Tuesday, 25 October 2011

Kita menangis hilang RM50, Mereka billion pun tak heran..

Ini kesah yang berlaku hampir dua bulan yang lepas.

"Ummi, Asiah nak beli buku, boleh bawa Asiah ke Pustaka Rakyat?" tanya Asiah seperti biasa suka sangat ke Pustaka Rakyat.

"Okay, petang ni lepas Ummi habis berniaga, balik ummi bawa ke sana." Jawab Ummi yang tidak kesah sangat selagi barang yang nak dibeli adalah buku.

Sebaik habis berniaga di UIAM sekitar jam 6.00 petang saya membawa anak-anak ke Pustaka Rakyat. Memandangkan masa yang sudah lewat dan suntuk dan saya belum menyediakan apa2 masakan untuk ahli keluarga yang berpuasa di bulan Syawal, saya meninggalkan Asiah dan kakaknya Asma' di depan pintu masuk Pustaka Rakyat dengan berbekalkan wang RM50 dan kad keahlian. Saya pula meneruskan perjalanan ke kedai Nasi Ayam Gemas yang berada selang beberapa buah kedai.

Selesai membeli nasi ayam saya bergegas ke Pustaka Rakyat untuk melihat anak-anak dan barangan yang dibeli. Mereka berdua masih asyik membelek baranagn di dalam kedai.

"Asma', belum bayar lagi ya, mana duit yang ummi bagi tu?" tanya saya kepada Asma' yang masih membelek alatulis.

"Asma' bagi pada Asiah." selamba Asma' menjawab sambil menuding ke arah Asiah yang masih leka melihat alatulis.

" Asiah mana duit yang ummi bagi tadi."

Tanpa berkata apa-apa dan masih asyik melihat barangan Asiah menghulur dari tangannya.

"Mana duitnya Asiah, ni ada kad saja." tanya saya dengan nada yang agak marah.

"Mana Asiah tahu, Asma' bagi ke tangan Asiah ni saja." jawab Asiah selamba.

Apa lagi mulalah episod bertanya itu dan ini dan episod bebelan ummi.

"Tahu tak penat Ummi berniaga hari ini, satu hari Ummi menunggu bukan senang nak dapat walau beberapa ringgit. Ni RM50 banyak tu. Ummi kena penat bekerja. Bila Ummi berniaga baru Ummi rasa, betapa susah dan penatnya nak dapat duit tau."

Memang sungguh terasa kekecewaan dan kepedihan kehilangan wang sebanyak itu, walau jauh di sudut hati saya mengutuk diri sendiri kerana membiarkan mereka memegang wang sebanyak itu.

Kami mula mencari di segenap sudut dan tempat yang dilalui tanpa berputus asa. Jurujual di kedai juga turut membantu dan memaklumkan bahawa dia ternampak duit tersebut di tangan Asiah yang dipegang bersama dengan barangan lain. Kami terus mencari walau dalam hati memang sudah tahu perkara sebegini memang sudah tahu akibatnya, pasti akan cepat saja hilangnya.

Akhirnya setelah hampir berputus asa walau hati begitu ada rasa ralat yang tidak terhingga saya teringat kata-kata Dr Muhaya di dalam satu slotnya di IKIM. "kita redha dan do'a dan niatkan sebagai sedekah kepada mereka yang mengambilnya."

Spontan saya mengangkat tangan dan menyebut dengan jelas. "Ya Allah jika itu bukan hak kami kami redha dan sedekahkan kepada sesiapa yang mengambilnya."

Dengan segera bergerak ke arah kaunter untuk membayar.

Tiba-tiba...."Akak, ni dia duit akak ni, terselit jatuh atas file-file ni..."

Syukur Ya Allah....

Betapa besarnya nilai wang RM50 itu...apatah lagi jika anda baru berjinak-jinak berniaga secara kecil-kecilan dan tahu adakalanya begitu sukar untuk mendapat rezeki walau kita berusaha dan berdo'a. Semuanya di tangan Allah...kita berusah dan terus berusaha dan terus berdo'a dan bertawakal...

Namun hari ini kita kecewa dengan sikap yang tidak kesah, tidak apa, buat tidak tahu kerajaan membelanjakan wang rakyat...gila-gila, juta-juta malah billion-billion banyaknya....

Menteri pun tak tahu...apa nak jadi...kita rakyat saja yang perlu berbelanja berhemah,,,

Baca di sini.