Sunday 16 January 2011

Pengajaran dari Keluarga Cacat Penglihatan.

Hari ini saya menilai diri, memejam mata membayangkan bagaimana kiranya dunia saya gelap, hidup di dalam kegelapan apabila nikmat melihat tidak sama dengan hamba Allah yang lainnya.

Saya terpegun dan terharu melihat sepasang suami isteri, keduanya cacat penglihatan.

Seorang anak memimpin tangan seorang ibu, membawa ibunya duduk bersama kami ibubapa yang lainnya yang sedang berkumpul di dalam sesi mesyuarat Kelab Kelas Tingkatan 3 Sekolah Menengah Islam Al-Amin Gombak. Mesyuarat diadakan di ruang solat surau sekolah.

Seketika kemudian anak yang sama membimbing tangan sang ayah pula untuk duduk sebaris dengan bapa-bapa yang lainnya di hadapan.

Saya terpegun, terharu memerhatikan gelagat mereka. Mesyuarat disertai oleh ibu bapa yang baru 'melantik diri sendiri' untuk menjadi ahli jawatankuasa Kelab Kelas Tingakatan 3 bagi memastikan anak-anak dapat cemerlang di dalam pelajaran dunia dan akhirat.

Kedua ibu dan ayah ini bukan menjadi AJK tetapi mereka mahu mengikuti sama. Saya kira mereka lambat hadir pada hari itu dan telah terlepas sesi awalnya.

Selesai mesyuarat dan perbincangan kami semua mula mengundurkan diri keluar dari perkarangan sekolah menuju ke kenderaan masing-masing. Saya juga mula menghidupkan enjin kereta dan jauh sedikit di hadapan kelihata kedua ibu dan ayah ini berjalan berpimpinan tangan bersama dua orang anak lelaki mereka.

"Nak balik ke mana" tegur saya setelah membunyikan hon dan memberhentikan kereta.

"Nak balik ke Selayang Baru", jawap mereka.

"Naiklah saya hantarkan", saya mempelawa mereka masuk apabila memikirkan agak jauh untuk mereka keluar dari kawasan sekolah menunggu bas.

Di dalam perjalanan saya mengorek sedikit sebanyak kesah kehidupan mereka. Saya kagum kerana tadinya di sesi taaruf saya telah mendengar mereka berdua menjelaskan yang mereka berdua bekerja sebagai operator telefon sebuah agensi kerajaan dan suaminya di sebuah Bank di Kuala Lumpur. Saya kagum kerana bukannya murah untuk membayar yuran bulanan di sebuah sekolah swasta. Bilangan anak-anak mereka sama dengan anak-anak saya yang bersekolah. Dua orang di sekolah rendah dan dua orang di sekolah menengah.

"Macamana anak-anak ni ke sekolah", tanya saya cuba mengorek lagi memandangkan kedudukan rumah mereka di Selayang agak jauh dari sekolah di Sg Pusu Gombak.

"Naik van ke sekolah", jawab si ibu.

"Berapa bayaran sebulan untuk semua", saya terpegun sebab saya yakin pasti mahal upahnya.

" 780 ringgit sebulan",....memang terkejut saya mendengarnya.

"Banyaknya tu, hampir 800 ringgit dan yuran sekolah lagi" terpegun lagi saya dibuatnya dengan pengorbanan mereka dengan gaji sudah tentu jauh lebih rendah dari ibu-bapa lain yang menghantar anak ke sekolah Al-Amin.

"Ya lah, orang kata anak-anak ni kan aset kita, jadi saya tak mahu kedekut keluar perbelanjaan", jelas si ibu ini lagi. Saya terpegun lagi apatah lagi bila memikirkan diri sendiri sering juga resah dengan yuran pengajian yang tinggi yang perlu ditanggung untuk kesemua anak setiap bulan.

"Betul tu, tapi ramai juga ibu bapa yang tidak mampu membayar yuran di sekolah", kami bersembang lagi mengenai hal ehwal sekolah.

Saya membayangkan nasib anak-anaknya yang ibu bapa mereka tidak mempunyai kereta apatah lagi dapat memandu kereta sendiri membawa anak-anak ke sana ke mari. Sedangkan kebanyakan kita kini sudah pasti memiliki paling kurang sebuah kereta seorang.

"Anak saya selalu ceritakan yang kereta-kereta yang menghantar mengambil anak-anak di sekolah besar-besar dan hebat-hebat belaka", fakta yang memang saya tidak dapat menafikannya.

"Ayah tengok ni kereta ni ada kerusi lagi di belakang", jerit seorang anak mereka yang berada di darjah dua ketika mula melangkahkan kaki memasuki kereta saya.

Dalam hati saya berkata dengan kereta saya yang buruk ini pun mereka sudah terpegun, tak terkata di hati saya menilai kehidupan mereka. Jauh sungguh....

"eh, akak nak hantar kami sampai mana ni, ingatkan nak hantar ke bus stand sahaja" tiba-tiba si ayah di belakang mencelah. Mungkin sudah terasa agak jauh perjalanan kami.

"Ah, tak apalah saya hantar terus ke rumah, lagipun saya dah biasa dengan jalan ni", saya cuba menjelaskan keadaan.

Akhirnya kami sampai di kawasan perumah rumah pangsa kos rendah mereka. Dari tadi ketika memandu memang saya melihat dan mendengar si ibu sedang meraba-raba di dalam beg tangannya. Saya dapat menghidu yang beliau ingin memberi saya wang tambang. Sebaik sampai dia menghulurkan wang tersebut.

"Ambillah duit ni, duit minyak" katanya.

"Eh apa pulak, tak perlu simpan saja, saya lebih terhutang budi dengan kesah kehidupan yang saya dengar", saya menolak pemberian mereka dengan baik.

Saya masih terpegun dan terharu.....Kesah hidup mereka sekeluarga menyentuh hati saya, bahkan banyak kesah pengorbanan ibu ayah dalam mendidik anak di dalam perbincangan kelab kelas Tingkatan 3 siang tadi menyentuh hati saya untuk lebih berkorban masa dan tenaga untuk mendidik anak masa kini yang penuh dengan cabaran.

1 comment:

zuraimi said...

alamak kak... air mata saya dah nak melompat keluar ni...Allah...

tq ..kak satu lagi kisah harian yg terbaik...