Tuesday 28 June 2011

BERSIH2.0: "Kita Nyalakan Unggun Api itu Pada Malam Ini."

BERSIH 2.0
Takut lagi penguasa yang zalim pada kebangkitan rakyat.
2.30 petang Isnin 27hb Jun 2011 Sasterawan Negara A. Samad Said juga turut dipanggil hadir ke IPD Dang wangi untuk disoal siasat. Selain dari itu Dato' Ambiga juga telah dipanggil hadir juga. Mereka diiringi oleh peguam N. Surendran dan juga Fadiah Nadwa Fikri.
Semuanya kerana mereka telah memberikan ucapan di malam Majlis Pelancaran Bersih 2.0.
Sebaik keluar dari IPD Dang Wangi setelah bekerjasama dengan polis memberikan kenyataan seperti yang dipinta. Lansung tidak melarikan diri, takut atau gentar. Malah bekerjasama mengikut undang-undang.
Setiap yang berlaku yang berkaitan dengan BERSIH2.0 menarik minta wartawan dari pelbagai media untuk datang membuat liputan walau perlu bersesak dan menunggu di terik mentari. Kemungkinan juga kehadiran Sasterawan Negara yang juga dipanggil untuk disoal siasat.
Wartawan menyerbu ke pintu masuk IPD sebaik delegasi keluar dari balai.
Fadiah yang hadir sebagai peguam bersama N. Surendran mengiringi A. Samad Said tiba-tiba telah diserahkan dengan notis 111 oleh polis untuk datang beri kenyataan.
Wartawan memohon penjelasan dari A. Samad Said sebaik Dato' Ambiga selesai memberikan kenyataannya kepada para wartawan.
Polis menjalankan siasatan ke atasnya di bawah Akta Hasutan dan Akta Polis kerana telah membaca puisi. Tetapi ternyata ianya lansung tidak menggentarkannya sebaliknya lebih mendorongnya lagi dan menaikkan semangat.
Mari kita baca apa yang ditulis dan dibaca oleh A.Samad Said mengenai isihatinya tentang apa yang berlaku dan dilakukan oleh sang penguasa kepada rakyatnya...
"Kita sedar bahawa jalan ini tidaklah mudah. Maka itu, kita menjadi lebih berazam. Kita maklum bahawa gergasi media arus perdana kini sedang ikut garang menghempit kita dalam arus peristiwa yang semakin durjana. Kita sedang berlawan dengan keangkuhan yang pejal. Oleh media arus perdana ini, kita sewenangnya digambarkan sebagai kumpulan “siasah” yang sangat bercita-cita buruk. Lebih buruk, kita digambarkan sebagai kelompok yang sengaja ingin menggelorakan masyarakat seburuk hajat."
"Kita tidak begitu. Kita ingin memperbaiki jentera demokrasi agar lebih berhati nurani.
Inilah gerakan kita yang, sayangnya, terpaksa bermula di tengah keangkuhan kerajaan yang merasa segala-galanya sudah betul, malah sudah syurgawi, di tanah air ini. Kita sebenarnya masih dalam derita yang terus dicipta oleh tangan kasar berhati angkuh yang sangat bercita-cita.
Kita merindukan suara kuasa yang waras dan insani; suara pembimbing yang ikhlas dan mengerti.
Kita tidak memerlukan suara angkuh dalam era yang sudah terlalu lama sombong ini. Kita mengharapkan tangan kuasa yang berhemah, sedia memimpin dan berdamai, turut bantu mencipta iklim demokrasi yang harum.
Memanglah kita mengkhayalkan dunia indah itu, walaupun kenyataan yang terserlah dan mengembang kini sedang menunjukkan di atas kepala kita sentiasa sedia terapung awan kelam yang menjanjikan tofan.
Jikalau berlaku, kita bukanlah kelompok manusia yang gamam berlari; kita, sebaliknya, adalah manusia yang cekal berdiri. Kita ingin memupuk demokrasi yang lebih berhati nurani.
Dua ratus tahun dulu seorang tokoh kecil Sam Adams, dengan kelompoknya yang kecil juga, telah mencurahkan teh ke dalam laut di pelabuhan Boston, Amerika.
Kata Sam Adams: “It does not require a majority to prevail, but rather an irate, tireless minority keen to set bushfires in people’s minds.”

Kita tidak menginginkan demokrasi yang kasar dan sombong; kita merindukan demokrasi yang tulus dan betul.

Kita nyalakan unggun api itu pada malam ini!" dipetik dari sini.

No comments: