Monday 20 September 2010

Perjuangan 'Tanpa Nama'

Salam Syawal semua....semoga terus ceria, tabah melalui hari-hari yang datang dan pergi. Sudah puas saya menjadi diri saya, seorang rakyat di Malaysia, sama seperti yang lain. Saya membaca mengenai apa yang berlaku dari paparan akhbar, TV bila berkesempatan. Berita-berita ringkas melalui rakan-rakan di Twitter.

Tidak 'log on' di komputer berhari-hari sehinggalah ke pagi ini. Saya rasa ada sesuatu yang besar kehilangan dari diri, walaupun dalam diri saya ingin sekali menjadi seorang rakyat biasa tanpa mengambil kesah apa yang berlaku di sekeliling saya. Apatah lagi apabila Mahkamah memberi cuti yang lama untuk kami. Kes-kes perbicaraan kami paling akhir beberapa hari sebelum hari Raya dan hanya akan bermula pada akhir September.

Kes Kuala Kangsar akan disambung bicara esok 21hb September 2010, bermula jam 8.30 pagi hanya utk separuh hari. Ketika menetapkan tarikh dan masa Hakim menetapkan masa mula 2.30 petang, Augustine Anthony peguambela cuba merayu tentang masa yang tidak sesuai bagi mereka yang perlu 'travel' jauh untuk hadiri perbicaraan. Maka Puan Hakim menukar masa ke sebelah pagi, ianya tetap sama, 'travel' jauh untuk kes separuh hari.

Perbicaraan di Mahkamah sedikit sebanyak membuatkan saya rasa syukur kerana memberi nafas untuk saya terus ada semangat berjuang, mengetuk diri untuk bangkit dan keluar dari keselesaan diri sendiri. Namun kes di Kuala Kangsar terus menjadi tekanan dalam hidup kami selagi ianya tidak habis dibicarakan berbeza dengan dua kes lain yang perlu saya lalui di Mahkamah Kuala Lumpur.

Pada pagi Hari Raya saya menerima ucapan Selamat Hari Raya dari peguambela yang membantu pembelaan dalam kes 'Ops Bubar Dun Perak' dengan ingatan untuk saya sama-sama menonton video mengenai 'Hak Orang Asal'. Saya membuat perjanjian yang saya pasti akan tonton dan menilai tentang mesej yang disampaikan. Kebetulan juga beberapa hari sebelum 1 Syawal saya melihat gambar ini di laman FB Puan Ainon PTS yang menziarahi perkampongan orang Asal di Bentong Pahang. Amat menyentuh hati.

Di kala kita merasakan diri kita susah sekali sekala ada rakyat Malaysia yang sepatutnya mendapat hak yang sama rata tetap dipinggirkan. Mereka mungkin sudah biasa dengan kesusahan namun mereka juga Rakyat Malaysia yang sewajibnya diberi hak dan perhatian yang sama.

Pagi ini baru saya mengambil kesempatan untuk menonton video yang dimaksudkan oleh peguambela kami tersebut. Saya mendengar dan menghayatinya dengan sebaik mungkin. Ya, Hak orang asal untuk menjadi Menteri Besar dan Perdana Menteri berkongsi pentas kepimpinan menjadi ADUN dan EXCO agar nasib mereka terus terbela, luahan hati mereka didengar dan masalah mereka dirungkaikan dan mereka dapat apa yang menjadi hak mereka dan tidak terus dilupakan hanya kerana mereka tidak nampak di mata kita.

Saya menjemput anda menonton siri video di bawah, renung dan fikirkan dari pelbagai sudut.

Dari pelbagai sudut dan tafsiran yang boleh dibuat dari video-video dibawah yang terlintas di fikiran saya secara khususnya ialah untuk memperkenalkan anda semua pembaca kepada peguambela yang sering saya catatkan dalam laman blog ini melalui kes perbicaraan 'Ops Bubar DUN Perak. Saya yakin dengan semangat yang ada pada diri beliau dan peguam-peguam yang lain dan semua pejuang Hak Asasi Manusia setiap perkara yang zalim akan ada yang akan terusan membelanya dan membawa ke pengetahuan umum. Bila umum diberikan pengetahuan dan pendedahan lebih ramai yang akan sama bangun membela dan memperjuangkannya. Prinsip yang dipegang ialah biarpun kalah kita puas hati kerana bangun melawan kezaliman.




No comments: