Tuesday 4 May 2010

Pembelaan Terhadap Aminulrasyid - Pemuda PR serah memo pada SUHAKAM

Di bawah adalah gambar-gambar yang dirakam sekitar penyerahan memorandum kepada SUHAKAM oleh Pemuda Pakatan Rakyat berhubung kes tembakan Allahyarham Adik Aminulrasyid.

Kesemua pimpinan tertinggi Pemuda Paktan Rakyat telah turut hadir memberikan sokongan.

Semua sepakat mengutuk tindakan polis yang telah menembak mati adik Aminulrasyid seolah kuasa menetapkan hukuman berada di tangan polis yang telah menembak. Kuasa memberi hukuman mandatori.

Dalam kandungan Memorandum tersebut dinyatakan bahawa:

Pemuda Pakatan meragui beberapa perkara yang berlaku di sebalik insiden ini, yang mana seharusnya menjadi asas kepada SUHAKAM untuk meneliti kes ini secara menyeluruh:

a) apakah tembakan boleh dilepaskan sewenangnya oleh pihak polis, hanya dengan alasan "mempertahankan diri", sedangkan dalam beberapa perakuan saksi utama menunjukkan bahawa tidak ada sebarang tindak balas diambil oleh mangsa melainkan cuma melarikan diri berikutan panik.

b) apakah arahan-arahan Tetap Ketua Polis Negara memberikan justifikasi yang longgar kepada mana-mana anggota polis samada beruniform ataupun preman untuk melepaskan temabakan sewenangnya tanpa sebarang amaran diberikan terlebih dahulu?

Pemuda Pakatan juga sepakat untuk menolak cadangan satu inkues untuk kes ini kerana inkues hanyalah satu siasatan untuk menyiasat punca kematian atau sebab musabab satu kenmatian mengejut sedangkan sebab sebenar kematian mangsa sudah jelas akibat dari tembakan tepat ke belakang kepalanya hingga menyebabkannya berlubang seperti mana kenyataan saksi utama kes ini.

SUARAM Suara Rakyat Malaysia turut mengeluarkan kenyataan mereka mengenai isu ini dan menuntut agar pihak kerajaan melaksanakan cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Di Raja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Di Raja Malaysia terutamanya menubuhkan Suruhanjaya Bebas Pengaduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) dengan segera.

Sekiranya langkah-langkah ini tidak diambil dengan segera, maka semua rakyat Malaysia akan menjadi mangsa penyalahgunaan kuasa pihak polis dan ini sekaligus akan menunjukkan imej yang buruk terhadap Kerajaan Malaysia yang gagal memantau institusi kerajaan yang sangat penting dalam sistem pentadbiran negara.

SUARAM berpandangan kejadian kes-kes polis menembak mati suspek berlaku secara luas adalah disebabkan oleh kerana tiadanya mekanisma yang telus dan jelas tentang penggunaan senjata api oleh Polis. Malah apa yang lebih mengecewakan adalah dokumen panduan dalam menggunakan senjata api di Malaysia tidak dapat dirujuk oleh orang awam. Ini dengan jelas membuktikan bahawa penggunaan senjata api oleh polis tidak diimbangi oleh pemeriksaan awam dan sekaligus menyebabkan tahap akauntabiliti yang amat rendah di dalam institusi polis.

Dalam pertemuan semalam juga telah didedahkan bahawa pegawai polis yang terlibat menembak mati Adik Aminulrasyid tidak digantung perkhidmatannya. Beliau hanya dipindahkan kerja ke pejabat. Ini adalah satu tindakan yang sangat tidak wajar dan sepatutnya pegawai tersebut digantung kerjanya kerana telah melakukan kesalahan dan siasatan terhadap kes yang melibatkan mereka sedang dijalankan.

Perkara sebegini yang membuatkan rakyat semakin marah dengan sikap tidak adil polis, sedangkan rakyat diminta bersikap adil terhadap polis.


Memorandum Pemuda Pakatan hanya diterima oleh Setiausaha SUHAKAM, Puan Hashimah kerana pihak SUHAKAM buat masa ini tidak mempunyai Pesuruhjaya. Mereka di dalam peringkat memilih pesuruhjaya yang baru.

Perkara ini turut juga disentuh dan Pemuda Pakatan menyatakan rasa kesal mereka diatas ketiadaan seorangpun pesuruhjaya SUHAKAM. Perkara ini tidak sewajarnya berlaku dan SUHAKAM sepatutnya harus sentiasa ada seorang pesuruhjaya yang bertanggungjawab menerima aduan rakyat.




No comments: