Monday 15 February 2010

Kehilangan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan: Sama-sama kita do'akan


Pagi ini seperti biasa waktu pagi perkara utama yang perlu dilakukan ialah membuka FB. Dari FB dapat berita yang agak cepat.

Terbaca di status FB Dr Lo' Lo tentang kehilangan Pesuruhjaya PAS Wilayah. Namun tidak berani berkongsi sebelum ada berita yang sahih. Kini setelah membuka FB dan bertemu berita susulan maka demi untuk sama-sama kita do'akan akan keselamatan Pesuruhjaya PAS Wilayah saya kongsikan di blog ini.

15 Februari 2010 – Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Tuan Haji Mohamad Nor Bin Mohamad didapati hilang dan tidak dapat dihubungi semenjak Jumaat, 12 Februari.

Kali terakhir beliau didapati keluar daripada rumahnya dengan kenderaan pacuan empat roda, Toyota Unser berwarna merah dengan nombor pendaftaran WJD4469.

Pada ...tarikh itu, beliau keluar untuk menghadiri mesyuarat Koperasi Muslimin dan kemudian dikatakan memaklumkan kepada salah seorang ahli mesyuarat yang akan berjumpa kawan pada tengah malam itu.

Semenjak daripada tarikh itu, beliau tidak muncul-muncul dan nombor telefonnya tidak lagi dapat dihubungi.

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Sdra Kamaruzaman Mohamad memaklumkan kepada krew PemudaGombak.com bahawa sehingga kini usaha mencari Tuan Haji Mohamad Nor sudah menemui petunjuk.

“Kereta dan telefon beliau dikesan berada di Temerloh. Kita sudah meminta pertolongan daripada rakan-rakan kita di sana”, kata Sdra Kamaruzaman Mohamad yang juga Setiausaha Pemuda PAS Pusat.

Krew PemudaGombak.com dan seluruh ahli jawatankuasa dan ahli Pemuda PAS Gombak mendoakan keselamatan beliau.

Updated: dari Harakahdaily:

KUALA LUMPUR, 15 Feb: Ahli dan Penyokong PAS di Wilayah Persekutuan di pohon supaya berdoa agar pesuruhjaya mereka, Haji Mohamad Nor berada dalam keadaan selamat selepas tidak dapat dihubungi sejak Jumaat 12 Februari lepas.

Kali terakhir beliau dilihat adalah dalam mesyuarat Koperasi Muslimin Berhad dan beliau dilihat keluar dengan Unser merahnya, WJD 4469.

Demikian beritahu anggota Parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo' Mohamad Ghazali kepada Harakahdaily.

Menurut Lo' Lo', salah seorang ahli mesyuarat itu memberitahu, Haji Mohamad memberitahu, dia mahu berjumpa dengan kawan pada tengah malam itu.

Namun, sehingga kini beliau tidak pulang dan tidak juga dapat dihubungi, kata Lo' Lo'.

Sehubungan itu, beliau memohon ahli PAS berdoa agar PJ Wilayah Persekutuan itu berada dalam selamat dan dapat menghubungi keluarganya dengan segera.

"Saya memohon Unit Amal dan Briged Amal agar membuat skuad mencari segera," cadang Dr Lo' Lo'.

Dalam pada itu anaknya, Umar Mohamad Nor berkata, kali terakhir ayahnya dilihat adalah di kawasan rehat dan rawat Maran, Pahang pada Jumaat malam yang lalu.

Pada pagi esoknya kira-kira jam 8.00 pagi, telefon beliau dikesan berada di Temerloh, Pahang.

"Sejak itu kami tidak ada sebarang maklumat lagi tentang ayah," kata Umar kepada Harakahdaily.

Menurut Umar, perkara ini tidak pernah lagi berlaku ke atas ayahnya kerana dia akan memberitahu kemana sahaja dia akan pergi.

No comments: