Thursday 17 April 2008

Pertemuan dengan Menteri Besar Selangor

Rabu 2.30 petang.

Setelah selesai menghadiri pertemuan di Hulu Kelang perjalanan hari itu diteruskan pula dengan misi yang ke dua. Bersama dengan Cikgu Laila dan Mun Hooi (koordinator SUARAM), kami bergerak dari pejabat SUARAM di Petaling Jaya menuju ke Shah Alam iaitu menuju ke Bangunan SUK. Inilah kali pertama saya menjejakkan kaki ke dalam bangunan ini. Teringatlah saya berita yang dibaca mengenai peristiwa yang berlaku di malam kemenangan PR di Selangor. Bangunan tersebut terpaksa dikawal oleh polis, FRU dan penyokong ahli Pakatan Rakyat.

Pertemuan di antara NGO-NGO yang kini dikenali sebagai Coalition for Good Governance (CGG) bersama YB Tan Sri Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor. Tujuan utama pertemuan ialah untuk melakukan kerjasama dengan kerajaan negeri yang baru. Semuanya bertujuan untuk memberi kebaikan kepada semua pihak terutama rakyat di Negeri Selangor.

Ada hampir 100 NGO yang turut serta. Saya dan Cikgu Laila mewakili Gerakan Mansuhkan ISA. Sudah tentu isu yang kami bangkitkan ialah mengenai isu perlanggaran Hak Asasi Manusia dan perkara yang penting juga ialah mengenai kebajikan keluarga tahanan ISA yang berada di Selangor.

Pertemuan dengan MB sepatutnya bermula pada jam 3.30 petang. Namun sebaik sampai kami sudah dimaklumkan bahawa kemungkinan besar MB akan datang agak lambat kerana beliau telah dipanggil untuk memberi keterangan kepada polis mengenai isu program 'Black 14' yang diadakan pada hari Isnin 14 April. Oleh itu sementara menunggu semua yang hadir mengambil peluang untuk berbincang dan membangkitkan isu-isu yang ingin dibawa ke pengetahuan MB dan Exco-exconya untuk diambil tindakan.

Semua yang hadir menjadi resah dan ada juga yang meluahkan rasa tidak puas hati kerana MB masih juga gagal untuk datang bertemu walaupun jam sudah menunjukkan pukul 4.15 ptg. Pertemuan tersebut sepatutnya berakhir pada jam 4.30 ptg. Namun setelah berbincang semua bersetuju untuk menunggu sekejap lagi kerana MB berjanji akan datang secepat mungkin kerana beliau terpaksa juga mengadakan mesyuarat exco kerajaan. Semuanya menjadi lewat gara-gara gangguan dari pihak polis. Kami semua telah dijemput untuk menjamu selera dengan jamuan petang yang berbagai. Ada mee goreng, bihun, kuaeteow, 2 jenis kueh, buah-buahan dan minumah panas. Alhamdulillah, sejuk sikit hati-hati yang sedikit panas tadi.

MB akhirnya muncul ke bilik mesyuarat pada jam lebih kurang 4.40 ptg. Perbincangan terus diadakan. MB terus menjawab dan memberi komen untuk setiap persoalan, cadangan dan permintaan yang diajukan kepadanya. Untuk isu ISA, beliau berjanji akan memberikan sokongan. Apatah lagi beliau juga seorang Ahli Parlimen dan memastikan akan memberi satu vote agar ISA dimansuhkan. Beliau juga mengatakan akan ada satu peruntukan dalam bentuk wang yang akan diberikan kepada keluarga mangsa ISA, melalui wang zakat atau dari bahagian kebajikan untuk bukan Islam. Alhamdulillah. Sebagaimana yang disebutkan oleh DS Anwar Ibrahim dalam pertemuan dengannya Tan Sri Khalid juga menegaskan yang Pakatan Rakyat akan segera membebaskan tahanan ISA dan Memansuhkan ISA sekiranya Pakatan Rakyat berjaya memerintah. Walau apapun janji yang diberikan, perjuangan GMI akan tetap diteruskan.

Hampir jam 6.20 petang pertemuan tersebut belum lagi selesai...saya agak resah sebab dah terlalu lewat untuk saya. Terpaksalah saya minta diri untuk pulang, nasib baik saya memandu sendiri, dapatlah saya pulang lebih awal dari Cikgu Laila dan Mun Hui. Mereka berdua perlu pulang semula ke SUARAM untuk menghadiri mesyuarat GMI pula. Terpaksalah saya ponteng dari menghadiri mesyuarat tersebut.

Nota:Tan Sri Khalid adalah orang yang membantu membayar ikat jamin saya dan beberapa orang lagi ketika 36 orang kami ditangkap dan dipenjarakan selama 3 hari 2 malam semasa perhimpunan aman di KLCC pada 26hb Januari 2008. Di bawah adalah gambar kenangan ketika kami dibebaskan dengan ikat jamin..ihsan harakah daily. Semoga Allah menjadikannya seorang pemimpin yang beriman dan membawa Selangor menjadi sebuah negeri yang maju dan di rahmati Allah.



No comments: