Saturday 29 August 2015

BERSIH. Bila terancam penguasa sanggup lakukan apa saja.

“Ummi, cepatlah Ummi, cepatlah Ummi!” Jerit Asiah girang sangat sambil menarik-narik tangan kanan saya menghala ke depan. Tangan kiri memegang tangan Asma’ yang berdiri di belakang.
“Sabarlah Asiah, perlahan-lahan, kenapa ni?” tanya saya kepada Asiah.
“Dah boleh masuklah Ummi, dah boleh masuk ke Dataran.” Jerit Asiah lagi masih dalam keadaan yang sangat teruja dan girang sekali.
Masih terbayang wajahnya.
Saya masih bertahan. Sukar juga saya mahu mempercayainya. Namun dek kerana mahu menurutkan rasa teruja Asiah yang seolah Dataran itu satu tempat yang bakal membebaskannya dari ‘kesesakan’ yang ada, saya turutinya perlahan-lahan.
“Bagi laluan, bagi laluan!” tiba kedengaran suara jeritan sambil kelihatan seorang lelaki India dengan tongkat disisinya diusung keluar berama-ramai. Keadaan sedikit kelam kabut.
Asiah masih menarik-narik tangan saya ke hadapan. Bersama kami sejak awal berjalan dari hadapan SOGO ialah Atikah dan Hakim anak-anak Dr Hatta Ramli. Kami sentiasa beriringan dari satu tempat ke satu tempat. Ada peluang duduk kami duduk, ada arahan duduk kami duduk walau berhimpit-himpit.
“Buka, buka, masuk, masuk!” tiba-tiba keadaan jadi sungguh kecoh dengan orang ramai tiba-tiba bertolak-tolak ke hadapan. Saya sudah menghidu sesuatu bakal berlaku, segera saya menarik tangan Asiah, menjerit nama Atikah dan Hakim mengajak mereka berpatah balik ke belakang.
Namun semuanya sudah terlambat. Kami tersepit. Semua cuba menyelamatkan diri. Ketika itulah apa yang saya jangkakan akan berlaku telah berlaku. Kami tersepit, terhimpit. Tidak perlu lagi melangkah. Ditolak, ditolak dan ditolak ke hadapan sehingga tidak ada ruang lagi untuk bergerak. Gerun, takut, bayang-bayang tragedi menghantui diri saya. Saya tidak ingat jeritan sesiapa, hanya terdengar jeritan Asiah, sayu, sedih, ketakutan dan trauma.
“Ummi, ummi, ummi!”
Kuat-kuat saya pegang tangan Asiah di tangan kanan. Kuat-kuat saya pegang tangan Asma’ di kiri. Pada masa yang sama, gas pemedih mata menyelubungi, kelat, kesat, ketat dada dan hidung. Asiah terus menjerit.
Saya sudah tidak hiraukan diri sendiri lagi, tiada masa untuk menarik tuala kecil dan air menutup hidung. Saya tenangkan diri tarik nafas. Saya harus selamatkan anak-anak saya. Kami masih tersepit. Wajah Asiah sipi-sipi saya lihat tersepit.
“Tenang Asiah, tenang, jangan jerit jangan nangis.” Berkali-kali saya tenangkan Asiah.
Asma’ disebelah kanan saya kelihatan sudah tumbang, jatuh, cepat-cepat saya tarik tangannya dan Asma’ berjaya berdiri dengan stabil semula.
Bagaimana saya mahu menyelamatakan anak-anak saya. Toleh ke belakang, kosong, lapang hanya gas pemedih mata memenuhi segenap ruang. Saya harus bertindak segera dari kami terus terhimpit dan tersepit dan Asiah terus trauma.
Saya mengambil risiko itu, menarik tangan Asiah dan Asma’ dan masuk ke dalam kepulan asap gas pemedih mata. Asiah terus-terusan menangis dan menjerit. Asiah sudah hilang kawalan diri terus, saya tidak berupaya mententeramkannya lagi. Asiah lari lintang pukang dari saya, melepaskan genggaman tangan saya. Saya hanya mampu menjerit namanya.
“Asiah! Jangan lari dari Ummi, mari sini.”
“Tak nak, Asiah tak nak.” Asiah terus lari. Dari jauh saya lihat berkali-kali Asiah jatuh dan bangun. Sambil terduduk saya lihat satu pasangan Tionghua juga duduk berteleku menyelamatkan diri dari kesesakan. Semua orang kelihatan cuba menyelamatkan diri masing-masing dari asap gas pemedih mata yang menyesakkan.
Akhirnya setelah mengumpul kekuatan sambil tangan sebelahnya kekal memegang tangan Asma’ kami berlari mendapatkan Asiah dan menyelamatkannya. Datang seorang lelaki memberikan Asiah garam dan membasuh mukanya. Tanpa segan silu saya merayu kepada lelaki itu, “Encik tolong selamatkan anak saya, tolonglah.”
Lelaki itu terus duduk dan mengarahkan Asiah naik ke atas belakangnya. Asiah dibawa lari ke arah kawasan lapang di sekitar bangunan DBKL.
Pemandangan ketika saya berjaya keluar dari terhimpit di hadapan kolam DBKL yang didepannya tembok sungguh menyedihkan. Ramai yang terjun ke dalam kolam seolah tiada tempat lain untuk menyelamatkan diri. Ramai tertunduk-tunduk dengan baju dan seluar yang hampir tertanggal untuk cuba melegakan diri dari kesesakan gas pemedih mata.
Pedih mata, pedih lagi hati ini yang melihat keadaan itu. Suasana seolah di medan perang, walhal ianya tidak. Kami rakyat biasa tiada bersenjata.
Dari Dataran Merdeka gas pemedih mata ditembak dan dilontarkan hingga ke Bangunan DBKL. Peluru gas pemedih mata jatuh bertubi-tubi di sisi saya. Kami masih tidak selamat rupanya.
“Ummi, kenapa, dia orang (polis) buat macam tu, kenapa ummi?” berkali-kali Asiah bertanya kepada saya dalam keadaan beliau masih terbatuk-batuk dan termuntah-muntah, dalam esakan. Sayu dan sedih betul untuk saya menjawabnya.
Bila saya gagal memberikannya jawapan, Asiah bertanya lagi “Bukankah dia orang (polis) kena jaga kita Ummi.” Saya masih mendiamkan diri dan cuba memujuknya untuk terus berjalan menyelamatkan diri.
“Sabar ya Asiah, kita jalan ke depan cari perlindungan.” Asiah masih lagi trauma dan kami cuba mencari tempat untuk berlindung.
Pintu masuk ke DBKL semuanya dikunci rapat. Pintu cerminnya membuatkan kami dapat melihat terlalu luas ruang di dalamnya untuk kami dapatkan perlindungan. Polis beruniform dan bervest hijau memenuhi segenap ruang di dalamnya.
Asiah dalam keadaan yang masih trauma menjerit-jerit sambil mengetuk-ngetuk pintu cermin DBKL memohon simpati agar mereka di dalam membukanya dan membenarkannya masuk. Asiah terus mengetuk-ngetuk sambil menjerit “Bukalah, bukalah, bukalah” berkali-kali.
Saya lihat setiap wajah dan tubuh badan anggota polis di dalamnya terus berpeluk tubuh tanpa ada sekelumit perasaan simpati di wajah-wajah mereka.
“Ummi, dia orang gelakkan Asiah Ummi. Ada polis tu gelakkan Asiah Ummi.” Sedih sayu suara Asiah. Pedihnya hati. Kami teruskan perjalanan menyelamatkan diri hingga terjumpa YB Fuziah Salleh yang memegang ‘gas mask’. Tanpa segan silu saya memohon meminjam dan meletakkan di muka Asiah. Syukur Asiah kembali tenang. Ramai yang menghulurkan garam, air serta minyak angin untuk melegakan Asiah.
Akhirnya kami selamat dan saya membawa Asiah pulang ke bilik penginapan sementara saya dan Asma’ meneruskan perjalanan di jalanan melihat denyut perjuangan rakyat, anak muda terutamanya yang begitu kental semangat mereka.
Saya tidak akan melupakan bagaimana gembira dan terujanya Asiah apabila kami sudah berdiri bersama ratusan ribu rakyat hampir tiba ke destinasi Bantah dan Duduk akhirnya kami telah diperdaya dengan membiarkan kami terperangkap di dalam lautan orang ramai yang kemudiannya dibedil dan dilemparkan dengan gas pemedih mata yang bertubi-tubi tanpa belas kasihan.
Anak-anak kami yang turut bersama Ammar, Asma’ dan Asiah bersemangat terus dan tidak akan gentar untuk bersama lagi kerana sesebuah perhimpunan aman adalah aman hingga pihak berkuasa memulakan serangan. Itu saya percaya dan akan terus percaya. Perjuangan ini adalah perjuangan membebaskan rakyat dari ketakutan kepada sang penguasa. Anak-anak kami dan ribuan anak-anak lagi yang turut serta akan terus berani untuk membebaskan diri dari kezaliman.

LAWAN TETAP LAWAN.

Wednesday 26 August 2015

KUASA DI TANGAN RAKYAT


“Mana-mana orang yang merekrut atau membawa kanak-kanak ke perhimpunan atau membenarkan kanak-kanak pergi ke perhimpunan juga dianggap telah melakukan kesalahan, dan jika disabitkan boleh didenda sehingga RM20,000.” Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011.

Berat hukumannya, gerun mendengarnya. Tujuannya tiada yang lain selain satu yang terlintas di hati. Menakutkan orang ramai untuk turun berdemonstrasi, tunjuk perasaan membantah kezaliman. Tidak mahu menunjukkan bahawa ramai yang berani turun berdemonstrasi menunjukkan rasa tidak puas hati, malah berani membawa anak-anak bersama bagi membuktikan bahawa perhimpunan yang bakal diikuti itu ialah sebuah perhimpunan aman.



“Itulah, lain kali jangan bawa anak. Kenapa bawa anak kecil ni!” 

Terjerit-jerit seorang lelaki di belakang memarahi kerana saya membawa bersama anak bongsu, Asiah yang ketika itu berumur 7 tahun di tahun 2009. Saya lansung tidak memaling kepala untuk melihat siapakah lelaki itu yang terjerit-jerit memarahi saya.

Keadaan kecoh ketika itu dengan orang ramai berkejaran berlari menyelamatkan diri. Ramai yang terbatuk-batuk dan tersedak sambil terjerit-jerit dalam suasana yang kelam kabut akibat tembakan peluru gas pemedih mata bertubi-tubi kearah orang ramai yang berhimpun di perkarangan Masjid Ubudiyyah Kuala Kangsar, 6 Februari 2009.

Sambil berjalan, terbatuk-batuk dan ketakutan kerana terasa tidak dapat bernafas akibat bau gas pemedih mata yang perit, menyempitkan ruang pernafasan, mata pedih berasap, fikiran jadi tidak menentu dan hilang kawalan diri, serasa seperti putus nafas.

 Saya membimbing tangan Asiah berjalan menuju kearah Masjid. Asiah juga menjerit menangis dan terbatuk-batuk. Sangat cemas. Lelaki tadi masih memarahi  saya. Dalam kelam kabut itu saya juga menjerit dan hanya menjawab,

  “Ini anak saya dan hak saya untuk membawa dia. Saya jaga dia.” 

Saya membawa Asiah ke Masjid dan ada lelaki lain yang menyambutnya dan membawa dia ke tempat yang selamat.

(Di dalam perhimpunan ini yang berlaku dalam krisis rampasan kuasa Perak, suami saya telah ditangkap dan dipenjarakan selama 4 hari 3 malam di Lokap Polis Kuala Kangsar. Anak-anak kami tidak gentar dan berasa malu atau takut dengan pengalaman ini. Hingga kini beliau dan 12 yang lain masih dibicarakan di peringkat pembelaan)


Sifat tolong menolong dalam menjaga keselamatan di antara satu dengan yang lainnya di antara para peserta perhimpunan aman adalah di tahap yang terbaik terutamanya terhadap wanita, anak-anak termasuk warga emas.

Keadaan perhimpunan yang bermula sebaik selesai solat Jumaat adalah aman dengan orang ramai turun berjalan dengan teratur. Keadaan menjadi kecoh dan tidak terkawal apabila pihak Polis, SB dan FRU mula merusuh dan menembak gas pemedih mata.

Kalau difikirkan mungkin serik dan takut untuk turun ke mana-mana perhimpunan aman kerana ianya tidak lagi aman apabila mereka yang sewajibnya menjaga keselamatan mula mengganggu keselamatan dan keamanan awam.

Ini bukan kali pertama saya menyertai perhimpunan aman, malah  turut membawa anak-anak bersama di setiap perhimpunan aman yang kami pergi. Bermula 20 September 1998. Ketika itu saya sarat mengandungkan anak yang ke 3, 7 bulan. 

Turut serta berjalan dari Masjid negara menuju ke Dataran Merdeka menunjuk perasaan membantah kezaliman yang berlaku ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika itu. Sejak itu saya tidak pernah berpaling lagi dan hilang rasa gentar apabila berdepan dengan apa-apa isu kezaliman.

5 November 2000, Himpunan 100, 000 rakyat dengan tema “Kembalikan Hak Rakyat” membantah kezaliman pemimpin kerajaan ke atas rakyat. Ketika itu saya sekali lagi mengandungkan anak yang bongsu 7 bulan dan mengendung anak ke 3 yang berumur 18 bulan. Saya tidak mahu ketinggalan walau suami  menghalang kerana risaukan keselamatan isteri dan anak-anaknya kerana beliau tidak dapat bersama saya kerana bertugas sebagai salah seorang Jawatankuasa Penganjur. Saya tidak menghiraukan nasihatnya dan berkeras mahu bersama.

Perhimpunan berakhir di sepanjang lebuhraya KESAS apabila polis menyekat semua jalan masuk ke lokasi perhimpunan di Jalan Kebun. Sungguh bersejarah dan saya bangga kerana berada di dalam lipatan sejarah itu. Melangkah ‘divider’ jalan dalam keadaan sarat mengandung. Bila keadaan nampak tidak terkawal dan polis mula tunjukkan tanda-tanda mahu bertindak, orang ramai menyelamatkan saya dahulu. Seorang pemuda mendukung anak saya yang kecil dan mengiringi ke kereta. Sekali lagi divider jalan dipanjat untuk pulang ke kereta yang diletakkan di tepi lebuhraya KESAS. 

Saya juga melihat seorang ibu muda bersama suaminya mengendung bayi yang saya kira baru berusia dalam 2 atau 3 bulan. Mengapa mereka berani melainkan kerana mereka yakin semua yang hadir adalah peserta dan bukannya perusuh.

Suasana ini sungguh mengharukan hati dan meyakinkan bahawa sesebuah perhimpunan adalah aman dan mereka yang turun berhimpun dengan seikhlas hati kerana mengikuti sebuah perjuangan yang murni atas dasar benci kepada kezaliman dan mahu tunjukkan dengan jelas akan perasaan itu kepada mereka yang zalim. Peserta akan sentiasa menjaga keamanan dan menjaga keselamatan di antara satu dengan yang lainnya. Maka perasaan gusar dan takut perlulah dibuang jauh-jauh walau ianya tetap akan timbul dalam hati. 

Tidak dapat dinafikan perasaan takut dan gusar itu tetap akan hadir kerana kita tidak pernah dapat menjangka tindakan Polis, SB dan FRU demi untuk membuktikan bahawa perhimpunan itu adalah ganas dan peserta adalah perusuh.

Perhimpunan Aman adalah juga satu ruang pertemuan rakyat secara besar-besaran, pertemuan keluarga yang besar, maka hingga hari ini saya masih membawa anak-anak bersama agar mereka lihat sendiri keberanian dan kebangkitan rakyat yang tidak mahu terus terusan ‘dibuli’ oleh pemimpin negara sendiri yang tidak menghayati slogan mereka “Rakyat didahulukan” sebaliknya rakyat hanya didahulukan dalam hal-hal kesusahan.

Anak-anak juga tidak pernah mahu ketinggalan turut serta dan mereka juga tidak pernah merasa gentar walau pernah melihat kezaliman pihak polis di depan mata sendiri dan pernah melalui saat-saat yang mencemaskan bahkan anak yang kedua yang ketika itu berusia 13 tahun pernah ditangkap bersama saya dan dipenjarakan sehari semalam ketika mengikuti Perhimpunan Aman membantah Akta Zalim ISA pada 1 hb Ogos 2009. Ini juga tidak membuatnya rasa gentar dan terus mahu bersama seolah menjadi anak yang menjaga keselamatan ibunya.

Kita harus terus berani, tanamkan semangat juang dalam diri anak-anak agar mereka tidak mudah ditindas. Perjuangan perlu diteruskan, keberanian harus ditanam dalam diri. Kezaliman perlu ditentang dan tidak boleh berdiam diri dengan kezaliman. Perjuangan hari ini bukan untuk generasi kita sebagai ibu bapa namun ini adalah perjuangan bagi menjamin masa depan anak cucu kita agar tidak tergadai dek kerakusan pemerintah. Saya percaya dengan prinsip Kuasa di tangan Rakyat!

LAWAN TETAP LAWAN

LAWAN SAMPAI MENANG