Monday, 1 November 2010

"Bebaskan rakyat dari salah guna kuasa Polis" BEBASKAN SELVACH!

Ketika saya mengemaskini aktiviti kami di hadapan Bukit Aman pada hari Sabtu 30 Oktober 2010, dalam usaha menghantar Memorandum sebagai bantahan kepada keganasan dan tangkapan ke atas Selvachandran saya telah mendapat komen dari seseorang di dalam Facebook.

Komennya berbunyi : "kenapa tak protes terhadap penjenayah yg tangkap orang awam rompak, rogol, belasah sampai mati pastu bunuh saksi lagi."

Jawapan saya :

Penjenayah semestinyalah dihukum. Kita semua bencikan jenayah apatah lagi merogol dan membunuh. Dalam mana-mana negara pun ada polis untuk menjaga keselamatan ,menangkap penjenayah dan jalankan siasatan untuk setiap laporan jenayah.

Masalah dan bantahan yang dibawa ke Bukit Aman pagi ini ialah tentang seorang saksi yang tampil ke mahkamah menyatakan bahawa beliau nampak seorang polis yang telah memukul dan menendang seorang tahanan Gunasegaran didalam lokap sehingga mati.

Saksi ini kemudiannya telah ditangkap oleh polis dirumahnya dipukul dan dibelasah oleh polis yang menangkapnya di rumah di hadapan anak dan isteri. Dibawa pergi tidak tahu di mana dan peguam serta keluarga tidak dibenarkan ziarah.

Jadi kita risau akan keselamatan saksi ini dan mahu polis dedahkan maklumat di mana dia dan bagaimana keadaannya. Kalau polis tergamak pukul dan belasah mangsa di hadapan isteri dan anak-anak sejauh mana kita dapat jamin keselamatan seseorang tahanan itu apatah lagi seorang yang telah berani ke muka pengadilan untuk menyatakan kebenaran.

Tujuan kita ialah untuk pastikan polis tidak meletakkan undang-undang di tangan mereka ikut suka hati mereka.

Tugas mereka menangkap penjenayah bawa ke muka pengadilan seterusnya diadili di mahkamah.

Itulah tujuan utama rakyat Malaysia yang prihatin telah beramai-ramai turun bersama Sarawathy isteri mangsa Selvachandran ke hadapan Bukit Aman menghantar memorandum bantahan.

Di dalam memorandum yang dibawa oleh kumpulan Lawyers for Liberty serta Suara Rakyat Malaysia SUARAM bagi pihak ahli keluarga Selvachandran berbunyi seperti di bawah:

Penurunan prestasi PDRM secara berterusan ke arah tidak memperdulikan undang-undang dapat dilihat dengan jelas dalam peristiwa penangkapan dan pemukulan K. Selvach Sathiran pada 25 Oktober lalu. Dia dipukul dan ditangkap oleh sekumpulan lelaki berpakaian biasa yang mendakwa diri mereka sebagai anggota polis yang tidak memperkenalkan diri mereka secara jelas. Selvach merupakan salah seorang saksi utama yang membuat kenyataan terhadap polis dalam inkues kes kematian R. Gunasegaran dalam tahanan pihak polis yang diputuskan baru-baru ini.

Pada hari keputusan itu disampaikan dalam inkues tersebut, polis bertindak ke atas Selvach dan datang ke rumahnya untuk menangkapnya. Ketika anak-anak Selvach bertanya kepada polis mengapa ayah mereka, diseret pergi, polis menjawab dengan memukul Selvach di hadapan anak-anaknya sendiri. Pihak polis dalam memutarbelit kasih sayang suami isteri, cuba membuat S.Saraswathy, isteri kepada Selvach untuk mencium suaminya, sebelum memukul Selvach di hadapan isterinya.

Suasana di hadapan kompleks Ibu pejabat Polis Di Raja Malaysia Bukit Aman. Keadaan tenang dan terkawal. Tiada kelihatan kumpulan polis yang ramai apatah lagi kehadiran polis bertopi merah tidak kelihatan di mana-mana. Semua yang hadir juga tidak mempunyai masalah untuk meletakkan kenderaan seperti yang sering perlu dilalui di aktiviti yang sebelumnya.

Sambutan dan sokongan terhadap protes ini juga amat memberangsangkan dengan kehadiran pelbagai kaum dan dari pelbagai organisasi juga termasuk ahli politik, Ahli Parlimen dan ADUN.

Mereka yang datang memberikan sokongan kepada ahli keluarga dan juga untuk mendesak agar polis memaklumkan keadaan sebenar mengenai Selvachandran.

Namun walaupun temujanji telah dibuat bagi pertemuan ini, polis tetap mengambil masa yang lama untuk memberi maklumat yang diperlukan, seperti di mana sebenarnya Selvachandran ditahan, apa asas utama polis menangkap beliau dan yang lebih penting agar isteri dan peguam dapat melihatnya.

"Polis tidak boleh dibenarkan untuk terus beroperasi dalam persekitaran yang bebas dan kebal daripada proses undang-undang dan kehakiman. Namun seperti apa yang jelas digambarkan dalam episod menyayat hati ini, pihak polis baru saja menyampaikan mesej mereka yang kuat, bahawa mereka boleh bertindak sesuka hati tanpa mengambil peduli undang-undang, profesionalisme pasukan polis serta undang-undang dan prosedur yang mengatur tata cara perilaku mereka."

Bukan pertama kali malah sudah beberapa kali perkara sebegini dibawa ke Bukit Aman untuk membolehkan penjelasan diberikan oleh pihak polis. Polis membiarkan orang ramai menunggu hingga lebih sejam sebelum memberikan apa-apa maklumat. Walaupun surat menyurat dan temujanji telah dibuat.

Lebih memalukan apabila sekian lama menunggu muncul seorang polis berpangkat tinggi menanyakan siapakah OKT (orang kena tangkap) yang dimaksudkan.

"who's the OKT?" beliau bertanyakan kepada pegawainya di hadapan kami semua.

"Gunasegaran?" tanyanya lagi. Terlopong kami semua.

"Gunasegaran tu dah tak ada la".

Polis tersebut masuk semula dan akhirnya kami mendapat maklumat yang hampir pasti bahawa Selvachandran ditahan di bawah akta Dadah merbahaya yang membolehkannya ditahan tanpa bicara sama seperti ISA.

Sungguh pelik peristiwa ini kerana Selva ditangkap dengan begitu cepat seperti maklumat di bawah: dipetik dari sini.

Kes penangkapan dan penahanan Selvach bertambah parah apabila dia ditangkap pada hari yang sama – selepas “keputusan terbuka (open verdict)” yang memalukan dan mengundang skandal itu disampaikan oleh Koroner Kehakiman Siti Shakirah Mohtarudin, dalam inkues mencari punca kematian R.Gunasegaran dalam tahanan polis.

Selvach merupakan salah seorang daripada tiga orang yang berada dalam tahanan polis bersama-sama dengan R.Gunasegaran dan mereka secara konsisten mengenal pasti Lans Kopral Mohd Faizal secara fizikalnya menyerang mendiang si mati. Mereka memberi keterangan walaupun terdapat ancaman terhadap keselamatan mereka oleh pihak polis dan biarpun terdapat pujukan bahawa kerjasama mereka akan menjamin mereka dibebaskan segera.

Perundangan tidak adil dan tidak bertamadun semacam Akta Dadah Berbahaya dan Ordinan Darurat tidak patut wujud dalam sebuah negara moden dan demokratik seperti Malaysia. Undang-undang dan pendekatan menindas ini melanggar hak-hak asasi manusia setiap rakyat yang dijamin perlembagaan serta meremehkan kuasa kehakiman dan proses perundangan. Majlis Peguam Malaysia dan masyarakat sivil secara tegasnya telah berkali-kali menyeru pemansuhan semua undang-undang tahanan pencegahan serta untuk berhenti melakukan penangkapan dan tangkapan berulang kali yang dilakukan dengan sewenang-wenangnya.

Polis tidak boleh dibenarkan untuk terus beroperasi dalam persekitaran yang bebas dan kebal daripada proses undang-undang dan kehakiman. Namun seperti apa yang jelas digambarkan dalam episod menyayat hati ini, pihak polis baru saja menyampaikan mesej mereka yang kuat, bahawa mereka boleh bertindak sesuka hati tanpa mengambil peduli undang-undang, profesionalisme pasukan polis serta undang-undang dan prosedur yang mengatur tata cara perilaku mereka.










2 comments:

Anonymous said...

bukan kah lebih mudah kalau kita buat bantahan terbuka pada semua penjenayah agar berhenti menjenayah supaya mereka tidak mati di tangan polis?

bagaimana pula hak mangsa kepada penjenayah itu?

crime does pay kan?
itulah karma,kita akan mati dibunuh jika kita membunuh..

sekian,selamat hari raya

tonot

Anonymous said...

majlis peguam banyak kerja kan.. rasanya baik dia menjaga peguam2 dahulu.. supaya kes seperti pembunuhansosilawati tidak berulang kembali