Friday 25 December 2009

Nikmat Memberi dan Nasihat 'HIJAU' dari Perdana Menteri Malaysia

Entah kenapa tiba-tiba saya teringat..mula-mula terfikir nak tulis tentang makanan yang dibeli di pasar malam jam 9.30 malam tadi. Kami memang jarang sekali ke pasar malam, cuma malam ini di sebabkan sudah jemu sangat nak makan yang goreng-goreng di kedai...Jika ke pasar malam punya banyak pilihan makanan boleh di pilih untuk mengisi selera masing-masing. Sekali-sekala dapat membantu ekonomi peniaga pasar malam. alasan yang bagus juga bukan??:)


Jadi saya teringat hendak menulis sesuatu di FB tentang makanan yang kami beli di pasar malam tadi...nasi dagang lauk ikan, nasi dagang lauk ayam, nasi ayam dan char kuew teow. Keropok lekor dah dibeli dan dimakan di pasar malam. Saya menulis di FB sesuatu yang lebih personal mengambil kira fungsi FB yang bersifat "kawan-kawan". Namun pagi ini sebaik membuka FB terbaca pula di dalam laporan berita di Malaysikini tentang nasihat Perdana Menteri untuk rakyat menyambut Hari Natal dengan sifat lebih 'HIJAU'. Menarik. Baguslah...dapat ganjaran bila kita menulis yang baik, apatah lagi bila kita mengajak orang melakukan kebaikan. Kebetulan pula dalam tulisan saya dalam 'Note' di Facebook saya juga telah menulis tentang perkara yang sama...Nikmatnya memberi...

"Datuk Seri Najib Razak berharap semua rakyat Malaysia, tidak kira apa jua kepercayaan agama, mempamerkan kemurahan hati dan perasaan belas kasihan dengan menghulurkan bantuan kepada golongan yang paling memerlukannya."

"Sempena sambutan Krismas esok, perdana menteri dalam blognya hari ini berkata, golongan yang paling memerlukan bantuan itu termasuk mereka yang tidak berdaya kepada yang susah sehinggalah kepada perkhidmatan kecemasan yang sentiasa sedia berkhidmat."

"Dengan semangat kemurahan hati ini, kita harus juga menunjukkan keprihatinan terhadap alam sekitar. Satu perayaan Krismas yang lebih hijau boleh diadakan."

Apa yang penting bak kata orang putih.."Walk the Talk?"....atau kata orang Malaysia.."cakap tak serupa bikin"....jadi bikinla serupa apa yang kita cakap...pasti aman negara kita dan dunia keseluruhannya...kalau kata nak bagi HIJAU...kenapa banyak sangat bukit dan jadi warna cokelat, kenapa banyak sangat duit hilang...hinggakan enjin jet yang besar pun boleh hilang, orang hilang, orang mati dibunuh dan di bom pun ada...jadi sempena semangat Hijrah yang masih panas ini, berhijrahla kepada membuat kebaikan dengan setulus hati...jauhilah dari membuat kejahatan...

Kesah saya seperti di bawah....

Malaysia memang penuh dengan pelbagai nikmat dari jenis makanan yang bermacam-macam. Janji ada duit nak dibelanjakan...tidak ada masalah lansung bagi mereka yang tidak punya masa untuk masak...kata yang lebih manis untuk orang yang tidak suka masak atau malas masak ataupun terlalu sebuk hingga keletihan untuk mengasapkan dapur rumah.

Alhamdulillah bersyukur kita di atas segala nikmat yang Allah kurniakan kepada diri kita sepanjang menumpang hidup di bumi milik Allah ini...tiada apa yang kita punya pada hakikatnya...semua nya Allah yang punya bak lirik lagu RABBANI.

Saya terkenangkan pengalaman hidup selama 6 tahun di bumi Australia...lama tu...mengalahkan orang yang pergi buat degree sampai PHD...tapi kami dapat double degree...iaitulah ermasuk sijil Nikah Australia..Alhamdulillah. Namun ketika zaman kami belajar bernikah semasa belajar adalah amat tidak digalakkan dan tidak dibolehkan dan mungkin mendapat ganjaran biasiswa ditarik balik.

Bila tinggal di negara asing maka tiada daya dan upaya melainkan harus memasak sendiri dan kena pandai memasak. Alhamdulillah..pandailah juga saya memasak ketika di sana...satu lagi degree yang diperolehi, sedangkan ketika di rumah, emak lansung tidak menyuruh kami memasak demi untuk dapat belajar sepenuhnya...hinggalah emak jatuh sakit..terpaksa juga belajar masak, mask kari..saya masih teringat saat itu...

Ya ketika di luarnegara juga saya hinggakan boleh memasak dan menjual makanan dan kuih muih...terutama di bulan puasa kepada pelajar Malaysia yang lainnya...laris sekali..ye lah...mana orang ada pilhan kan...

Sebenarnya saya teringatkan sahabat yang selayaknya kami sebut sebagai saudara kami ketika kami tinggal di bandar Wollongong, New South Wales, Australia. Abu Umar, sempena nama anak sulong mereka dan Sister Fatimah...Australian yang memeluk Islam. Saya tidak dapat mengingati bagaimana kami mula berbaik dengan mereka. Namun saya tidak mungkin dapat melupakan mereka sehingga ke akhir hayat. Mereka teramat pemurah..terlalu pemurah..seringkali menjemput kami ke rumah mereka dan menjamu dengan pelbagai jenis makanan. Makanan Arab kegemaran kami..hingga kini saya masih lagi memasak jenis2 makanan yang enak tetapi simple untuk disediakan. Mereka bukan sahaja membuat kebaikan kepada saya dan suami sahaja, namun kepada ramai lagi pelajar Malaysia yang ada.

Lebih pemurahnya mereka ialah setiap minggu tanpa pernah lupa, sebuah kotak akan diletakkan di hadapan pintu rumah kami. Setiap hari Selasa, Abu Umar akan datang, mengetuk pintu dan terus beredar. Bila pintu dibuka pasti akan ada sebuah kotak yang didalamnya terisi pelbagai jenis makanan dan buah-buahan...Subhanallah...Alhamdulillah...dan akan diletakkan bersamanya satu sampul surat yang berisi wang AUD25. Mungkin kedengarannya terlalu sedikit kini tetapi untuk waktu itu 20 tahun yang lepas, ianya terlalu besar dengan membandingkan wang biasiswa bulanan yang diterima sebanyak lebih kurang AUD325. Banyak bukan???

Subhanallah...moga Allah memberkati hidup saudara kami itu dan membalas kebaikan mereka dengan Syurga yang terkandung di dalamnya pelbagai nikmat yang tidak terhinga...

Kenapa pula saya terkenangkan hal ini...kenapa ye...sebab tiba-tiba juga saya mengaitkan diri dengan aktiviti di Pusat Sokongan Keluarga Tahanan ISA Gerakan Mansuhkan ISA. (GMI) Sejak dari ianya ditubuhkan di tahun 2001 kami cuba sedaya upaya membantu sedikit keperluan kewangan dan pelbagai lagi yang diperlukan oleh keluarga tahanan ISA. Bermula dengan 10 buah keluarga hingga adakalanya meningkat ke jumlah seratus lebih buah keluarga yang menderita dizalimi kerajaan pimpinan Barisan Nasional. Dengan bantuan dan sumbangan dari seluruh pelusuk rakyat Malaysia yang prihatin termasuk NGO dan Parti Politik, Alhamdulillah kami mampu membuat keluarga yang dizalimi ini tersenyum gembira penuh kesyukuran ketika mereka dilanda derita, tersenyum di saat mereka amat memerlukan, tersenyum ketika kerajaan yang kononya perihatin tidak menghiraukan nasib mereka sebagai rakyat Malaysia.

Kami yang diwakili oleh semua penyumbang dapat merasakan NIKMAT MEMBERI itu...betapa nikmatnya melihat air mata kegembiraan yang mengalir dari kelopak mata mereka yang menderita..betapa nikmatnya mendengar ucapan terimakasih dari mereka yang ikhlas mendo'akan agar kami dan keluarga kami semuanya diberkati Allah dan dipermudahkan segala urusan kami...Amin..Moga Allah sentiasa memudahkan urusan kita semua dan memberikan kita semua, ketenangan dan kemenangan di dunia lebih-lebih lagi di Akhirat sana...

Saya simpan sms yang dikirim oleh seorang isteri bekas tahanan ISA yang terdesak memohon bantuan dari kami di PSK GMI di malam Aidil Adha yang lalu:

"Terima Kasih banyak ya kak, semoga kak dan keluarga sentiasa di Rahmati Allah, dimurahkan rezki yg melimpah ruah, dgn sumbangan ini dapatla anak2 Jo menyambut aidladha dgn gembira,terima Kasih banyak2 ya kak,maaf sekali lg sbb terlalu byk sgt susahkn kak Nashitah dan kak lailah,maklum sajala kak suami jo sampai skrg masih blm dpt pekrjaan,bukan tidak berupaya @ berusaha tp tiada org2 yg ingin bagi peluang padanya yg menyebabkan dia tension pula sbb tidak dpt membela nasib anak2nya walaupun dia sudah bebas.Jadi jo tiada jalan lain melainkan mengadu pd kak dan kak laila itupun jika masih ada ruang2 bagi kami memohon bantuan.Syukur pada Allah dan terima Kasih kerana sudi menjadi pendengar suara2 bekas tahanan ISA.. "

"Alhamdulillah syukur ya Allah,terima Kasih ya kak, malam ni juga kami nak p pasar..Belanja utk aidladha..T.Ksi byk2 ya kak."

Sesungguhnya masih ramai insan yang memerlukan...kita yang diberkati Allah dengn nikmant kesenangan cuma perlu mengorek peluang itu untuk memberi...

Saya yakin itulah perasaan nikmat yang ada di dalam jiwa Abu Umar dan keluarganya setiap kali mereka meletakkan sekotak barangan makanan dan duit di hadapan pintu kediaman kami yang kecil ketika itu.

Moga Allah terus beri kekuatan kepada kita semua untuk terus memberi, menyumbang selagi terdaya walau diri kita sedikit sengsara kerana kita yakin, Allah pasti memberikan pulangan yang lumayan buat kita dalam pelbagai bentuk yang kita sendiri tidak menyedarinya...itulah nikmatnya...

Moga kita terus merebut nikmat untuk terus memberi hatta dengan sepotong kurma.

“Daripada Adiyie Hatim Radiallahuanhu berkata: Saya mendengar Rasulullah saw bersabda: Takutlah kamu akan api neraka walaupun dengan (bersedekah) separuh buah kurma.” (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari).

“Katakanlah wahai Muhammad sesungguhnya Tuhan-Ku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya antara hamba-Nya dan Ia juga yang menyempitkan baginya, dan apa saja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya dan Dia sebaik-baik pemberi rezeki” (Saba’ – 39).

No comments: