Thursday 24 February 2011

Polis Jahat Polis Baik

Kesian Asiah................Gambar ini diimbas dari keratan Harakah 1-15 April 2007 di Demonstrasi PROTES kenaikan harga tol di SUMMIT USJ. Ketika ini kami cuba membawa Puan Aliza isteri Saari Sungib yang berada di dalam truck polis. Sebelumnya beliau telah dibelasah oleh polis yang tidak beruniform, diheret dengan zalimnya. Kami dimarahi oleh polis ketika berada di hadapan truck ini. Asiah baru berusia 6 tahun.

"Encik, tau tak di mana Plaza GM?" saya menyapa 3 orang anggota polis yang beruniform dan seorangnya tidak beruniform.

Dari stesen STAR PWTC saya berjalan dengan tujuan mencari Plaza GM yang saya tidak pasti dengan tepat di mana letaknya. Saya berfikir banyak kali kepada siapakah sebaiknya saya berhenti dan bertanyakan tunjuk arah ke tempat tersebut.

Saya rasa lega bila kelihatan beberapa orang anggota polis yang berada di satu lorong.

"Oooo...kat belakang sana tu, nampak tak rumah tu, lepas tu masuk Lorong Haji Taib, dekat-dekat situ saja." terang seorang lelaki yang tidak beruniform.

"Oh...okay...jauh tak kalau saya nak berjalan ke sana?" tanya saya lagi untuk pastikan jarak kerana saya cuma ada masa sejam untuk diluangkan di sana.

"Tak jauh dah, kat belakang sana tu saja." tambah lelaki tadi lagi.

"Eh, akak ni nak jalan kaki ke?" tanya seorang polis yang beruniform dengan raut wajah yang prihatin.

"ya" jawap saya ringkas.

"Alah, tak jauh sangat pun." tegas lelaki pertama lagi .

"Eh, akak ni nak berjalan kaki la, lebih baik akak ikut jalan depan sana, bahaya sikit jalan di lorong belakang tu." sungguh prihatin mukanya.

"Oh ya lah..akak nak jalan kaki saja, ya lah tak berani lah nak ikut lorong tu, akak ikut depan saja. Terima Kasih ya." lega hati saya mendengar saranan polis tersebut.

Tersenyum saya sendirian mengingatkan betapa baiknya polis tersebut.

Benar, polis memang baik bila menjalankan tugas mengikut etika dan nilai yang sepatutnya. Mereka hanya menjadi ganas apabila mereka terlalu mengikut arahan melulu...dan saya sendiri tidak faham dan tidak dapat memikirkan bagaimana polis boleh sampai hilang kewarasan dan etika kerja mereka bila berhadapan dengan peserta perhimpunan aman yang sering diadakan

Kami tidak membenci polis selagi mereka melakukan tugas dengan Betul, Tepat dan Amanah dan benar-benar menjaga keselamatan awam dan bukan orang yang merasa diri mereka tergugat dek kebangkitan rakyat yang menentang kezaliman atau polis yang membuta tuli menembak dan membunuh rakyat dan apa jua yang bersalahan dengan undang-undang.

Adakah anda juga Penjenayah??!!

Untuk Makluman:

Pengerusi KASE (Kempen Anti Saman Ekor) & Peguam2 akan berada di JPJ Wangsa Maju pada 1/3/2011 jam 11 pagi - 1 tengahari untuk membantu pemilik kenderaan yang disenarai hitam oleh JPJ.
Pagi tadi saya telah singgah ke Pejabat Pos di Taman Melawati untuk sedikit urusan menghantar barangan.

Tiba-tiba saya tertarik dengan perbualan dan pertanyaan dari pelanggan yang datang. Beberapa orang bertanyakan tentang saman. Saya pun cuba juga mendapatkan maklumat.

"Boleh tumpang tanya, kat sini boleh semak saman dan bayar saman ke?" tanya saya pada kerani di kaunter.

"Boleh, tapi ramai orang la Puan. Ramai menunggu, kalau ada yang nak bayar lagi lama kena tunggu" jelas kerani tersebut dengan sopan santun sambil tangannya menunjukkan kepingan no di kertas kadbod yang dipotong kecil-kecil.

"Oh...macam tu ke. Terima Kasih ya." saya terus beredar dan memerhatikan gelagat beberapa orang yang sedang menunggu. Ramai yang sibuk mengisi beberapa borang kecil. Mungkin itu borang berkaitan dengan saman yang perlu dibayar segera sebelum tarikh 28hb Februari ini.

Saya berkira-kira patutkah saya menunggu dan menghabiskan masa mencari maklumat tentang saman ekor yang mungkin dimiliki oleh kenderaan milik suami saya. Perkiraan saya lebih baik saya pulang dan menghabiskan masa berharga di rumah.

Saya bergerak pulang memandu dari Taman Melawati menyusuri Lebuh Raya MRR2 menghala ke Gombak dan susur keluar jalan melalui gerbang DUKE.

"Alamak ada roadblock pulak" getus hati saya. Segera saya tinjau jarum meter di dashboard.

Mula lah berkira-kira dan berfikir-fikir kena atau tidak ni..

Syukur tidak mengena...namun dalam hati memang timbul rasa geram. 'Spot' tersebut memang 'spot' yang sering diadakan roadblock, namun sejak beberapa hari ini saya sering terserempak dengan roadblock di mana-mana.

Terdesak sangatkah kerajaan hendak terus memeras duit rakyat, kemudiannya memeras ugut rakyat untuk membayarnya...ini memang jelas cara mudah untuk mendapatkan wang. Peras ugut rakyat. Kemudiannya diberikan kepada syarikat swasta untuk mengendalikan...untung besar dikaut oleh syarikat yang terbabit.

28hb sudah tinggal tidak beberapa hari saja...berjuta pengguna yang terlibat dengan saman ekor seperti dicatatkan di akhbar.

Lebih 18 juta saman tertunggak dicatatkan oleh tiga agensi penguat kuasa kesalahan lalu lintas iaitu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam tempoh 2000 hingga 2009. Daripada sejumlah saman itu, 15.6 juta daripadanya merupakan saman polis, 1.8 juta saman DBKL dan kira-kira 606,800 lagi saman JPJ. Ketua Pengarah JPJ, Solah Mat Hassan berkata, semua pesalah trafik yang menerima saman daripada JPJ dan polis mesti menyelesaikan saman mereka selewat-lewatnya 28 Februari ini atau nama mereka disenaraihitamkan..

Sampai bila kita rakyat akan terus ditekan dan diperas ugut dengan kenaikan harga barangan, cukai itu dan ini, saman, senarai hitam walau hanya dengan kesalahan meletakkan kenderaan...kita semua penjenayah bak kata TUKAR TIUB di blognya. Penjenayah yang sebenar dan lebih besar lagi boleh terus gelak besar!!!!

Tuesday 22 February 2011

"Ummi kena ke Mahkamah lagi, Abah kena ke Mahkamah lagi?"

Dalam perjalanan menghantar Asiah ke sekolah tiba-tiba Asiah melontarkan persoalan seperti biasa.

"Ummi, kes Abah dah selesai ke ummi?" tanya Asiah serius sambil mata dikenyitkan menahan panahan matahari pagi yang menyilaukan mata.

"Eh, mana habis lagi, belum lagi." jawab saya ringkas kepada Asiah.

"Habistu dah tak sambung lagi ke Ummi?" tanya Asiah lagi seolah tidak puas hati dengan jawaban yang diberi.

"Sambung lagi, tapi kita kena tunggu Mahkamah bagi tarikh baru. Hari tu kita dah pergi lepas tu mahkamah kan tangguh sebab DPP Puan Julia tu dengan Puan Hakim tak datang." saya cuba mengingatkan Asiah tentang 'trip' kami yang terakhir ke Mahkamah Kuala Kangsar pada Jumaat 21hb Januari yang lepas.

"ooooooo" panjang jawapan Asiah seperti memang sangat faham dan ingat peristiwa kali terakhir kami ke Mahkamah pada tarikh tersebut.

Jumaat 21hb Januari saya mengambil Asiah dari sekolah dengan lebih awal kira-kira jam 10 pagi. Selepas bersiap kami berdua bertolak ke Tanjung Malim dan bertemu dengan suami di sana sebelum bertolak ke Kuala Kangsar bersama-sama. Kes sepatutnya bermula jam 2.30 petang.

Kami tiba di Mahkamah jam 3.00 petang dan disambut oleh Peguambela Augustine Anthony, dan 3 orang teman OKT yang lainnya. Mereka baru sahaja keluar dari kamar Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar.

"Dah habis, tak ada pun, Puan tak dapat hadir, Puan Julia juga tidak hadir." kami diberi maklumat ini.

Kami buang semua rasa penyesalan mahupun rasa kerugian kerana berusaha meluangkan masa dan segala untuk ke sana. Kami bersyukur kerana dapat juga hadir memberikan sokongan kepada peguam kami.

Peguam diminta menghantar 'written submission' pada 15hb Februari dan selepas itu Puan Hakim akan memberikan tarikh untuk membuat keputusan bagi kes tersebut.

Hari ini sudah masuk sebulan tarikh tersebut telah berakhir dan sebulan juga saya sudah tidak ke mahkamah untuk mana-mana kes yang terbabit, PROTES, HIMPUNAN MANSUH ISA dan 'OPS BUBAR DUN PERAK'. Sedikit aman terasa.

Bila perlu ke mahkamah melalui perbicaraan terasa satu episod penyiksaan dan penderaan mental dan fizikal.

Bila menghadiri perhimpunan aman dengan rela hati, ditangkap dan didakwa maka perlulah mengambil tanggungjawab sendiri untuk teruskan 'perjuangan'. Tidak boleh 'mengelat' dari hadir ke mahkamah bila ada perbicaraan. Sekiranya para peguam yang memberi khidmat secara sukarela dapat menghadirkan diri ke mahkamah setiap kali perbicaraan diadakan tanpa sebarang bayaran maka kenapa kita yang didakwa tidak boleh mengambil tanggungjawab untuk hadirkan diri dan berdisiplin serta tidak mementingkan diri.

Ianya memang sesuatu yang membebankan lebih-lebih lagi sekiranya kita bekerja, namun sudah tentu ada jalan keluarnya sekiranya dibawa berbincang dengan peguam secara terus terang dan berbincang bersama rakan-rakan OKT yang lainnya. Kita semua boleh saling bantu membantu meringankan beban semua yang terbabit.

Sekiranya kita sebagai OKT gagal hadir ke mahkamah berkali-kali tanpa memberikan alasan dan dokumen sebagai bukti, waran tangkap akan dikeluarkan. Selagi kita tidak hadir untuk membatalkannya polis akan mencari dan menangkap kita. Kemungkinan dipenjarakan, wang ikat jamin dilupuskan dan dihadapkan di hadapan Hakim untuk dibuat permohonan ikat jamin yang baru yang lebih tinggi dengan penjamin yang baru. Itu kepayahan yang lebih lagi yang perlu dilalui.

Memang perjalanan setiap kes tangkapan perhimpunan aman akan mengambil masa bertahun-tahun lamanya dan menyiksakan kerana itulah tujuan utama mereka yang berkomplot untuk menangkap peserta perhimpunan aman. Untuk menyusahkan dan membuat kita serik.

InsyaAllah bila tiba saat ianya berakhir dengan sebuah kemenangan ianya akan jadi lebih manis dengan setiap pengorbanan yang kita lakukan, bukan diri kita sendiri sahaja malah pada semua yang terlibat dan terbabit.

Yang pasti untuk diri kami suami isteri, sudah tentu anak-anak kami akan merasa lega bila ianya berakhir.

"ummi kena pergi mahkamah lagi, abah kena pergi mahkamah lagi?" mungkin tidak kedengaran lagi persoalan ini.

Monday 21 February 2011

Berlumba melakukan kebaikan atau masih mahu berkira-kira?

“Pengerusi dan kawan-kawan AJK KKT3, I need support to settle few things for prog motivasi esok, saya masih tidak sehat, demam panas.”

Ketika menerima sms di atas aku masih berkira-kira untuk memberi respon, mengambil masa yang agak lama untuk memberikan jawapan samada aku mahu atau sanggup membantu atau tidak.

Aku mencongak-congak, berkira-kira di dalam fikiran apa yang perlu aku korbankan sekiranya aku sanggup membantu dan apa yang akan ku dapati sekiranya tidak.

Dalam hati berkira-kira lagi.

“Sudah janji dengan Asma’ mahu lepak-lepak di suatu tempat kegemaranku juga anak-anak. Inilah suatu peluang yang aku ada untuk bawa Asma’ keluar berjalan lepak berdua orang sahaja. Seringkali Asiah sahaja yang mendapat peluang sebegitu.”

“Kalau aku bantu sudah tentu pahala yang bakal diperolehi dan mudah-mudahan Allah memudahkan urusanku dan memudahkan Ammar dalam pengajiannya.”

Wah panjang lebar perkiraanku di dalam hati sendirian sambil tangan masih menggenggam erat handphone yang di dalamnya terkandung pesanan ringkas dari Dr Saba.

Selesai mencongak dan mengira ‘untung rugi’nya aku pun terus menekan butang ‘call’ untuk menghubungi Dr Saba.

“Assalamu’alaikum, apa khabar, lamanya you demam” aku memulakan bicara.

“Ha ah tu lah dah masuk 5 hari ni, itu yang banyak urusan tak dapat diselesaikan.” Jelas Dr Saba.

“Ha, itulah saya call ni nak offer help tentang sms tu. Rasanya saya seorang lah yang paling free among semua AJK kita yang lain” terang aku yang merasakan begini kerana aku tahu kebanyakan ibu-ibu yang lain bekerja sepenuh masa di pejabat.

Dr Saba pun menjelaskan kepadaku apa yang perlu dilakukan.

Dengan segera juga aku cuba melakukan ke dua perkara yang perlu dilakukan.

Kemudiannya di dalam mailing lis AJK Kelab Kelas, seorang ibu yang merupakan seorang Guru di sebuah sekolah menengah menulis:

“ Saya akan ke UIA dengan segera selepas habis class dan uruskan tentang keperluan meja.”

Terpegun aku sendirian sambil merenung mesej tersebut.

Kemudiannya aku terfikir untuk menelefon Puan Shema pula seroang lagi ibu dan juga AJK Kelab Kelas.

“Oh, Nashita, sekejap ye, sekejap lagi saya call you balik. Saya di UIA ni sedang bercakap dengan person in charge.”

Subhanallah, lebih terpegun lagi aku dibuatnya. Beliau juga bekerja.

Fikiranku sudah berhenti berkira-kira, hatiku mengambil alih dengan perasaan yang bercampur baur, terpegun dan terus terpegun dengan sifat bertanggungjawab, bekerjasama, muafakat, tidak pentingkan diri yang ada pada mereka semua. Semuanya demi anak-anak kami semua di Kelas Tingkatan 3 2011.

Walaupun sememangnya menurut Puan Shema dia sedang bercuti dan berkebetulan berada di UIA tetapi sifat-sifat yang ada di atas tetap terserlah pada semua AJK yang melantik diri masing-masing dan bukan dilantik. Lansung tiada unsur untuk mendapat nama apatah lagi untuk mendapat apa-apa habuan atau projek. Semuanya demi anak-anak, bukan hanya untuk kecermerlangan akademik tetapi lebih penting lagi untuk kecermerlangan diri sebagai generasi soleh wa musleh.

Moga Allah memberkati segala usaha mereka dan kami semua

’Mereka beriman kepada Allah dan hari akhir, menyuruh (berbuat) yang makruf, dan mencegah kemunkaran, dan bersegera (mengerjakan) berbagai kebajikan. Mereka adalah di antara orang – orang yang saleh.(Q.S. Al 'Imran, 114)

'Dan kebajikan apa pun yang mereka kerjakan, tidak ada yang mengingkarinya. Dan Allah Maha Mengetahui orang - orang yang bertakwa.’ (Q.S. Al 'Imran, 115)

Friday 18 February 2011

Nak Servis Kereta?

Telefon berdering dari nombor yang tidak dikenali.

Nak jawab atau tidak ni.

"Hello, ini ummuasiah2001 ke?" tanya suara di hujung talian.

"Ya, saya." dengan teragak-agak menjawab.

"Saya peminat ummuasiah2001." jelas suara tersebut lagi.

"Oh, ye ke." sambil teragak-agak lagi menjawab sambil tertanya-tanya juga siapakah pemilik suara tersebut.

"Saya tertarik dengan kesah ummuasiah yang berjalan merentas desa ke Taman Bolton tu" jelas suara tersebut lagi.

"Oh yang itu saya tulis di Facebook saja lah tak cerita pun lagi di blog ummuasiah." jawab saya antara kenal dan tidak lagi dengan suara itu.

"he...he...he.....ini Nina lah...." tiba-tiba dia memperkenalkan dirinya.

"ha...ha....ada-ada sajalah Nina ni...." tergelak besar kami berdua.

Rupanya tujuan sebenarnya ialah nak tanya bengkel kereta yang ummuasiah berjalan merentas desa ke sana tu....

Tiada apa yang menarik sangat tentang perkongsian ini cuma kadang-kadang sesuatu yang kita kongsikan di alam maya memberi inspirasi kepada sesorang atau menjadi makluman yang berguna kepada yang berpeluang membacanya.

Aktiviti yang saya kongsikan ialah usaha saya menghantar kereta untuk diservis di sebuah bengkel yang baru diperkenalkan oleh saudara Ronasina. Katanya bengkel milik kawannya. Dia sendiri pernah menghantar kereta di sana dan berpuas hati. Yang paling penting buat saya ialah untuk mencari bengkel yang dikenali kawan dan paling penting dengan harga yang murah dan boleh dipercayai.

Maka saya telah berusaha mencari bengkel tersebut dan menjumpainya. Menjelaskan kedudukan kereta saya yang mempunyai pelbagai masalah, kerusi tersekat, central locking bermasalah, timing belt yang dikatakan perlu ditukar dan macam-macam lagi. Saya bajet belanjanya akan mencecah lebih dari RM 1 ribu. Kecut perut saya. Bajet masa yang diberikan oleh pusat servis yang sering saya kunjungi akan memakan masa dua hari.

Syukur hari itu saya telah menghantar kereta saya ke Pusat Servis AMH dan di sebelah petangnya saya mengambilnya pulang dengan rasa puas hati dan berbelanja sekadar RM150 sahaja untuk normal servis. Baiki kerusi dan central locking "free of charge"!.

Hingga hari ini keadaan kereta masih memuaskan, namun sekiranya ada masalah saya tidak akan risau kerana saya sudah punya pusat servis yang boleh saya percayai untuk melihat keadaan kereta kereta saya dan boleh dibawa berbincang dengan baik.

Hari itu saya mengambil inisiatif berjalan balik dari Pusat Servis ke rumah saya mengambil masa hampir 50 minit dan di sebelah petangnya juga saya berjalan ke semula ke pusat servis tersebut dengan mengambil masa 40 minit dan saya rasa sehat dan segar. Alhamdulillah.

updated:

Saya bertanya pada anakanda Nina:

"Dah pegi ke belom kedai tu?"

"dah pegi...btol kta mcik. dia siap terangkan itu & ini..last2 xde apa yg kena tukar immediately. boleh tggi next gaji. tengkiuu..!!

(awak, ni dtg sini sbb kak Nashita yg rekomenkan..Kangoo kuning tu!)"


"he...he...Alhamdulillah..." balas saya senang hati....

Saturday 12 February 2011

HARI INI DALAM SEJARAH!!!

Tahun 2008, bila tiba tarikh hari lahir saya, anak yang sulong Anas, memberitahu..
"Ummi, tarikh hari ini ialah hari di mana Hassan Al-Banna syahid..".
Pada tahun 1948..As-Syahid Hassan Al-Banna, seorang pejuang Islam terkemuka dan pendiri gerakan Ikhwanul Muslimin terkorban dalam keganasan yang dilancarkan oleh Raja Faruq..dipetik dari buku '365 Hari dalam Sejarah'..."Moga Allah kurniakan juga kepada kita kemuliaan sebagai Syuhada' ".
Pada tarikh ini juga Republik China telah didirikan oleh gerakan penentangan rakyat China yang dipimpin oleh Sun Yat Sen pada tahun 1912.
Dalam negara pula pada tarikh ini seorang pemimpin juga telah dilahirkan iaitulah Tun Hussein Onn(Allahyarham) pada tahun 1922. Perdana Menteri Malaysia yang ke 3....tiba-tiba teringat Hishammuddin Tun Hussein Onn lama tak dengar berita walhal masih Menteri..Menteri Dalam Negeri kan...
10hb Februari saya berjaga hingga lewat jam 4 pagi di hari yang baru 11hb Februari menantikan saat jatuhnya Mubarak dan menangnya Perjuangan Rakyat yang tak kenal erti penat takut dan gentar demi melepaskan mereka dari cengkaman kezaliman. Ramai yang berjaga namun sudah tentu hampa kerana Mubarak enggan melepaskan jawatan malah Timbalannya mengarah rakyat untuk pulang.
11hb Februari saya sibuk dengan pelbagai hal sekali sekala merasakan keperitan rakyat yang berusaha susah payah demi mencari sedikit rezeki tanpa mengira kerja apa jua asalkan halal, tanpa mengira taraf pendidikan dan kedudukan seseorang. Sebelah malamnya pula saya juga sibuk demi memastikan anak-anak kita dapat terus hidup di dalam landasan yang benar dengan akhlah yang mulia bukan hanya mementingikan pelajaran semata. Maka saya tidak memberikan perhatian kepada perjuangan rakyat Mesir.
Bila bangun awal pagi di facebook saya menerima beberapa ucapan....
Celebrate Birthday together wif Egypt Revolution Celebration..hehehe (Hidayat Teman Se OKT PROTES))
Selamat berbahagia di hari Hosni tumbang....(Ilhami Hashim)
Sukanya saya...Syukur Alhamdulillah...
Salam kak,
I think you received a very special gift for your birthday today.
Mubaraks resignation!Ahahaha
Semoga umur akak diberkati Ilahi...(Siti sakinah)
Salam Kak Nash. Wah, birthday tahun ni bersejarah. Sama dengan tarikh penting dunia. Sesuai dengan jiwa dan semangat akak. Blessed always, ameen.(Muna 'Izzah)
Dan akhirnya ucapan dari seorang isteri bekas Tahanan ISA yang tidak pernah melupakan saya...saya menyelami kesusahan hidup mereka sekeluarga selama suaminya ditahan di bawah akta zalim ISA...
SALAM HAPPY BIRTHDY MY DEAR NASHITA EVENTHOUGH I HV NOT SEEN U FR QUITE A WHILE U HV A SPECIAL PLACE IN MY HEART WISH U D BEST OF D BEST OF EVRYTHING IN WHT U R DOING ALLAHUAKHBAR.

Wednesday 9 February 2011

Trauma bila suami ditangkap.

"Suami akak kena tangkap, suami akak kena tangkap!" begitulah lebih kurang luahan seorang isteri dalam suasana kelam kabut pada hari Perhimpunan Aman Solidarity kepada Rakyat Mesir Jumaat lepas.


Ketika semua orang sudah bergerak perlahan berjalan pulang dari Kedutaan Amerika Syarikat untuk pulang ke destinasi masing-masing.

Suasana memnag kecoh, kakak ini bersama anak perempuannya kelihatan dalam keadaan panik dan risau. Ramai juga yang mengekori mereka sambil ada yang cuba menuangkan air ke muka mereka kerana disangka kepedihan disambar gas pemedih mata. Walaupun benar namun bukan itu sebabnya.

Kami ketika cuba menenangkan isteri dan ahli keluarga mereka yang ditangkap.

"Suami akak kena tangkap, dia orang tarik dia ke belakang. Dia jalan dengan akak, tiba-tiba saja dia hilang" luah kakak ini lagi dalam keadaan yang agak trauma.

"Sabar kak, sabar, tak apa, tak ada apa-apa, kita ada peguam di sini. Saya pun pernah kena tangkap, tak ada apa InsyaAllah" wah bukan main saya pula cuba mententeramkan kakak tersebut. Macam bagus pulak rasanya.

"Tak...tak apa, suami akak pun pernah kena tangkap dulu, tapi waktu dia masih muda dulu. Sekarang dia dah tua, ada darah tinggi, asthma, dia tengah tak sihat tu. Itu yang buat akak risau ni." terang kakak tersebut panjang lebar namun masih dalam keadaan yang risau dan resah. Jelas terbayang di wajahnya.

"Oh...kalau macam tu hebat lah suami akak. Tak apa InsyaAllah ni Fadiah peguam ada kita akan bantu." saya cuba lagi mententeramkan kakak tersebut namun tetap ada raut kerisauan di wajahnya.

Pepper spray yang pertama kali saya lihat digunakan oleh polis

Apatah lagi orang ramai sibuk mengarah kami bergerak ke hadapan dengan segera kerana menurut mereka FRU masih mahu menyembur tear gas ke arah kami. Suasana terus menjadi kecoh dan tak terkawal dan kakak dan anak tersebut masih dalam keadaan trauma.

Muncul pula anak lelaki kakak tersebut cuba mententeramkan ibunya. "Ummi, ummi jangan la risau" lebihkurang begitu gesaan si anak lelaki.

Ketika kejadian tersebut saya lupa bahawa satu ketika dahulu dua tahun yang lepas ketika suami ditangkap di perhimpunan Aman di kawasan Masjid Ubudiah di Kuala Kangsar saya juga turut 'kecoh'. Ketika saya menerima panggilan telefon dari suami yang memaklumkan bahawa beliau telah ditangkap saya bercakap sambil berjalan dan terus terjatuh dan handphone berderai segala isinya.

Saya masih 'tough' dan tidak lah terlalu risau dan trauma sepanjang menunggu suami di hadapan IPD Kuala Kangsar bersama anak-anak dan kawan-kawan.

Cuma bila terpaksa pulang ke rumah sendirian bersama anak-anak apabila suami dipenjarakan saya seperti kehilangan dan tidak tentu arah juga...Namun Alhamdulillah...sehingga kini dua tahun peristiwa tersebut telah berlalu.

Mereka yang ditangkap Jumaat lepas di Himpunan Solidariti untuk Rakyat Mesir setelah dibebaskan dengan ikat jamin polis jam 11.30 malam.

Bagi kakak di atas dan ahli keluarga dan semua mereka yang ditangkap, syukur kerana saya masih belum mendapat perkhabaran sekiranya mereka akan didakwa, kerana sekiranya didakwa dan dibicarakan di Mahkamah bermakna akan melalui lagi satu episod penderaan mental dan fizikal.

Peguam Latheefa Koya dan Fadiah memberi penerangan tentang tindakan susulan.

Mereka semua pada hari tersebut pulang dengan penuh rasa syukur dan gembira. Sudah tentu kehadiran ramai peguam pada hari tersebut, rakan-rakan dan ahli keluarga memberi semangat dan menghilangkan rasa gentar. Namun apabila perbicaraan dijalankan bertahun-tahun belum tentu ada yang sudi lagi bersama atau sama sekali akan melupakannya hingga ke tarikh kita membuat pengumuman bahawa "Mahkamah akan membuat keputusan pada tarikh bila..bila".

Namun menurut peguam bagi kes suami "Ops Bubar Dun Perak", Saudara Augustine Anthony katanya.."Anda akan tahu siapa sebenarnya kawan dan penyokong anda bila mana jika ditakdirkan mahkamah memutuskan bahawa kita perlu masuk ke mahkamah untuk membela diri" lebih kurang katanya....oh...tak sanggup rasanya untuk melalui detik-detik sebegitu lagi...tapi jika ditakdirkan perlu juga mengharunginya dan saya yakin kami tetap akan mendapat sokongan dan Mahkamah akan membuat keputusan dengan ADIL dan BENAR.

Bila-bila masa sahaja dari sekarang hingga bulan Mac, Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar akan memaklumkan tarikh keputusan perbicaraan kes 'Ops Bubar DUN Perak". Samada semua 13 orang yang telah ditaangkap akan dibebaskan tanpa perlu bela diri atau akan didapati bersalah dan terpaksa melalui episod perbicaraan yang lebih panjang lagi untuk membela diri. Saya berdo'a moga Allah memberi kekuatan kepada kami dan Puan Hakim membuat keputusan yang tepat dan adil tanpa ada pengaruh dari mana -mana pihak. Kita tunggu ketibaan tarikhnya nanti...

OCPD Dang Wangi ACP Zulkarnain yang bertanggungjawab pada peristiwa tangkapan Jumaat 4 Februari lepas cuba mengugut supaya pegawainya menangkap Fadiah "tangkap dia, tangkap dia" dan mengandaikan Fadiah sebagai dengan katanya "budak baru habis belajar" ketika Fadiah datang memperkenalkan dirinya sebagai peguam bertanyakan keadaan mereka yang ditangkap yang juga menjadi anak guamnya. Di belakangnya ialah isteri dan anak OKT Mohd Ismath yang saya ceritakan di atas...lihat wajah mereka dalam riak yang terkejut.

Hidup dan Mati...

Petang semalam seperti biasa setelah ambil anak-anak sesi lewat petang sampai rumah jam 6.30 petang. Tengok lantai depan rumah agak kotor, cuci dulu. Belian bahan masakan dah awal diletakkan di dalam sinki. Cadangnya lepas cuci lantai masuk ke dapur terus mahu masak yang simple-simple saja.

Tiba-tiba "Ummi, ummi" jerit Asma' dari celah-celah pintu.

"Hah, ada apa Asma' terkejut Ummi".

"Ummi tadi Ulfah pesan, Makcik Uji ajak kita semua pergi rumah dia orang ada makan-makan sebab Kak long dengan Kak Iffah dah nak balik Australia tak sempat jumpa semua orang, Mak Uji lupa nak bagitau ummi awal-awal" jelas Asma' panjang lebar.

Dalam hati "wah seronoknya tak perlu masak la petang ni" cepat-cepat capai handphone untuk maklumkan pada suami.

Terus menuju ke dapur dan simpan semula bahan masakan di dalam peti sejuk.

Sebaik sedudah solat Magrib kami bertolak ke rumah Ulfah di Desa Melawati.

Seronok, peluang ada jemputan kenduri walaupun kecil begini menjadi peluang bertemu sahabat-sahabat yang sudah dianggap seperti saudara kandung sendiri. Sahabat-sahabat yang sentiasa sedia membantu apabila pertolongan mereka diperlukan. Bagi saya pertolongan yang paling diperlukan satu waktu dulu ketika anak-anak masih kecil dan saya pula sibuk dengan kerja-kerja di bersama Pusat Sokongan Keluarga Tahanan ISA ialah membantu menjaga anak-anak saya.

Seronok dapat bersalaman dan berpelukan.

'Scene 2'

Di ketika kami berada di rumah Ulfah meraikan kakak-kakak dan anak-anak saudara Ulfah yang akan pulang semula ke Australia untuk menyambung pelajaran, kami tumpang mendapat berita tentang pemergian Imam Masjid Al-Mardiyyah Taman Melawati lewat petang tersebut. Ceritanya beliau berada di bank untuk masukkan wang dan terus terjatuh dan meninggal dunia. Sungguh mudah.

Beliau dikebumikan di tanah kuburan yang betul-betul berada di tepi jalan berdekatan dengan rumah Ulfah. Dari rumah jelas kelihatan orang ramai sedang menunggu ketibaan jenazah untuk dikebumikan.

Setiap hari juga ketika menghantar dan mengambil anak ke sekolah, tanah kuburan ini berada di hadapan mata saya. Kadang-kadang saya 'sedar' akan kehadiran tanah kuburan di situ dan mengambil iktibar darinya. Kadang-kadang saya lupa dan seperti tidak sedar bahawa entah detik bila pula giliran saya untuk menghuni di sana.

Pagi ini saya melaluinya lagi, tetapi ketika menghantar anak, saya tidak 'sedar' tentang tanah kubur itu, bila pulang dan pusara Imam jelas di mata saya, saya sedar dan mengambil pengajaran dan insaf...apabila tiba masanya kita akan tinggal bersendirian di dalam kubur yang gelap dan sempit...entah detik bila...

Ya Allah ampuni dosa-dosa kami, dosa-dosa kedua ibu bapa kami. Panjangkanlah umur kami dalam Iman dan Taqwa kepadaMu.....

Monday 7 February 2011

Sukarnya untuk meneruskan kehidupan...

"Ummi! ada orang nak jumpa abah" jerit Ammar sambil berlari turun dari atas ke bawah.

"Ish, siapa pulak ni datang waktu maghrib2 macam ni. Kacau betullah" getus saya kepada Ammar.

Ammar laju saja keluar nak buka pintu.

"Eh, nanti dulu, jangan pandai-pandai nak buka pintu tu" tegur saya pada Ammar yang laju saja nak keluar buka pintu.

Saya nyalakan lampu luar dan jenguk dari langsir tingkap. Kelihatan seorang anak muda tercegat di depan pagar. Setelah yakin agak selamat saya keluar melihat siapa dia.

"Assalamu'alaikum, maaf ganggu waktu maghrib2 macam ni" tegur anak muda dengan sopan santun juga.

"Ha ah memang tak elok pun datang waktu maghrib macam ni" balas saya pula sebab memang waktunya sebaik azan berkumandang dan kami semua sedang sedia untuk solat maghrib.

"Oh maafkan saya. Saya pelajar dari Kolej xxxxxx dari Melaka. Saya sedang belajar dan nak cari wang untuk tampung pelajaran" jelas anak muda ini sambil menunjukkan sepaket berus gigi berisi 5 batang semuanya.

" Puan boleh beli ni saya jual dengan harga RM10 saja." jelas anak muda ini lagi.

"Oh, okayla....Asiah, pergi ambil duit di atas meja tu, bawa sini" saya mohon Asiah tolong masuk ke dalam dan bawa keluar wang.

"Asiah bagi duit ni pada abang tu tapi tak perlulah ambil berus gigi tu" saya beri arahan pada Asiah. Anak muda tadi masih tercegat di luar pagar sambil memegang sepaket berus gigi tadi.

"Ummi, abang tu nak terima duit ni kalau Asiah tak ambil berus gigi tu" Asiah datang menyampaikan pesanan pada saya.

"Tak pe lah dik ambil duit ni, akak tak perlu berus gigi tu, dah banyak sangat, nanti membazir pulak. Adik pergilah jual pada orang lain pulak." Saya menolak pemberian berus gigi tersebut dengan baik.

"Oh, terima kasih ye" sambil menerima wang dari tangan Asiah.

"Ha..pergilah solat Maghrib dulu, tak perlulah pergi ke rumah orang lain lagi waktu maghrib ni tak elok sangat" saya cuba beri saranan kepada anak muda tersebut.

Dia kemudiannya berlalu pergi sambil tersenyum.

Entah betul entah tidak tujuannya namun sungguh sukar untuk meneruskan kehidupan ya.....

Kadang-kadang bila kami membantu menyelesaikan masalah ahli keluarga tahanan ISA kami menerima titipan do'a yang mampu membuatkan air mata panas membasahi pipi.

"Ya Allah hilangkanlah masalahnya dan tambahkanlah rezekinya serta berikan tempat buat mereka di Syurga. Ameen".

Sungguh sukar hidup ini untuk sesetengah orang, maka kita mudahkan dengan sedaya upaya kita walau sedikit yang termampu.

Sunday 6 February 2011

Apa khabar anak-anak kita?

Tahun ini kali pertama saya menghantar anak mengikuti kelas tambahan di satu pusat tuisyen yang sudah boleh diumpamakan sebagai sebuah sekolah, kerana mempunyai banyak kelas. Memang risau memikirkan tentang pergaulan, namun saya terpaksa juga melepaskan dia ke pusat tuisyen tersebut.

Ketika menghantarnya pagi tadi, melalui satu restoran mamak bettul-betul di bawah pusat tuisyen tersebut seorang anak gadis belasan tahun duduk-duduk minum di restoran tersebut bersam dua orang kawan yang lain. Di tangan sepuntung rokok. Saya hanya mampu membenci dan berleter di dalam hati.

Do'a dipanjatkan agar anak-anak kita dijauhkan dari tabiat yang buruk tersebut.

Sejauh manakah imej-imej ngeri yang dipaparkan di kotak rokok mampu menghalang manusia dari merokok?

Di sebelah malamnya pula sebaik menunaikan solat maghrib kami berjalan menuju ke pusat membeli belah The Curve. Menyusuri restoran-restoran yang bersuasanakan gelap dengan hanya diterangi lampu malap. Deretan restoran yang jelas menyediakan minuman keras. Duduk di sebuah meja di salah sebuah restoran tersebut ialah seorang anak gadis yang jelas berkulit sawo matang dan berpewatakan melayu bersama teman lelaki, di atas meja mereka kelihatan dua gelas yang berisi minuman yang meragukan itu.

Bila kami berjalan melepasi mereka nampak si gadis agak tidak keruan. Sekali lagi hanya terbit rasa benci dalam hati. Betapa rosaknya generasi anak muda kita. Dan saya hanya mampu membenci dalam hati. Taraf selemah-lemah iman.

Saya perlu cari kekuatan dan keberanian di lain kali untuk pergi dan mengajak mereka kepada kebaikan dan cegah dari kemungkaran.

Apa pula tindakan anda bila dalam situasi begini?

Mampukah kita pergi bertemu, menepuk bahu bersalam dan duduk bersama anak-anak remaja ini? Mungkin ibu bapa lansung tidak mengetahui sisi hitam anak-anak sendiri, mungkin anda malah mungkin saya sendiri. Moga Allah melindungi anak-anak kita dari segala gejala buruk yang bakal merosakkan mereka dan merosakkan generasi yang akan memimpin di masa hadapan.

Tiba-tiba teringat pula tentang kesah filem "Aku Masih Dara" yang kini berulangkali dipertontonkan di ASTRO First. Itulah kesah sebenar yang berlaku kepada anak-anak gadis dan teruna Islam masa kini. Ianya benar-benar berlaku maka dengan itu lahirlah anak-anak luar nikah yang tinggi jumlahnya di dalam negara yang mengaku sebuah Negara Islam.

Saturday 5 February 2011

Akan ku Kirim Do'a...

"Flight Kak Jije esok pukul berapa. Kami ambil anak-anak esok boleh?" tanya saya kepada Kak Aliza melalui sms. Anak-anak perempuan kami Asma' dan Asiah ditinggalkan di rumah Kak Jije ketika kami keluar untuk bersama perhimpunan aman sebagai tanda sokongan kepada rakyat Mesir.

"Esok kami bertolak jam 7 pagi. Tak apa tinggalkan anak-anak". Jawab Kak Jije yang melegakan rasa hati kerana kami masih berada di IPD Dang Wangi menanti hingga semua 7 orang yang ditangkap ketika perhimpunan aman dibebaskan.

"Ok, esok selepas solat subuh dah kena keluar ambil anak-anak" sambung saya kepada Kak Jije.

"Ok, boleh saja, kalau ikut hantar ke KLIA pun ok, anak-anak seronok saja" balas Kak Jije lagi.

Senyum saja saya membacanya kerana tahu sifat anak-anak perempuan saya yang dua orang itu, namun sudah tentu tak berdaya saya nak memandu ke KLIA pagi itu.

Sebaik selesai solat subuh pagi tadi saya terus bersiap keluar dari rumah menuju ke rumah Kak Jije di Sri Ukay untuk menjemput ke dua orang anak perempuan pulang kerana pada pagi tersebut Kak Jije bersama suaminya YB Saari Sungib akan berlepas ke KLIA menuju ke Jordan ke rumah anak menantu mereka di sana sebelum sama-sama bertolak ke Mekah bagi menunaikan Umrah.

Wasilah anak bongsu Kak Jije menghantar anak-anak ke kereta dan saya terus bersiap untuk beredar.

"Ummi tak nak jumpa Mama ke?" tanya Silah sebaik saya mahu beredar dari rumahnya.

"Tak pe lah Silah, mama nak siap tu, lagipun Ummi dah jumpa sebelum ni. Kirim salam pada mama ye" pesan saya pada Silah.

Sebaik mengundurkan kereta, tiba-tiba nampak Kak Jije berlari keluar dari rumah ke arah kami. Saya pun keluar dan bersalaman dengan Kak Jije dan bersembang sebentar sebelum pergi.

"Nak pesan do'a apa nanti?" tanya Kak Jije pada saya. "Masa anak-anak pergi Umrah dulu Kak Jije pesan do'akan bagi kes Kak Jije di Taiping tu selesai segera, Alhamdulillah untuk Kak Jije dah terlepas" terang Kak Jije pada saya.

Saya senyum.

"Okay kalau nak pesan do'a apa-apa sms pada nombor HP Pak Abu saja." pesan Kak Jije lagi.

Sebelum beredar kami bersalaman seperti biasa tetapi kali ini lain dari kebiasaannya Kak Jije akhiri dengan pelukan yang lebih erat lagi.

InsyaAllah pasti mereka tidak akan lupa untuk mendo'akan yang terbaik buat kami di dunia dan akhirat. Sekiranya Allah tidak makbulkan di dunia moga Allah simpan untuk kelebihan buat kami di akhirat sana. Amin.