'Bekorban apa saja?" Dari Suri Rumah ke Mahkamah.
"Yes!" Jeritan ummi yang kuat mengejutkan ke tiga-tiga orang anak-anak ummi yang asyek dengan urusan masing-masing. Anas, abang yang sulong berbaring sambil membaca di ruang depan. Asiah duduk di hujung kaki ummi yang berbaring sejak hampir sejam tadi dan Asma' pula duduk-duduk menonton VCD.
Ya, memang ummi sedang berbaring memejamkan mata cuba untuk melelapkan mata dan melepaskan lelah setelah letih dan cemas dengan ujian yang dihadapi di jalanan tadi, Tetapi walau mencuba sedaya upaya, mata hanya berjaya dilelapkan tetapi fikiran melayang ke merata pelusuk agenda dalam kehidupan, yang lepas dan yang akan datang.
Anas, yang asyek membaca buku di ruang depan bergegas berlari ke ruang di mana ummi sedang berbaring dan terpinga-pinga terkejut dengan jeritan ummi tadi.
"Ummi, ummi, kenapa ni ummi?", kesian dia, terkejut benar agaknya. Asma' hanya terlopong mulutnya. Asiah pula dengan selamba sahaja, seolah amat memahami 'style' umminya.
"Ummi dapat ilham. Betulkan ummi dapat ilham?" tanya Asiah dengan tenang dan selamba.
Ummi hanya senyum sambil berkata, "ha ah betul sangat tu". Memang betulpun, ummi mendapat ilham. Ilham yang selalu ummi impikan dan diingatkan setiap kali mata cuba dilelapkan dan ketika fikiran menerawang. Bak kata bijak pandai "bermimpilah kerana ianya tidak dikenakan sebarang bayaran pun.".
Cuma ummi belum benar-benar melaksanakannya lagi. Moga Allah ubah impian ummi menjadi kenyataan.
Syukur juga dengan kejutan dari impian dan lamunan tersebut terus bingkas bangun dan memulakan tugas di dapur tanpa agenda yang diatur terlebih dahulu. Mula mengemas barangan di dapur dan di seluruh pelusuk rumah. Hilang segala penat lelah dan keluh kesah yang bertukar menjadi tenaga untuk bergerak cergas. Mengemas dan mengurus rumah juga memerlukan daya fikir dan juang yang tinggi.
Tugas yang dilakukan yang dirasa perlu untuk dilaksanakan bagi menyambut tetamu yang bakal tiba di hujung minggu ini dan hari-hari yang seterusnya mungkin. Bukannya tetamu luarbiasa yang belum pernah bertandang, tetapi tetamu ahli keluarga di pihak suami sendiri yang bakal datang kerana anak saudara suami yang berasal dari Felda Pasoh Empat Kuala Klawang akan menjalani pembedahan di HUKM dan mula memasuki ke wad pada hari Ahad ini dan akan dibedah pada 23hb November.
Pembedahan yang dinamakan 'Posterior Instrumentation and Fusion' dan dirawat dengan nama perubatannya 'Adolecsent Idiopathic Scoliosis'.
Sukar bunyi penyakit dan pembedahannya. Secara ringkas dah mudah difahami, sakit tulang belakang yang bengkok sejak dilahirkan sebenarnya dan akibat dari jatuh di sekolah dan tidak diambil berat oleh sekolah menyebabkan tulang tersebut telah mencengkam jantungnya. Bahaya kata Tuan Doctor. Besi-besi, skrew-skrew, Nuts, Rods, Hook Crosslink perlu dimasukkan ke dalam tulang belakangnya. Ngeri bunyinya dan kos yang perlu ditanggung untuk membeli barangan besi-besi adalah tinggi untuk keluarga peneroka ini.
Pembedahan yang sepatutnya dijalankan sejak bulan Mei tetapi ditangguhkan ke November ini kerana anak saudara kami ini Nurul Aina, ingin juga menduduki peperiksaan PMRnya.
Dan saya pula bakal bertukar profesion, bermula pada hari Isnin ini 22hb November hingga 25hb November bila perlu ke Mahkamah Jalan Duta semula. Menghadiri sambungan perbicaraan kes tangkapan perhimpunan Aman 'HIMPUNAN MANSUH ISA' disusuli dengan sambungan perbicaraan kes 'PROTES' dan 26hb pula mengikuti suami untuk penggulungan kes 'OPS BUBAR DUN PERAK' di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar.
Semua urusan perbicaraan di Mahkamah hanya diketahui oleh kawan-kawan sahaja dan bukan ahli keluarga. Ahli keluarga sudah tentu sukar menerima hakikat saudara mereka ditangkap hingga dipenjarakan dan dibicarakan berpanjangan di mahkamah. 'Ditangkap, dipenjarakan, didakwa dan dibicarakan' diertikan dengan penjenayah!. "Siapa yang akan beri makan anak isteri kamu ni, janganlah lawan kerajaan' mungkin itu yang ada dalam fikiran mereka di kampung. Jadi biarlah mereka tidak mengetahui tentang apa yang kami perlu lalui.
Selagi kami yakin apa yang kami lakukan sehingga didakwa sebagai melawan kerajaan ada bertujuan melawan kezaliman kerajaan, dan berjuang untuk kebaikan rakyat secara umumnya walau hasilnya belum dapat dilihat jelas di hadapan mata.
Moga Allah memudahkan urusan mereka dan kami sekeluarga.
No comments:
Post a Comment