beli di sini kerana terus boleh dapat diskaun 20%! Untung bukan?

"Selasa bersama Morrie adalah sebuah catatan peristiwa orang-orang yang menakjubkan. Bagi kita mungkin datuk, guru ataupun rakan sejawat adalah seorang yang lebih tua, sabar dan bijak, yang memahami kita sebagai orang muda yang masih tercari-cari mengenai hidup. membantu kita melihat dunia sebagai tempat yang lebih indah serta memberitahu kita cara yang terbaik untuk mengharunginya.?"

Sebenarnya ikutkan hati tidak mahu lagi membeli buku kerana masih banyak lagi buku yang ingin dibaca dan dibawa ke sana sini di dalam beg tanpa habis membacanya atau disimpan dengan hanya separuh jalan membacanya. Tetapi semalam memang tidak tertahan untuk membeli buku di gambar di atas. Dalam hati berkata untuk 'justify' pembelian yang ini...

"Ah, nipis saja dan harga juga hanya belasan ringgit sahaja tetapi isinya begitu menarik. Buku tentang pengalaman hidup dan pengajaran yang lumayan nilainya".

Birai kedai buku sudah hampir diturunkan kerana kompleks membeli belah tersebut tutup lebih awal dari kebiasaan kompleks yang lainnya, cepat-cepat lari ke kaunter dan buat bayaran. Harga tercetak ialah RM 16.50, tetapi saya hanya perlu membayara RM 11.90 setelah dikurangkan dengan diskaun! Murah bukan untuk sebuah buku yang tak ternilai pengajarannya saya kira...

Memang saya gemar membaca buku seumpama ini. Di dalam beg saya yang saya bawa ke mana-mana bukunya kini ialah buku "Kembara Seorang Hamba" karya Dato' Shahnon Ahmad.

"Kembara Seorang Hamba merupakan soliloquy iaitu monolog diri yang disampaikan dengan jelas dan berkesan tentang sahsiah manusia dalam ranjau duniawi. Menggunakan pendekatan al-Quran sebagai wadah penyucian jiwa dan menjadikan pengisiannya sebagai benteng yang utuh untuk merasai kasih sayang-NYA yang tiada bersyarat!"

Namun di awalnya penuh juga dengan rintihan 'seorang tua' yang mungkin terasa dirinya sudah tidak ada makna lagi pada sesiapa..rintihan demi rintihan...

Namun ianya sewajarnya menjadi pengajaran pada semua yang terusan melakukan kejahatan dan kezaliman demi untuk kesenangan diri sendiri tanpa memikirkan hak orang lain.

Di dalam do'a-do'a kita kepada Allah kita terusan memohon agar dipanjangkan usia oleh Allah, namun bukanlah untuk terus tegak menongkat langit tetapi biarlah dipanjangkan usia dalam keimanan dan ketaqwaan dan di bawah perlindungan Allah semata.

Dalam buku ini Dato' Shahnon Ahmad mengumpamakan dirinya sebagai 'durian di hujung Julai'.

"Maka secara otomis, meresap masuklah ketenangan dan kelapangan ke dalam hati yang berdegup ini. Terasa diri berada dalam perlindunganNya. Terasa diri ini bukan keseorangan tapi DIA sentiasa bersama. Aku yang terkatung-katung di hujung Julai, bukan disisihkan oleh sesiapa tapi penyisihan itu disengajakan dan dirancang olehNya. Bisikan kalbu ketika itu benar-benar membuahkan ketenangan dan kesyahduan. Aku berlapang dada dengan penyisihan itu. Biar saja mereka yang mengejar kesementaraan itu terus sibuk dan dimabuki duniawi. Aku tetap di sini bersamaNya dan berada dalam perlindunganNya."

Untuk Asiah di hari Selasa 4hb Januari ini dan pada semua anak-anakku dan setiap kita yang diberi pinjam kehidupan ini moga kita terus hidup memberikan kebaikan kepada semua yang hidup di muka bumi ini...Amin...