Thursday, 23 September 2010

Datuk Seri Ir Mohammad Nizar bersama OKT Masjid Ubudiyyah

Inilah yang dinamakan tidak ada rezeki, redha sajalah walau dalam hati tetap ada rasa terkilan. Kita merancang selebihnya Allah menentukan segalanya.


Perjumpaan Hari Raya OKT Kuala Kangsar telah diadakan di rumah Pakcik Meor setelah selesai kes pada tengahari 21hb Oktober, di hari kami ditakdirkan tidak dapat hadir ke Mahkamah.

Bukannya apa sangat pun, cuma sudah beberapa kali kami semua dalam kumpulan OKT (orang kena tangkap) di Masjid Ubudiyyah 6 Februari 2009 mengharapkan pertemuan dan perjumpaan secara khusus dengan Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin, tetapi ada saja halangannya.

Saya masih ingat lagi sebaik kesemua mereka yang ditangkap dibebaskan setelah berada di lokap Polis Balai Polis Kuala Kangsar selama 4 hari, ada yang mengatakan bahawa DS Ir Nizar menjemput mereka semua untuk makan dan bertemu di rumahnya, namun itu hanyalah khabar angin saja.

Berkali-kali juga setiap kali perbicaraan dijalankan di Mahkamah Kuala Kangsar kami ada memaklumkan akan tarikhnya dan mengharapkan beliau datang untuk beri sokongan. Paling kurang dapatlah Puan Hakim melihat orang yang dulunya pernah memegang pemerintahan di Perak selama 10 bulan, dan orang yang telah dijatuhkan dengan cara yang tidak berperlembagaan hingga menyebabkan 13 orang yang tertangkap dituduh sebagai PERUSUH!! didakwa dan dibicarakan di Mahkamah.

Namun sudah tentu ada banyak halangan bagi seseorang yang sesibuk beliau. Kami tetap bersyukur kerana ada sahaja pimpinan dari Pakatan Rakyat Perak yang sering datang memberikan sokongan.

Bukannya lagi paling kurang untuk seorang yang bernama Pakcik Meor ini, yang bergambar bersebelahan dengan Menteri Besar Perak yang halal, yang menjadi tuan rumah untuk Majlis Jamuan pada hari ini. Pakcik Meor sering memberikan sokongan dan bantuan kepada kami semua. Anak Pakcik Meor, Meor Shafrizal ialah salah seorang yang ditangkap. Pakcik Meor sering datang ke Mahkamah. Pakcik Meor sering membelanja kami makan jika beliau ada bersama, atau menjemput kami makan di rumahnya, istimewa sekali.

Pakcik Meor juga sering sahaja dengan seikhlas hati menjemput kami yang tinggal jauh datang dan bermalam di rumahnya sekiranya kes berjalan selama 3 hari atau 5 hari lamanya. Tetapi kami sebolehnya tidak mahu menyusahkan Pakcik Meor dan keluarganya.

Ahli Keluarga Pakcik Meor bergambar dengan isteri DS Nizar dan YB Hj Zainuddin.

Namun kami tetap lunaskan janji kami pada Pakcik Meor yang tidak pernah kenal jemu mengajak kami bermalam dan tinggal di rumahnya. Katanya kami tidak perlu mengeluarkan belanja untuk tinggal di rumah rehat dan makan di luar. Maka pada bulan Ramadan yang lepas kami menumpang tinggal di rumah Pakcik Meor, kebetulan juga kami membawa kesemua 4 orang anak kami bersama-sama. Seronok dapat melunaskan janji ini apatah lagi di bulan Ramadan yang penuh berkah itu.

Moga Allah melimpah kurnia pahala yang berganda-ganda kepada Pakcik Meor sekeluarga. Dapat lagi kami menumpang teduh....

Kami juga terlepas kali ini untuk bersemuka dengan lebih rapat seorang lagi pimpinan Pakatan Rakyat Negeri Perak yang pernah menjadi Exco Agama ketika PR memerintah, YB Haji Zainuddin. Beliau pernah beberapa kali bersama kami mengikuti perbicaraan di Mahkamah, sentiasa mengukirkan senyuman, bersama isterinya.

Turut bersama di dalam gambar ini ialah Tuan Haji Aminuddin, peguambela untuk kes ini (duduk di sebelah DS Nizar) yang sering memberikan kata-kata semangat dan dorongan kepada semua kami yang terlibat dalam kes ini setiap kali kes ditangguhkan. Mereka semua bekerja secara ikhlas membantu semua yang tertuduh sejak dari hari pertama kes ini dibawa ke Mahkamah malah sejak hari mereka semua ditangkap.

Membelakangkan kamera ialah Augustine Anthony seorang lagi peguambela dalam kes ini yang sering bangun menyoal balas kesemua saksi yang dibawa oleh pihak pendakwaan. Tidak berbangkit soal agama dan kaum dalam kes ini. Demi keadilan.

Alhamdulillah, walau saya, suami dan anak-anak tidak dapat bersama, saya rasa tentu kesemua sahabat OKT lain merasa puas, gembira dengan perjumpaan ini di dalam bulan Syawal ketika kita semua meraikan kemenangan. Moga do'a yang dipanjatkan pada hari ini membawa berkat dan kemenangan juga bakal kita semua tempuhi satu hari nanti.

Sudah tentu kita tetap akan meneruskan perjuangan ini tanpa keluh kesah walau apa jua halangan dan cabaran yang datang menimpa. Moga Allah terus berikan kekuatan dan kemudahan untuk kita semua laluinya, kerana kes ini dijalankan dengan sangat 'strict'nya yang memberi tekanan kepada semua.

Ini pula gambar kami bergambar bersama DS Nizar ketika beliau datang singgah di Pejabat YB Dr Lo' Lo sebaik selepas menghantar permohonan untuk saman Kerajaan Haram Perak pada 13hb Februari 2009. Ceritanya di sini.

Wednesday, 22 September 2010

Beri Sokongan!!!

Dah lama juga rehat-rehat dan santai...teringin sangat untuk pergi memberikan sokongan kepada pelajar-pelajar yang teraniaya ini....

KUALA LUMPUR, 21 Sept: Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) menyeru seluruh mahasiswa turun ke Mahkamah Jalan Duta 24 September ini bagi mendengar keputusan perbicaraan kes "bini puaka" melibatkan lima pelajar Universiti Malaya (UM).

Setiausaha SMM, Mohd Ridzuan Othman berkata, himpunan itu sebagai menyatakan harapan keadilan di peringkat seluruh mahasiswa kepada institusi kehakiman di Malaysia.

Ridzuan dalam kenyataannya kepada Harakahdaily berkata, beliau yakin akan kreadibiliti Mahkamah di Malaysia sebagai telus, adil dan bijaksana dalam menilai setiap fakta kes.

"Saya mengharapkan seluruh mahasiswa, aktivis dan masyarakat untuk sama-sama berdoa bagi kemenangan kes ini", kata Ridzuan.

SMM juga meminta seluruh mahasiswa Islam agar mengadakan solat hajat untuk kemenangan kepada mahasiswa yang ditindas di dalam kes tersebut.

Lima mahasiswa iaitu Shazni Munir Mohd Ithnin, Muhammad Aizat Roslan, Muhammad Saufi Jelani, Mohd Izzuddin Hilmi Mohd Zaini dan Mohd Syahriuldeen Ahmad Rosli yang didakwa dibawah Seksyen 427, 436 dan 447 Kanun Keseksaan.

Perbicaraan kes kelima-lima tertuduh berlangsung sejak bermula 15 Jun tahun lalu.

Mereka dituduh menconteng "bini puaka" dan "pembunuh Altantuya" yang ditujukan kepada isteri perdana menteri Rosmah Mansor.

Kesalahan itu didakwa berlaku pada 4 pagi 24 Jun lalu di dewan kuliah utama API, beberapa jam sebelum Rosmah hadir untuk melancarkan kempen mengutip derma bagi kanak-kanak Palestin.

Bagi Seksyen 427, mereka dituduh menyimbah petrol di atas permaidani yang bakal dilalui Rosmah dan menconteng di sebuah dewan akademi pengajian itu.

Manakala bagi Seksyen 436, ketiga-tiga dituduh melakukan perbuatan khianat dengan menggunakan api di tempat dan waktu yang sama.

Bagi Seksyen 447 pula, mereka dituduh melakukan pencerobohan jenayah pada tarikh dan masa yang sama.

Tuesday, 21 September 2010

Kepada Allah kami berserah, Moga Allah membantu.

Hari ini 21hb September 2010, perbicaraan Kes 'Ops Bubar DUN Perak' bersambung lagi buat kesekian kalinya untuk kali yang ke berapa sudah tidak terhitung oleh saya kami berulang alik Kuala Lumpur-Kuala Kangsar-Kuala Lumpur.

Hari ini seperti hari-hari perbicaraan yang sebelumnya kami sedaya upaya mesti berada di sana walau apa halangan yang perlu dilalui. Di dunia Mahkamah yang paling tinggi, perlu di atasi setiap masalah yang ada dan perlu letakkan kewajipan untuk hadir di Mahkamah pada tarikh yang ditetapkan melebihi segalanya.

Namun takdir Allah jua yang menentukan segalanya. Dengan sedikit ujian kami tidak dapat menghadiri perbicaraan pada hari ini dan menyerahkan kepada peguambela sebab-sebab ketidakhadiran dengan do'a dan harapan ianya diterima oleh Puan Hakim dengan kuasa budi bicara yang diguna pakai.

Teringat saya dalam kes Mansuh yang berjalan dalam bulan Ogos lepas, 1 Ramadan. Peguambela memaklumkan kepada Puan Hakim yang salah seorang anakguamnya tidak dapat hadir ke mahkamah kerana tidak mendapat pelepasan cuti dari majikan kerana bekerja sebagai pemandu lori. Jawab Puan Hakim "boleh minta surat pelepasan dari Mahkamah untuk diberikan kepada Majikan"....

Lebih berat lagi ke tahap sesorang yang mendapat tawaran belajar ke luar negara atau bertugas ke luar negara juga tidak akan mendapat pelepasan sekiranya Mahkamah tidak membenarkan. Ini benar-benar berlaku dan inilah perngorbanan.

Kami mengharapkan belas ehsan Mahkamah melalui Puan Hakim untuk meneruskan perbicaraan tanpa kehadiran OKT ke 5. Kes sepatutnya bermula jam 8.30, sekitar jam 10.20 pagi suami menerima panggilan telefon memohon izin perbicaraan dijalankan tanpa kehadirannya. Maka kami membuat kesimpulan seperti sebelumnya perbicaraan bermula lewat lagi. Kami sentiasa menerima seadanya walau hati keluh kesah menanti.

Perbicaraan kes ini diharap sudah sampai ke penghujungnya setelah berjalan sejak April 2009. Saya menelusuri kembali catatan di dalam blog ini mengenai perjalanan kami. Teringat saya kali pertama menghadiri perbicaraan ini dengan suami sebagai OKT tidak dapat hadir kerana tidak sehat untuk bergerak jauh dan lama. Puan Hakim menetapkan 5 hari perbicaraan. Dengan berserah kepada Allah saya bertolak ke Kuala Kangsar bersama anak bongsu membawa bersama sijil sakit suami dan barangan untuk berada di sana selama 5 hari walau jauh di sudut hati mengharapkan kes ditangguhkan ke suatu tarikh yang lain.

Syukur walau terpaksa melalui deraan perasaan dari perbincangan yang singkat di Mahkamah kes ditangguhkan dan tidak perlu saya dan anak tinggal di sana melalui perbicaraan selama 5 hari.

Semuanya sudah lama berlalu dan Asiah, anak bongsu kami masih tetap menjadi teman setia kami ke sana setiap waktu.

Kisah kami pada April 2009 boleh dibaca di sini. "We are ready to proceed!" Trial by ambush.

Bukti : Polis tak jalankan siasatan!!!

Sudah lama rupanya saya catatkan soal balas Peguambela Augustine Anthony ke atas saksi polis yang kami harapkan menjadi saksi paling akhir dipanggil oleh pihak pendakwaan kerana beliau adalah Pegawai Penyiasat bagi Kes ini, Kes tangkapan 'Ops Bubar DUN Perak'.

Soal balas di bawah ialah untuk perbicaraan yang berjalan pada 26 hb Ogos 2010.

Apa yang dibangkitkan dalam soal balas di bawah ini dan di sini sebelumnya mungkin boleh menjadi satu bukti tentang polis yang tidak menyiasat kes yang ada di tangan mereka...baca lah...tak siasat, tak siasat, tak siasat....habis buat kerja apa..menganiaya orang saja mungkin....

Soalan : Anda ada lihat semua CD2 tersebut, mereka membantu polis dalam mengawal dan menyuraikan keadaan.

Jawapan : Setuju.

Soalan : Jadi anda setuju anda tidak nampak ada polis-polis membantu mengawal keadaan?

Jawapan : Masalahnya saya nak kata bantu atau tidak......

Soalan : Bukan....soalan saya nampak atau tidak?

Jawapan : Tak nampak.

Soalan : Jadi setuju dengan saya awak tak nampak sebab awak tak semak DVD secara menyeluruh?

Jawapan : Tak pasti.

Soalan : Since jawapan adakah anda menyiasat anggota polis ada tak orang ramai yang bantu polis pada hari itu, siasat atau tidak?

Jawapan : Tidak.

Soalan : Adakah anda siasat ada orang yang diminta oleh polis untuk kawal keadaan?

Jawapan : Tidak siasat.

Soalan : Minggu lepas ada beri keterangan perhimpunan pada 6/2/09 tidak ada permit?

Jawapan : Ya

Soalan : Ingat tak ada anggota-anggota tinggi polis beri kebenaran orang ramai berhimpun?

Jawapan : Tak ada.

Soalan : Adakah anda siasat pegawai polis, senior officers yang hadir pada 6/2/09 adakah mereka beri kebenaran orang ramai berhimpun? Siasat atau tidak?

Jawapan : Saya tidak siasat tapi.....

Soalan : "Stop there" Adakah anda siasat bahawa polis ada beri kebenaran pada orang ramai berhimpun juga berceramah pada hari itu dan polis benarkan?

Jawapan : Saya siasat berpandukan apa yang saya lihat dalam rakaman.

Soalan : Ya , Anda setuju dengan saya bukan saja polis beri berhimpun malah beri kebenaran mereka berucap?

Jawapan : Tak ada.

Soalan : Ada tak kumpulan yang sememangnya berhimpun dan berucap pada hari itu?

Jawapan : Setuju, setuju pada apa yang saya lihat.

Soalan : Dari semua orang yang berkumpul, berhimpun dan berucap, satu demi satu ada tak arahan bersurai dikeluarkan kepada mereka atau tak siasat?

Jawapan : Saya tak nampak.

Soalan : Anda tak nampak sebarang arahan bersurai? Ada tak mereka diberi amaran sekiranya tidak bersurai mereka akan ditangkap kerana enggan bersurai?

Jawapan : Tak ada.

Soalan : Ada tak antara mereka yang berhimpun dan berucap ditangkap kerana enggan bersurai?

Jawapan : Tak ada.

Soalan : Lihat frame 111 jam 4.20pm, adakah ini hari kejadian? Di manakah lokasi?

Jawapan : Berpandu pada frame....di kawasan perkarangan Masjid Ubudiyyah.

Soalan : Di kawasan inilah OKT OKT ditangkap kerana kononnya enggan bersurai?

Jawapan : Setuju.


Soalan : 4.20pm ramai yang berkumpul di perkarangan Masjid, setuju?

Jawapan : Setuju.

Soalan : F 11, 4.21pm berapa orang ada di situ? Lebih dari 10 orang? 200 orang ka? Setuju atau tidak.

Jawapan : Setuju.

Soalan : Di tengah 200 orang ada orang yang pegang loud hailer ada orang yang buat ucapan provokasi.

Jawapan : Apa maksud provokasi.

Soalan : IO (Investigation Officer) tidak faham maksud maksud provokasi, so terpaksalah mainkan semula rakaman. Semasa ucapan-ucapan provokasi ini dibuat ada tak polis di situ? Ada tak anda siasat?

Jawapan : Susah nak cakap.

Soalan : Apa susah-susahnya jawap saja the truth. Awak siasat atau tidak anggota-anggota polis ada di situ?

Jawapan : Tak siasat, yes.

Soalan : Bukan saja berhimpun tapi beri ucapan-ucapan provokatif. Awak tahu siapa budak ini? Ada tak siasat?

Jawapan : Tak.

Soalan : Setuju dengan saya ucapan-ucapan lelaki tersebut mendorong orang ramai berkumpul di situ?

Jawapan : Itu hanya satu pandangan sahaja

Soalan : Lihat gambar, anda siasat siapa dia?

Jawapan : Tadi dah jawab.

Soalan : Tak siasat, tak siasat. Setuju dengan saya tiada seorang di sini pada 6 hb Februari 2009 termasuk penceramah yang provokatif lansung tak ditangkap?

Jawapan : Betul Yang Arif.

Soalan : P 5 Gambar 35 dan 36, setuju dengan saya polis ada gambar close up penceramah di Frame 47, anda tak siarkan gambar penceramah ini di dalam akhbar? Adakah dia seorang mahasiswa?

Jawapan : Saya tidak tahu adakah dia mahasiswa.

Soalan : Sebab tak siasat. Adakah dia OKT hari ini?

Jawapan : Tidak.

Soalan : Ada tak siasat dari pegawai-pegawai yang lain?

Jawapan : Tidak

Soalan : Kenapa orang yang beri ceramah ini tidak ditangkap? Lihat pada jam 4.22pm, adakah ini satu perhimpunan?

Jawapan : Ya.

Soalan : Saya katakan ramai yang berkumpul pada hari itu, ramai yang provokatif tetapi polis menangkap orang yang menolong polis. Ini adalah sesautu yang tidak adil. Saya tanyakan kenapa orang lain tidak ditangkap hanya 13 orang sahaja yang ditangkap?

Jawapan : Mereka ini terlibat dalam perhimpunan haram.

Soalan : Saya cadangkan kepada anda sebagai IO Investigation Officer, tidak ada sebarang tangkapan dibuat walau ada orang ramai berhimpun dan berucap sebab tidak ada keganasan?

Jawapan : Ini saya tidak pasti sebab bukan saya yang menangkap.

Soalan : Adakah anda siasat?

Jawapan : Tidak.

Soalan : Adakah anda tahu bahawa antara OKT-OKT ini yang baling objek atau batu pada orang ramai?

Jawapan : Tidak ada.

Monday, 20 September 2010

Perjuangan 'Tanpa Nama'

Salam Syawal semua....semoga terus ceria, tabah melalui hari-hari yang datang dan pergi. Sudah puas saya menjadi diri saya, seorang rakyat di Malaysia, sama seperti yang lain. Saya membaca mengenai apa yang berlaku dari paparan akhbar, TV bila berkesempatan. Berita-berita ringkas melalui rakan-rakan di Twitter.

Tidak 'log on' di komputer berhari-hari sehinggalah ke pagi ini. Saya rasa ada sesuatu yang besar kehilangan dari diri, walaupun dalam diri saya ingin sekali menjadi seorang rakyat biasa tanpa mengambil kesah apa yang berlaku di sekeliling saya. Apatah lagi apabila Mahkamah memberi cuti yang lama untuk kami. Kes-kes perbicaraan kami paling akhir beberapa hari sebelum hari Raya dan hanya akan bermula pada akhir September.

Kes Kuala Kangsar akan disambung bicara esok 21hb September 2010, bermula jam 8.30 pagi hanya utk separuh hari. Ketika menetapkan tarikh dan masa Hakim menetapkan masa mula 2.30 petang, Augustine Anthony peguambela cuba merayu tentang masa yang tidak sesuai bagi mereka yang perlu 'travel' jauh untuk hadiri perbicaraan. Maka Puan Hakim menukar masa ke sebelah pagi, ianya tetap sama, 'travel' jauh untuk kes separuh hari.

Perbicaraan di Mahkamah sedikit sebanyak membuatkan saya rasa syukur kerana memberi nafas untuk saya terus ada semangat berjuang, mengetuk diri untuk bangkit dan keluar dari keselesaan diri sendiri. Namun kes di Kuala Kangsar terus menjadi tekanan dalam hidup kami selagi ianya tidak habis dibicarakan berbeza dengan dua kes lain yang perlu saya lalui di Mahkamah Kuala Lumpur.

Pada pagi Hari Raya saya menerima ucapan Selamat Hari Raya dari peguambela yang membantu pembelaan dalam kes 'Ops Bubar Dun Perak' dengan ingatan untuk saya sama-sama menonton video mengenai 'Hak Orang Asal'. Saya membuat perjanjian yang saya pasti akan tonton dan menilai tentang mesej yang disampaikan. Kebetulan juga beberapa hari sebelum 1 Syawal saya melihat gambar ini di laman FB Puan Ainon PTS yang menziarahi perkampongan orang Asal di Bentong Pahang. Amat menyentuh hati.

Di kala kita merasakan diri kita susah sekali sekala ada rakyat Malaysia yang sepatutnya mendapat hak yang sama rata tetap dipinggirkan. Mereka mungkin sudah biasa dengan kesusahan namun mereka juga Rakyat Malaysia yang sewajibnya diberi hak dan perhatian yang sama.

Pagi ini baru saya mengambil kesempatan untuk menonton video yang dimaksudkan oleh peguambela kami tersebut. Saya mendengar dan menghayatinya dengan sebaik mungkin. Ya, Hak orang asal untuk menjadi Menteri Besar dan Perdana Menteri berkongsi pentas kepimpinan menjadi ADUN dan EXCO agar nasib mereka terus terbela, luahan hati mereka didengar dan masalah mereka dirungkaikan dan mereka dapat apa yang menjadi hak mereka dan tidak terus dilupakan hanya kerana mereka tidak nampak di mata kita.

Saya menjemput anda menonton siri video di bawah, renung dan fikirkan dari pelbagai sudut.

Dari pelbagai sudut dan tafsiran yang boleh dibuat dari video-video dibawah yang terlintas di fikiran saya secara khususnya ialah untuk memperkenalkan anda semua pembaca kepada peguambela yang sering saya catatkan dalam laman blog ini melalui kes perbicaraan 'Ops Bubar DUN Perak. Saya yakin dengan semangat yang ada pada diri beliau dan peguam-peguam yang lain dan semua pejuang Hak Asasi Manusia setiap perkara yang zalim akan ada yang akan terusan membelanya dan membawa ke pengetahuan umum. Bila umum diberikan pengetahuan dan pendedahan lebih ramai yang akan sama bangun membela dan memperjuangkannya. Prinsip yang dipegang ialah biarpun kalah kita puas hati kerana bangun melawan kezaliman.




Monday, 6 September 2010

'Breaking News' Menteri Dalam Negeri terus ZALIM!

Minggu lepas hari Khamis 3 September, situasi yang sama, ketika menunggu dengan penuh kebosanan kereta diservis saya menerima pesanan ringkas dari Nalini, setiausaha GMI. Namun berita ringkas pada hari itu cukup mengujakan dan buat saya segera ingin memaklumkan pada sahabat-sahabat di Facebook yang sama-sama berkempen supaya Shamsuddin Sulaiman, tahanan ISA 8 tahun segera dibebaskan. Pada hari tersebut akhirnya Shamsuddin dibebaskan juga.

Ramai gembira dan bersyukur dengan pembebasan tersebut. Kami di GMI dan penyokong GMI sudah pasti turut sama bergembira. Namun terdetik juga dalam hati mungkin ada yang bakal jadi pengganti.

Hari ini seperti juga di minggu lepas ketika kebosanan sekali lagi menunggu kereta diservis buat kali kedua, satu emel pula masuk ke dalam kotak inbox.

"Breaking News, Mohd Fadzullah dihantar ke KEMTA"

Sungguh membuatkan kita marah.

Hari pertama umat Islam menyambut kedatangan 1 Ramadan 3 orang ditahan ISA dibawah tahanan reman polis. Ketika itu Fadzullah telah awal lagi menjadi mangsa tawanan polis. Peguam sudah dan sedang berusaha membawa permohonan Habeas Corpus ke Mahkamah.

23 Ramadan kita bergembira dan mengucapkan terima kasih pada Menteri Dalam Negeri kerana membebaskan Shamsuddin Sulaiman, hari ini 27 Ramadan hanya tinggal beberapa hari untuk umat Islam menyambut kemenangan, seorang rakyat Malaysia telah dizalimi oleh Menteri yang sama dengan dihantar ke Kem Tahanan Kamunting untuk merengkuk di dalam sana selama 2 tahun atau entah sampai bila. Shamsuddin Sulaiman merengkuk selama 8 tahun. isteri membuat keputusan memilih berpisah, anak-anak hilang kasih sayang dan mungkin sudah putus hubungan dengan seorang ayah.

Hari ini ketika Mohd Fadzullah sudah berada di Kem Tahanan Kamunting kaum keluarga lansung tidak mengetahuinya sehingga hari ini bila berita ini dipecahkan kepada umum.

Terima Kasih Menteri Dalam Negeri kerana terus-terusan membuktikan bahawa ISA adalah zalim dan anda tergolong dalam mereka yang zalim kerana menggunakan akta ini.

Baca kesah terkini penderitaan isteri tahanan ISA di sini. "Anak bertanya di mana AYAH"

Friday, 3 September 2010

Terima Kasih Datuk Seri Hishamuddin????

Khamis 3 September 2010, seorang tahanan ISA yang telah 'dilepaskan' keluar setelah dibiarkan merengkok di Kem Tahanan Kamunting selama 8 tahun.

Tiada siapa yang dapat membayangkan bagaimanakah sebenarnya perasaannya bila dilepaskan keluar. Kita di luar yang mengikuti perkembangan tentang akta zalim ISA ini sudah tentu ramai yang merasa bersyukur dengan berita pembebasan ini. Tidak kurang juga yang mengucapkan ucapan jutaan terima kasih kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Husein Onn atas berita ini.

Ucapan terima kasih memang wajar diucapkan kepada pemberi, namun dalam hal ini, serasa ucapan ini tidak layak untuk diberikan kepadanya.

Mereka yang berkuasa ini masih lagi kekal zalim...8 tahun mereka menzalimi tahanan ISA ini dan bertahun-tahun juga menzalimi ramai lagi tahanan ISA yang lainnya. ISA masih kekal berkuasa dan masih ramai lagi yang merengkuk di KEMTA dan masih ada 4 orang lagi yang berada di bawah tahanan polis untuk tempoh 60 hari sebelum dihantar ke KEMTA sekiranya mereka 'layak'.

Sepanjang menjadi anggota GMI dan berhubung rapat dengan keluarga tahanan ISA khususnya para isteri dan anak-anak, saya mengikuti episod kehidupan mereka sepanjang ahli keluarga mereka menjadi tahanan ISA. Isteri dan keluarga Shamsuddin tidak pernah saya temui kerana ada sahaja perkara yang menghalangnya hingga akhirnya isterinya tidak mahu ada apa-apa kaitan dengan kami. Kini sudah beberapa tahun mereka berpisah dengan permohonan fasakh.

Apa yang tinggal lagi untuk Sudin sebaik dia melangkah keluar dari KEMTA selain dari pulang ke pangkuan keluarganya mungkin.

Kami di Pusat Sokongan Keluarga Tahanan ISA pernah juga sekali menemani seorang isteri tahanan ISA ke Mahkamah Syariah bagi permohonan fasakh juga. Memang ianya sesuatu yang memilukan dan sukar diterima, namun ianya terpaksa berlaku lantaran sifat zalimnya ISA yang tidak tentu dan tidak tahu bilakah seseorang itu akan dibebaskan.

Penderitaan anak-anak yang menunggu dan terus menunggu kepulangan ayah mereka, penderitaan anak-anak lelaki remaja yang terasa beban sebagai ayah harus mereka pikul hingga membuat mereka mempunyai masalah jiwa yang kronik. Ibu-ibu dan ayah yang terus juga menanti kepulangan anak mereka hingga ada yang meninggal dunia tanpa sempat menatap wajah anak-anak mereka.

ISA terus menzalimi tahanan ISA hingga kini sudah 50 tahun usianya.

Setiap kali tibanya Syawal pasti ada tahanan yang dilepaskan, ada keluarga yang bergembira dan bersyukur namun dalam detik ketibaan 1 Ramadan yang lalu kerajaan Malaysia tetap zalim dengan menahan 2 orang rakyat kita dan seorang warga Indonesia....ISA terus menzalimi rakyat Malaysia malah rakyat luar negara juga terus tidak selamat.

Selagi ISA kekal dan selagi pemerintah yang zalim terus berkuasa dengan kezaliman mereka tidak layak menerima ucapan terima kasih dari rakyat mereka sendiri.