Tuesday 20 July 2010

Moga yang tidak bersalah dibebaskan segera...

Beberapa minggu lalu. saya menerima sms dari rakan yang mengatakan ada pemuda yang ditangkap di bawah ISA. Memang runsing rasa hati. Bila ada tangkapan maka saya terbayangkan ada keluarga yang bakal menderita.

"Kak jomla, GMI tak nak ziarah keluarga dia ke. Kesian dia anak kecil-kecil lagi". Begitulah lebih kurang mesej yang saya terima.

"Betul ke dia kena tangkap ISA, biar akak pastikan dulu atau tolong dapatkan maklumat mengenai dia" kata saya untuk memastikan status tangkapan pemuda yang diwar-warkan sebagai tahanan ISA tersebut.

Ini kerana sekiranya beliau ditangkap ISA maka tindakan susulan dan segera perlu diambil seperti mengeluarkan kenyataan akhbar mengutuk tangkapan tersebut serta menyediakan peguam untuk orang yang ditangkap agar permohonan Habeas Corpus dapat segera dibuat untuk tahanan.

Melalui no telefon yang diberi kepada saya segera saya hubungi No tersebut "Saya dapat berita Ustaz ditangkap ISA?" tanya saya.
"Ha...saya kena ISA, minta simpangla..." jawap suara di hujung talian.

"Alamak saya tersilap maklumat ni"...segera saya mohon maaf. Rupanya orang yang saya hubungi adalah Ketua Pemuda PAS Padang Rengas. Saya sepatutnya meminta maklumat darinya mengenai seorang pemuda Unit Amal dari Kawasan Padang Rengas yang telah ditangkap oleh polis.

Melalui perbualan tersebut saya mendapat kepastian akan status tangkapannya iaitu bukanlah di bawah akta ISA tetapi disabitkan dengan kesalahan di bawah akta Senjata Api. Namun beliau baru dituduh dan ditahan reman oleh polis dan dibawa ke Melaka.

Seorang lagi sahabat di FB menghantar mesej kepada saya mengenai pemuda yang sama dan menyatakan hasrat untuk ziarah dan memberitahu bahawa anak-anaknya masih kecil lagi. Terbit keinginan untuk menziarahi keluarganya juga yang tinggal di kawasan Kuala Kangsar Perak. Kebetulan kami perlu ke sana selama 3 hari untuk menghadiri perbicaraan.

Pada hari ke dua perbicaraan, sebaik tiba di Mahkamah saya terlihat sebuah keluarga yang besar bersama anak-anak kecil di perkarangan Mahkamah. Dari dalam Mahkamah saya terdengar tangisan dan jeritan anak kecil yang memanggil-manggil ayahnya " Ayah..ayah..ayah.." bertalu-talu.

Rupanya keluarga yang berada di luar tadi ialah keluarga pemuda yang ditangkap dan direman tersebut. Sebaik mendapat maklumat bahawa dia berada di kamar mahkamah yang bersebelahan segera saya masuk ke mahkamah tersebut. Kebetulan peguam kes suami saya adalah peguam yang sama yang akan mewakilinya.

Syukur kerana saya berpeluang berjumpa keluarganya dan juga dapat berjumpa dengan Saudara Sofi sendiri di dalam kamar Mahkamah. Sempat saya bisikkan kepadanya kata-kata nasihat yang saya dapati dari peguam-peguam dan dari pengalaman sendiri apabila ditahan reman.

"Jangan jawab apa-apa, beritahu pada polis yang saya hanya akan jawab di Mahkamah di hadapan peguam saya. Jika polis cuba bawa ke Mahkamah tanpa pengetahuan keluarga dan peguam mesti lawan dan beritahu yang saya mahu bercakap dengan keluarga dan peguam". Dia mengangguk tanda faham.


Di luar mahkamah anak yang paling kecil terus menangis dan meronta-ronta memanggil-manggil ayahnya berulang kali. Semua yang ada tidak dapat menahan air mata dari mengalir melihat suasana pilu tersebut. Di dalam hati saya berkata-kata "pasti anak ini terlalu rapat dengan ayahnya" kerana sebaik ayahnya memegang dan mendukungnya dia terus berhenti menangis dan sebaik dilepaskan tangisannya seolah tiada akhirnya meraung dan menjerit memanggil ayahnya.

Ibu Sofi dibelakangnya mengelap airmata kesedihan. Saya cuba meredakan sedikit kesedihannya. Katanya ramai yang datang menziarahi mereka dan majlis solat hajat turut diadakan khusus untuk keselamatan anaknya dan segera dibebaskan dari pertuduhan.


Awal pagi tadi saya telah menghubungi isterinya untuk bertanya khabar, kali pertama dan terakhir saya menghubunginya ialah pada hari Jumaat lepas iaitu hari yang sepatutnya dia dibawa ke Mahkamah Tinggi Taiping untuk ditambah reman atau didakwa. Di hari kami berjumpa di Mahkamah Kuala Kangsar saya telah menyampaikan pesanan kepada mereka melalui pengalaman suami dan saya sendiri yang ditahan reman oleh polis.

"Okay, Mahkamah benarkan Sofi ditahan reman polis selama 3 hari, maknanya hari ini Rabu, Khamis dan Jumaat dia sepatutnya dibawa keluar dari Lokap polis untuk dibawa ke Mahkamah. Jadi kalau ada kelapangan, awal-awal pagi Jumaat datang segera dan tunggu di hadapan balai takut-takut polis bawa dia keluar awal tanpa pengetahuan keluarga".

Alhamdulillah dari panggilan telefon awal pagi tadi saya mendapat berita Saudara Sofi telah pun dibebaskan pada hari Jumaat dan hanya dengan jaminan polis. Syukur yang teramat dengan berita tersebut dan kami semua tumpang gembira dengan berita tersebut.

Kini kita harus ke depan membela nasib Saudara Mohammad Fadzullah bin Abdul Razak 28 tahun yang ditahan di bawah akta ISA pada 15hb Julai yang lepas atas kaitan pengganas antarabangsa hanya kerana beliau membantu perjuangan rakyat seagama di negara jiran......bilakah semua ini akan berakhir di mana umat Islam sering dilabel sebagai pengganas....

No comments: