Showing posts with label Aktiviti. Show all posts
Showing posts with label Aktiviti. Show all posts

Monday, 26 May 2008

Satu langkah antara berjuta langkah menuju kejayaan...di Negeri Selangor Darul Ehsan

"Usul tergempar ISA lulus di DUN Selangor"

"Selangor to aid ISA families"
(Bergambar kenangan di kawasan Lobi Dewan Undangan Negeri Selangor-dari kiri UmmuAsiah, Puan Norlaila Othman-isteri tahanan ISA 6 Tahun dan Puan Aliza Jaffar isteri YB Saari Sungib(bekas tahanan ISA 2 kali)

Alhamdulillah itulah 2 tajuk berita di atas yang sempat saya browsed dari http://www.malaysiakini.com/ sambil cuba menulis satu entry tentang pengalaman saya dan beberapa orang AJK Gerakan Mansuhkan ISA(GMI) semasa sesi sidang media dan penyerahan memorandum kepada YAB Menteri Besar Selangor siang tadi. Alhamdulillah, Allah hu Akbar. Ini adalah satu permulaan yang memberi makna yang sangat besar buat kami di GMI lebih-lebih lagi kepada mangsa kezaliman ISA.

Syukur kepada Allah yang telah memberi kemenangan kepada Pakatan Rakyat untuk memerintah di negeri Selangor khususnya dan kepada 4 buah negeri yang lain. Lebih bersyukur lagi kerana kerajaan negeri Selangor benar-benar cuba sedaya upaya nya untuk memenuhi segala manifesto seperti yang dijanjikan di dalam PRU yang lepas.

(gambar ketika pertemuan AJK GMI bersama isteri-isteri Tahanan ISA HINDRAF dan YB Rodziah Ismail di pejabatnya)

Kehadiran kami di sidang DUN Selangor adalah hasil idea dari YB Rodziah Ismail semasa perjumpaan kami yang lepas semasa membincangkan bentuk bantuan kebajikan yang boleh disampaikan kepada GMI dan keluarga tahanan ISA. YB mencadangkan kepada kami untuk datang lagi dan menyampaikan lencana "Malaysia Bebas Dari ISA" kepada semua ADUN di negeri Selangor. Kami menyambut baik cadangan tersebut maka perancangan untuk program hari ini kami susun dengan baik sambil mengambil peluang keemasan menyerahkan memorandum dan kenyataan media GMI. Hari ini dipilih juga kerana kami diberitahu bahawa usul mengenai ISA akan dibawa pada hari ini.

(Pengerusi GMI, Syed Ibrahim membacakan kenyataan media GMI)

Kami diberi peluang untuk menyerahkan memorandum dan mengadakan sidang media ketika persidangan berhenti rehat sewaktu makan tengahari. Kami pada mulanya dimaklumkan oleh Puan Arfah, PA YAB Menteri Besar, bahawa YAB MB tidak dapat bersama kami menerima memorandum kerana mempunyai urusan untuk menyediakan hujah-hujah penggulungan untuk sesi penutup sidang DUN. Kami dimaklumkan bahawa YAB MB telah mengarahkan supaya YB Nik Nazmi untuk menerima bagi pihaknya. Sudah tentu kami berasa sedikit kecewa dan memohon jasa baik Puan Arfah untuk membantu kami mendapatkan juga sedikit masa YAB MB.

Semasa menunggu sidang media diadakan kami dimaklumkan oleh Puan Aliza isteri YB Saari Sungib yang juga AJK GMI bahawa dia mendapat maklumat bahawa MB telah memberikan surat dan meletakkan di meja semua YB ADUN, arahan untuk semua YB ADUN untuk menghadiri sesi sidang media kami GMI. Kami semua berasa sungguh berbesar hati.

(YAB Menteri Besar menerima memorandum dari GMI dan memberi ucapan menyokong usaha memansuhkan ISA, membebaskan semua tahanan ISA dan memberi bantuan kebajikan kepada keluarga tahanan ISA, di sebelah kirinya YB Saari Sungib-bekas tahanan ISA, ADUN Hulu Kelang)
Akhirnya, YAB MB telah turun ke kawasan lobby tempat kami menunggu dan sidang media GMI dan majlis penyerahan memorandum telah dapat dijalankan dengan jayanya. Alhamdulillah, terjawablah persoalan mengapa ramai sekali,mungkin hampir semua ADUN Pakatan Rakyat telah turut sama hadir ke sidang media kami tengahari tadi. Para wartawan juga begitu ramai sekali yang mengerumuni kami, hinggakan saya sendiri tersepit di kalangan mereka. Walaubagaimanapun dapat juga saya mengambil bebera gambar untuk simpanan.
Selesai sidang media kami dijemput untuk menikmati jamuan tengahari di meja VIP. Kami didatangi oleh YB Rodziah yang memaklumkan kepada kami bahawa kerajaan negeri berhasrat untuk menyediakan sebuah 'coaster' atau bas untuk membantu membawa keluarga tahanan ISA melawat suami dan ahli keluarga yang ditahan di KEM Tahanan Kamunting. Kami dijemput ke pejabatnya lagi untuk membincangkan dengan lebih lanjut tawaran tersebut.

(Menjamu selera makanan tengahari di meja VIP. Membelakangkan kamera ialah YB dari Barisan Nasional. Lencana yang diberikan disimpan di dalam poket)
Selesai makan dan solat zuhur kami bergerak pula menuju ke dewan persidangan bagi mengikuti sesi persidangan buat pertama kalinya...satu pengalaman yang amat bermakna...lebih-lebih lagi dapat mendengar hujah-hujah yang bernas dari ADUN Pakatan Rakyat, terutama sekali YB Hassan Ali yang dengan tegas menyatakan kemarahan dan kekecewaan rakyat khususnya akan segala penyelewangan yang berlaku semasa pemerintahan kerajaan Barisan Nasional di bawah pimpinan ADUN Sg Panjang yang juga bekas Menteri Besar Selangor.


(Mengabadikan kenangan di dalam dewan persidangan sebelum sidang bermula sesi petang. Wajib memakai blazer ketika di bangunan DUN ini. Ahli YB Pembangkang duduknya di bahagian bawah tempat kami berdiri, jadi muka mereka hanya dapat kami lihat di TV ketika mereka bangun membantah atau mohon penjelasan)
Selangor akan menjadi sebuah negeri yang pertama yang secara terang-terangan dan secara khusus memberi bantuan kepada keluarga mangsa kezaliman akta ISA. InsyaAllah ianya pasti akan membuka mata semua rakyat akan keprihatinan kerajaan negeri Selangor. Ianya juga akan menyedarkan rakyat betapa zalimnya mereka yang telah menahan tahanan ISA tanpa dibicarakan, ahli keluarga juga turut menderita hasil kezaliman ini, tidak ada sebarang pembelaan ke atas nasib mereka. Peristiwa ini juga bakal memberi impak kepada negeri-negeri lain yang turut sama diperintah oleh Pakatan Rakyat.

GMI akan terus mengorak langkah bertemu dengan pimpinan tertinggi 2 buah negeri Pakatan Rakyat yang lainnya. Dalam masa terdekat ini kami telah membuat temujanji untuk bertemu dengan Ketua Menteri Pulau Pinang dan Menteri Besar Kedah. Perjumpaan dengan Menteri Besar Perak telah diadakan pada awal Mei lepas.

InsyaAllah janji Allah benar...kezaliman pasti akan dihapuskan, keadilan pasti akan ditegakkan...dengan api perjuangan yang tidak akan malap. Hanya masa yang akan menentukannya.


MANSUHKAN ISA
BEBASKAN TAHANAN ISA
TUTUP KEM KAMUNTING

Thursday, 22 May 2008

Kutip Semangat dari 99 Asma Ul Husna

Semalam saya telah menghadiri mesyuarat Post Mortem untuk program Ibu Tunggal yang telah diadakan pada sambutan Hari Ibu yang lepas. Sebenarnya pada awalnya saya rasa agak malas untuk pergi. Entahlah mungkin saya telah missed satu mesyuarat terakhir yang diadakan menyebabkan saya rasa agak ketinggalan, yang membuatkan saya rasa tidak ada semangat untuk menghadiri mesyuarat tersebut.Semasa program tersebut tugasan yang diberikan kepada saya ialah untuk menjadi camerawoman dan juga membuat liputan video program tersebut. Saya merasakan diri saya telah tidak menjalankan tugas dengan baik pada hari itu, ini juga membuatkan saya terasa berat untuk menghadiri mesyuarat pada malam semalam.

Namun sambil menghadapi makan malam, saya bertanyakan kepada suami. patutkah saya ke mesyuarat tersebut, suami memberikan dorongan untuk saya pergi. Satu lagi sebabnya ialah tempat kebiasaan mesyuarat diadakan agak jauh memandangkan saya di 'luar kawasan'. Saya tinggal di Gombak dan menjadi ahli di Hulu Kelang...rumah tersebut pula terletak agak ke dalam, kawasan atas bukit dan agak terceruk di Desa Haras, Zooview...seram dan gerun jugak untuk ke sana. Tetapi saya kuatkan juga semangat bersiap dan terus keluar rumah menuju ke destinasi.

Alhamdulillah....saya rasa bersyukur kerana ke sana. Pengerusi mesyuarat memulakan mesyuarat dengan dendangan nasyid Asma ul Husna..sambil menanti kehadiran ahli mesyuarat yg lain hadir. Teknik2 yang digunakan di dalam program ESQ165 yang sedang hangat diperkatakan, program yang mampu mencairkan hati-hati yang keras. Saya belum berpeluang untuk menghadiri program tersebut kerana kosnya agak tinggi...walaupun ramai teman-teman yang menegaskan bahawa ianya amat berbaloi...one time investment.

Memang benar...tempias sedikit dari program tersebut sudah mampu membuatkan hati rasa sedih dan takut dengan azab Allah..rindu dan Cinta kepada Rasululullah (saw) dan amat rindu dan cinta kepada Allah walau hati rasa amat takut dengan dosa yang terlalu banyak ditanggung sepanjang kehidupan ini.

Kata pengerusi, dengan mendendangkan dan mendengarkan nasyid Asmaul Husna ini mampu mencerdaskan minda kita lagi dalam menjalani mesyuarat pada malam itu. Alhamdulillah, memang benar...banyak perkara yang dapat sama-sama kami bincangkan mengenai kelemahan dan kekuatan dari program besar Ibu Tunggal yang telah diadakan, dalam usaha kami di DUN Hulu Kelang untuk merangka berbagai lagi program besar dan kecil untuk penduduk di Dun Hulu Kelang.

Pengerusi berjanji akan menggunakan teknik ESQ165 lagi dan dengan dendangan nasyid-nasyid di dalam Usrah kami pula yang akan diadakan pada malam ini, InsyaAllah.

Semoga Kejayaan Sentiasa bersama orang-orang yang benar dan berjuang demi sebuah Keadilan dan kerana Allah S.W.T.

Monday, 12 May 2008

"No Resignation"..Selamat Hari Ibu...

Dah berhari juga saya tak update blog ni almost a week..bukan tak ada apa cerita..cuma sedikit tidak ada mood.

Semalam ramai ibu yang bergembira kerana diraikan oleh anak-anak yang tersayang begitu juga oleh suami yang tercinta. Ramai menerima ucapan "Selamat Hari Ibu". Saya menerima satu sms dari seorang kawan, dan sebenarnya beberapa tahun yang lepas saya juga menerima sms yang sama, namun kali ini, ada satu ayat yang menyentuh jiwa saya....no resignation..ya..untuk seorang ibu, satu tugas yang tak ada peluang untuk meminta diri untuk resign. Ini sudah tentu bagi seorang ibu yang baik dan bertanggungjawab.

Mungkin ramai juga yang menerima ucapan yang sama..namun di bawah saya catitkan sms tersebut :

"Motherhood is a tough 24-hr job: No Pay, No day-off. Most often unappreciated. And yet resignation is impossible! Hello Pretty Mom, Happy Mother's Day!"

Lagi satu ucapan melalui sms..:

"Happy,Happy Mother's Day to a beautiful & perrrfect mom. Moga segala pengorbanan,kesabaran & usaha mendidik anak-anak yang dikasihi diganjari Allah sewajarnya."

Kedua-dua ucapan tersebut membuatkan air mata saya mengalir.....

Semalam saya menyambut hari ibu bersama hampir 500 orang ibu tunggal di Majlis Meraikan Ibu Tunggal Bersama Adun Hulu Klang di Dewan MPAJ AU2, Taman Keramat.

Ramai sekali yang datang. Suasananya seumpama mereka datang 'berbondong-bondong'..ada yang berjalan kaki, menaiki bas dan teksi. Alhamdulillah, majlis tersebut mendapat sokongan dari beberapa badan-badan kerajaan dan bukan kerajaan. Hasrat ADUN Hulu Kelang untuk membantu nasib ibu tunggal. Moga nasib mereka terus terbela.

Sedih mendengar nasib isteri-isteri yang dianiayai dan dizalimi oleh suami lantaran kehidupan yang sudah tidak serasi. Tetapi mengapa harus kehidupan mereka dan anak-anak diseksa???..Hidup mungkin tidak terseksa tetapi hati sentiasa pedih dan perit.

Semoga Allah memberikan kekuatan kepada mereka untuk terus meneruskan kehidupan.

Thursday, 1 May 2008

"I love ISA"..."Saya suka ISA".."Saya tak suka tahanan ISA"-kata-kata Ahli Parlimen Barisan Nasional

Berita bergambar

Sekitar aktiviti GMI di Parlimen pada jam 12.30tghari hingga 2.00 petang, Rabu 30hb April 2008. Tarikh ini adalah juga tarikh ulangtahun GMI yang ke 7 tahun. GMI dilancarkan pada 30 hb April 2001. Aktiviti GMI pada hari ini ialah bersempena "Kempen Bebaskan Tahanan 6-Tahun ISA". Acaranya ialah penyerahan Memorandum GMI bersama Human Rights Committee, Bar Council dan lencana anti-ISA kepada Ketua Pembangkang, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (bagi pihak kerajaan), Ahli Parlimen Pakatan Rakyat dan Ahli Parlimen BN. Ini bersempena Sidang Parlimen ke-12. Delegasi GMI menunggu di luar pintu utama Parlimen sebelum masuk beramai-ramai ke dalam bangunan Parlimen. Delegasi terdiri dari AJK GMI, wakil Human Rights Committee, Bar Council dan wakil Hindraf termasuk isteri M Manoharan tahanan ISA-Hindraf yang juga menang di PRU12.Delegasi GMI perlu berkumpul di depan kaunter pendaftaran sebelum dbenarkan naik ke atas bertemu dengan Ketua Pembangkang, Datin Seri Wan Azizah untuk mengadakan sidang media.

Berdepan dengan pegawai keselamatan Parlimen yang tidak membenarkan wakil GMI naik ke atas kerana tidak berpakaian lengkap i.e memakai slipper dan berbaju lengan pendek. Mujur ada peguam GMI Sdri Lateefa yang cuba mententeramkan keadaan dan memohon agar kami semua dibenarkan naik ke atas, keran kami cuma akan berada di lobby Parlimen dan bukannya akan masuk ke dalam Dewan Parlimen . Akhirnya kami semua dibenarkan masuk.
Mengambil tempat di sudut sidang media. Menunggu ketibaan Datin Seri Wan Azizah. Sidang Media hanya boleh diadakan dengan kehadiran seorang Yang Berhormat. Wakil keluarga tahanan ISA, dari kanan Puan Norlaila Othman isteri Mat Sah Mohd Satray, Puan S Pushpaneela isteri M Manoharan dan V Raidu, adik kepada S Ganapathi Rao juga tahanan ISA-Hindraf. Penantian yang bukan hanya disulami kesabaran yang tinggi, paling utama hati yang cekal dan berani menentang kezaliman yang menimpa diri mereka dan ahli keluarga mereka.Banner 'Penyerahan Badge ISA kepada Ahli Parlimen Malaysia" dikeluarkan...."MALAYSIA BEBAS DARI ISA".
Sidang Media bermula dengan kehadiran Ketua Pembangkang. Di sebelah kiri ialah Syed Ibrahim Syed Noh dan di sebelah kanannya ialah Peguam Amer Hamzah, wakil dari Bar Council yang juga seorang peguam yang berjuang membela nasib tahanan ISA dengan membawa kes Habeas Corpus ke mahkamah.Sementara menunggu sidang media selesai saya bersama beberapa orang AJK GMI telah memasuki ruang makan khusus untuk Ahli Dewan Rakyat sahaja dengan diringi oleh Sdra Gobalakrishnan seorang Ahli Parlimen yang juga seorang bekas tahanan ISA di era Reformasi. Ada Menteri yang menerima dengan tenang dan terbuka ada juga Menteri yang menerima sambil mengeluarkan kata-kata yang spontan tanpa berfikir dengan waras.Lencana turut diserahkan kepada Ahli Parlimen dari Pakatan Rakyat.
Penyerahan lencana secara rasmi oleh Ketua Pembangkang kepada Ahli Parlimen Barisan Nasional. Kebanyakan mereka mengatakan bahawa mereka suka ISA. "Saya suka ISA"..."Saya tak suka tahanan ISA". Kata-kata dari Dato' Azmi Khalid ketika saya menyerahkan lencana kepadanya ialah "Sebab adanya ISA lah negara kita aman dan selamat"...Jawab saya kepadanya " Sebab itulah rakyat tidak mahu kepada kerajaan Barisan Nasional, sebab ada akta zalim ISA, sebab itulah rakyat mahukan Pakatan Rakyat yang memerintah, kawan saya suami dia dah 6 tahun ditahan ISA,zalim kan.."...terus tidak ada lagi penambahan dari Menteri dan MP yang lain . Apalah agaknya yang dibualkan oleh mereka..seronok dan mewah betul kemudahan yang disediakan oleh kerajaan kepada Ahli Parlimen. Kelihatan Dato Nazri Aziz sedang 'berehat-rehat' dengan gayanya tersendiri. Saya masih teringat beberapa tahun lepas, saya bersama 2 orang isteri tahanan ISA pergi bertemunya dengan jemputan dari Dato'Nazri sendiri. Katanya kepada kami "Sebenarnya Pak Lah tak ada kuasa nak bebaskan tahanan ISA, yang berkuasa ialah Polis, sebab tulah polis disebut sebagai 'Polis Raja Di Malaysia'"...Ini bukan rekaan saya.

Dato' Mukhriz menerima dengan senyuman. Kata saya "I have given the badge to him earlier, I hope he will wear it"....Jawabnya "No I won't wear it" dan meletakkan badge tersebut di atas meja. Ini adalah adegan-adegan yang paling menarik. Berkejaran cameraman dan reporters datang menyerbunya untuk mendapatkan aksi dan reaksi beliau. Saya juga salah seorang camerawoman yang berjaya membuat liputan tersebut. Alhamdulillah. Dr Lo'Lo memperkenalkan Puan Norlaila kepada Khairy sebagai isteri tahanan yang suaminya dah 6 tahun di KEMTA. Kata Khairy lebih kurangnya.."..OOOO....I... love... ISA...sebab..belum ada keluarga saya yang kena ISA.."..Kalau boleh la saya jawab.."Jangan tunggu sampai ada yang kena, baru nak rasa peritnya" Ini mungkin satu adegan yang menarik juga. Datin Seri Wan Azizah meletakkan badge di baju Khairy. "Malaysia Bebas Dari ISA"...kata Khairy..."OO..this is very naughty...you know I cannot remove your hand...."............ouw..........

Sekian dulu laporan bergambar dari saya. Semoga usaha kita semua mendapat keberkatan. Semoga ISA berjaya dimansuhkan dan semua tahanan ISA akan dibebaskan segera.

Monday, 21 April 2008

Duka Mereka..."Berat Mata Memandang, Berat lagi Bahu Yang Memikul"

"Hindraf ISA Detainee Vasantha Kumar's daughter admitted in Pantai Medical Center Cheras. She is missing her father dearly". Saya menerima sms ini dari Puan Vickneswary isteri tahanan ISA Hindraf, Vasantha Kumar. Mungkin Vickneswary menyimpan nombor handphone saya setelah beberapa kali saya berhubung dengannya ketika kami dari GMI ingin mendapatkan salinan laporan polis yang dibuat berhubung kes suami beliau didera mentalnya melalui soal siasat oleh SB ketika berada di Kem Kamunting. Saya juga telah berjumpa Vickneswary di Mahkamah Jalan Duta ketika judgement untuk kes Habeas Corpus suaminya dan tahanan ISA Hindraf yang lain diadakan di sana. Dimana, Mahkamah telah menolak permohonan Habeas Corpus tersebut, maka 5 orang tahanan Hindraf terus menerus ditahan di bawah ISA seperti nasib semua tahanan ISA yang lainnya.

Semasa saya berada di perkarangan Mahkamah Jalan Duta, kesemua isteri dan ahli keluarga tahanan ISA tersebut kelihatan sedih, lesu dan tak bermaya. Apa tidaknya suami mereka yang tidak dibuktikan kesalahan telah terus ditahan tanpa dibicarakan. Mereka akan melalui detik-detik kehidupan yang sama yang pernah saya lihat dilalui oleh beratus-ratus orang ahli keluarga tahanan ISA yang lain. Anak-anak kehilangan kasih sayang seorang bapa. Mereka akan terus merindui bapa mereka yang telah dibawa pergi, tidak tahu bila akan kembali. Mereka tidak memahami apa kesalahan bapa mereka. Apa yang mereka tahu, bapa mereka adalah orang yang baik, penyayang dan sering membantu orang lain yang di dalam kesusahan dengan cara mereka sendiri.

Oleh itu bila saya menerima sms tersebut, dengan segera saya membalasnya dengan panggilan telefon untuk bertanyakan khabar. Saya terus berjanji akan menziarahinya keesokan harinya. Saya mengatur rancangan untuk menziarahi Vickneswary dan anaknya bersama dengan seorang isteri Tahanan ISA-6 Tahun, Cikgu Laila.

Kami tiba di Pusat Perubatan tersebut pada jam 2.30 petang. Kelihatan di hadapan bilik tersebut ada beberapa orang penyokong Hindraf dan ahli Keluarga. YB R.Sivarasa-Ahli Parlimen Subang, juga ada bersama. YB adalah seorang peguam yang memperjuangkan Hak Asasi Manusia terutamanya mengenai isu ISA. Ahli keluarga dan penyokong Hindraf tersenyum dan menunjukkan rasa berbesar hati menerima kedatangan kami berdua. Kedatangan kami menunjukkan sokongan kami tidak mengira bangsa dan agama. Selagi mereka adalah mangsa ISA kami akan tetap membantu memberikan sokongan dan bantuan. InsyaAllah.

Uniknya mengenai kisah 5 orang tahanan ISA Hindraf ini ialah, sebaik penangkapan mereka di bawah akta ISA, ramai sekali kaum India yang bangun bersama menuntut agar ke 5 mereka dibebaskan segera. Majority dari mereka baru mula mengetahui tentang apa itu ISA sebenarnya. Setiap kali ada perjumpaan atau program mengenai ISA yang bersangkut paut dengan 5 orang tahanan tersebut, pasti setiap dewan atau majlis tersebut diadakan akan 'full house' hingga melimpah ruah. Begitulah adanya, bagaimana, lebih ramai lagi yang tahu bahawa di Kem Kamunting masih menyimpan ramai lagi tahanan ISA selain dari 5 orang tahanan Hindraf.

Cikgu Laila berkongsi pengalaman bersama Vickneswary mengenai nasib yang pernah dilaluinya selama 6 tahun menjadi isteri tahanan ISA. Vickneswary pula menceritakan apa yang sedang dilaluinya. Beliau berpeluang menziarahi suaminya setiap minggu di Kem Kamunting dengan bantuan dari ahli keluarga suaminya yang tinggal di Johor dan juga keluarganya sendiri yang tinggal di Kedah. Walaubagaimanapun dia masih sukar untuk menceritakan perkara yang sebenar kepada 2 orang anaknya yang berumur 6 dan 4 tahun tersebut. Beliau mengatakan yang ayah mereka berada di hospital..tetapi anak-anaknya akan bertanya, 'kalau hospital, mengapa tak ada doktor?".....Beliau juga runsing memikirkan nasib yang perlu dilaluinya lebih-lebih lagi dalam masalah kewangan. Satu masalah yang terpaksa dtanggung oleh semua keluarga tahanan ISA. Apa tidaknya seorang ketua keluarga diambil pergi begitu sahaja. Segala punca pendapatan hilang begitu sahaja dalam sekelip mata.

Kami di Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) hanya dapat terus membantu dengan terus-terusan mengadakan kempen untuk menyedarkan masyarakat mengenai kezaliman ISA dan terus menerus mendesak kerajaan untuk membebaskan ke semua tahanan ISA atau bicarakan mereka di Mahkamah dan buktikan kesalahan mereka sekiranya ada. Jika tidak mereka WAJIB dibebaskan segera.

InsyaAllah satu pertemuan di antara Pusat Sokongan Keluarga Tahanan ISA-GMI dan ahli keluarga tahanan ISA Hindraf akan diadakan dengan bantuan YB R. Sivarasa. Semoga pertemuan ini akan mengukuhkan lagi perjuangan menentang kezaliman ISA.

Thursday, 17 April 2008

Pertemuan dengan Menteri Besar Selangor

Rabu 2.30 petang.

Setelah selesai menghadiri pertemuan di Hulu Kelang perjalanan hari itu diteruskan pula dengan misi yang ke dua. Bersama dengan Cikgu Laila dan Mun Hooi (koordinator SUARAM), kami bergerak dari pejabat SUARAM di Petaling Jaya menuju ke Shah Alam iaitu menuju ke Bangunan SUK. Inilah kali pertama saya menjejakkan kaki ke dalam bangunan ini. Teringatlah saya berita yang dibaca mengenai peristiwa yang berlaku di malam kemenangan PR di Selangor. Bangunan tersebut terpaksa dikawal oleh polis, FRU dan penyokong ahli Pakatan Rakyat.

Pertemuan di antara NGO-NGO yang kini dikenali sebagai Coalition for Good Governance (CGG) bersama YB Tan Sri Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor. Tujuan utama pertemuan ialah untuk melakukan kerjasama dengan kerajaan negeri yang baru. Semuanya bertujuan untuk memberi kebaikan kepada semua pihak terutama rakyat di Negeri Selangor.

Ada hampir 100 NGO yang turut serta. Saya dan Cikgu Laila mewakili Gerakan Mansuhkan ISA. Sudah tentu isu yang kami bangkitkan ialah mengenai isu perlanggaran Hak Asasi Manusia dan perkara yang penting juga ialah mengenai kebajikan keluarga tahanan ISA yang berada di Selangor.

Pertemuan dengan MB sepatutnya bermula pada jam 3.30 petang. Namun sebaik sampai kami sudah dimaklumkan bahawa kemungkinan besar MB akan datang agak lambat kerana beliau telah dipanggil untuk memberi keterangan kepada polis mengenai isu program 'Black 14' yang diadakan pada hari Isnin 14 April. Oleh itu sementara menunggu semua yang hadir mengambil peluang untuk berbincang dan membangkitkan isu-isu yang ingin dibawa ke pengetahuan MB dan Exco-exconya untuk diambil tindakan.

Semua yang hadir menjadi resah dan ada juga yang meluahkan rasa tidak puas hati kerana MB masih juga gagal untuk datang bertemu walaupun jam sudah menunjukkan pukul 4.15 ptg. Pertemuan tersebut sepatutnya berakhir pada jam 4.30 ptg. Namun setelah berbincang semua bersetuju untuk menunggu sekejap lagi kerana MB berjanji akan datang secepat mungkin kerana beliau terpaksa juga mengadakan mesyuarat exco kerajaan. Semuanya menjadi lewat gara-gara gangguan dari pihak polis. Kami semua telah dijemput untuk menjamu selera dengan jamuan petang yang berbagai. Ada mee goreng, bihun, kuaeteow, 2 jenis kueh, buah-buahan dan minumah panas. Alhamdulillah, sejuk sikit hati-hati yang sedikit panas tadi.

MB akhirnya muncul ke bilik mesyuarat pada jam lebih kurang 4.40 ptg. Perbincangan terus diadakan. MB terus menjawab dan memberi komen untuk setiap persoalan, cadangan dan permintaan yang diajukan kepadanya. Untuk isu ISA, beliau berjanji akan memberikan sokongan. Apatah lagi beliau juga seorang Ahli Parlimen dan memastikan akan memberi satu vote agar ISA dimansuhkan. Beliau juga mengatakan akan ada satu peruntukan dalam bentuk wang yang akan diberikan kepada keluarga mangsa ISA, melalui wang zakat atau dari bahagian kebajikan untuk bukan Islam. Alhamdulillah. Sebagaimana yang disebutkan oleh DS Anwar Ibrahim dalam pertemuan dengannya Tan Sri Khalid juga menegaskan yang Pakatan Rakyat akan segera membebaskan tahanan ISA dan Memansuhkan ISA sekiranya Pakatan Rakyat berjaya memerintah. Walau apapun janji yang diberikan, perjuangan GMI akan tetap diteruskan.

Hampir jam 6.20 petang pertemuan tersebut belum lagi selesai...saya agak resah sebab dah terlalu lewat untuk saya. Terpaksalah saya minta diri untuk pulang, nasib baik saya memandu sendiri, dapatlah saya pulang lebih awal dari Cikgu Laila dan Mun Hui. Mereka berdua perlu pulang semula ke SUARAM untuk menghadiri mesyuarat GMI pula. Terpaksalah saya ponteng dari menghadiri mesyuarat tersebut.

Nota:Tan Sri Khalid adalah orang yang membantu membayar ikat jamin saya dan beberapa orang lagi ketika 36 orang kami ditangkap dan dipenjarakan selama 3 hari 2 malam semasa perhimpunan aman di KLCC pada 26hb Januari 2008. Di bawah adalah gambar kenangan ketika kami dibebaskan dengan ikat jamin..ihsan harakah daily. Semoga Allah menjadikannya seorang pemimpin yang beriman dan membawa Selangor menjadi sebuah negeri yang maju dan di rahmati Allah.



Monday, 14 April 2008

Yang Berkhidmat VS Yang Berhormat

Sejak tarikh 8hb Mac 2008, rata-rata orang memperkatakan tentang kehangatan keputusan PRU12. Rasanya buat kali ini juga baru kita sedar akan kedudukan dan kepentingan Raja-Raja dalam isu pemilihan Ketua sesebuah negeri selain dari kuasa rakyat memilih pemimpin setempat yang mereka harapkan menjaga dan memberi khidmat kepada kawasan mereka.

Saya pula sebagai pemilih di N18 DUN Hulu Kelang kini dapat melihat sendiri apa bezanya di antara ke dua-dua YB YB ni...berkhidmat atau berhormat. Semasa bersama-sama dengan penduduk di beberapa kawasan setempat rata-rata menyebut bahawa ADUN yang terpilih dahulu jarang atau lansung tidak pernah masuk ke kawasan mereka. Itulah dia Yang Berhormat...terpilih saja tetapi tidak memberi khidmat.

Yang Berkhidmat pula setelah terpilih terus bejumpa dengan penduduk setempat serta mengadakan sesi dialog untuk mengetahui apa masalah penduduk setempat. Ramai yang mengadu, ada yang inginkan surau atau masjid di tempat mereka..ada yang mengadu longkang di hadapan rumah mereka tidak pernah diuruskan, tanah wakaf untuk surau telah digunakan untuk projek lain dan macam-macam lagi.

Saya berkesempatan juga bersama-sama membantu beberapa program khidmat masyarakat yang diadakan oleh ADUN Hulu Kelang. Kami mengadakan hari khidmat kesihatan dengan menyediakan doktor-doktor pakar perubatan di beberapa tempat hampir setiap minggu. Kebanyakannya diadakan di kawasan perumahan yang berpendapatan rendah. Alhamdulillah, ianya mendapat sambutan yang hangat sekali.

Majlis-majlis pengajian, solat berjamaah, bacaan Yassin dan solat hajat juga turut diadakan dengan dihadiri oleh YB sendiri. Contohnya pada hari Sabtu malam Ahad yang lepas kami menghadiri majlis bacaan Yassin, solat Magrib, Isya' dan Solat Hajat berjamaah di sebuah rumah di Kuala Ampang. Uniknya kawasan ini ialah kawasan majority kaum China. Cuma ada sejumlah 40 keluarga Melayu/Islam. Maka tidak ada surau di sini walaupun kampung tersebut dah berusia lebih 40 tahun. Mereka terpaksa keluar kawasan untuk untuk solat jumaat atau sewaktu solat tarawikh...jauh juga jaraknya. Maka tidak ada aktiviti keagaamaan yang dapat dijalankan di sana. Namun di situ ada gereja, kuil India dan Sikh Temple.

Alhamdulillah, semenjak kemenangan PAS buat julung kali di sana, penduduk Islam di sana telah bangun bersama untuk memulakan aktiviti-aktiviti seperti solat berjamaah, solat hajat dan pengajian.InsyaAllah kami akan cuba bersama mereka untuk aktiviti bulanan maupun mingguan ini.