Thursday 29 April 2010

Kata Menteri itu POLIS RAJA DI MALAYSIA

(merujuk kepada entry sebelum ini) Mengorek kembali catatan lama saya di dalam yahoogroups tentang pengalaman berjumpa Menteri di dalam gambar di bawah ketika beliau mengeluarkan kenyataan bahawa POLIS ADALAH RAJA DI MALAYSIA, tidak terjumpa pula. Namun saya terjumpa keratan berita dari Harakahdaily yang menyentuh hal tersebut.

Katanya kepada kami "Sebenarnya Pak Lah tak ada kuasa nak bebaskan tahanan ISA, yang berkuasa ialah Polis, sebab tulah polis disebut sebagai 'Polis Raja Di Malaysia'"...Ini bukan rekaan saya.

gambar di bawah diambil dari pertemuan ini.

ISA: Polis lebih berkuasa daripada PM?



Fri Apr 07, 06 04:11:11 PM
Oleh Wan Nordin Wan Yaacob

KUALA LUMPUR, 7 April (Hrkh) - Menyusuri kehidupan penuh teka-teki isteri tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), pasti akan tersentuh dengan derita kehidupan mereka memandangkan orang disayangi dikurung tanpa tarikh dibebaskan.

Seorang isteri tahanan ISA, Norlaila Othman sebelum ini pernah menyebut bahawa tahanan ISA lebih malang daripada tahanan kes bunuh kerana mereka tidak dihadapkan ke mahkamah berbanding kes bunuh.

Ini angkara satu tandatangan bertindak menyambung dan terus menyambung perintah lanjutan ke atas tahanan tanpa perikemanusiaan.

Koordinator Pusat Sokongan Keluarga Gerakan Mansuhkan ISA (PSKGMI), Nashita Mohd Noor dalam satu kenyataannya kepada Harakahdaily mendakwa baru-baru ini beliau dan beberapa anggotanya berjaya menemukan dua isteri tahanan dengan seorang menteri kanan yang dikatakan berhasrat membantu membebaskan tahanan ISA.

Antara yang turut serta dalam pertemuan itu ialah, Pengerusi Lajnah Kebajikan Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Salleh dan dua isteri tahanan yang enggan nama mereka disiarkan.

Namun dalam pertemuan itu menteri terbabit hanya mengeluarkan kenyataan bahawa beliau tidak mampu menolong isteri tahanan untuk memastikan suami mereka dibebaskan daripada akta zalim itu, katanya.

Sebaliknya menteri terbabit mendakwa menteri sebenarnya tidak mempunyai kuasa dalam membantu membebaskan tahanan ISA, katanya.

Menteri itu yang vokal mengenai hak kesamarataan antara agama mendakwa, dalam kes ISA, pihak polis lebih berkuasa daripada menteri atau pemimpin, katanya.

Meskipun Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri (KKDN) yang menandatangani surat lanjutan, ia atas dasar laporan yang dibuat polis atau lebih tepat pegawai cawangan khas (SB), kata Nashita yang merujuk kepada perbualannya dengan menteri tersebut.

Menurut Nashita, sebelum ini beliau sering membaca kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan menteri tersebut yang disifatkan sebagai 'cakap ikut suka aku'.

"Saya membaca banyak kenyataan-kenyataan menteri ini yang 'menyiat-nyiatkan' jantung hati saya dan kemungkinan ramai rakyat Malaysia yang bencikan sikap menteri itu yang suka cakap 'ikut suka aku'.

"Maka biarlah semua orang tahu dan cuba fikirkan apa yang ada dalam pemikiran menteri ini dengan kenyataannya kali ini," katanya.

Terdahulu menteri yang dimaksudkan Nashita itu pernah beberapa kali bertemu dengan isteri tahanan ISA untuk menerima aduan dan berjanji akan menyampaikannya kepada PM.

Bagaimanapun, selepas beberapa kali pertemuan termasuk di Parlimen pada tahun lalu, nasib tahanan ISA terus malang apabila ramai antara mereka dilanjutkan perintah tahanan. - lanh

No comments: