Monday, 16 November 2009

Dipenjarakan atau Tidak Dipenjarakan...Perjalanan Yang Menyeksakan..

Perjalanan yang menyeksakan

Perjalanan dengan truck polis adalah satu pengalaman yang amat menakutkan dan menekan jiwa kami semua. Tangkapan polis tidak menakutkan kami tetapi cara kami dikejarkan ke IPK KL didalam truck tersebut benar-benar menakutkan. Pemandu membawa truck seperti lagak orang yang tidak sedarkan diri. Dia membunyikan hon berkali-kali dengan kuat di sepanjang jalan sambil terdengar jeritan dari kereta polis yang lain “BERI LALUAN, BERI LALUAN”.


Di setiap belokan ke kiri dan ke kanan kami terpaksa berpaut kuat di jaring besi. Belakang kami terhentak dengan kuatnya ke dinding besi truck tersebut. Di satu belokan yang amat tajam dan merbahaya sahabat wanita saya yang lain telah terhumban jatuh dari bangku. Saya sempat berpaut pada besi. Kami menjerit-jerit agar pemandu tidak membawa dengan laju dan merbahaya.


Tidak cukup dengan keadaan seumpama itu, kami turut diriingi dengan sebuah kenderaan polis dan seorang polis trafik yang bermotor. Siren dipasang sepanjang perjalanan. Dari saat itu lagi kami secara langsung telah diseksa oleh Polis Di Raja Malaysia. Apakah sepatutnya perkara seperti itu dilakukan. Apakah kenderaan polis tersebut tidak boleh dibawa dengan sopan dan berhemah??? Inilah persoalan yang bermain di kepala saya.


Tidak cukup dengan itu, kedengaran pula bunyi helikopter berlegar-legar di atas mengikuti kami. Hebat memang hebat…Kami benar-benar dibuat seperti penjenayah yang amat merbahaya, sedangkan kami semua adalah rakyat yang bangun menuntut keadilan dan memohon pemerintah menghentikan tindakan mereka menzalimi rakyat dengan menaikkan harga barangan tanpa belas kasihan.


Kami menyimpan azam dan keinginan untuk menumbuk muka pemandu yang tidak berhati perut tersebut, menunjukkan betapa marahnya kami terhadap perbuatannya. Namun peluang tersebut tidak tercapai kerana kami semuanya diarah naik ke IPK KL dengan segera sebaik sampai di sana.


Polis Berniat Jahat…Mala Fide



Polis dan Penguasanya memang berniat jahat, ini adalah kerana sebaik tiba di kantin IPK KL kelihatan tersedia 2 baris meja yang panjang di kiri kanan koridor kantin, dengan deretan polis dan SB bersedia menjalankan tugas. Kami rupanya bukan kumpulan pertama yang ditangkap. Di sana telah ada beberapa orang yang telah dibawa lebih awal. Mereka terdiri dari beberapa orang anggota Unit Amal, termasuk 2 orang pakcik unit amal yang sudah agak berumur iaitu Pakcik Zamhuri dan Pak Mat. Namun saya amat mengenali mereka kerana sering nampak mereka berdua bertugas di setiap demonstrasi yang diadakan.


Selepas dari itu semakin ramai lagi orang kena tahan yang dibawa masuk bersama kami, termasuklah para pimpinan iaitu Tian Chua, Dr Nasir, Ustaz Badrulamin, Mohd Sabu, Dr Hatta, Dr Zulkifli, Ustazah Nuridah dan lain-lain lagi. Sudah tentu itu memberi semangat kepada kami semua yang sudah lebih awal ditangkap. Kami melaungkan takbir dan kata-kata semangat setiap kali ada kumpulan baru yang dibawa masuk.


Suasana di tempat kami dikumpulkan amat sibuk sekali di pihak pegawai polis. Macam-macam urusan yang perlu mereka selesaikan. Macam-macam kesalahan dan bukti-bukti yang cuba mereka cari dari kami. Bagi pihak kami, kami tidak memudahkan urusan mereka, kerana kami tidak bersalah dan ditangkap tanpa sebarang alasan.



Beberapa orang pegawai polis dan SB cuba memaksa beberapa orang muslimat untuk menyerahkan vest-vest yang mereka pakai, kerana mereka mendakwa ada tanda-tanda lambang yang tidak mereka sukai di situ. Sudah tentu kami tidak ingin meyerahkan kepada mereka. Seorang pegawai polis mengugut akan membawa satu ‘search list’ yang akan memaksa kami menyerahkan barang yang mereka kehendaki. Kami tidak menghiraukannya sebaliknya terus berkeras dan melawan arahan mereka. Akhirnya tidak ada sebarang ‘search list’ yang dibawa kepada kami. Sebaliknya seorang pegawai polis datang membawa satu borang untuk kami tandatangani yang mengatakan bahawa tiada rampasan barangan yang dilakukan.



Sepanjang masa kami ditahan di IPK KL mereka tidak memberi sebarang makanan kepada kami kecuali bekalan air mineral. Walaupun ada kantin di sana , tetapi kami tidak dbenarkan untuk membeli makanan. Kami ditahan di sana sejak dari jam 3 petang hingga jam 2.30 pagi. Sepanjang masa setiap perkara yang kami ingini kami terpaksa meminta berkali-kali dan kadangkala terpaksa menjerit beramai-ramai. Untuk makan kami terpaksa menunggu dengan lama untuk mendapatkannya dari sahabat-sahabat yang mengirim dari luar.


Kami dapat makan roti canai setelah terpaksa menunggu hampir sejam. Itupun setelah beberapa kali saya terpaksa memohon kebenaran dari pegawai polis. Terima Kasih kepada sahabat baik saya yang bersusah payah membeli dan membawa kepada kami.



Kaum wanita didahulukan untuk menjamah roti canai yang masih panas itu.Namun selepas itu kami semua berkongsi makan beramai-ramai.Terasa nikmat benar makanan yang sedikit itu. Selepas dari itu kami mendapat banyak juga bekalan makanan yang dibawa dari luar oleh para penyokong yang datang tanda solidarity kepada kami yang ditahan.


Sebelum ini saya sentiasa cuba meluangkan masa memberi sokongan kepada mereka yang ditahan setiap kali ada orang yang ditahan semasa demonstrasi aman. Tapi untuk kali ini saya pula berada di dalam dan saya tertanya-tanya adakah sahabat dan penyokong di luar, ramaikah mereka?.



Rupanya memang ramai di luar menanti kami dengan penuh kesabaran. Mereka menunggu sejak kami mula ditangkap hingga lewat malam. Kami dapat melihat mereka dari kejauhan dan terdengar jelas laungan mereka kepada kami. Mereka turut menyalakan lilin tanda protes terhadap penahanan kami dan tanda sokongan yang tak berbelah bagi. Itu memberikan kami kekuatan untuk terus berjuang dari dalam tahanan.


Penantian dan Penyeksaan


Ramai juga yang menyangkakan kami semua pasti dibebaskan segera dan tidak kurang juga yang yang sudah membuat ramalan yang kami akan menghabiskan masa 24 jam kami di lokap. Kami yang ditangkap berada di dalam keadaan tertunggu-tunggu dan tertanya-tanya. Penantian kami memang penuh dengan ‘mental torture’ dari pihak polis dan SB. Mereka seolah-olah mempermain dan mempersendakan kami. Tidak tahulah apa tujuan sebenar mereka.


Ini berlaku apabila Inspektor Anand datang mengumpulkan semua yang ditahan. Semua nama kami dipanggil untuk memastikan semuanya ada di situ. Kemudian dia membuat pengumuman bahawa keputusan akhir nasib kami semua hanya akan diketahui selepas dia dan pegawai polis yang lain mengadakan mesyuarat di tingkat atas. Hebat sekali kes penahanan kami. Sesudah ditahan mereka masih tidak tahu apa yang patut dilakukan atau mereka menunggu arahan keras dari pihak atasan yang ingin memadamkan api kebangkitan rakyat.


Dia kemudiannya beredar dari sana. Peristiwa ini berlaku sekitar jam 10.30 malam. Kami terus menunggu dan menunggu lagi. Nasib baik bekalan makanan dan minuman masih banyak lagi. Dalam masa kami menunggu tersebut, beberapa orang tahanan dari PSM telah dibebaskan. Mereka dituduh di atas dakwaan lain iaitu ‘gangsterism’, walaupun mereka ditangkap dalam peristiwa yang sama.


Saudara Arutchelvan juga sudah tidak lagi kelihatan bersama kami, tetapi kami yakin beliau telah dibawa lebih awal ke lokap. Begitu juga Pakcik Zamhuri dan Pak Mat, kami sudah tidak melihat kelibat mereka berdua sejak lewat petang. Kami menyangka mereka berdua sudah dibebaskan kerana tergolong dalam kategori warga emas!. Tetapi kami agak pelik kerana polis masih menyebut nama mereka setiap kali kami dikumpulkan.


Di penjara atau tidak dipenjarakan…Pening Lagi Polis



Seketika selepas Inspektor Anand pergi, datang seorang pegawai yang tidak beruniform mengarahkan supaya nama-nama yang bakal disebutnya untuk bangun berdiri dan berkumpul setempat. Hampir separuh dari kami dipanggil, kumpulan tersebut termasuklah sahabat-sahabat wanita dari PSM iaitu Kohila, Saraswathy, Vijaya dan Saudari Ginie Lim.


Kami kumpulan beberapa orang muslimat dan lelaki yang lain, dimasukkan dalam kumpulan yang lain. Selepas beberapa lama menunggu kedengaranlah khabar-khabar yang mengatakan bahawa kumpulan yang pertama ini akan di bawa ke lokap Jalan Hang Tuah (Pudu Jail). Apa nasib yang bakal menimpa kami yang lainnya belum tentu lagi. Saya mula menghantarkan sms kepada suami dan rakan-rakan yang lain akan apa yang berlaku. Kemungkinan suami saya merasa agak lega apabila saya membalas smsnya dan mengatakan bahawa saya berada di kumpulan yang kedua.


Namun setelah menunggu dan menunggu beberapa lama, tidak ada apa-apa yang berlaku juga. Maka kami terus bersatu kembali di dalam satu kumpulan yang besar. Seketika kemudian datang lagi seorang pegawai yang lain pula dan mengarahkan agar semua OKT wanita bangun dan berkumpul di satu tempat. Tanpa apa-apa bantahan kami bangun dan membuat satu kumpulan yang baru. Sekali lagi kami menunggu dan menunggu. Sekali lagi tidak ada apa-apa yang berlaku lalu kami bersurai dan bersatu kembali.


Kali ketiganya datang lagi seorang pegawai yang lain memberi arahan kepada kami semua, agar semua OKT lelaki bangun dan berbaris berdua-dua di hadapan. Seperti kami, OKT lelaki bangun mengikut arahan dan berbaris berdua tanpa apa-apa bantahan.


Namun seperti sebelumnya tiada ada apa yang berlaku. Kami mula merasakan sesuatu yang tidak sepatutnya sedang berlaku. Inspektor Anand yang katanya sedang bermesyuarat masih belum turun-turun lagi, namun kami telah dipermainkan beberapa kali.


Keadaan tersebut tidak berhenti di situ sahaja, tiba-tiba datang seorang lagi pegawai yang membuat pengumuman yang katanya datang dari Ketua Bahagian Jenayah Kuala Lumpur yang kami semua akan dihantar ke Lokap Jalan Hang Tuah. Ketika itu kami semua membantah tanda tidak percaya dengan maklumat tersebut. Akhirnya lelaki tersebut beredar saja dari tempat kami.


Peristiwa ini berlaku sekitar jam 11.30 malam. Selama kami berada di kantin IPK KL kami dibenarkan untuk solat di surau IPK tersebut yang berada di tingkat bawah. Namun segala pergerakan kami perlu ditemani oleh 2 orang SB wanita yang turut menunggu di luar pintu surau tersebut dan mengiringi kami balik semula ke atas. Maka 3 kali jugalah SB tersebut membuat tugas-tugas khas tersebut. Kami menyempurnakan 3 solat fardhu kami di sana, Asar, Maghrib dan Isya’.


Jangkaan saya bahawa solat Isya’malam itu mungkin merupakan solat akhir saya di sana adalah tepat sekali kerana selepas itu Allah mengurniakan anugerah peluang kepada saya dan sahabat-sahabat OKT yang lain untuk melakukan solat di dalam PENJARA!!!


OKT yang ‘POWER’



Kami semua beruntung kerana ditahan bersama orang-orang yang ‘power’ dan berpengalaman. Bersama kami juga ada seorang peguam dan juga seorang wartawan. Maka kami menerima banyak panduan dan nasihat. Nasihat yang utamanya ialah jangan layan SB iaitu mereka-mereka yang tidak beruniform dan tidak memakai tanda nama. Memang SB ini sentiasa menyakitkan hati manusia. Mereka juga diberi ruang dan masa untuk memanggil kami seorang demi seorang untuk diambil maklumat peribadi diri. Memang tak kuasa kami melayan mereka. Kami juga dinasihati agar menjawab tidak tahu atau tak perlu jawab lansung untuk setiap soalan yang diajukan oleh pihak polis dalam soal siasat mereka.


Soalan-soalan yang ditanyakan kepada kami dalam ‘statement 112’ ialah lebih kurang seperti berikut:

- Kemana awak pergi

- Adakah anda menerima sebarang bayaran

- Adakah polis memberi sebarang arahan untuk bersurai di dalam perhimpunan tersebut

Sudah tentu kami menjawab tidak atau tidak tahu. Seorang anggota polis yang duduk bersebelahan dengan pegawai yang menyoal siasat siasat tiba-tiba mencelah dan bertanya kepada saya “Macamana akak ni boleh terbabas”. Apa lagi saya naik berang dengan soalannya dan terus berkata kepada dia agar tidak campor tangan dalam soal-siasat saya.


Satu lagi proses yang terpaksa dilalui oleh OKT ialah sesi mengambil cap jari oleh pegawai yang kemungkinan didatangkan khas dari Bukit Aman agaknya. Bukan satu cap jari ibu jari saja yang diambil, tidak sama sekali. Ke sepuluh-sepuluh jari diambil, bukannya perlu diturunkan ke satu borang, tidak sama sekali, tetapi entah ke atas berapa borang pun tidak dapat dipastikan.


Kemudiannya pula ialah sesi mengambil gambar dengan memegang papan di atas dada, papan yang bertulis ‘OPS PADAM3’. Wah hebat!...macam dalam cerita jenayah lagaknya. Paling menyakitkan hati ialah nama kami, sehingga ke nama ayah dan binnya sekali perlu dinyatakan dan lain-lain perlu ditanya berkali-kali untuk setiap pegawai yang bertugas bertanya. Melampau betul! Sudah tentu ianya mencabar kesabaran kami.


Saudari Aiman telah mula membantah apabila nama ayahnya ditanya lagi, lalu dia terus membantah ketika gambarnya hendak diambil. Saya juga lansung membantah apabila giliran saya untuk diambil cap jari. Pegawai polis tersebut tidak dapat memaksa saya.


Siapa yang menyusahkan siapa?


Perkara yang paling menyakitkan jiwa-jiwa kami yang tidak bersalah ini ialah apabila polis dan SB mengatakan kepada kami, setiap kali kami ‘menyusahkan’ kerja mereka ialah…


”Tolonglah kak/puan, sabarlah, janganlah melawan, kami ni pun penat, kami ni ada anak isteri di rumah, kami ni kerja dari pagi sampai malam”.


Apa lagi kami pun menjawab dengan keras juga…” Apa awak ingat kami tak penat, kami tak ada keluarga, kami lansung tak salah tau. Lain kali jangan tangkap kami”. Hah…puas rasa hati.



Kami juga dinasihatkan oleh Jonson Chong peguam yang turut ditangkap agar kami semua membuat laporan polis di atas tangkapan yang dibuat keatas kami. Mulalah semua kami menceritakan kembali apa yang terjadi dengan menulis di atas kertas kertas yang ada. Kemudiannya kami diberikan seorang satu borang rasmi untuk membuat laporan polis. Namun seketika kemudian Inspektor Anand datang kembali dan meminta agar semua borang aduan tersebut dikembalikan dan kami hanya boleh membuat laporan polis di Balai Polis Hang Tuah.



Hah..entah apa-apa punya arahan yang mereka terima dan beri kepada kami. Sekali lagi kami terbiar dan menunggu-nunggu akan apa yang terjadi seterusnya. Sebahagian dari kami termasuklah Dr Hatta, Mohd Sabu, Ustaz Badrul dan lain-lain telahpun berbaring dan berehat di hujung kantin tersebut di mana ada sebuah pangkin yang dilindungi oleh sebuah meja panjang.



Kami yang lain duduk-duduk dan bersembang-sembang di barisan meja di hujung yang lain pula. Ketika inilah beberapa orang pegawai polis yang beruniform sudah berdiri seperti bersedia untuk datang kepada kami. Kemudiannya pula beberapa orang SB lelaki dan wanita (berpewatakan lelaki) pula naik memenuhi ruang hadapan kantin. Kebanyakan dari mereka membawa gari. Mereka dengan sengaja menggoyang-goyang gari-gari tersebut untuk mengeluarkan bunyi yang menggerunkan agaknya.


Operasi Gari bermula



Suasana ketika itu juga agak sunyi. Jam sudah hampir dua pagi ketika itu. Suara penyokong di luar juga sudah tidak kedengaran lagi. Mereka semua sebenarnya telah dihalau keluar oleh FRU. Inilah tindakan polis kepada penyokong iaitu menghalau mereka agar mereka tidak menyaksikan kami semua dibawa pergi di dalam truck polis.


Saya sempat menghantar sms terakhir kepada suami dan sahabat tentang kejadian tersebut sebelum segala barangan kami seperti bag dan handphone diserahkan kepada Ustazah Nuridah dan suami yang dibebaskan pada malam tersebut. Namun Ustazah Nuridah dan suami hanya meninggalkan tempat tersebut semasa polis dan SB menjalankan operasi mereka ‘menawan’ kami.



Kami semua berkumpul di atas pangkin di hujung kantin beramai-ramai. OKT lelaki di sebelah kiri dan kami wanita duduk di sebelah kanan. Kebanyakan OKT lelaki berbaring dan tidur tanda protes. Apabila sekumpulan pegawai polis memulakan operasi cubaan menggari OKT lelaki untuk dibawa turun ke truck, kami semua berzikir dan berselawat beramai.


Semakin ganas sikap polis semakin kuat kami berselawat..”Laa Ilaha illallah…Laa Ilaha illallah…berulangkali. Polis mula bersikap kasar dan terus menggari dan menarik semua OKT. Ada yang menjerit kesakitan apabila ditarik dengan kasar. Dr Hatta Ramli terus memprotes dan terus membaringkan dirinya. Beberapa orang SB terpaksa mengangkatnya keluar, begitu juga Sdr Tian Chua dan beberapa orang yang lain sehingga mereka terpaksa diangkat dan diletakkan diatas troli untuk dibawa pergi. Polis juga bertindak ganas dengan menarik rambut dan memukul beberapa orang OKT termasuk Syed Jeymal, wartawan Malaysiakini.


“Kamu akan dibuka pakaian!”


Kami OKT wanita didatangi dan dihampiri oleh beberapa orang SB wanita seperti lelaki memujuk kami untuk bekerjasama dengan mereka dan mengikut perintah mereka untuk turun ke bawah. Kami juga turut memprotes dengan berdiam diri. Mengapa pula kami perlu memudahkan tugas mereka yang menangkap kami dengan niat jahat mereka.


Mereka terus memujuk dengan mengatakan bahawa mereka tidak mahu menggari kami, tapi jika kami berkeras juga mereka tidak ada pilihan selain dari menggari kami. Kami terus memprotes dan berdiam diri. Kemudiannya kami didatangi pula oleh ramai lagi pegawai polis.


Seorang SB wanita seperti lelaki menggugut dengan mengatakan bahawa semua kami akan diarahkan membuka pakaian apabila berada di Penjara Pudu. Apa lagi sudah tentu ianya membuat kami naik berang. Akhirnya setelah bosan mendengar suara-suara SB tersebut kami membuat keputusan untuk bangun dan berjalan sendiri.


Namun sahabat kami Ginie terus memprotes tidak mahu turun. Inspektor Anand sekali terpaksa datang untuk memaksa Ginie bekerjasama. Ginie terus memprotes dengan berbagai desakan. Kami kemudiannya dipanggil oleh SB naik semula ke atas. Rupa-rupanya Ginie hanya akan turun sekiranya kami sama-sama mengiringnya dan tidak mahu ada pegawai polis lelaki berhampiran hanya dengan polis wanita sahaja. Macam-macam ragam OKT kali ini. Memang pening, marah dan bosan SB dan polis yang mengawal kami.



Kami dibawa turun dan diarah menaiki sebuah truck polis yang bertutup semuanya. Malam yang kelam menambahkan lagi suasana kegelapan di dalam truck tersebut. Kami tidak dapat melihat antara satu sama lain. Hanya suara-suara kami yang kedengaran sebagai petunjuk setiap kami telah ada di di dalam.


Sebelum menaiki truck tersebut kami memberi amaran kepada SB-SB itu supaya berpesan kepada pemandu untuk tidak membawa kami dengan laju dan ganas. SB mempersendakan kami dengan mengatakan..”tak lajulah…perlahan saja”. Namun sebaik kami duduk di dalam truck, mereka mengarahkan kami untuk berpaut kuat pada palang besi. Geram betul kami. Mereka berdiri di luar dan terus berkata-kata dengan niat mempermainkan kami.


Balasan Allah, tak perlu tunggu lama


Setelah tiba di dalam kompleks Penjara Pudu, SB-SB wanita tersebut turun terlebih dahulu. Kami menunggu giliran kami. Tiba-tiba kami terdengar bunyi seperti orang yang terjatuh..”berdebuk” ke tanah. Rupa-rupanya SB wanita yang bernama Milah yang menggugut tentang kami akan dibuka baju tersebut telah jatuh ketika turun dari tangga truck.


Kami beramai-ramai di dalam..menjerit dan melaungkan “Takbir!!!!....Allah hu Akbar!!!” berkali-kali.Puas rasanya hati kami. Itulah akibatnya menzalimi orang yang tidak bersalah. Selepas itu, kami tidak pula mahu nasib yang serupa menimpa diri kami, maka Aiman berpesan supaya kami turun dengan perlahan-lahan dan berhati-hati. Saya turun dahulu dengan sangat berhati-hati dan memimpin tangan sahabat seperjuangan yang lain turun dari truck dengan selamatnya. Alhamdulillah. Subhanallah.


Saudari Aiman juga telah berpesan kepada seorang SB yang lain untuk memberi amaran kepada Milah untuk menjaga mulutnya dari mengatakan yang bukan-bukan kepada kami. Tidak tahulah samada amaran tersebut sampai atau tidak kepada si Milah ini. Namun yang jelas dan ketaranya ialah si Milah ni terus terlebih baik pula kepada kami selepas itu sehingga menyebut sayang, sayang pulak. Uwwekkk….nak termuntah kami dibuatnya. Apabila kami mengadu dahaga, dia dengan segera pergi mengambil air kotak yang sejuk dan menghulurkan kepada kami. Bila ada yang menyebut dahaga lagi, dia lansung mengambil bag plastik dan membawa beberapa kotak lagi air. SB oh SB….

Friday, 13 November 2009

Kenangan dari balik Tembok 'PUDU JAIL': Mesti Padamkan Mereka'

‘Mogok Lapar’


SB-SB yang ramai dan berbadan besar terus memarahi kami. Seorang dari mereka yang memperkenalkan diri sebagai Koperal Rahim mengarahkan SB yang ganas tadi untuk berundur diri. Beberapa kali juga kami terpaksa bertegang leher dengan SB-SB tersebut. Nasib baik di antara kami, Sdri Kohila memainkan peranan sebagai orang yang ‘berlembut’ sedikit. Koperal Rahim mula bertanya kepada kami apa yang kami mahu. Kami yang masih dalam keadaan marah menerangkan kepadanya tentang keadaan kawan kami yang sakit sejak semalam tetapi tidak mendapat layanan. Barulah selepas itu dengan segera sahabat kami itu dibawa keluar dari lokap. Alhamdulillah, berjaya juga tindakan kami melawan, walaupun kami semuanya secara fizikal sudah agak lemah kerana tidak makan dan minum. Saya dan Aiman bertekad untuk ‘mogok lapar’. Kami tidak menyentuh makanan yang diberikan, hanya minum sedikit air kosong.


Kami terus bertanya kepada Koperal Rahim, bilakah kami akan dibawa keluar untuk berjumpa peguam kami. Jawapannya ialah jam 11.00 pagi. Kami sudah dijanjikan untuk dibawa ke mahkamah untuk berhadapan dengan majistret. Selepas itu semua SB-SB tadi beredar pergi dari kawasan lokap. Keadaan kembali tenang. Kami bersyukur kerana tindakan kami melawan, walaupun terpaksa berhadapan dengan serangan SB, berjaya menyelamatkan sahabat kami dari terus terseksa. Selepas keadaan tenang dan aman, kami terdengar bunyi bising orang mengetuk-ngetuk mangga pintu sel dari arah sel kami. Ketika itu baru kami sedar yang 2 orang sahabat kami iaitu Nora dan Maisuharah telah ‘terperangkap’ dalam sel kami. Cepat-cepat kami minta kunci sel dibuka agar mereka dapat keluar bersama kami. Kesihan mereka terlepas daripada bersama-sama dalam keadaan yang runcing tadi.


Pudu Jail-5 Star!!


Semasa kami keluar dari sel, Mai masih tidur, dan Nora pula baru nak melelapkan matanya semula. Sebelum Nora mula hendak berbaring semula, dia mengingatkan kami bahawa lokap Pudu yang kami huni ini amat lebih baik kondisinya berbanding dengan lokap-lokap lain. Dia juga sudah meramalkan mengikut kebiasannya yang kami akan terus ditahan untuk tempuh 24 jam lagi. Maka kami pun biarkan dia terus beradu. Dia memang seorang yang sangat arif dengan keperluan dan keadaan yang perlu dilalui apabila ditangkap dan dipenjarakan.


Semua orang yang ada ‘lesen’ untuk ditangkap elok juga belajar pengalaman darinya. Ini temasuklah persedian barangan peribadi yang rupa-rupanya boleh dibawa masuk. Pada pagi kami tiba ke dalam lokap, Nora telah mendapat sebuah beg yang berisi sepersalinan pakaian dan lain-lain keperluan peribadi. Barangan tersebut mungkin telah dihantar oleh suaminya. Cemburu juga kami dibuatnya. Namun ini bakal menjadi panduan untuk kita semua. InsyaAllah.


Acara kami setelah selesai episode pertama ‘berperang’ dengan SB-SB yang ganas dan besar-besar itu ialah duduk-duduk merehatkan diri. Kami masih menghabiskan masa kami dengan duduk berhadapan dengan pintu lokap yang besar. Kami tidak mahu lagi masuk ke bilik sel kami yang aromanya amat meruntun kalbu. Kami duduk bersembang dan berbincang-bincang mengenai banyak perkara, isu pilihanraya umum..ada di antara kami yang bakal menjadi calon dalam PRU12, isu-isu hak asasi..dengan mengaitkan keadaan tahanan yang kami lihat sendiri di dalam lokap pudu ini. Mereka dilayan tidak ubah umpama haiwan yang dikurung di dalam sangkar. Simpati kami melihat mereka. Banyak lagi isu-isu penting yang kami bincangkan bagi menghabiskan waktu yang kami nanti-nanti untuk dibawa keluar.


Persembahan di dalam Penjara ;)


Jam 11 pagi seperti yang dijanjikan oleh SB tadi telah berlalu pergi. Memang benar SB tidak boleh dipercayai. Maka kawan-kawan yang lain mengajak kami semua menghiburkan hati. Ginie yang mungkin telah mendengar Aiman dan saya mendendangkan nasyid ‘Teman Sejati’ pun mula membuat permintaan agar kami mendendangkan nasyid tersebut semula.’Sedap didengar’ katanya. Maka dari situ kami semua mula mendendangkan nasyid-nasyid persahabatan dan perjuangan. Lagu-lagu patriotik dan lagu-lagu rakyat dan perjuangan turut kami dendangkan beramai-ramai dengan penuh perasaan, bersemangat dengan aksinya sekali.


Kami turut mendendangkan lagu Tamil sambil menari-nari. Terkejut juga Kohila, Sarasvathy, Rani, Vijaya dan Ginie melihat kami muslimat bernyanyi-nyanyi. Mereka bertanyakan adakah boleh wanita Islam menyanyi. Sudah tentu boleh dalam lingkungan kaum wanita sahaja. Kami tidak lupa juga untuk terus menjerit dan mendesak supaya kami dibebaskan. “ Bebas, Bebaskanlah, Bebas, Bebaskanlah”…”Aku ingin Bebas, Aku ingin lepas, dari Penjara ini”…dan bermacam-macam lagi sehingga kami semua keletihan kembali.


Selepas itu baru kami sedar yang kami sudah punya ramai peminat dan penonton yang tersedia, iaitu tahanan-tahanan yang ada di sel masing-masing memberi tepukan kepada kami. Kami memberitahu mereka sekiranya kami masih belum bebas, pada sebelah malamnya kami akan mengadakan persembahan khas.


Masa terus berlalu, kami terus menunggu dan menunggu, janji pukul 11 dah bertukar ke pukul 12 tengahari, bosan kami dengan janji-janji mereka. Apa-apa pun mereka perlu membawa kami berjumpa peguam dan majistret sebeum jam 2.30 petang, kerana tempuh 24 jam tamat ketika itu.


Makanan taraf 5 Star??


Makanan tengahari kami dihulurkan di dalam sebuah beg plastik yang besar. Di dalamnya terdapat bungkusan nasi, kuah di dalam plastik dan air kosong dibungkus di dalam plastic tanpa cawan dan straw. Tahanan hanya dibenarkan menghirup air terus dari plastik. Kami membuka satu bungkusan nasi untuk melihat isinya. Di dalamnya terdapat 2 ketul kecil terung yang direbus sehingga kehitaman warnanya dan ayam yang tersangat kecil sebesar ibu jari sahaja mungkin. Kuahnya pula ialah campuran air dan rempah kari. Tidak ada seorang dari kami yang sanggup menjamah makanan tersebut. Tahanan-tahanan yang berada di dalam lokap mereka meminta makanan tersebut dari kami. Kami terus membahagikan bungkusan-bungkusan tersebut kepada mereka. Puas juga hati kami dapat meneruskan khidmat bakti walaupun dipenjarakan.


Sekali lagi kami sedih dan simpati melihat keadaan mereka,makanan mereka diletakkan di atas lantai di luar pintu lokap. Mereka terpaksa menghulurkan tangan keluar untuk mengambil makanan tersebut. Kadang-kadang kucing yang banyak berkeliaran terlebih dahulu menghidu-hidu bungkusan tersebut. Selesai makan kertas bungkusan diletakkan semula di luar pintu sel sebelum dipungut oleh tahanan Indonesia yang diberi tugas sebagai ‘bibik’ kepada pegawai polis.


Suara-Suara Keramat


Sedang kami menunggu kami mendapat perkhabaran dari pekerja yang keluar dan masuk semula ke lokap kami mengatakan, kawan kami di luar ramai sekali dan menjeritkan ‘bebas..bebaskan’. Kami bertambah segar dan bersemangat semula. Kami terus berlari memasuki semula bilik sel kami, kerana kedudukannya yang paling hujung dan ada tingkap yang berjaring besi.


Kami cuba mengamati suara-suara yang datang dari luar. Sayup-sayup kedengaran suara melaungkan ungkapan keramat..’BEBASKAN, BEBASKAN, BEBASKAN TAHANAN’, ‘REFORMASI! REFORMASI!’. Seronok kami semua dibuatnya. Apa lagi kami menyusun semula barisan kami dan mula meneriakkan slogan-slogan perjuangan. Kami berhenti apabila semua sudah terlalu penat dan kehausan. Apabila tiba waktu solat zohor, kami tidak melengahkan masa untuk solat berjamaah,kerana bila-bila masa kami akan dibawa keluar.


Masa yang dinanti-nantikan akhirnya tiba apabila kami dijemput untuk keluar dari lokap. Kami dikehendaki beratur berdua dan menunggu arahan seterusnya sebelum berjalan keluar menuju ke pejabat Balai Polis. Di sana kami berkumpul di sebuah bilik yang agak besar. Tersedia sebuah meja panjang dan deretan kerusi di kiri kanan bilik tersebut. Beberapa minit kemudian para OKT lelaki dibawa masuk ke bilik tersebut.


Kami memberitahu kepada pegawai polis yang bertugas bahawa kami semua dahaga dan inginkan air untuk menghilangkan kehausan kami. Seperti biasa segala permintaan memang sukar dipenuhi, melainkan kami terpksa meminta dengan cara membuat bising. Sukar difahami mengapa sedemikian keadaannya. Maka mulalah kami membuat bising dengan menjerit ‘Nak Air, Nak Air’. Memang betul, barulah mereka datang membawa satu jug air dengan bebeapa gelas plastik. Habis sebekas air dapat pula mereka membawa sebekas lagi sehingga kami semua dapat menghilangkan dahaga.Alhamdulillah.


Sambil menunggu kedatangan peguam untuk mendapat keterangan dari kami, Dr Hatta mengajak kami semua berlakon seolah kami berada di dalam mahkamah dan Dr Hatta berlagak sebagai seorang majistret. ‘Majistret’ telah menghukum kami, dengan semuanya di sambung tahanan reman lagi.


Peguam Pembela Rakyat!


Peguam-peguam yang kami nantikan dengan penuh harapan akhirnya tiba dan masuk ke dalam ruang bilik tersebut. Mereka semuanya kelihatan segak bergaya dan masing-masing nampak begitu ‘confident and committed’ untuk membela nasib kami semua. Kami menyambut mereka dengan tepukan yang penuh bersemangat dan gembira sekali. Masing-masing berpeluang bertemu dengan peguam-peguam yang hadir pada hari itu. Ramai sekali jumlah mereka dengan diketuai oleh peguam Amer Hamzah. Peguam mengambil keterangan dari kami terutamanya mengenai di mana dan bagaimana kami ditangkap. Tahap kesihatan kami juga diberi penekanan.


Siapa? …dia…Majistret???


Majistret yang kami nantikan untuk mendengar dan menghakimi kes tahanan reman kami akhirnya tiba dengan didiringi oleh ramai pegawai-pegawai lain. Sukarnya untuk mengenal pasti yang mana satu majistretnya. Namun akhirnya mata saya tertumpu ke batang tubuh seorang wanita yang berjalan paling ke hadapan. Jantung saya seolah berhenti berdegup seketika. Termangu juga saya dibuatnya. Betulkah wanita ini yang bakal menghakimi kami???...Tak mungkin…mungkin saya tersalah orang kerana bukan selalu saya melihat wajahnya. Tetapi kakaknya adalah sahabat baik saya semenjak suaminya menjadi mangsa kezaliman undang-undang ISA. Kalau betullah orangnya, saya telah menghadiri majlis perkahwinannya pada bulan Ogos tahun lepas.


Macamana saya nak pastikan, saya meraba ke dalam poket baju saya. Ah…terlupa pula, mana ada lagi handphone. Saya sempat berbisik pada Aiman dan Ustaz Badrul mengenai sangkaan saya siapa sebenarnya majistret tersebut. Masing-masing agak terkejut. Saya bingkas bangun dan keluar dari bilik tersebut untuk mencari sesiapa yang boleh meminjamkan handphone kepada saya. Akhirnya dapatlah saya menghubungi sahabat saya dan bertanyakan tentang hal itu. Maka terjawab sudah, memang betullah saya amat mengenali majistret ini, dan majistret ini juga pasti mengenali saya dan kebanyakan OKT yang bakal diadilinya di Mahkamah terbuka tersebut. Majistret dan Mahkamah yang sepatutnya mengadili kes dengan penuh kebijaksanaan dan bukan mengikut telunjuk orang atasan mereka.


Mesti Padamkan Mereka!!!

(Operasi ini dipanggil OPS PADAM 3)


Saya masih menaruh harapan agar majistret ini sedar akan tanggungjawabnya yang sebenar dan takut akan azab Allah terhadap Hakim yang tidak adil. Pendengaran kes kami pada petang itu dilakukan mengikut kumpulan yang ditangkap, dimulakan dengan Saudara Arutchelvan. Setiap kami diwakili oleh seorang peguam yang membela. Inspektor Anand pula ialah orang yang ‘bertugas’ memastikan walau dengan apa cara dan segala alasan dan pertuduhan yang direkacipta dalam masa beberapa jam sahaja, untuk kami tetap ditahan reman dan disumbat dalam lokap untuk tempoh paling kurang 48 jam!.


DPP pula dihantar khas oleh peguam Negara untuk kononnya menguatkan lagi segala hujah pendakwaan terhadap kami walupun kehadiran mereka adalah tidak perlu untuk kes seperti kami. Paling hebat Majistret yang telah diarahkan dengan tergesa-gesa, untuk datang membaca skrip yang telah disediakan. Keseluruhannya yang amat unik ialah semua pegawai kerajaan ini terpaksa mengorbankan hari minggu mereka untuk datang ke Pudu Jail dan satu ‘Mahkamah Terbuka’ terpaksa diadakan untuk melakonkan semua sandiwara pada hari itu.


Persoalan akhirnya, apakah kita boleh mendapat keadilan di dalam sistem kehakiman yang wujud seperti ini. Saya menerima sms dari seorang sahabat yang mengatakan bahawa apabila kita berjaya memerintah nanti orang pertama yang akan kita hakimi dan ‘pancung kepalanya’ ialah Ketua Hakim Negara sendiri! Dalam kes kami memang dia telah mengarahkan majistret untuk memastikan kami semuanya terus ditahan reman di dalam lokap.


Kami mengancam Keselamatan Awam???


Seperti yang dijangka, walaupun kita yakin dengan hujah peguambela kita dan jijik dengan alasan pegawai yang mendakwa, Saudara Arutchelvan dibenarkan oleh majistret untuk ditahan reman selama 24 jam lagi. Alasannya proses soal-siasat masih belum selesai, polis mempunyai banyak rakaman video yang perlu diproses menjadi ‘still pictures’.Atas alasan mengancam keselamatan awam dan terlalu banyak ‘perhimpunan haram’ yang diadakan. Maka cerah jugalah masa depan kami untuk mengikuti jejak langkah Arutchelvan.


‘Mahkamah’ berehat selepas ‘judgement’ keatas Arut dijatuhkan. Saya bertanya kepada peguam Amer Hamzah, apakah harapan untuk kami. Katanya dia akan cuba merayu agar OKT wanita dilepaskan. Lega juga rasanya. Selepas rehat giliran kumpulan kami pula tiba, 5 orang muslimat dan seorang adik lelaki. Kami berenam berdiri di hadapan Puan Majistret semasa peguam kami menyampaikan hujahnya.


Seketika Majistret memohon berhenti seketika dan mengarahkan kami untuk duduk. Memang ada simpati di wajahnya yang sedikit pun tidak memandang wajah-wajah kami dan beliau hanya tunduk mencatatkan segala hujah-hujah yang dibacakan. Kami terus duduk bersimpuh di atas lantai di hadapan majistret. Seperti tadi Inspektor Anand terus membaca dakwaan ke atas kami.


Paling menyakitkan hati saya sebagai manusia yang tidak bersalah ialah apabila Inspektor Anand menuduh kami ‘cuba melarikan diri apabila ditangkap’. ‘Kurang ajar’ betul dia. Namun wajah Inspektor Anand juga terserlah wajah orang yang amat serba salah, namun apakan daya tugasnya seperti diarahkan orang atasan perlu dilaksanakan.


Lawan Tetap lawan!!!!!


Akhirnya masa untuk memberi keputusan oleh Majistret tiba, beliau mengambil masa yang agak lama untuk membaca ‘script’ yang telah disediakan oleh ketuanya. Beliau membelek-belek halaman notanya berkali-kali sambil mengetap-ngetap bibirnya. Namun beliau masih tidak mampu untuk mengangkat wajahnya memandang kearah kami maupun kearah semua yang ada di dalam bilik tersebut. Oleh kerana lama masa yang diambil, kami berenam bangun berdiri semula. Akhirnya seperti nasib yang menimpa Saudara Arut, kami juga terpaksa merengkuk di dalam penjara sehari semalam lagi.


Bermula lagi episode baru di dalam kehidupan kami sebagai penghuni penjara yang menambahkan statistic tahanan yang ditahan di dalam Penjara Pudu tersebut, kerana nama-nama kami turut tercatat di papan putih mereka. Namun kami ditahan dan dipenjarakan hanya untuk menakutkan-nakutkan rakyat yang mahu bangun menyuarakan hak seperti yang termaktub di dalam perlembagaan. Di penjarakan untuk memadam api perjuangan dan kemarahan rakyat. Kami lalui detik-detik ‘penginapan’ kami di penjara dengan penuh kesedaran bahawa kami telah dizalimi.


Kami tetap melawan hingga saat kami dibebaskan semula dari lokap Mahkamah Jalan Duta dan berjalan keluar dari kompleks Mahkamah jam 7.10 malam Isnin 28 Januari 2008.

Thursday, 12 November 2009

"Ummi, ampunkan semua dosa-dosa Asiah, ummi"

(Saya pada mulanya berkongsi cerita ini hanya di dalam ruangan 'notes' di FB, namun bila ada sahabat yang merujuk pada blog saifulislam mengenai isu ini maka saya terasa ingin berkongsi sama, agar anak-anak yang lain tidak menerima akibat dari perkara yang serupa. Saya terpksa mengharungi hari-hari yang mendatang sambil melihat perubahan sikap kepada diri Asiah. Menurut doktor yang saya temui malam tadi memang ini tanda-tanda 'post traumatic' dan doktor tak dapat beri apa-apa ubat untuk menenangkan berbanding sekiranya ia berlaku kepada orang dewasa, ia mungkin akan mengambil masa sehingga seminggu atau lebih untuk menjadi normal)

-------------------------------------------------------------------------------------------
Dengan suara yang teresak-esak dan tersedu-sedu Asiah bercakap kepada saya melalui telefon "Ummi, ummi, ummi ampunkan tak semua dosa-dosa Asiah, ummi ampunkan tak". Saya yang tidak berapa jelas dengan sebutannya kerana diiringi tangisan memohon Asiah mengulang beberapa kali. "Asiah, ummi tak dengarlah, Asiah cakap apa tu?"

Dengan esakan yang lebih jelas kedengaran Asiah mengulangi lagi, "Ummi, ummi ampunkan tak semua dosa-dosa Asiah, ummi ampunkan tak Asiah".

"Ya Allah, Asiah, kenapa ni,Asiah kecik lagi la, Asiah tak ada dosa pun, kalau Asiah meninggal Asiah masuk syurga, ummi ampunkan semua dosa-dosa Asiah, kenapa ni, kenapa Asiah cakap macam ni?" tanya saya dengan fikiran saya sepantas kilat memikirkan tentang apa sebenarnya yang 'mengganggu' Asiah anak bongsu saya yang baru berusia 8 tahun, di darjah dua.

Sekali lagi dalam sedu Asiah menjawab "Kawan Asiah cerita pasal hari Kiamat". Barulah saya tahu sedikit apa puncanya, terpaksa memujuknya kerana saya tidak dapat pergi menemuinya di sekolah kerana sudah dalam perjalanan menuju ke Petaling Jaya.

Sepanjang perjalanan, hati saya memang runsing kerana esakkan Asiah amat ketara dan cara dia bertanya untuk memastikan bahawa saya, umminya, mengampunkan segala dosa-dosanya amat suci dan tulus sekali, walhal dia baru 8 tahun bernafas di bumi ini...dia sudah takutkan akan ketibaan hari yang satu, hari yang nantinya pasti akan datang...hari kemusnahan, segalanya akan musnah...hari yang di mana pintu taubat sudah tertutup, hari penentuan, semua makhluk akan musnah dan menanti hari perjumpaan dengan penciptaNya...hari di mana Keadilan akan ditegakkan, siapa yang berdosa pasti akan terseksa...ya memang menakutkan amat menakutkan. Entahla saya tidak dapat memikirkan jawapan kenapa Asiah begitu terasa..begitu terkesan di hatinya.

Dalam keadaan sibuk-sibuk berada di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya menghadiri perbicaraan kes tangkapan demo ulangtahun bersih 10-11 dan NO To ISA, saya lupa seketika tentang Asiah. Bila Mahkamah menangguhkan perbicaraan sekitar jam 12 tengahari saya melangkah pulang dengan menaiki LRT. Belum tentu arah destinasi samada terus ke Terminal Putra atau singgah di mana-mana sebelum pulang ke rumah. Dengan menggunakan kad Touch n Go, saya boleh membuat keputusan untuk singgah di mana-mana pada saat-saat terakhir.

Akhirnya bila tiba ke stesen LRT KLCC dengan semerbak bau roti boy, saya membuat keputusan untuk melangkahkan kaki keluar dan mencari tempat untuk mengalas perut dan buat sedikit terapi minda dengan 'window shopping' dan terapi kaki dengan berjalan. Sempat berjalan sebentar dan mengisi perut sebelum kemudiannya menerima panggilan dari sekolah Asiah.

"Ini Puan Nashita ya, ibu Asiah, Asiah pening, badan dia panas sedikit, dia ada di bilik guru, nanti Puan boleh datang ambil dia ya"

Oooo..saya pun menceritakan situasi pada pagi tadi apa yang berlaku pada Asiah. Saya yakin dia pening dan demam lantaran benar-benar takut dan trauma dengan cerita kiamat tersebut. Membuatkan saya tertanya-tanya apakah cerita yang sebenarnya.

Dalam perjalanan ke sekolah terima satu lagi panggilan yang serupa dari pejabat memaklumkan Asiah menunggu saya di pejabat sekolah. Terus saya keluar dari KLCC dan menjemput Asiah di sekolah, dia berada di pejabat. Asiah kelihatan amat sedih dan muram. Asiah memberitahu saya dia menangis sejak dari pagi tadi lagi. Saya maklumkan pada kerani di pejabat apa yang berlaku. Mereka berjanji akan mencari anak yang menceritakan tentang hal itu. Namun ada dua orang lagi kawan Asiah yang turut sama mendengar, tetapi tidak pulak beremosi seperti Asiah.

Saya bertanya kepada Asiah apa yang diceritakan oleh kawannya. "Kawan Asiah kata, kalau setitik air terkena pada matahari, tak sampai satu minit akan jadi kiamat."

Saya tidak mahu lagi bertanyakan kepadanya kerana takut timbul semula traumanya. Badannya sedikit panas. Saya maklumkan pada Asiah yang saya akan membawanya bersama menjemput Abangnya yang sulong, Anas di asrama di Jeram, Kuala Selangor. Nampak dia gembira. Alhamdulillah, tapi dia sudah tidak seperti biasa, dia lemah dan baring sahaja.

Hari ini, dia lebih trauma....dia tidak boleh mendengar bunyi bising. Dia akan berlari mencari saya dengan muka yang ketakutan seperti 'orang nampak hantu'. Saya bingung. Saya terpaksa pangkunya sepanjang masa. Kebetulan pula saya telah memanggil orang untuk memasang tangki air yang baru dan membaiki beberapa kerosakan kecil di rumah, apa lagi tak senang Asiah dibuatnya, dia menangis sepanjang masa. Saya bingung lagi apatah lagi dengan ketiadaan abahnya. Saya bawa dia ke dalam bilik, dia ketakutan bila lihat langsir di tiup angin, bingkas dia bangun dan menutupnya, kami duduk di dalam gelap.

Teringat saya untuk menghubungi kawan saya dan mohon bantuan, dia menasihatkan saya untuk membaca Al-Fatihah 7 X dan meniup di ubun-ubun Asiah. Saya memanggil Anas, anak saya yang sulong yang sudah bergelar Al-Hafiz. "Anas tolong ummi pangku Asiah dan bacakan ayat-ayat Al Quran pada Asiah ya...ummi dah penat la"...."Ok la ummi, tapi Anas baca perlahan-lahan dalam hati saja ummi ya..."

Saya biarkan Asiah di pangkuan abangnya, abangnya mula membaca Ayat-ayat suci Al Quran kepada adik bongsunya.

Dapatlah saya menghabiskan kerja-kerja rumah yang terbengkalai...akhirnya di hampir waktu zuhur Asiah kelihatan lebih normal dan tenang...saya pula seolah kehilangan seluruh tenaga hingga terpaksa berehat lama. Syukur dengan kepulangan Anas dari asrama dengan jauh lebih awal dari sepatutnya.

Alhamdulillah syukur...moga tidak ada apa-apa yang pelik berlaku selepas ini.....

Tuesday, 10 November 2009

Kenangan: Tak sangka menghuni Penjara Pudu.


Saya terbitkan semula kisah ini setelah terbaca satu rencana yang ditulis oleh seorang peguam di blognya yang juga tersiar di Sinar Harian. Kisah ini mengingatkan kembali pengalaman saya dan kawan-kawan dipenjarakan. Saya tulis ini sebaik saya dibebaskan dari penjara pudu dan lokap Mahkamah Jalan Duta. Kami ditangkap pada 26-1-08 dan dilepaskan pada jam 7 malam 28-01-08. Di bawah ini adalah sebahagian cerita yang telah saya nukilkan sewaktu itu.

Bacalah....


Tak sangka menghuni Penjara Pudu


Bermulalah episod baru dalam kehidupan kami selepas itu, menjadi penghuni penjara pudu yang sangat terkenal itu. Namun tidak ramai yang tahu bahawa Penjara tersebut masih berfungsi dan menyangka Pudu Jail tersebut sudah tidak berpenghuni dan sudah menjadi sebuah muzium. Kehadiran kami di sana menjadi bukti bahawa ianya masih lagi utuh menyimpan tahanan-tahanan yang belum dibuktikan kesalahan mereka.


Kemungkinan kami tiba di Penjara Pudu sekitar jam 3.30 pagi. Kami dikumpulkan di satu kawasan terbuka namun dikelilingi oleh pagar besi dan kawat besi. Kami duduk-duduk dan bersantai di situ. Suasana begitu segar dan indah sekali, bulan mengambang tepat di atas kepala kami. Ramai yang masih segar dan cergas berbual-bual dan berlegar. Ada juga yang mahu-tidak mahu terpaksa jua merebahkan diri di atas simen di situ. Semuanya memang sudah amat keletihan.



OKT lelaki diarah untuk menukar ke pakaian lokap dan terpaksa berkaki ayam. Masa yang ada juga, kami dibenarkan untuk masuk ke pejabat balai dan membuat laporan polis. Kami juga sempat merakamkan beberapa aksi menarik ketika itu sebagai saksi kami pernah ditangkap dan disumbatkan ke Penjara Pudu. Bukan untuk bermegah-megah tetapi sebagai bukti kepada anak-anak dan generasi yang akan datang. Perjuangan menentang kezaliman bukanlah suatu perkara yang mudah, mesti bersedia untuk dipenjarakan oleh pemerintah yang takut dengan bayang-bayang mereka sendiri.


Setelah semua proses selesai, OKT lelaki mula dibawa masuk ke lokap bahagian lelaki, masing-masing sudah dipaksa memakai baju lokap dan berkaki ayam. Kami OKT wanita tidak dipaksa menukar pakaian. Namun kalau dipaksa, kami tetap akan berjuang menegakkan maruah kami. Namun kami tetap meminta seorang sehelai baju lokap yang bakal kami jadikan alas atau selimut sekiranya kesejukan. Kami dibawa masuk ke Bangunan lokap wanita sekitar jam 5 pagi. Di sana sekali lagi kami terpaksa melalui satu lagi proses yang panjang dan memenatkan. Kami terpaksa lagi berdiri dengan lama. Tetapi kami memberi peluang kepada sahabat seperjuangan yang tidak sehat untuk duduk di atas dua kerusi yang ada di dalam ruang Pejabat polis yang menjaga.

“Kami Tahanan Politik!”


Sedang kami menunggu, keluar seorang pegawai polis wanita yang bertugas memberi arahan kepada kami sambil menunjuk kearah lantai simen..” Semua duduk di bawah”. Wah apa lagi, kami semua menjerit serentak..”Kami bukan banduan, kami semua tahanan politik!!!”. Terus polis tersebut terdiam dan berlalu dari situ. Ada di antara kami yang terdengar dia berkata-kata “kenapalah mereka ni ditahan”. Kemudian datang pula seorang lagi polis wanita yang bertugas, mundar mandir seperti tidak tahu apa yang patut dilakukannya. Patutlah, saya telah duduk di atas kerusi yang sepatutnya dia duduk, dia pula tidak menyuruh saya bangun, hingga akhirnya Aiman menegur saya untuk bangun. Barulah dia dapat duduk dan meneruskan tugas-tugasnya.


Kami kemudiannya diberi arahan untuk membuka pakaian, apalagi, menjeritlah kami semua..”tidak mahu, kami dah diberi kata janji dari luar bahawa kami tak perlu membuka baju atau menukar ke baju lokap”. Polis tersebut terus berhubung dengan balai di luar. Sekali lagi arahannya ialah kami mesti membuka baju dan menukar ke pakaian lokap. Kami tetap berkeras dan membantah dan menyatakan baju tersebut diambil oleh kami untuk dijadikan alas atau selimut. Akhirnya tiada apa atau siapa yang dapat memaksa kami membuka baju dan menukar ke pakaian lokap. Kami berjaya mempertahankan harga diri kami. Subhanallah, Allah hu Akbar.


Proses dokumentasi di situ termasuklah membuka dan menyerahkan semua barang-barang kemas yang dipakai di badan termasuk jam, handphone dan lain-lain lagi. Kami diberikan satu beg plastik kecil seorang untuk dimasukkan barang-barang berharga milik kami. Kemudian seorang demi seorang memberi maklumat tentang setiap barang yang diserahkan. Kemudiannya seorang demi seorang perlu menurunkan cap jari bagi pengesahan. Selepas itu kami diberikan satu bag plastik yang lebih besar untuk kami masukkan kasut dan lain-lain barang yang ada. Kami juga diberikan satu palstik kecil yang berisi berus gigi yang batangnya sekerat, setiub kecil ubat gigi, sebuku kecil sabun cap kapak agaknya dan sehelai tuala good morning. Dapatlah juga kami membersihkan diri dengan bekalan tersebut.


Kami hanya dibenarkan masuk ke lokap dengan sehelai sepinggang dengan hanya pakaian yang lekat di badan kami. Maka berkaki ayamlah kami semuanya sepanjang berada di dalam lokap tersebut. Sebaik hampir selesai semua proses, jam di dinding menunjukkan hampir jam 6 pagi. Kami memohon untuk menunaikan solat subuh. OKT bukan muslim terus di bawa masuk ke dalam lokap yang bakal menerima kami sebagai penghuni barunya. Kami OKT Muslimat terus ke tandas untuk membersihkan diri dan mengambil wuduk. Alhamdulillah, keperluan dan kewajipan yang satu ini kami terima tanpa perlu menjerit dan berlawan. Kami juga dibenarkan menggunakan tandas pekerjanya yang lebih bersih. Kami menunaikan solat subuh di bilik yang ada di lokap tersebut. Mungkin bilik yang digunakan oleh pegawai polis yang bertugas.Kami mengambil peluang untuk solat berjemaah dan diikuti dengan zikir mathurat. Kedengaran sedu sedan diantara kami. Sudah tentu bukan sedih mengenangkan nasib kami yang dipenjarakan.


Bagi diri saya, terasa sedih mengenangkan nasib malang yang menimpa kita rakyat Malaysia lantaran mempunyai pemimpin yang zalim dan penindas, sedih mengenangkan apa yang bakal menimpa kepada generasi yang akan datang sekiranya rakyat terus leka dan tidak berani bangun menentang kezaliman. Dalam hati terus berdo’a agar Allah memberikan kepada kami dan semua pejuang keadilan dan kebenaran, kekuatan dan keberanian untuk terus berjuang hingga menang!. Allah hu Akbar.


‘Kejutan Budaya??’


Selesai solat kami bergerak menuju ke lokap. Kami terpaksa melalui pintu lokap yang pertama yang besar. Kami terpaksa menundukkan pandangan kami dan beristighfar di dalam hati melihat adegan-adegan dan aksi-aksi yang tak ingin kami lihat sepanjang perjalanan menuju ke bilik lokap kami. Ini mungkin satu ‘culture shock’ juga buat diri kami. Sebenarnya dalam lokap yang besar itu terdapat beberapa lagi lokap yang lebih kecil di kiri dan kanan ruang tersebut. Di dalamnya terisi dengan tahanan-tahanan reman yang terdiri dari warga asing. Ada yang dari Indonesia, China, Thailand, Vietnam dan merata pelusuk dunia lagi. Mereka ditangkap atas berbagai alasan yang kadangkalanya tidak tahu apa alasannya. Mereka semuanya berpakaian t-shirt lokap, tetapi masing-masing mempergayakannya dengan berbagai-bagai fesyen rekaan sendiri yang benar-benar ‘menjolok mata’. Ada yang hanya tinggal dengan pakaian dalam sahaja. Inilah sebenarnya pemandangan di dalam sana.


Lokap kami terletak di hujung sekali. Sebaik kami berlima masuk ke dalam lokap, pintu lokap terus dikunci dengan mangga yang besar. 6 orang sahabat kami masing-masing sudah terbaring di posisi masing-masing di atas simen yang dinaikkan sedikit seperti pangkin. Masing-masing menggunakan t-shirt lokap sebagai alas. Mereka semuanya kelihatan seperti sedang lena tidur. Kami yang lain mencari ruang-ruang yang sesuai untuk melabuhkan badan dan berbaring. Saya hanya dapat memejamkan mata, namun sedikit pun tidak terlelap. Kesejukan simen menusuk sehingga ke tulang-tulang. Entah berapa lama begitu, saya bingkas bangun dan menyarungkan t-shirt lokap untuk menghilangkan sedikit kesejukan. Rupanya saya tidak keseorangan, Aiman juga bingkas bangun dan kami sama-sama bersembang-sembang dan mendendangkan nasyid. Entahla samada teman yang lain geram atau tidak dengan kami kerana bising.


Seketika kemudian datang 2 orang tahanan Indonesia mengheret bakul dan meletakkan beberapa bungkusan roti berkrim, biskut 4 segi dan air teh yang diisi di dalam plastik kecil dan diikat dengan getah. Semua barang tersebut diletakkan di atas lantai simen di depan pintu sel. Ketika itu juga datanglah beberapa ekor kucing menghidu-hidu dan melangkah-langkah makanan tersebut. Kami biarkan saja makanan tersebut di situ. Tak terdaya hendak menyentuhnya.


“Hancing, keluarkan kami dari sini!!!”


Tahanan dari lokap yang lain selain dari kami kemudiannya dilihat bekejar-kejar keluar menuju ke satu pintu betul-betul di hadapan pintu sel kami. Seketika selepas itu mulalah hidung kami semua ditusuk dengan bau yang tersangat hancing menusuk ke hidung hingga ke dada-dada kami. Ketika itu ramai diantara kami mula bangun dari pembaringan masing-masing. Kami mula terpaksa menukar tempat duduk kami jauh dari pintu lokap kami. Rupa-rupanya lokap kami terletak betul-betul di hadapan tandas tahanan. Kebetulan pula mereka semua baru dilepaskan keluar dari lokap masing-masing sejak mereka dikurung semalaman agaknya.Entahlah, mungkin ada yang telah terhambur isi pundi kencingnya sebelum sempat sampai ke destinasi.


Pukul Berapa Dato’ Harimau??


Satu perkara lagi yang ‘menarik’ bagi mereka yang menghuni di penjara ialah, kita telah ditarik nikmat untuk mengetahui masa dengan tepat apabila jam kita diambil dan tidak ada jam yang kelihatan di dalam lokap. Kami terpaksa meneka-neka waktu yang sebenarnya dengan melihat cahaya dari luar dan bunyi-bunyian yang ada. Akhirnya dengan bertanya kepada tahanan Indonesia yang juga bertugas sebagai pembantu pegawai polis barulah kami tahu dengan pasti waktu ketika itu ialah jam 8.30 pagi. Aduh…lambat betul masa berlalu. Sebaik pintu sel kami dibuka kami terus keluar dan duduk-duduk berehat di hadapan pintu lokap yang besar. Berhadapan laluan pegawai polis yang menjaga dari ruang Pejabat ke tandas. Di situlah kami duduk-duduk bersembang, berbincang bagi mengisi masa lapang kami.


Lawan Terus Lawan


Salah seorang sahabat kami Vijaya, sejak dari mula kami tiba di Penjara Pudu telah mula sakit-sakit gastric. Semakin lama semakin teruk. Kami telah memohon untuk mendapatkan ubat dan air milo panas untuk diberi kepadanya. Namun semua permintaan kami yang entah berapa kali itu tidak dilayan sehingga ke siangnya. Sahabat kami semakin sakit. Maka mulalah kami berbincang dan membuat keputusan untuk ‘melawan’ dari dalam lokap. Kami mula membuat bising. Kami menjerit sekuat hati kami sambil melaungkan ungkapan-ungkapan “ Hidup Rakyat, Hidup Perjuangan, Bebas, Bebaskan lah, Kami nak Ubat, Kami nak Milo, Kami nak Peguam dan macam-macam lagi yang terkeluar dari mulut kami semua. Kami menjadi bertambah kuat dan semangat demi membela nasib sahabat kami yang memerlukan rawatan.


Rupanya kami tidak perlu mengambil masa yang terlalu lama untuk menarik perhatian mereka yang menjaga penjara pudu tersebut. Seketika, keadaan di hadapan menjadi kecoh dan dengan pantas sahaja muncul entah berepa orang SB yang semuanya tak beruniform dan berbadan besar. Beberapa orang dari mereka merempuh pintu lokap betul-betul di hadapan kami. Kami semuanya di waktu itu sedang berpaut pada besi-besi pagar pintu lokap. Salah seorang SB tersebut menghentak kuat mangga pintu lokap yang sebesar penumbuk itu. Bunyinya amat kuat dan menggerunkan. SB itu menjerit kepada kami “ Hoi!!!..Buka Pintu ni!!Nanti kami kunci semuanya di dalam lokap!!”. Wah menggigil tubuh badan saya ketika itu, bukan kerana takut tetapi kerana terpaksa menahan perasaan marah yang teramat sangat. Tidak semena-mena air mata saya mengalir keluar, juga bukan kerana kesedihan, tapi kerana tidak berdaya melawan mereka kerana jasad kami telah dipenjarakan…..


Nukilan di atas adalah sebahagian dari kesah 3 hari 2 malam menjadi tahanan politik......