Monday, 27 September 2010

Pejuang REFORMASI: Do'akan yang terbaik buat mereka

Hari ini ramai juga yang sudah sedia maklum dan dimaklumkan tentang keputusan kes UKM4 yang bakal disebut di Mahkamah Jalan Duta Kuala Lumpur esok 28hb September 2010. Kes 4 orang pelajar ini dibicarakan kerana mereka dituduh menyokong Parti Politik semasa Pilihanraya Kecil Hulu Selangor April lepas.

InsyaAllah dan Alhamdulillah sehingga ke tahap ini banyak kes yang melibatkan perhimpunan aman ahli Pakatan Rakyat dalam menentang kezaliman pemerintah keputusannya memihak kepada semua yang tertangkap dan tertuduh. Pihak pendakwaan didapati gagal membuktikan pertuduhan mereka.

Paling terkini ialah kes yang membabitkan 5 pelajar Universiti Malaya juga didapati mereka tidak bersalah kerana kegagalam pihak pendakwaan membuktikan sebaliknya.

Syukur kerana kes ini tidak mengambil masa yang lama untuk diselesaikan maka mereka tidak terus menerus menanggung bebab perlu berulang alik ke mahkamah, gagal menghadiri kuliah atau dibuang universiti.

Hari ini pada masa yang sama ketika saya juga turut menyebarkan maklumat berkenaan kes UKM4 saya juga telah menerima panggilan telefon dari Puan Aliza Jaffar isteri YB Saari Sungib ADUN Hulu Kelang yang sedang berada di Taiping. Beliau sedang menghadiri perbicaraan kes tangkapan perhimpunan aman di hadapan Kem Tahanan Kamunting yang diadakan pada 20 hb Julai 2001...berapa tahun sudah berlalu???

10 tahun lamanya....lama bukan, malah terlalu lama. Dalam tempoh tersebut 7 orang dari sejumlah 37 orang yang ditangkap pada hari kejadian telahpun meninggal dunia, dan kes ini masih tidak dapat diselesaikan. Ianya mengambil masa yang terlalu lama. Seingat saya kemungkinan dalam tempuh 10 tahun ini, mungkin perbicaraan dijalankan sebanyak 40 kali sahaja dengan bilangan kes terpaksa ditangguhkan oleh berbagai alasan termasuk pita video yang sudah 'out of date' kerana menggunakan video tape yang besar berbanding zaman teknologi cd kecil kini dan memory card.

Bukan sahaja teknologi yang sudah silih berganti dan pergi tak kembalinya 7 orang OKT, malah ada yang sudah bertukar parti atau lansung tidak endah untuk muncul diri ke mahkamah. Di samping itu Majistretnya juga silih berganti.

Namun peguamnya tetap seorang sejak dari awal....walaupun pada awalnya, seperti dalam mana jua kes tangkapan perhimpunan aman, di hari pertama pasti ramai peguam yang menonjolkan diri untuk membela, namun tidak ramai yang akhirnya akan setia tinggal membela dan membantu.

Peguam dalam kes ini ialah Saudara Saiful Izham Ramli. Beliaulah seorang sahaja yang kekal membela kesemua yang tertuduh sehingga tarikh hari ini. Ianya bukanlah suatu perkara yang mudah dan memerlukan kekuatan semangat yang tinggi untuk meneruskan usaha ini yang tidak mendapat ganjaran di dunia dan tidak dipandang dan diambil endah oleh ramai orang atau banyak pihak. Kiranya pada hari beliau ditimpa sakit sudah tentu kes ini tidak dapat dijalankan kerana tiada pengganti atau pembantunya.

Tengahari tadi saya menerima panggilan telefon dari Puan Aliza memaklumkan tentang kedudukan kes ini. Kami di Gerakan Mansuhkan ISA mengambil tahu mengenai perjalanan kes ini dan membantu sekadar yang terdaya kerana kes ini berkaitan dengan perhimpunan aman membantah penahanan 10 orang tahanan ISA di tahun-tahun kegemilangan REFORMASI.

Puan Aliza memaklumkan tentang keputusan yang telah diambil oleh mereka agar ada sekumpulan 10 orang yang akan 'berkorban' untuk mengaku bersalah bagi menyelamatkan dan memudahkan OKT yang lain dan semua yang terlibat. Pengakuan bersalah ini bukanlah suatu kekalahan atau mengaku kalah...ianya adalah sebaliknya...untuk menghentikan penderitaan yang perlu mereka semua tanggung walaupun penderitaan adalah sunnah perjuangan.

Kami berbincang tentang kemungkinan jumlah denda yang perlu dibayar oleh mereka yang ianya tidak boleh melebihi dari wang ikat jamin yang telah dibayar melalui penjamin masing-masing iaitu RM1000 seorang.

Sebolehnya kami tidak mahu menyusahkan mereka lagi dengan perlu membayar wang denda yang dikenakan. Kami berbincang dan bersetuju untuk mencari dana bagi menyediakan wang denda yang bakal dikenakan dan jika wang yang terkumpul ada yang berlebihan akan diberikan kepada mereka sebagai saguhati bagi pengorbanan yang telah mereka lakukan dan lalui selama 10 tahun yang lepas.

Esok permohonan untuk pengakuan bersalah akan dibuat oleh Peguam dan peguam akan merayu seboleh mungkin bayaran denda yang paling minima.

Semoga segalanya akan selesai dengan segera dan perbicaraan kes yang begitu lama ini dapat diletakkan satu titik noktah dengan segera......

Syukur...walaupun kes ini tidak mendapat perhatian yang sewajarnya sebelum ini...hari ini saya mendapat beberapa panggilan telefon yang bertanyakan tentang perkembangan kes ini dek kerana keputusan mereka untuk mengaku bersalah.

Do'akan yang terbaik buat mereka.....mereka adalah golongan rakyat biasa, bukan berada, bukan juga yang memegang mana-mana jawatan, mereka turun atas kesedaran diri tentang kezaliman ISA. 37 orang, 20 Julai 2001, 7 orang meninggal dunia, 22 orang terus istiqamah turun naik, keluar masuk mahkamah, 7 orang hilang entah ke mana dan seorang menderita sakit berkaitan masalah jiwa....

Apa pula nasib mereka-UKM4??

Esok 28 hb September, sekali lagi Mahkamah akan membuat keputusan bagi kes yang melibatkan pelajar secara khususnya dan secara umumnya melibatkan mereka yang cuba berani bangkit melawan kezaliman. Jummat lepas 24hb September Mahkamah Kuala Lumpur baru sahaja membebaskan 5 orang pelajar yang terlibat dengan kes yang dituduh sebagai kes "bini puaka'.

Siswa diseru ke Mahkamah Jalan Duta, esok
Hazayani Zakaria

InsyaAllah Moga Allah memudahkan jua perjuangan mereka.KUALA LUMPUR, 27 Sept: Seluruh mahasiswa sekali lagi diseru turun ke himpunan di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, esok bagi mendengar keputusan perbicaraan kes empat pelajar sains politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Kesemua mereka iaitu Hilman Idham, Ismail Aminuddin, Azlin Shafina Adzha, dan Wong King Chai ditahan polis pada 22 April lalu di pekan Rasa dan Ampang Pecah berhubung tuduhan menyokong parti politik semasa pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor.

Mereka didakwa di mahkamah UKM kerana melakukan kesalahan menyalahi undang-undang Seksyen 15(5)(a) Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Auku).

Bagaimanapun, mereka menafikan tuduhan itu dan mendakwa berada di Hulu Selangor bagi tujuan kajian penyelidikan akademik.

Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) berkata, SMM mengambil pendirian untuk menyokong perjuangan empat orang mahasiswa berkenaan dan bersetuju untuk menganjurkan himpunan besar-besaran jam dua petang esok sebagai satu usaha menunjukkan kesatuan mahasiswa atas nama hak yang terkandung dalam perlembagaan.

"SMM mengharapkan agar seluruh mahasiswa, anak muda dan segenap warga Malaysia agar dapat sama-sama turun ke Kompleks Mahkamah Jalan Duta Kuala Lumpur esok untuk sama-sama kita dengar keputusan kes dan pada masa yang sama menyatakan sokongan untuk menolak penganiayaan yang telah dikenakan ke atas empat orang mahasiswa UKM ini," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, bercakap kepada Harakahdaily, Setiausaha Solidariti Mahasiswa, Mohd Ridzuan Othman berkata, pihaknya berharap agar mahkamah sekali lagi mempamerkan keadilannya seperti yang ditunjukkan dalam kes lima mahasiswa Universiti Malaya (UM) yang dibebaskan dari pertuduhan menconteng "bini puaka" dan "pembunuh Altantuya" yang ditujukan kepada isteri perdana menteri, Rosmah Mansor.

"SMM sekali lagi berharap kemenangan berpihak kepada mahasiswa seperti kemenangan kita pada 24 September lepas," katanya.

Tegasnya juga, mahasiswa tidak sewajarnya terus tunduk di bawah tekanan Auku.

"Auku sudah lama mencengkam mahasiswa. Hak kebebasan mahsiswa disekat. Saya berharap keputusan esok menjadi sinar baru buat mahasiswa.

"Saya juga menyeru mahasiswa untuk meneruskan gelombang kebangkitan mahsiswa dengan hadir untuk satu tujuan, menolak Auku dalam lanskap hidup mahasiswa," katanya.

sumber: Harakah daily.

Esok juga awal pagi kes perbicaraan OKT PROTES atau Ops Padam 3 akan disambung bicara bermula 28-30 hb September. Syukur dapatlah juga hendaknya kami bersama-sama memberikan sokongan kepada mereka.

Syukur juga kerana sebelum ini saya sendiri telah beberapa kali diberikan peluang oleh Allah untuk bersama-sama di hari keputusan untuk beberapa kes sebelum ini, Kes Perhimpunan KESAS, Kes APCET, Kes Bersih, Kes Harakah, Kes Peguam Walk for Freedom dan terakhirnya kes 'Bini Puaka'.

Tidak sabar menanti berakhirnya kes 'Ops PADAM 3', Kes 'Ops Bubar Dun Perak' dan Kes 'MANSUH'.

Saturday, 25 September 2010

Zunar: Dibawa ke 7 buah Balai!!!

Selesai Majlis Pelancaran Cartoon-O-Phobia di Selangor Chinese Assembly Hall, MC membuat pengumuman bahawa Zunar telah dibawa ke IPD Serdang dan semua boleh sama-sama pergi memberikan sokongan dan solidariti seperti biasa setiap kali ada pejuang rakyat yang ditangkap. Mendengarkan tempatnya Serdang dari awal lagi sudah tahu betapa jauhnya beliau telah dibawa dan dihantar.

Sebelum itu semua juga sudah dimaklumkan bahawa Zunar ditangkap dan dibawa ke Balai Polis Brickfields dan akan dibawa ke IPD Petaling Jaya. Sebaik mendengar berita ini kami sudah bersedia untuk ke sana kerana ianya tidak sukar dan tidak jauh, malahan sudah biasa apabila terjadi peristiwa tangkapan 1 Ogos 2010.

Namun kemudiannya Fadiah, peguam, membuat pengumuman bahawa Zunar sedang dibawa ke IPD Sepang pula. Wah, bertambah jauh lagi hingga ke hujung negeri...sudah teruk sekali kalau begini sikap polis untuk menjauhkan Zunar dari para penyokong.

Kami jadi tidak keruan samada mahu pergi atau tidak kerana kedudukan yang jauh. Maka kami akhiri malam kami dengan berlegar-legar sekitar Kuala Lumpur sambil memikirkan di mana hendak makan lewat malam. Nasihat yang diterima oleh Fadiah melalui Lateefa Koya yang mengekori Zunar ialah jangan pergi dahulu kerana tiada kepastian di mana Zunar akan diletakkan selagi mereka tidak sampai ke destinasi yang sebenarnya.

Akhirnya kami berhenti di Keramat dan makan lewat malam Nasi Lemak Ayam yang sedap sebelum beredar untuk pulang ke rumah. Kemudia terima pesanan ringkas dari Alin isteri Zunar.

"Salam kak, alin ni, Zunar baru call dari phone Lat. Diorang dekat IPD Serdang". Belum sempat selesai menjawap pesanan tersebut tiba-tiba telefon berdering dari Zunar. Segera jawab dan Zunar memaklumkan bahawa sekiranya kami ingin ke Balai Sepang, dia mohon kami bawa bersama Alin isterinya kerana Alin keseorangan dan perlu membawa keperluan ubatan Zunar.

Tidak ada masalah untuk kami berpatah balik menjemput beliau dan meneruskan perjalanan ke Sepang. Zunar memesan beberapa barangan penting terutamanya ubatan dan multivitamin beliau.


Beberapa kali juga Zunar menelefon memesan barangan peribadi yang penting-penting terutama kali selimut dan bantal kerana beliau memaklumkan yang beliau sudah mula kesejukan. Saya dapat memahami kerana pernah juga dua kali bermalam di lokap. Alin dimaklumkan tentang barangan yang perlu dibawa dan kami bertolak ke Sepang dengan segera.


dari blog tukar tiub

Dalam perjalanan terima pula panggilan telefon dari Lateefa dengan suara bengang dan marah-marahnya...apa tidaknya, dari Balai Polis Sepang, secara tiba-tiba pula Zunar dipindahkan ke Balai Polis KLIA !!!. Siapa tak marah dan bengang dengan tindakan yang lansung tiada alasan apatah lagi alasan yang masuk akal.

Kami tiba di Balai Polis KLIA sekitar jam 12.45 tengahmalam. Kelam pekat..hanya lampu dari Balai yang menerangi. Tidak kelihatan Lateefa dan Eric di sana, rupanya mereka berdua baru keluar untuk mencari makan dan sesat-sesat di tempat yang mereka tidak biasa. Saya dan Alin serta Asiah masuk ke dalam balai dan memberikan salam kepada 3 orang pegawai yang berada di kerusi kerja masing-masing.

"Boleh tahu Zunar kartunis ada tak di sini?" tanya kami sebaik mungkin.

"Siapa, Zunar, siapa tu, pukul berapa dia ditangkap, di mana dia ditangkap" dijawab oleh hampir ke 3 orang mereka dan nada dan raut wajah yang seolah lansung tidak tahu.

"La...Zunar, dia ditangkap petang tadi dan peguam dah maklumkan yang dia dah dibawa kesini"...sukar nak percaya mereka tidak tahu. Macamlah ada 1000 orang yang ditangkap satu hari di balai tersebut.
"Siapa nama sebenar dia?" wah dah tahu pulak Zunar bukan nama sebenar Zunar.

"Zulkifli" jawab Alin isteri Zunar.
"Nanti kami semak" ...kami dalam hati sedikit pun tak percaya mereka tidak tahu.

Sebentar kemudian keluar seorang pegawai yang lainnya dari arah pintu menghala ke Lokap dan bertanyakan di mana ubatan yang diminta oleh Zunar. Kami nyatakan ada dan hanya akan serahkan bila peguam kami tiba semula ke balai.

Sebaik tiba Lateefa ke dalam balai, semua barang yang dibawa seperti dipinta oleh Zunar dibawa masuk ke dalam balai untuk diserahkan. Bantal, selimut tebal, ubat, vitamin, air minuman dan sedikit roti.

Semuanya tidak diluluskan kecuali ubatan sahaja. Puas juga Lateefa berkeras dan mendesak memandangkan Zunar mempunyai kesakitan 'Slip Disc' dan merbahaya sekiranya tidak terjaga dengan betul.

Dengan nada keras juga Lateefa mendesak polis tersebut kerana mereka lansung tidak mahu layan dan tidak mahu pakai budi bicara.

Akhirnya kami tinggalkan balai dan beredar keluar berbincang mengenai tindakan seterusnya dan apa yang telah dilalui oleh Zunar, Lateefa dan Eric yang telah berpusing-pusing ke merata tempat demi mengkuti kerenah polis yang mahu membawa Zunar entah ke mana.

Kami memang terkejut dan terlopong mendengarkan bahawa Zunar telah dibawa berpusing-pusing ke 7 buah balai polis semuanya!!! seperti di lakaran di atas.

Sekiranya kami penat dengan perjalanan yang sedikit itu entah berapa kali ganda penatnya Zunar, Lateefa dan Eric seharian dan semalaman apatah lagi hingga terpaksa bertekak dengan polis-polis yang tidak tahu apa-apa.

Akhirnya kami berbincang bersama Alin di manakah yang lebih baik untuk dia pulang di waktu begini, dan membuat keputusan adalah lebih baik beliau pulang ke rumah ibu bapanya kerana lebih selamat dari dia tinggal bersendirian. Tiba di rumah ibu bapa Alin sekitar jam 2.30 dan kami pula meneruskan perjalanan pulang ke rumah dengan selamatnya juga. Alhamdulillah.

Cartoon-O-Phobia: "Mereka tidak boleh kurung otak saya"


Pelancaran Cartoon-O-Phobia yang selamat dilancarkan semalam oleh Menteri Besar Perak yang sah Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin. Siangnya kartunis Zunar telah ditangkap oleh polis maka pelancaran tersebut dijalankan tanpanya.

Polis melalui arahan dari KDN sudah tentu menjadi sangat phobia dan terus menangkap Zunar kartunis sebelum sempat buku kartun itu dilancarkan. Mungkin mereka mengira majlis itu tidak akan dilaksanakan, namun mereka masih tidak faham dengan semangat LAWAN TETAP LAWAN.

Bukan sahaja Zunar ditangkap malah buku Kartun tersebut terpaksa disembunyikan entah di mana hingga tidak ada sebuah pun yang dapat dijual. Orang ramai hanya dapat membuat tempahan.

DS Nizar memberi ucapan yang sungguh penuh semangat "Jika seorang Zunar ditangkap, ribuan Zunar lagi yang akan dilahirkan". Bermakna sampai bila-bila pun kerajaan yang zalim ini dan takutkan rakyat sendiri tidak akan berjaya mengekang kebangkitan rakyat yang akan teruskan usaha mendedahkan segala kepincangan dan kezaliman pemerintah.

Isteri Zunar Fazlina Rosley turut bersama melancarkan buku kartun suaminya. Berani dan bersemangat beliau malam itu menyampaikan mesej-mesej pesanan dari suaminya yang sudah berada di dalam tawanan polis dan kerajaan Malaysia.

Mesej dari Zunar :

" mereka boleh kurung saya, tetapi mereka tidak boleh kurung otak saya!".
"Zaman Tun Razak Fear of Communist, Zaman Najib Fear of cartoonist!"

" Kartun Zunar dapat menyedarkan ramai rakyat, hanya dengan melihat kartunnya"

Pada awalnya di malam pelancaran Fazlina isteri Zunar mempunyai pengalaman yang baik mengenai polis yang menahan suaminya....tapi setelah melalui episod semalaman dari petang hingga suaminya dilokap pandangan tersebut jelas sudah bertukar.

Selesai majlis pelancaran jam 10.46 malam kami mendapat panggilan telefon dari Zunar dari Balai Polis sepang untuk membantu membawa isterinya ke balai sekiranya kami hendak ke sana...episod ke Balai semalam akan dikisahkan di entri yang berikutnya..InsyaAllah.

Steven Gan, pengarang Malaysiakini turut berucap, dibelakangnya adalah lakaran kartun Zunar satu ketika apabila Polis menggeledah dan 'menangkap' komputer-komputer di pejabat Malaysiakini.

Friday, 24 September 2010

Zunar ditangkap..Pelancaran diteruskan.

Hari Selasa lepas saya mendapat panggilan telefon dari Saudara Zunar. dalam hati sudah tahu apa tujuan Zunar menelefon saya pada pagi itu...memang benar telahan saya. Zunar buat jemputan untuk saya, suami dan anak-anak turut hadir dalam pelancaran buku kartun terkininya pada malam ini.

Sejak itu memang kami sudah simpan niat untuk pergi dan tengahari tadi ketika makan tengahari kami sudah buat perancangan jam berapa paling sesuai untuk kami bertolak kerana majlis pelancaran bermula jam 8 malam di Selangor Chinese Assembly Hall.

Sejak dari tengahari tadi sudah dapat mesej dari Facebook Zunar bahawa polis sudah mula menyerbu pejabatnya dan kemudian baru sebentar tadi mendapat mesej pula bahawa polis sudah menangkapnya.

Apa dah jadinya...memang kita faham sangat dengan kerenah polis yang bekerja atas arahan....tak sudah-sudah nak bagi orang marah!!!!

Namun ZUNAR tetap LAWAN TETAP LAWAN....dan kami juga akan MELAWAN!!!!!

Mesej terakhir dari ZUNAR melalui Facebooknya berbunyi...

Zunar Kartunis Zunar sini. Saya skrg sedang ditahan di balai polis brickfeild utk soal siasat, lps ini akan di bawa ke ipd pj. Pesan saya prgm mlm diteruskan walau tanpa saya. Terima kasih atas sokongan.

Bergambar...Kejayaan : "KES ROSMAH BINI PUAKA"

Terjaga dari tidur di awal pagi saya masih lagi berkira-kira dan mencongak-congak di fikiran samada saya harus pergi atau tidak ke Mahkamah memberikan sokongan...berat rasa hati kerana sudah terlalu lama enak-enak di rumah dengan tugas sebagai suri rumah dan ibu....namun jauh di sudut hati saya lebih berat ingin korbankan masa memberikan sokongan kepada mereka kerana saya senasib dengan mereka....namun nasib mereka mungkin lebih teruk kerana mereka dicengkam oleh AUKU...silap langkah dengan kezaliman yang memuncak mereka akan gagal meneruskan pelajaran mereka....maka saya kuatkan azam dan semangat dan siapkan diri menuju ke Mahkamah Kuala Lumpur....

Sebaik sampai dan dapat ruang untuk duduk terdengar Puan Hakim tiba di minit terakhir bacaan keputusannya "Mahkamah mendapati pihak pendakwaan telah GAGAL.........."

SYUKUR dengan KEMENANGAN...


3 dari 5 orang yang dibebaskan pagi ini......PUAS HATI....BERANI....STUDENT POWER!!!


Polis tetap ganggu...tak boleh pasang banner....

Mahasisiwi turut hadir beramai-ramai memberi sokongan...berdiri jauh sedikit....tapi masih berani untuk turut sama hadir memberikan sokongan kepada sahabat-sahabat. POWER!

Gembira dan terharunya seorang ibu yang gigih datang memberikan sokongan kepada anaknya.

Pelukan mesra, bangga dan terharu....."Makcik tahu siapa anak makcik" jawab makcik tenang dan confident tentang anaknya apabila ditanya oleh wartawan apa perasaan makcik apabila anak dituduh dalam kes "Bini Puaka" ini.

"Makcik berterima kasih kepada bersyukur kepada Allah dan kepada semua yang datang berikan sokongan,"

KEJAYAAN!!!

KEGEMBIRAAN!!!

KESYUKURAN!!!

Radzlan Jalal salah seorang peguam muda yang mewakili ke 5 orang mahasiswa yang dituduh.



Akhirnya.....saya tidak sabar menanti detik-detik kemenangan untuk kes-kes yang sedang saya lalui kini...saya yakin dengan bantuan dari Allah jua dan kegigihan dan kebijaksanaan peguam 3 kes yang berkaitan dengan diri saya akan menyusul dengan kegembiraan dan kesyukuran yang Justify Fullsama.

Cerita Semalam untuk esok.

Ya Allah tidak tahu betapa inginnya hati ini menulis, menulis dan menulis. Tetapi mengapakah tidak ada ilham yang bagus mengalir keluar. Diri ini terus membaca dan membaca keiah-kisah kehidupan yang begitu memberi kesan dan pengajaran yang besar dan hebat dalam kehidupan.

Menulis bukan hanya untuk menulis dan berkhayal, ini kisah hidup yang nyata dan sungguh penuh dengan pengajaran. Ini yang saya impikan.

Satu waktu dulu di awal dunia berblogging saya mula mengenal ramai teman-teman bloggers yang menulis menceritakan tentang kehidupan mereka. Saya belajar dari mereka. Namun semenjak menulis cerita kehidupan saya yang berkait rapat dengan dunia politik semasa membuatkan saya sudah lama tidak menjenguk dunia mereka yang penuh warna-warni, suka duka, penuh cabaran dan liku-liku dan ranjau.

Hari ini entah bagaimana terdetik hati untuk menjejak kesah hidup mereka semula. Untuk memetik kisah kehidupan yang mungkin mempunyai banyak pengajaran dan memberi ilham untuk saya terus menulis merungkai dan melapangkan dada saya yang serasa sesak kerana menahan keinginan untuk bercerita.

Dari laman Facebook Kak Cik Jamilah Rejab, terus saya ziarahi blognya Nyanyian Angin untuk menyusuri pautan ke blog teman-teman alam maya yang satu ketika lalu. sering saya ikuti cerita mereka. Sudah terlalu lama saya tidak menziarahi mereka yang mula membuatkan saya kenal dengan dunia menulis tanpa sempadan ini.

Laman blog Pak Payne sudah berpindah ke alamat baru namun masih mengekalkan alamat lama dengan pautan ke blog ummuasiah masih di sana. Terima Kasih Pak Payne.

Pak Payne seorang yang amat pemurah, rupanya di buklan Ramadan beliau membuka peluang untuk beramal untuk mengajak teman alam maya menulis, saya terlepas, namun saya sendiri tidak ada apa yang menarik untuk dikongsi ingatan Ramadan-Ramadan yang telah berlalu.

"My Story" Suria Kelang rupanya satu blog yang sungguh memberi kesan di hati saya untuk membaca dan terus membaca. Beliau adalah pemenang untuk peraduan "Write-lah" dari blog "Diary sebelum bersara melalui ceritanya "Abang".

"Write-lah"....kini anda bacalah cerita mereka yang penuh warna-warni kehidupan yang penuh cabaran namun diolah menjadi kehidupan yang penuh keinginan untuk mencapai kejayaan bukan hanya di dunia lebih-lebih lagi di Akhirat kejayaan di Mahkamah Allah Yang Maha Berkuasa.