Friday 1 August 2008

Cukuplah 48 Tahun Kezaliman ISA!

Kenyataan Media: 1 Ogos 2008
Cukuplah 48 Tahun Kezaliman ISA!


1 Ogos 2008 menandakan 48 tahun kewujudan undang-undang zalim Akta Keselamatan Dalam Negeri atau Internal Security Act (ISA). Asal usul ISA ialah daripada Ordinan Darurat 1948 yang telah memenuhi tujuannya dan kemudiannya dimansuhkan dengan tamatnya darurat pada 30 Julai 1960. Walau bagaimanapun, kuasa menahan tanpa bicara di bawah Peraturan 17 Ordinan Darurat telah dikekalkan dan dimasukkan dalam Bahagian II ISA.

Pada tahun 1989, hak tahanan ISA untuk merujuk kepada mahkamah telah disekat apabila Malaysia mengikut jejak langkah negara jiran di Selatan dengan menyingkirkan semakan mahkamah dalam hal-hal bersangkutan dengan kuasa Menteri untuk menahan seseorang di bawah ISA. Dengan pindaan tersebut, tahanan hanya boleh mencabar penahanan mereka atas dasar prosidur sahaja.
Salahguna kuasa dan Penyeksaan di bawah ISA
Di bawah ISA, tahanan terpaksa melalui 60 hari pertama penahanan di pusat tahanan khas Polis bertujuan kononnya untuk siasatan. Tiada arahan mahkamah diperlukan untuk penahanan demikian. Pusat Tahanan pula dirahsiakan dan tahanan digerakkan dalam keadaan mata ditutup dengan kain penutup mata. Kebenaran lawatan oleh ahli keluarga adalah semata-mata mengikut budi bicara polis. Tahanan juga dinafikan hak bertemu peguam, satu percanggahan dengan Perkara 5(3) Perlembagaan Persekutuan Oleh kerana itu, ISA telah menjadi satu alat yang berkuasa untuk mewujudkan ketakutan dan sekatan.

Laporan berhubung deraan dan penyeksaan ke atas tahanan ISA telah banyak dilaporkan. Antaranya ialah: soal-siasat berterusan oleh kakitangan Cawangan Khas untuk tempoh masa yang panjang tanpa rehat; ancaman penahanan tanpa tempoh menentu sekiranya tahanan gagal menjawab soalan; tahanan ditahan di bilik kecil dan gelap; dipaksa untuk minum air kencing sendiri. Terdapat juga laporan yang mendakwa SB memukul zakar tahanan dan memasukkan objek keras ke dalam dubur tahanan. Seksaan fizikal juga lazimnya diiringi dengan perkataan kotor dan lucah.
Dalam satu kes baru-baru ini, seorang tahanan ISA, Sanjeev Kumar Krishnan (25) kini terhad kepada penggunaan kerusi roda kerana separuh lumpuh akibat daripada dakwaan diseksa ketika dalam tahanan. Beliau hilang fungsi kaki dan tangan kirinya. Dalam satu lagi kes, Shahrial Sirin, seorang tahanan ISA telah tidak sempat untuk melawat anaknya yang dalam keadaan sakit tenat. Akibat daripada kelewatan kebenaran berkenaan, anak Shahrial telah meninggal dunia sebelum ditemuinya.

Penggunaan ISA di bawah Abdullah Ahmad Badawi
Sejak Abdullah Ahmad Badawi memegang kuasa pada tahun 2003, ISA berterusan digunakan di atas nama “keselamatan negara”. Kebiasaannya digunakan ke atas mereka yang bersikap kritikal terhadap kerajaan, daripada mereka yang menyebar khabar angin melalui SMS hinggalah kepada pembangkang politik dan mereka yang disyakki pengganas. Dalam tahun 2007, kerajaan terus menggunakan taktik mewujudkan hawa ketakutan melalui penggunaan ISA, mengancam untuk menggunakannya ke atas ‘bloggers’ yang didakwa menulis kenyataan-kenyataan berapi-api dan ke atas mereka yang terlibat dalam demonstrasi jalanan. Ancaman ini meningkat menjelangnya Pilihanraya Umum 2008 dan terus meningkat sehingga sekarang untuk mengukuhkan kedudukan kuasa parti pemerintah yang lemah.

Berdasarkan pengawasan GMI, terdapat seramai 64 orang tahanan ISA di Kem Tahanan Kamunting (Kemta) sehingga 30 Jun 2008. Kebanyakan mereka dituduh sebagai ahli “kumpulan ekstrimis agama” termasuk Jemaah Islamiah (JI) dan Darul Islam (DI) manakala sebahagian yang lain terdiri daripada mereka yang dituduh terlibat dengan pemalsuan wang atau dokumen dan juga aktivis HINDRAF. Sehingga kini, tidak ada seorang pun tahanan yang didakwa di mahkamah terbuka. Lebih separuh daripada mereka sedang menjalani perintah tahanan ke-2 dan daripada jumlah itu, 24 orang sedang menjalani penahanan untuk tahun ke-6 manakala 7 orang sedang menjalani penahanan untuk tahun ke-7 iaitu Yazid bin Suffat, Suhaimi bin Mokhtar, Shahrial @ Syahrial bin Sirin, Abdullah bin Daud, Abdullah Minyak bin Silam, Mat Sah bin Mohd Satray dan Shamsuddin bin Sulaiman.

Kita mempunyai pelbagai akta yang memperuntukkan kerangka undang-undang yang secukupnya untuk menangani ancaman keselamatan negara yang pada masa yang sama tidak membawa aib kepada negara apabila berlanggaran dengan prinsip-prinsip keadilan dan hak asasi manusia yang dihormati sejagat. Oleh itu, mengapakah ISA masih diperlukan?

GMI yang sudah wujud lebih daripada 7 tahun, telah berjaya melalui program-programnya dalam memberi kesedaran awam tentang ketidakadilan dan kezaliman ISA. GMI juga telah berjaya memberikan tekanan berterusan ke atas kerajaan dengan melobi di dalam dan luar negara. Sebagai sebahagian daripada kempen intensif sempena penahanan tahanan selama 7 tahun, GMI telah menerbitkan beberapa buah buku dan risalah yang diedarkan ke seluruh negara. Himpunan ‘Vigil’ telah dilaksanakan di hadapan Kemta pada malam genap 6 tahun tahanan yang paling lama ditahan dan baru-baru ini, Malam Himpunan Rakyat secara besar-besaran telah diadakan di sebuah stadium di Shah Alam.

Sejak Pilihanraya Umum Mac lalu dengan 82 orang Ahli Parlimen dan lima kerajaan Negeri di bawah pemerintahannya, pemimpin Pakatan Rakyat telah meningkatkan tekanan untuk membebaskan tahanan dan memansuhkan ISA. Beberapa kerajaan Negeri juga telah memperuntukkan bantuan kebajikan yang sangat diperlukan oleh keluarga tahanan ISA. GMI menyambut baik komitmen dan langkah-langkah yang diambil oleh Kerajaan Pakatan Rakyat.

GMI berbangga dengan sokongan yang meningkat naik daripada rakyat dan masyarakat antarabangsa. GMI berazam untuk meneruskan kempennya sehingga matlamatnya tercapai. Dalam bulan-bulan mendatang, GMI akan terus fokus untuk meningkatkan kesedaran awam melalui pameran, petisyen on-line dan kempen tandatangan. Secara khusus, sempena 48 tahun kezaliman ISA, GMI akan menganjurkan program “Malam Seni ‘Tanpa Bicara’” pada 2 Ogos 2008 di Bazar Melawati, Taman Melawati, Hulu Kelang, Selangor. Program tersebut terbuka kepada orang ramai.

Akhirnya, GMI sekali lagi menggesa Kerajaan Malaysia untuk:
1.
Membebaskan tahanan yang ditahan tanpa bicara dengan segera dan tanpa syarat atau di mana berkenaan, untuk mendakwa mereka dalam perbicaraan yang adil.

2.Memansuhkan semua undang-undang tanpa bicara seperti ISA 1960, Ordinan Darurat 1969 dan Akta Dadah Berbahaya (langkah-langkah pencegahan khas) 1985.

3.Menutup semua kem tahanan di mana tahanan ditahan tanpa bicara.

4.Memohon maaf kepada semua tahanan – dulu dan sekarang – yang ditahan tanpa bicara, dan memperuntukkan pampasan bagi kesengsaraan, penderitaan dan ketidakadilan ke atas mereka.

5.Menyiasat semua aduan dan kes penganiayaan, penyeksaan, kezaliman, tindakan tidak berperikemanusiaan serta salahguna kuasa terhadap penahanan terdahulu dan sekarang serta mendakwa pelaku termasuk menubuhkan Suruhanjaya DiRaja bagi melakukan siasatan.
6.Membahaskan laporan tahunan SUHAKAM di Parlimen dan melaksanakan syor yang dikemukakan.




7.Mewujudkan sesi-sesi dialog bulanan berhubung isu-isu hak asasi manusia dengan wakil-wakil daripada SUHAKAM, Pejabat Peguam Negara, Badan Bukan Kerajaan, kumpulan hak asasi manusia dan Majlis Peguam.

8.Memperakui, menghormati dan mengembalikan kuasa yang ada dalam badan kehakiman sebagai badan yang bebas untuk menyemak kuasa badan eksekutif dan polis, termasuk memansuhkan undang-undang yang telah menyingkirkan ruang semakan mahkamah terhadap keputusan dan tindakan badan eksekutif.

Mansuhkan ISA!
Bebaskan Semua Tahanan!
Tutup KEMTA!

2 comments:

Neeza Shahril said...

orang yang benarkan ISA tu zalim dan orang yang terlibat dalam menyiksa tahanan ISA juga zalim.. semoga Allah beri balasan kepada mereka..

ummu asiah said...

neeza..

InsyaAllah..tak lama lagi dah...48 tahun cukup lama...sama-sama kita do'a..