Tuesday 25 November 2014

Gombak ke Kuala Kangsar: Itulah jalan yang kami pilih.


"Hakim minta kita datang juga ke Mahkamah. Mesti sampai dalam sejam."
Lebih kurang begitulah yang disampaikan oleh suami saya. Pesanan dari OKZ lain yang sudah berada di dalam mahkamah. Pastinya Puan Hakim Nor Salha telah meminta mereka menyampaikan pesanan itu kepada suami saya.
Pada hari tersebut Puan Hakim menetapkan sejak sesi lepas untuk kes berjalan dalam satu hari sahaja berbeza dengan sesi kebiasaanya antara 3 hari ke 5 hari dalam sebulan. Kali ini dia memulakan kes pada jam 2.30 petang.
Bayangkanlah kami yang tinggal jauh di Kuala Lumpur perlu berkorban masa, tenaga dan wang ringgit untuk perjalanan ke Mahkamah Kuala Kangsar untuk berada dalam perbicaraan untuk beberapa jam sahaja.
Yang paling penting, kerja. Perlu mengambil cuti selama satu hari. Ini menjadi masalah paling besar untuk suami saya yang bekerja bermajikan. Sudah banyak mengambil cuti dan setiap tahun perlu mengambil cuti tanpa gaji bagi menghadiri perbicaraan setiap bulan.
Ini sudah menjadi satu hukuman berat buat kami.
Maka hanya pada tarikh tersebut kami buat keputusan untuk tidak pergi dan memberikan alasan kereta rosak. Hakim tidak terima alasan tersebut dan tetap mengarahkan untuk datang.
Hari itu kami ambil risiko untuk lansung tidak hadir ke Mahkamah.
Tiada apa yang berlaku kepada kami. Sesi lain kami tidak pernah gagal untuk hadir,
Sejak Februari 2009 hingga 13 September 2013, itulah rutin kami paling minima 3 hari dalam sebulan dan maksima 5 hari kami berkampung di Kuala Kangsar.
Setiap kali bila tiba tarikh untuk bergerak ke Kuala Kangsar, sebelah malamnya saya tidak dapat melelapkan mata lansung. Samada saya tidak dapat tidur atau saya sendiri tidak mahu tidur kerana takut kami kelewatan bangun dan lewat tiba ke Mahkamah. Itulah rutin saya tiap kali perlu bermusafir ke Kuala Kangsar. Bila memulakan perjalanan kebiasaannya jam 5 pagi maka saat itulah saya ambil peluang melelapkan mata sambil suami saya memandu dengan tenang.
Walaupun ianya nampak sukar namun itu adalah nikmat buat kami. Saya mengambil situasi ini sebagai satu peluang untuk kami bercuti dan berehat. 
Saya menjadi sayang dengan Bandar Kuala Kangsar dan Taiping. Dua tempat yang akan kami pilih untuk tinggal tiap kali perbicaraan berlansung. Cuti tahunan suami habis semata untuk menghadiri perbicaraan, maka inilah cuti buat kami.
Saya tidak pernah menyesal dan tidak mengeluh. Kami laluinya dengan penuh kesedaran kerana inilah jalan yang kami pilih.
Kini kami merindui saat-saat itu. Manis untuk dikenang walau pahitnya tetap perlu ditelan.


Asiah ketika peristiwa berlaku di tahun 2009. 

Sunday 23 November 2014

Gombak ke Taiping: Sempatkah kami bertemu Abah?


"Ya Allah, dah pukul 6.!"
Terasa begitu hampa, terkejut dan hampir putus asa.
Bingkas bangun mengejut anak-anak.
"Ammar, Asiah, Asma', cepat bangun! Dah pukul 6 ni. Ambil saja baju, tudung yang mudah-mudah tak perlu gosok. Kita dah lambat ni!"
Saya beri arahan pada anak-anak. Mereka semua bingkas bangun. Tidak seperti biasa. Masing-masing diam bergerak, mandi, sediakan baju untuk dipakai ala kadar, semua yang tidak perlu digosok lama dan tudung yang mudah untuk disarungkan agar kami semua cepat dapat beredar dari rumah.
Saya kunci jam pukul 2 pagi dengan harapan untuk buat persediaan awal bagi mula bergerak ke Taiping jam 4 pagi dengan anggaran saya memandu selama 4 jam untuk tiba ke Mahkamah Tinggi Taiping sebelum jam 9 pagi. Sempatlah kami sarapan sebelum masuk ke dalam Mahkamah.


Harapan paling utama ialah, bila bas penjara tiba dari Tapah Abah dapat melihat kehadiran kami di sana. 
Memang terasa hancur harapan apabila terjaga melihat jam sudah menunjukkan satu minit kurang dari jam 6 pagi. Bagaimana kami akan tiba di sana sebelum jam 9 pagi?
Sejak 13 September kami terpisah dari Abah bila Mahkamah Sesyen Jenayah Kuala Kangsar menjatuhkan hukuman dua tahun penjara dengan denda RM5000 ke atas 13 orang yang ditangkap di dalam perhimpunan aman membantah perlantikan Menteri Besar Perak pada 6 Februari 2009. Hukumannya adalah serta merta tiada penangguhan. Mereka terus dihantar ke Penjara Tapah.
Terkejut. Memang terkejut.
Sejak 13hb kehidupan kami berubah. Boleh dikatakan selang sehari kami akan berulang alik ke Taiping dan Tapah. Bila pulang ke rumah dipenuhi dengan jemputan dan kawan-kawan tidak henti menziarahi kami. Sungguh penat. Namun ianya memberikan kekuatan dan semangat.
Mahkamah Tinggi Taiping menetapkan tarikh 19hb September untuk mendengar permohonan pihak peguambela supaya kesemua 13 orang dibebaskan sementara menunggu tarikh rayuan. Pada tarikh 18 September kami berada di rumah seharian hingga ke jam 11 malam melayani tetamu yang hadir ke rumah tanpa henti memberikan sokongan moral dan bantuan kewangan. Maka pada malam tersebut kami tidur dalam keadaan yang sungguh keletihan. 
Saya benar-benar berputus ada bila amat lewat bangun, namun kuatkan semangat. Bangun bersiap dan solat walau dalam hati sudah terfikir kami pasti akan lewat tiba dan terlepas melihat Abah turun dari bas penjara menuju ke mahkamah.
Kami bertolak selepas semua selesai bersiap dan solat mungkin sekitar jam 6.20 pagi. Saya memandu berseorangan di temani 3 orang anak-anak. Asma' dan Asiah sempat membawa sedikit bekalan, kami makan di dalam kenderaan dan anak-anak menyuap saya makan sambil memandu.
Dengan pertolongan Allah jua kami keluar dari dari Tol menuju ke Taiping pada jam 8 pagi.
Dengan pertolongan Allah jua.
Ya, kami terlepas melihat wajah Abah dan 12 OKZ yang lainnya, namun hati rasa lega dan bersemangat melihat kehadiran kawan-kawan jauh dan dekat.
Allah bersama kami. 
Di bawah adalah catatan saya di laman Facebook sebaik Hakim Mahkamah Tinggi membebaskan ke semua 13 orang OKZ13.
Penghakiman yang amat bagus meletakkan Liberty, kebebasan manusia di peringkat atas. Kata Hakim "kebebasan ke 13 orang ini tidak boleh dirampas maka mereka mesti dibebaskan."
Hakim juga menegaskan fakta bahawa ke 13 orang ini menunjukkan rekod yang baik dan tidak pernah tidak hadir ke Mahkamah.
Alhamdulillah.

Saturday 13 September 2014

Baik! jangan rampas hak kami. Semangat Chubadak Tambahan.



Rumah kami dengan Kampong Chubadak tidak jauh sekitar 10 minit memandu. Jadi bila dapat mesej saya dengan cepat dapat berkejar ke sana. 

Bila saya sampai makcik-makcik dan nenek Kampong Chubadak tenang saja. Saya salam mereka dan katakan saya rasa berdebar-debar. Ketarq perut.

Makcik Wahidah pun tenang saja. Rumahnya di sebelah pondok ini dirobohkan kira-kira dua bulan yang lepas dan kini dengan sumbangan oramg ramai bengkel kereta diubahsuai menjadi tempat tinggal. Tiada bilik tiada dapur juga bilik air hanya tinggalan bilik air di tapak rumah yang lama.

Kita mungkin biasa mendengar yang orang tua kita lebih sanggup tinggal sendirian di kampong halaman rumah mereka. Bila bertandang ke rumah anak mahu cepat pulang kerana mengenangkan ayam itik di rumah.

Begitulah juga mungkin perasaan makcik Wahidah dan Pakcik Halim setelah lebih 40 tahun menginap di sini. Mereka sanggup mempertahankan hak mereka. Rumah ganti hanyalah rumah flat kecil yang perlu dibayar sewa kepada DBKL nun di tingkat atas di kawasan yang sesak dengan penduduk.

Wang pampasan tak diberi pemaju dan kini pemaju masih mahu berkeras walau bangsal daif ini tempat Makcik, pakcik dan cucu-cucu berteduh masih mahu dirobohkan.

Saya tetap tidak akan dapat rasa apa yang mereka rasa.

Namun mereka penduduk Chubadak sekali lagi dapat mempertahankan hak mereka dengan hujah yang kukuh.

Pemaju pulang tangan kosong.

Rakyat Berani Perompak akan lari.