Hidup perlu diteruskan walau apa jua badai dan isu yang melanda "ANWAR dan NEGARA"
Suami kini sangat berminat mengambil gambar suasana untuk dikongsi dan saya suka untuk bersantai memerhatikan gelagat orang ramai sambil menumpukan perhatian kepada isi ceramah seboleh mungkin.
Namun semalam saya tidak pula terlalu teruja untuk membuat liputan 'live' suka-suka melalui kemudahan yang ada. Saya habiskan masa melihat kehadiran orang ramai yang membanjiri tapak pasar malam yang diubahsuai menjadi tempat ceramah.
Kali ini satu kelainan, khemah yang besar berderet dipasang dengan plastik penuh menutupi. Dalam hati mungkin ini adalah syarat ketat polis yang harus diikuti, namun tidak menghalang orang ramai untuk memenuhi setiap ruang yang ada.
DS Ir Nizar akan sering menyebut nama manusia ini di dalam ceramahnya yang berkaitan dengan rampasan kuasa Perak....
Lama dia di sana di celah orang ramai seorangan berpeluk tubuh menghadam isu-isu yang dibangkitkan..
Saya masih terus tidak menaruh minat kepada butir bicara di dalam ceramah. Telefon ditangan di era teknologi twitter dan FB membuatkan saya boleh terus dapat ringkasan intipati ceramah yang penting di kala mata saya terus memberi tumpuan kepada suasana sekeliling. Ibu-ibu, ayah-ayah...ramai generasi di usia emas yang hadir yang saya lihat ada di belakang...berbagai kaum turut hadir.
Ternyata ceramah tetap jadi pilihan alternatif untuk rakyat berkumpul menimba maklumat setelah puas disogok dengan maklumat percuma sepanjang masa di mana saja oleh pihak kerajaan.
Pandangan dan perhatian saya sepanjang masa malam itu tertarik melihat satu pasangan OKU yang sedang gigih berjualan. Si isteri berdiri di di jalan sambil memegang senaskah Warkah Keadilan sambil menjerit kuat.
"Paper Anwar. Paper Anwar". Saya terharu bercampur simpati, tidak ramai yang mahu berhenti dan melihat.
Si suami pula menunggu bekalan naskah yang lainnya yang diletakkan di atas meja. Saya menghampirinya dan membeli senaskah walau di rumah sudah ada satu naskah. Tidak mengapa tanda sokongan dan bantuan.
Saya bersembang ringkas dengannya bertanyakan perihal diri mereka berdua. Mereka tinggal di Kepong dan dihantar ke tapak ceramah oleh seroang kawan yang akan datang mengambil mereka apabila selesai nanti.
Si isteri terus meneriakkan "Paper Anwar, Paper Anwar". Bila ada yang membeli dia akan ke belakang dan mengambil naskah yang lainnya.
Terus saya berdiri di sebelahnya dan cuba membantu...namun ketika sesi ceramah semakin hampir selesai, saya ke belakang dan terus mencapai ke semua naskah dan sama-sama membantu meneriakkan pada orang ramai untuk membeli tetapi tidaklah saya pula jeritkan "Paper Anwar'.
"Warkah Keadilan, warkah keadilan!!!...beli...beli...beri sokongan!!!".
Alahmdulillah...tidak menang tangan kami.....Asiah juga teruja dan turut sama membantu..seronok, puas apabila licin semuanya. Hingga ada lagi yang ingin membeli...namun sudah kehabisan.
"Yeaayyy...kita menang, kita menang!!!"....tiba-tiba jerit wanita OKU tadi. Girang betul dia....Asiah pun turut sama jerit..."yeaaayyy...kita menang".
Kami pulang dan rasa sungguh berbeza....dan mereka gembira...
Hidup perlu diteruskan walau apa jua badai dan isu yang melanda ANWAR dan negara.....
Foto-foto : Abah Anas