Wednesday, 19 December 2012

Auntie BERSIH-Tetamu Istimewa OKT 'Ops Bubar DUN Perak'

Kalau mahu dikira berapa kali kes ini berjalan, saya memang tidak mengira berapa kali atau berapa hari. Kalau mahu disebutkan berapa kali kami hadir dan kes ini ditangguhkan saya juga sudah tidak ambil pusing walau bila ianya berlaku sudah pasti hati kecewa. Buang masa, buang tenaga, buang wang ringgit. Oh, tetapi ianya tidak sepatutnya dirasakan begitu. Ini adalah perjuangan, maka teruskan.

Ada kalanya ada sahabat-sahabat yang turut serta hadir beri sokongan. Adakalanya hanya kami, OKT beserta isteri dan saudara.
(PAS Kawasan Kuala Kangsar kehilangan seorang petugas parti yang gigih apabila kembali ke Rahmatullah Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasannya , Ahmad Mokhtar Mutalib)
Pada suatu ketika kami ada seorang penyokong yang sangat prihatin. Beliau sering hadir hinggalah kesihatannya merosot dan akhirnya beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir. Sekali sekala bila ada rakan yang hadir terasa meriah dan bertambah semangat. 
Isnin 17hb Disember saya dan suami membawa bersama kami Auntie ‘Bersih’, Auntie Anne setelah berjumpa dengan beliau di Perhimpunan Kebangkitan Rakyat Perak di Seri Iskandar. Kebetulan kami bermalam di Hotel yang sama, maka saya mempelawanya mengikut kami ke Kuala Kangsar sekiranya beliau tidak ada perancangan lain.
“Ada tempatkah di dalam kereta Nashita?” tanyanya sopan.
“Sudah tentu, Cuma saya, suami dan anak saya Asiah.” Gembira saya mempelawanya kerana saya tahu pasti rakan-rakan OKT yang lain akan turut gembira, juga peguam-peguam kami yang setia.
Kami bertolak dari Seri Iskandar menuju ke Kuala Kangsar.  Sepanjang perjalanan diisi dengan perbualan mengenai perjuangan dan aktiviti masing-masing. Saya menceritakan kepadanya detik bermula aktiviti kami dan beliau menceritakan detik mula penglibatannya. Beliau tidak dapat mengingati dengan jelas. Namun katanya “pada masa itu semua pakai kuning dan bergerak ke Istana Negara.”
“Oh itu pasti BERSIH 1, November 2007.” Sejak itu Auntie Anne sering mengikuti perkembangan semasa.
Memang beliau seorang yang ‘famous’. Ramai yang mengenalinya dan ingin bergambar dengannya.
Kami tiba di Kuala Kangsar jam 9.30 pagi. Saya bawa dia ke tempat di mana kami berkumpul untuk sarapan pagi sebelum bergerak ke Mahkamah. Saya tunjukkan kepadanya antara OKT-OKT yang sering bermurah hati membayar semua wang juadah kami.
Sebaik sampai di Mahkamah dari jauh ternampak dua orang peguam kami yang dedikasi, Haji Aminuddin dan Augustine Anthony. Ternyata mereka gembira dan bersemangat menerima tetamu kali ini.
Masuk di dalam Mahkamah saya perkenalkan Auntie Anne kepada setiap OKT dan sedikit latarbelakang siapa mereka dan apa yang berlaku kepada mereka ketika ditangkap. Merah muka Auntie Anne menahan rasa. 
Sambil menunggu Auntie Anne meminta saya menaip mesej di dalam handphonenya tentang apa yang sedang dia lakukan supaya dia dapat menghantarkan kepada temannya untuk dimuatkan ke dalam laman facebook.
Ini yang saya catatkan, “Saya kini sedang berada di dalam Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar mengikuti perbicaraan kes ‘Ops Bubar DUN Perak’. Melibatkan 13 orang yang ditangkap pada 6 Februari 2009 di perhimpunan aman membantah perlantikan Menteri Besar Perak. Beri sokongan."
Kebetulan pula pada pagi tersebut yang sepatutnya membawa beberapa orang saksi awam, namun mereka tidak dapat hadir maka saya telah dipinta untuk menjadi saksi bersama seorang lagi isteri OKT. Saya gementar.
Auntie Anne memberikan sokongan kepada saya. Saya dapat lihat beliau di dalam galeri memberikan semangat itu.
Bila selesai dia memberitahu yang dia bertanyakan anak saya Asiah apakah dia boleh bersorak dan bertepuk tangan memberikan semangat bila saya berikan keterangan. Semangat sekali.
Saya tidak tahu dengan jelas apakah perasaan beliau setelah separuh hari bersama kami ‘travel’ ke Mahkamah, duduk di dalam Mahkamah dan lihat sedikit proses perbicaraan yang berjalan. Sedikit dari banyak hari dan jam yang perlu kami habiskan di dalam Mahkamah. Kos yang perlu kami tanggung, sedikit keperitan yang perlu kami lalui.
Akhirnya dia menulis sedikit nota apa yang mesti dikongsikan setelah mendengar cerita dan setelah saya menunjukkan gambar buku-buku nota yang dipenuhkan dengan tulisan mengenai kes yang berlansung.
Katanya saya mesti menulis dan menerbitkan buku sekurangnya mendapat pulangan bagi membayar segala kos yang perlu ditanggung.
(koleksi buku nota yang pernah digunakan untuk menulis setiap soal jawab antara peguam, pendakwaraya, Puan Hakim dan saksi)
“When, so when?” berulangkali dia bertanyakan. Saya tidak mahu beri jawapan, saya mesti lakukan. Sekurangnya…inilah kisah kami..kami pernah melalui ini demi melawan kezaliman.
Selesai perbicaraan ditangguhkan beliau pulang sendirian meneruskan perjalanannya. Sedih pula lepaskan Auntie 'Bersih' Anne pulang sendirian walau dia datang dari Kuala Lumpur sendirian menaiki bas. Bertolak jam 6.30 petang dari Kuala Lumpur. Tiba di Nibong Tebal jam 1 pagi untuk ke Himpunan Kebangkitan Rakyat Pulau Pinang. Menaiki bas ke Gopeng dan berjalan kaki ke Ipoh di waktu malam. Hebat. Semata-mata untuk ke Himpunan Kebangkitan Rakyat. Katanya "I don't want to trouble you anymore." Tidak lansung. Semua gembira dia hadir beri sokongan.
Kami tidak memaksa sahabat dan penyokong bersusah payah hadir, namun kehadiran anda dinantikan dan menambahkan kemanisan dalam perjuangan.
Perjuangan tetap akan diteruskan walau disulami keperitan, tangisan, marah. Episod yang ini khusus untuk kemarahan kami tentang peristiwa rampasan kuasa Perak. Kuasa ini wajib dikembalikan kepada pemerintahan pilihan rakyat.
Bangkitlah Rakyat!


Tuesday, 18 December 2012

Rampasan Kuasa Perak-Bangkitlah Rakyat!

Setelah 5 tahun keluar masuk mahkamah menjadi seorang OKT, Orang Kena Tangkap untuk 3 kes tangkapan di Perhimpunan Aman, tarikh semalam 17hb Disember 2012 adalah bersejarah buat saya.
Di dalam Mahkamah pada pagi itu tiba-tiba peguambela Augustine Anthony memanggil saya dan memohon saya untuk menjadi saksi pihak pembelaan memandangkan saya ada pada hari kejadian.
"Huh! jadi saksi?" Ikut hati lansung saya tidak mahu. Saya tidak suka cara pihak pendakwaraya bertanyakan soalan kadangkalanya. Membuat hati panas dan geram.
Kali ini saya tidak boleh mengelak. Minggu ini sepatutnya bermula dengan sesi mengambil keterangan untuk saksi awam setelah selesai kesemua 13 orang OKT memberikan keterangan mereka di kandang saksi. Termasuk suami saya sendiri.
Saya perlu memberikan keterangan bagi membela suami saya juga OKT yang lainnya.
Saya mungkin telah sedikit tersalah memberikan jawapan namun saya puas hati juga dengan jawapan yang saya berikan terutamanya dalam isu 'Perhimpunan Haram'. Memang saya sensitif dengan istilah 'Perhimpunan Haram' apatah lagi istilah 'Rusuhan'.
Soalan peguambela juga ada menyebut tentang Perhimpunan Haram dan saya jelaskan ianya Perhimpunan Aman. "There is no such thing as Perhimpunan Haram."
Timbalan Pendakwaraya terus 'picked up' istilah itu dan bertanyakan tentang perkara tersebut.
Saya menjelaskan "Setiap manusia setiap rakyat ada hak untuk bersuara menyatakan rasa tidak puas hati dan marah bila mereka dizalimi dan hak mereka dirampas. Sebagai contoh bila kerajaan Barisan Nasional merampas kerajaan Pakatan Rakyat Perak, rakyat marah dan bersuara."
Bila Timbalan Pendakwaraya bertanya lagi tentang ini saya menjawab "Sebagai orang Islam juga kita wajib bersuara bila dizalimi. Sebagai contoh bila rumah yang kita beli dan miliki dirampas orang kita tidak boleh berdiam diri dan mestilah menyuarakan hak kita."
Apa yang jelas saya terangkan kami ke sana dengan tujuan untuk merakamkan suasana. Ada solat hajat dan munajat. Merakamkan keberanian rakyat bangkit menentang kezaliman  ke atas mereka. Kami bukanlah wartawan hanya sekadar penulis blog yang mengikuti perkembangan isu-isu hak asasi manusia, politik dan aktiviti rakyat yang berani.
Dengan niat untuk berkongsi. Saya anggap diri saya sebagai seorang wartawan bebas yang ingin menyampaikan.
 (Aksi suami saya ketika mahu mengambil rakaman gambar Himpunan Kebangkitan Rakyat Perak di Seri Iskandar. Memanjat trak Demi Rakyat)
Ketika suami saya ditangkap di Perhimpunan Aman Membantah Perlantikan Menteri Besar Perak (Haram) beliau sudah memulakan minat dan 'kerjayanya' sebagai jurugambar. Kamera ada di lehernya ketika ditangkap. Soalan yang ditanya kepadanya di dalam kandang saksi juga berkaitan dengan ini. Semalam sebagai saksi saya juga ditanya tentang ini.
Keterangan saya ialah suami saya mengambil gambar dan saya memasukkannya ke dalam blog. Tugas ini secara sukarela untuk menyampaikan kepada rakyat di luar sana suasana yang sebenarnya walau kita tidak dapat hadir di sana.

 (rakaman gambar dengan wajah-wajah ribuan yang hadir di Himpunan Kebangkita Rakyat Perak)
Soalan akhir dari peguambela dalam sesi soal balas kepada saya ialah "Apakah Puan masih menjadi seorang wartawan bebas?"
Jawapan saya ialah "Ya, saya masih menjadi seorang wartawan bebas, cuma dengan lebih pantas lagi."

Sunday, 9 December 2012

Travelog Peniaga 'Bundle' Pasar Tani: Kak Wok yang baik hati.

Jumaat 6 Disember 2012: Masuk minggu ke 5 melakukan kerja ini. Berjualan 'bundle' di Pasar Tani UPM Serdang berhadapan Masjid Jamek. 

Kami, saya dan Raja Rohaisham membuat keputusan 6 minggu yang lepas untuk meneruskan usaha murni seorang kakak menjual barangan terpakai di sini. Hasil jualannya ialah bagi membantu rumah anak Yatim Ummu Salamah di Terengganu. Namun kakak ini tetap masih membantu walau dia sibuk dengan urusan menghabiskan PHDnya.

Sampai bila kami mampu bertahan agaknya belum tahu lagi. Moga kami diberi kekuatan semangat dan sihat tubuh badan. Saya khususnya menumpang mencari rezeki di sini menjual produk TUPPERWARE. Keluar rumah seawal jam 6.30 pagi dari Gombak menuju ke Serdang. Berniaga di bawah terik mentari.



Minggu ini khemah berjaya dinaikkan bagi melindungi bahang panas pagi yang terik. Ada pakcik-pakcik peniaga yang datang membantu menegakkan khemah yang diinfaqkan ini. 

Kami gembira berjualan di sini. Berpeluang berkenalan dengan pelbagai lapisan masyarakat. Saya suka dengan masyarakat di sini. Suasana kekampungan wujud di sini. Tolong menolong tanpa hasad dengki.

Setiap habis Jumaat saya menanti tiba Jumaat satu lagi dengan penuh keterujaan. Bertemu kembali dengan pelanggan-pelanggan setia kami juga peniaga-peniaga yang setia mencari rezeki di tapak Pasar Tani ini. Mereka baik hati. Ada yang pasti tidak melepaskan peluang untuk membeli setiap minggu, kerana mereka tahu wang itu akan masuk ke dalam tabung sumbangan. Harga RM 2 mereka beri RM5.

Saya juga gembira kini apabila saya mengemas rumah jika ada baju yang masih elok dan sudah tidak boleh dipakai akan dikumpul dengan kemas dan dibawa untuk dijual. Jumaat lepas Kak Wok seorang pesara yang berniaga nasi lemak dengan gembiranya datang memborong baju-baju T Muslimah ini. Beliau dan suaminya yang sudah berusia lebih 50 tahun bersama kawan-kawan mereka akan mendaki Gunung Kinabalu. Hebat mereka. Mereka akan ke sana hujung minggu ini. Saya harap dipanjangkan umur Jumaat ini dapat bertemunya lagi dan merakamkan wajahnya. Oh! Kak Wok juga akan mengumpul rakan-rakannya bagi memulakan senamrobik Tae Kwan Do Aerobik yang disarankan oleh Sham. Semangat betul!

Jumaat lepas kami memesan kepadanya untuk menghantar nasi lemak lengkap dengan air panas untuk kami bersarapan. Baru minggu ini kami dapat bersarapan dengan sempurna. Alhamdulillah.

Perjuangan sedikit ini akan kami teruskan.

Manjadda wajada.

Thursday, 29 November 2012

'Ops PADAM 3' kembali bercerita. Ini kisah kami.


Ketika saya meletakkan foto ini di laman facebook buat kali yang ke berapa entah, ramai sekali yang 'like' dan 'share' gambar ini.

Inilah teman-teman seperjuanga yang sama-sama menghuni lokap Penjara Pudu pada jam 4 pagi 27hb januari 2008. Kami ditangkap dalam jangka waktu jam 12-4 petang 26 hb januari 2008-Sabtu, ketika mahu  berhimpun secara aman membantah kenaikan harga barangan dan minyak ketika itu.

Tidak pasti berapa orang yang ditangkap tetapi yang didakwa di Mahkamah ialah seramai 45 orang. Kes kami dimulakan dengan Mohamad Sabu dan 44 yang lain. Kami dibebaskan pada lewat petang hampir jam 7 malam Isnin 28 hb januari 2008.


Di atas adalah gambar terkini kami diambil mungkin 3 minggu yang lepas. Kami diziarahi oleh DS Anwar Ibrahim dan isteri.
 
Dari 45 orang OKT kini tinggal 43 orang apabila dua orang OKT pergi menemui Ilahi. Gambar di atas ialah Allahyarham Abang Dino yang sangat baikhati. Kami semua merinduinya. Beliau pergi menyahut panggilan Ilahi beberapa bulan yang lalu. Beginilah aksinya setiap kali kes dijalankan, samada duduk di bawah begini atau di belakang sekali berhampiran pintu. Melalui perbicaraan ini memang menjempukan, namun perlu teruskan juga hingga akhirnya kami dan kita semua menang.

Setiap kali hampir tiba kepada tarikh sambung bicara yang baru saya mengambil inisiatif sendiri untuk menghantar pesanan kepada OKT-OKT yang lain tentang tarikh baru sambung bicara. Nama Allahyarham Abang Dino berada di atas sekali dalam senarai nama kumpulan kami. Saya tidak membuangnya. Setiap kali mahu menghantar pesanan ringkas, saya akan lihat namanya dahulu, namun memastikan ianya tidak dihantar ke nombor itu.

Kisah kami belum berakhir. 26 januari 2013 akan masuk tahun ke 5 untuk kami semua OKT Kes PROTES atau dikenali oleh polis sebagai 'OPS PADAM 3'....kami dan kamu aktivis dan pejuang yang mahu tumbangkan kezaliman perlu dipadamkan!

Syukuri Nikmat lapang sebelum sibuk.




Kadang-kadang ada kawan yang menghantar mesej kepada saya dan bertanyakan, "dah balik dari Penang ke, dah balik dari Fraser Hill ke dll." Sebenarnya 'percutian' saya ini hanya sebentar-sebentar sahaja. Sekadar mengikut suami, menemaninya memandu ketika bertugas luar daerah untuk hadiri mesyuarat dan event syarikat. 

 
 Alhamdulillah, sebahagian nikmat apabila menjadi surirumah dan mencuba berniaga sendiri kecil-kecilan.

Hari ini saya mensyukuri nikmat lapang dan 'senang' yang Allah limpahkan. Mencari ruang kedai makan yang membolehkan saya online. Gunakan masa sebaiknya. Makan minum ala kadar dan duduk diam sehingga suami selesai tugasnya dan kami pulang semula ke rumah. Malam ini kalau berkesempatan akan terus beri sokongan untuk pelacaran komik baru Zunar Kartunis di KL Selangor Chinese Assembly Hall.

Esok dan hujung minggu saya dan rakan akan meneruskan usaha mengisi kantong untuk perjuangan Hope2walk dan rumah Anak yatim Ummu Salamah juga kantung perjuangan hidup keluarga.

Begitulah putaran kehidupan. Senang, susah, silih berganti.

Friday, 3 August 2012

Merdeka Review menamatkan operasinya. Saya bersedih.


Minggu lepas saya sudah pun mendapat perkhabaran dari editor Merdeka Review Edisi Bahasa Malaysia, Lim Hong Siang tentang kemungkinan besar portal berita online ini akan ditamatkan operasinya. Saya menyimpan rasa agar ianya tidak berlaku.

Namun malam ini sebaik pulang dari Solat Tarawikh saya menerima undangan di Facebook "In Love With Merdeka Review.com". Terus membaca di portal beritanya. "Merdeka Review menamatkan operasinya."

Tiba-tiba saya rasa sedih dan berduka cita dengan berita ini.

Baru berjinak-jinak dan diberi peluang keemasan oleh saudara editornya untuk saya menjadi penulis di kolum Merdeka Review. Saya bangga mendapat peluang ini, walau saya tidak tahu berapa ramai sebenarnya pembaca yang berpeluang membacanya, namun sedikit sebanyak dapat saya berkongsi pengalaman saya dalam perjuangan sebagai seorang aktivis dan pada yang sama menjadi seorang suri rumah sepenuh masa.

Saya masih ingat saya menegur Hong siang bila mana saya lihat tulisan pertama Adam Adli di ruangan kolum di Merdeka Review. Ketika itu nama Adam Adli melonjak dengan tindakan menurunkan bendera di PWTC.

'Cemburu' juga melihat orang lain berpeluang menulis di portal berita dan saya masih mencurahkan idea dan rasa hati di dalam blog dan Facebook. Saya rasa dan yakin saya ada cerita untuk disampaikan pada ramai di luar sana.

Terus saya diberi peluang untuk menulis. Perkongsian saya berkisar tentang isu ISA, kezaliman ISA, penderitaan keluarga juga pengalaman saya di dalam aktiviti menyertai perhimpunan aman.

Saya berjaya menulis 13 artikel termasuk laporan mengenai beberapa perhimpunan aman. Alhamdulillah. Beberapa artikel saya di Merdeka Review turut disiarkan di dalam Harakah dan Suara Keadilan. Sudah lama saya mengidamkan untuk turut menjadi penulis di dalam dua akhbar alternatif ini. Namun seolah hanya aktivis terkenal serta ahli politk terkenal yang dapat mendapat tempat di sana.

Artikel saya boleh dibaca di sini.

Syukur dengan peluang yang diberi oleh Merdeka Review untuk saya menulis kadangkala setiap minggu membuatkan saya memaksa diri berfikir dan berkongsi dengan harapan memberikan satu perkongsian kepada wanita-wanita khususnya bahawa tenaga dan suara kita diperlukan untuk turut serta memastikan segala kezaliman ditentang. 

Terima kasih Merdeka Review yang telah saya kenali sejak lama.

Lawan Tetap Lawan.

Thursday, 2 August 2012

ISA itu ZALIM: Pemergian Abdul Razak Baharuddin: Bekas Tahanan ISA.


Keluarga tahanan ISA sudah seumpama keluarga kami sendiri. Sebuah keluarga yang besar. Walau bukan suami saya yang pernah ditangkap ISA apatah lagi anak-anak saya sendiri. Berjuang bersama mereka, bergelumang dengan penderitaan mereka, berusaha mencari sumber kewangan untuk mereka dan membantu sedaya mungkin bila mereka memerlukan membuat kami semua bagai sebuah keluarga.
Jam 12.33 tengahari Isnin saya menerima sms dari Cikgu Laila. 
"Cikgu Razak, bekas tahanan ISA meninggal dunia pagi tadi."
Saya terdiam sebentar dan cuba mengingati kisahnya. Ya saya ingat beliau dibebaskan awal dari yang lainnya yang senangkatan dengannya yang ditahan dengan dakwaan menganggotai Jemaah Islamiyyah di era peperangan menentang terorisma kononnya. Kebanyakakan tahanan ISA ketika itu ditahan sehingga 7-8 tahun lamanya. Allahyarham Cikgu Razak merengkuk di dalam kem Kamunting dari 2001 hingga 2004.
Allahyarham dibebaskan awal kerana menderita sakit buah pinggang. Penyakit yang dideritai sejak sebelum ditangkap di bawah akta zalim ISA.
Saya juga dapat mengingati bahawa anak Allahyarham juga ditangkap di Pakistan dan ditahan di bawah ISA ketika dibawa pulang ke Malaysia bersama beberapa orang rakannya yang lain.


 Oleh kerana berita pemergiannya sampai agak lewat maka saya membuat perancangan untuk menziarahi keluarganya bersama Puan Zumrah dan Ustaz Badrulamin yang pernah ditahan bersama Allahyarham.
Kak Imah isteri Allahyarham kelihatan pilu ketika kami tiba namun berubah tenang dan 'gembira' menceritakan tentang detik-detik akhir pemergian suaminya.
"Abang kelihatan sangat handsome, senang betul dia pergi. Sudah siap mandi dan bersuci untuk solat subuh, duduk di atas kerusi rodanya. Kakak tak benarkan dia berpuasa kerana Abang sakit semalamnya. Abang minum air dan tersedak, tertunduk dan mohon dibaringkan di atas katil. Abang pandang anak-anak dan Kak Imah, mulut terkumat kamit dan terus pergi."
Allahyarham menjadi Imam di Surau berdekatan dengan rumah mereka. Setelah Allahyarham sakit dan tidak mampu berdiri lama dan duduk di atas kerusi roda tempatnya diambil alih oleh anak lelakinya.
Sakit buah pinggangnya menjadi teruk hingga pihak Kementerian Dalam Negeri terpaksa membebaskannya. Doktor Pakar yang merawat begitu marah melihat keadaannya. Allahyarham hanya dibekalkan dengan ubat tahan sakit setiap kali sakit. Mungkin itu penyebab penyakitnya menjadi lebih teruk.
Teringat juga saya tentang kisah Allahyarham Dr Burhanuddin Helmi yang juga menderita sakit akibat terpaksa menahan kencing ketika di dalam tahanan ISA yang menjadi punca penyakit kematiannya.


Sesi ziarah kami ke rumah Almarhum Cikgu Razak juga menemukan saya dengan Radzi anak sulong Almarhum yang juga ditahan ISA selama setahun setengah. Bayangkan beliau ditangkap ketika berusia belasan tahun lagi. Diletakkan di Pusat Tahanan Reman Polis. Katanya tempat tersebut selesa ada TV, peti sejuk dan kipas angin. Namun jelasnya bilik mereka tiada tingkap ataupun lubang.
Maka tiada siang atau malam, tiada bulan, matahari mahupun bintang dalam kamus kehidupan mereka selama setahun setengah itu. "Lansung tak dapat melihat dunia luar?!" Terkejut saya dan sukar untuk mempercayainya, walau saya pernah mendengar cerita tahanan ISA selama mereka ditahan selama 60 hari. Tetapi ini untuk setahun setengah.
"Itu yang buat mereka stress dan tension, bagai nak gila." jelasnya lagi.
Namun mereka berpeluang juga keluar setiap kali dibawa keluar untuk ke Bukit Aman untuk sesi perjumpaan keluarga dan sesi belajar tetapi mata mereka ditutup dengan spek atau kain setiap kali dibawa keluar.
"Saya tidak pernah tahu di mana saya diletakkan sehingga kini. Apa yang saya tahu setiap kali perjalanan ke Bukit Aman ianya mengambil masa selama 45 minit."
Terpegun dan terkejut lagi saya mendengarnya. Terlopong! Inilah sisi gelap ISA.
Beliau berpeluang mengambil SPM di dalam pusat tahanan reman Polis. Sesi pembelajaran disediakan. Berjaya dengan cemerlang. Berjaya melanjutkan pelajaran ke UIA dan kini sedang menghabiskan peringkat Master dalam Al-Quran dan Hadith. 
"Baguskan ISA, dapat belajar dan keluar menjadi orang yang baik." Ini sudah pasti menjadi komen mereka yang mempertahankan ISA tanpa mereka mahu menerima hakikat bahawa individu-individu ini memang istimewa, hebat dan baik. Hamba-hamba Allah yang taat dan mempraktikkan ajaran Islam yang sempurna.
"Tak sangka berserban nampak baik rupanya buat bom di pejabat." Cerita Kak Imah tentang komen-komen dari pihak SB yang sampai ke telinganya.
Entah apa konsep baik dan tidak baik yang ada dalam kepala dan otak mereka.

Alhamdulillah, berjaya juga kami menjejaki rumah keluarga bekas tahanan ISA Allahyarham Cikgu Razak yang meninggal dunia Isnin 30 hb Julai 2012. Tidak mudah untuk menjejaki rumah mereka. Berkali-kali kami berhenti bertanya. Ramai yang mengenalinya sehingga ke kampung-kampung yang jauh dari rumah Almarhum. Akhir sekali kami ditemukan dengan Muallimah di PASTI Nur Syuhadah Kampung Medan Teluk Panglima Garang yang memberikan kami arah ke rumahnya. Perjalanan dan pencarian yang berbaloi.
ISA masih ada...trauma dan siksaan yang diterima terpahat dalam diri mangsa dan keluarga mereka.
Masih ada 45 orang yang merengkuk di Kem Kamunting menantikan saat mereka dibebaskan...entah bila...
"Ya, masa kena ISA dahulu tinggalkan keluarga bertahun-tahun, kini pergi untuk selamanya." Puan Norlaila Othman isteri bekas tahanan ISA, Mat Sah Satray.

Sedikit kisahnya boleh dibaca di sini.