Saturday, 18 February 2012

Bebas, Denda atau dipenjarakan. Keputusan Kes Himpunan Mansuh ISA.


"Kak, itu DPP kita kan kak, Kes Mansuh?" Soal Aiman kepada saya ketika kami duduk-duduk di bangku Mahkamah ketika menunggu Tuan Hakim masuk.
"Oh itu yang pakai specs tu ya. Ya lah DPP Kes kita Mansuh. Buat apa dia di sini pula?" Musykil kami.
Kami sedang berada di kamar Mahkamah Sesyen Jenayah 6. Mahkamah Hakim, Yang Arif Shakeri. Semalam adalah tarikh yang ditetapkan oleh Mahkamah untuk sambung bicara Kes PROTES. Tarikh ditetapkan hingga 17 Februari.
Selang beberapa minit kami sedar akan kehadiran DPP Kes Himpunan Mansuh itu, kelihatan Peguam kami untuk Kes PROTES Tuan Haji Nasha berjalan menuju ke arah kami berdua.
"Siapa yang buat hujahan untuk kes Mansuh nanti, dah hantar ke belum." Tanya Hj Nasha kepada kami berdua.
"Entahlah, kami tak tahu. Kami dah tak ada peguam. Peguam kami dah tarik diri." Jawap kami hampir serentak.
"Bukannya apa, DPP tu ingatkan untuk sampaikan. Kalau tak ada submission dia kata senang mereka tak perlu jawap." sambung Tuan Haji Nasha, peguam kes PROTES yang sering akan datang ke belakang ke arah tempat duduk kami sekiranya ada isu yang perlu dibincangkan. Begitulah sifat mereka semua peguam yang membela kami dalam kes PROTES.
"Oh, ok tak apa saya akan cuba minta peguam kami uruskan. Kata peguam yang lain mereka akan buat submission untuk semua. Tidak ada masalah untuk mereka walau peguam kami berlima telah menarik diri." Terang saya kepada Tuan Haji Nasha.
Ya, Peguam telah menarik diri di saat-saat akhir ketika keputusan untuk kes Himpunan Mansuh ini akan dibacakan pada 22hb Februari 2012. 222. Cantik.
Setelah bergelumang dengan kes ini sejak 1 hb Ogos 2009 hingga kini 2012 hampir 3 tahun. Akhirnya ia bakal tiba ke penghujungnya. Kami 'kalah' di peringkat pendakwaan. Puan Hakim mendapati ada alasan dari hujah-hujah pendakwaan dan kami perlu bela diri untuk dakwaan di bawah akta jenayah.
Peguam kami berpendapat kami tidak sepatutnya masuk ke peringkat pembelaan, kami semua sewajarnya dibebaskan sama seperti 13 OKT yang lainnya yang dibebaskan. Bilangan kami yang didakwa ialah seramai 29 orang, kini tinggal 16 orang kami yang perlu bela diri.
Peguam membuat pilihan untuk kami memilih pilihan yang kedua iaitu memberi keterangan dari kandang salah tanpa angkat sumpah dan tidak boleh disoal balas. Maka kami membaca keterangan yang sudah siap bertulis di atas kertas. Puan Hakim mencatat apa yang kami baca. Semuanya berjalan lancar dan pantas. Tidak perlu turun naik mahkamah bertahun-tahun seperti kes PROTES contohnya di mana untuk peringkat pendakwaan saja sudah masuk 4 tahun belum selesai lagi.
Kami menunggu tarikh 222 dengan penuh sabar, debar dan berserah kepada Allah akan keputusan yang terbaik buat kami semua. Hukumannya jika bersalah adalah denda, penjara atau mungkin kedua-duanya sekali. Kami telah sepenuhnya yakin dengan pilihan bahawa kami tidak akan membayar denda sekiranya keputusan bersalah dijatuhkan kepada kami.
Ketika terjumpa YB Dato' Mahfuz di satu majlis, saya menuju ke arahnya dan berkata:
"YB, untuk keputusan kes Himpunan Mansuh ISA pada 22hb nanti, kalau kami didapati bersalah, kami tidak mahu membayar denda dan akan memilih Penjara sama macam YB dalam kes Kriket Israel." Baca di sini.
" iissssshhhh....janganlah macam tu. Siapa nak buat kerja nanti." jawab YB Dato' Mahfuz.
Apa jua kita mengharapkan yang terbaik dan berserah pada Allah yang Maha Bijaksana.
Walau ada yang sinis mengatakan kes ini 'tak ada apa, mudah dan tidak berat' kerana tiada pimpinan yang terlibat, tetapi kami adalah mangsa kepada satu kes politik yang dijadikan ruang untuk mendera rakyat yang secara terang-terangan menentang kezaliman penguasa Negara.
Kata seroang sahabat yang juga seorang peguam Hak Asasi yang berpengalaman "Do'akan agar keajaiban berlaku."

Thursday, 9 February 2012

Pengembaraan Hope2walk bersama impian semua...


Tinggal beberapa hari sahaja lagi Sham, Fandi dan An-Nur akan berangkat pergi. Pergi yang belum pasti bila mereka akan kembali.
"Ummi, nanti kalau Makcik Sham balik, Asiah dah besar dah masa tu kan Ummi?" tanya Asiah.
Jangkaan setahun di Beijing China. Kemudiannya meneruskan pengembaraan ke destinasi lain pula di United Kingdom.
"Pergilah Sham, pergi. kita usahakan bersama." begitulah lebihkurang komen saya kepada Sham setiap kali kami duduk bersembang dan berbincang tentang keadaan Annisa dan An-Nur. Ya, ketika itu Annisa masih bersama.
Santai di perkarangan Masjid Jamek Kajang di gerai Sham dan Fandi menjadi aktiviti kami ketika itu. Menikmati ABC Nyonya paling sedap sambil menyuap laksa enak gerai Ustazah Siti. Jika lapang kami ke sana. Membuat temujanji dengan Ummi Zumrah. Jauh dari Gombak dan juga Kepong meredah lebuhraya. Kami sanggup.

Ketika keadaan Annisa dan An-Nur sihat dan segar kami dan mereka punya peluang itu.
Tetapi dek kerana sering Annisa dan An-Nur sakit dan perlu dimasukkan ke wad berhari-hari malah mencecah berminggu-minggu dan berkali-kali, maka nasib kedai itu tidak terbela.
Kehidupan mereka juga jadi bertambah sukar hingga terlalu sukar yang menyebabkan saya sendiri tidak tahan melihat kepayahan mereka.
Pagi ini Sham menelefon saya "Kak N, tolong panjangkan jemputan kepada kawan kepada kawan Kak N tu yang bantu beri wang zakat RM500 masa Sham tak ada duit sangat tu."
(Sham sedang membuat persiapan untuk China. Tarikh penerbangannya sudah ada 12.50am 14 Februari ini. Sedikit kenduri Arwah dan kesyukuran sedang dirancangkan untuk dilaksanakan.)
Puas saya memikirkan siapa dia kawan saya yang baik hati itu. Baru saya teringat. Ketika itu Sham memberitahu saya tentang tahap kepayahan mereka. Saya memikirkan cara untuk membantu mereka, puas saya memikirkan kepada siapa saya mahu minta bantuan bagi pihak mereka. Syukur seolah Allah menjawab kerunsingan di hati saya.
Begitulah, Allah menurunkan dari kalangan hambaNya yang sudi membantu. Mengetuk pintu hati-hati HambaNya yang diinginiNya. Baca di sini.
Sejak bulan Oktober lepas, tertubuhlah Hope2walk dengan semangat prihatin kawan-kawan, saudara-mara dan sahabat perjuangan. Yang paling menyentuh hati ialah entah siapa lagi yang tidak pernah kami kenali walau yang dikenali dan kenal baik menunjukkan bermacam ragam dan persoalan.
Kami tidak pernah menoleh ke belakang lagi, terus jalan dan berusaha walau objektfnya seolah sukar untuk dicapai.
RM500,000.00 dalam masa kurang 3 bulan. Sukar, payah namun kami terus berusaha. Sungguh tidak disangka perjalanan menjadi mudah dengan perkenalan dengan En Hasan Suyut dengan pengalaman keluarganya dalam Kembara Atiq Wazif. Beliau sudah mempunyai pengalaman dan pertalian dengan pelbagai organisasi.
Akhirnya sungguh tidak disangka kami dapat berkerjasama dengan Encik Zawahir Abdullah dari Islamic Aid Malaysia, IKIM.FM dan Muzium Negara hingga terjadilah aktiviti Mega Bonanza Amal Hope2walk pada 4hb Februari 2012. Sudah tentu dengan kerjasama pelbagai pihak yang lain lagi.

Pastinya dalam setiap usaha dan perjuangan pasti ada cabaran dan dugaan. Dugaan berat yang ditempuhi ialah pemergian Annisa bertemu penciptaNya. Dijemput kembali kepadaNya pada 9 pagi 22hb Disember 2011. Pemergian yang begitu pantas sekali tika kami semua di Hope2walk sedang teruja melihat keluarga Sham dan Fandi muncul di kaca TV di slot Malaysia Hari Ini liputan kehidupan mereka sekeluarga bersama Annisa dan An-Nur dalam misi mengumpul sumbangan untuk hope2walk.


Setiap yang berlaku itu ada hikmahnya. Bak kata-kata babanya di blog.
Dia menolak untuk ke China, barangkali memberi ruang untuk adiknya kerana untuk mencapai sasaran kutipan masih terlalu jauh. Dia padamkan lilinnya di sini untuk menerangi lilin di kehidupan abadi. Untuk menerangi taman-taman wangi- mempersiapkannya untuk kami menyusul nanti.


InsyaAllah dengan izin Allah jua Impian Hope2walk akan tercapai. Pengembaraan ini bakal bermula. Kami melepaskan anda sekeluarga pergi, walau dengan berat hati kerana kita sering bersama dalam suka dan duka susah dan senang.
Impian untuk satu sinar buat An-Nur....impian Kakak Asiah untuk memimpin tangan An-Nur dan moga satu hari dengan hidup yang diberkati Allah, Asiah juga bakal memimpin tangan Annisa.
Kami di sini akan meneruskan usaha ini bagi meneruskan impian Hope2walk. Sumbangan semua masih diperlukan dan dialu-alukan.
Asiah memimpin tangan Atiq Wazif yang pernah melalui pengembaraan yang awal.

Tuesday, 24 January 2012

Keadilan milik mereka yang dizalimi.

"Kalau beginilah ramainya yang hadir pada malam ceramah di Kampung Baru, saya yakin pasti ramai yang akan berbondong-bondong ke Mahkamah Jalan Duta esok hari." Ini yang saya ungkapkan di Twitter sebaik melihat berbondong-bondong orang ramai yang memasuki dan memenuhi perkarangan Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baru pada malam sebelum 901. Begitu juga khabarnya di tapak ceramah di Kampung Pandan, ribuan yang hadir memenuhi padang. Hati kembali bersemangat untuk turun bersama rakyat dan penyokong.

Selesai ceramah, kami menuju ke sebuah restoran nasi lemak. Di sana terserempak dengan sahabat-sahabat aktivis yang dikenali yang datang dari Melaka dan Perak. Wah, semangat mereka tetap utuh!

"Tidur mana malam ni?" "Mana-mana saja yang sempat." Memang hebat.

901…Kempen Bebaskan Anwar. Ramai yang berkempen, menukar gambar profil di Facebook danTwitter. Ramai berkempen untuk bersama-sama turun pada tarikh itu. 9 Januari 2012. Saya tidak bertindak merubah apa-apa kepada wajah Facebook atau Twitter saya.

Terus terang dalam hati ketika itu sering berkata-kata, "Kenapa mesti hingga begini?". Kenapa mesti beramai-ramai turun dan berkumpul menunggu keputusan Mahkamah. Perasaan itu terus hadir dalam diri saya yang menyekat saya dari ingin berkongsi kehangatan kempen 901. Kempen Bebaskan Anwar Ibrahim.

Dalam hati saya memikirkan masih ada banyak isu kezaliman yang perlu sokongan ramai untuk memungkinkan ianya berjaya dan menyelamatkan Malaysia. Saya, suami dan rakan-rakan juga ada yang menjadi mangsa apabila ditangkap, dipenjara, didakwa dan dibicarakan bertahun lamanya hanya kerana menghadiri perhimpunan aman membantah kezaliman. Kami juga perlukan sokongan.

Kami adalah antara aktivis dan rakyat yang memilih turun ke jalanraya untuk menyatakan kebencian kepada ketidakadilan dan kezaliman. Demonstrasi jalanan bukan sesuatu yang asing bagi kami.

Kebencian kepada kezaliman dalam Negara muncul dalam diri tepat pada tarikh 2 September 1998, 902. Pada tarikh tersebutlah saya sedar tentang kewujudan kezaliman dan ketidakadilan dalam pemerintahan Negara, ya sebaik Anwar Ibrahim dilucutkan dari jawatannya. Maka bermula saat itu perhimpunan di jalanan sungguh dekat hati.

Mula dari saat itu juga seolah kezaliman menjadi "middle name" kepada pemerintahan Barisan Nasional. Semuanya terserlah. Pelbagai institusi dalam kerajaan nampak jelas disalahgunakan oleh pihak berkuasa.

Kezaliman PDRM dalam kes "shoot to kill" yang menimpa, Puan Norizan Bt Salleh dan Allahyarham Adik Aminulrasyid sebagai contoh. Kematian dalam lokap yang menimpa tahanan seperti kes A.Kugan dan ramai lagi menunjukkan bahawa rakyat berada dalam situasi yang tidak selamat walau di tangan mereka yang seharusnya menjaga keselamatan dan keamanan.

Kewujudan SPRM Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang kononnya untuk mencegah rasuah, menangkap, bicara, siasat dan dakwa mereka yang memberi dan menerima rasuah akhirnya juga dilihat sebagai tempat rakyat bawahan yang menjadi mangsa. Paling teruk bila terjadinya kes kematian yang melibatkan mendiang Teoh Beng Hock dan Allahyarham Ahmad Sarbani.

Semua peristiwa ini memerlukan rakyat terus bangkit bersama menentang kezaliman dan bukan hanya memilih isu yang melibatkan diri sendiri sahaja atau individu yang tertentu. Semua memerlukan pembelaan yang sewajarnya dan sama rata. Mungkin itu sebab-sebab yang membuatkan jiwa saya tidak begitu kental untuk turut sama berkempen 901. Saya mahu lihat setiap pemimpin Pakatan Rakyat setiap ahli Pakatan Rakyat berlaku adil pada semua yang terlibat adil pada semua isu.

Sungguh rakyat bencikan kezaliman dan mahukan ianya dipadamkan segera, dan mereka yang bertanggungjawab dijatuhkan dengan seberapa segera. Peristiwa pemecatan Anwar Ibrahim pada tahun 1998 adalah pencetusnya. Keaiban yang ditimpakan ke atasnya satu demi satu sukar diterima di hati. Mengaibkan manusia ke tahap itu sukar diterima. Rakyat sudah hilang ketakutan kepada kekejaman pemerintah. Rakyat tetap turun membela nasib DSAI dan pejuang serta aktivis lain yang turut terlibat sama.

Saya, suami dan anak-anak turun ke jalan, bukan ikut-ikut namun muncul dari hati yang faham dan sedar. Turun berdemonstrasi dengan sepenuh perasaan apabila berpeluang mahupun jauh apatah lagi dekat. Hati mula terpegun dengan kebangkitan rakyat secara tiba-tiba, satu gelombang yang besar. Rakyat dari pelbagai lapisan jauh dan dekat berkumpul bagi menyatakan kebencian pada kezaliman. Rakyat miskin dan kaya dan saya terpegun dengan rakyat dari golongan bawahan dan jauh dari ceruk kampung yang turut sama bangkit dan berani. Bersusah payah bermusafir jauh datang ke kota raya untuk turut sama berhimpun.

Dalam kelesuan hati namun akhirnya hati ini tetap tersentuh untuk turut sama turun pada tarikh itu kerana saya lihat harapan pada wajah-wajah tua, anak-anak muda, ibu-ibu dan ramai lagi yang hadir di ceramah dan di Kompleks Mahkamah Jalan Duta. Harapan mereka mungkin masih utuh apatah lagi apabila melihat individu itu terus menerus dizalimi dan diaibkan. Sudah tentu kehadiran individu itu amat penting hingga menjadi punca ketakutan kepada pihak lawannya. Buat sekian kalinya kita mahu lihat fitnah dan aib yang dipalitkan ke atas dirinya dicuci sebersihnya melalui proses kehakiman yang adil. Biar ahli keluarganya dapat berasa tenang dan diangkat semua fitnah berat tersebut.

Tarikh 901 muncul, saya yang pada mulanya agak tidak sepenuh hati untuk bersama kempen itu akhirnya seperti diketuk hati saya apabila melihat begitu ramai rakyat yang masih turun memenuhi kawasan ceramah yang diadakan sebelum tarikh 901.

Maka yakinlah di hati saya bahawa masih ramai rakyat yang terus sedar tentang kezaliman pemerintah di bawah parti UMNO dan Barisan Nasional. Ini sudah tentu bukan hanya isu Anwar Ibrahim seorang. Ini soal rakyat. Rakyat nampak segala penipuan, dapat baca segala ketidakadilan di sebalik setiap tindakan. Terlalu banyak isu yang terus membuka mata rakyat, terlalu banyak peristiwa yang mendera jiwa rakyat terlalu banyak tindakan yang merampas wang rakyat secara terang-terangan dan bersembunyi di sebalik berbagai alasan.

Isu NFC, National Feedlot yang melibatkan wang RM250 juta jatuh ke tangan keluarga seorang Menteri sehingga menyebabkan mereka hidup dalam kemewahan, wang zakat yang disalahgunakan oleh Menteri Agamanya sendiri, mahasiswa yang lantang dan berani disekat kebebasan mereka dengan undang-undang lapuk AUKU. Mahasiswa yang dibelasah teruk hanya kerana mereka berani mempertahankan hak mereka, penerusan penggunaan akta Zalim ISA walau janji sudah dibuat untuk memansuhkannya, kenaikan harga barangan dan terlalu banyak lagi untuk dicatatkan di sini. Semua ini begitu mendera jiwa dan fizikal rakyat yang ramai sudah sediakala menderita. Siapa yang boleh diam dan menyerah lagi?

Maka pada malam masuknya tarikh 901 itu saya meyakini bahawa saya tidak boleh duduk berdiam diri. Langkah mesti diatur untuk turun bersama rakyat.

Pagi Isnin 9 Januari, saya bersama suami mencapai topi keledar dan kami berdua bersemangat meninggalkan halaman rumah dengan lambaian dari anak-anak yang memberikan semangat.

Memang benar sungguh ramai rakyat yang hadir dari seluruh pelusuk negara memenuhi perkarangan Mahkamah hingga melimpahi ke kawasan sekitarnya. Sungguh meriah dan pentingnya sungguh bersemangat menantikan pengumuman keputusan yang akan dibacakan. Tiada siapa dapat meneka apa keputusannya walau ramai yang menyangka Anwar Ibrahim pasti akan menerima habuan buruknya.

Namun ketentuan Allah mengatasi segalanya. Keadilan milik mereka yang dizalimi. Keputusan diumumkan dan semua bersorak kegirangan, bersyukur dan terharu. Rakaman di Youtube menunjukkan suasana keseluruhannya di mana seorang berbangsa Cina, Tian Chua, membuat pengumuman bebasnya Anwar Ibrahim, disambut dengan laungan kesyukuran oleh semua yang ada, dan airmata kegembiraan mengalir di pipi seorang lelaki berbangsa India. Semua bersyukur dan gembira meraikannya.

Sudah tentu ini bukanlah penamat bagi sebuah perjuangan kerana ianya bukan untuk Anwar Ibrahim (gambar kiri) seorang sebaliknya ianya adalah perjuangan untuk keadilan semua bangsa dan agama, ianya perjuangan membebaskan sebuah Negara dari cengkaman kezaliman, maka rakyat akan terus bangun dan mesej ini akan terus disampaikan kepada seluruh pelusuk Negara dan saya khususnya tidak mahu ketinggalan dalam usaha berterusan ini.

Kita harus sama bangun melawan segala bentuk penindasan dan kezaliman tanpa mengira siapa yang terkena kerana kita adalah rakyat Malaysia. Slogan kita adalah Selamatkan Malaysia.

Bak kata Nurul Izzah yang mana keluarga mereka dizalimi dan diaibkan sejak 13 tahun yang lalu di dalam ceramahnya pada tarikh 801 "Saya rela ayah berjuang demi rakyat. Tidak ada sesaat pun yang saya sesali, perjuangan ini perlu diteruskan untuk SELAMATKAN MALAYSIA."

LAWAN TETAP LAWAN.
LAWAN SAMPAI MENANG.

Sunday, 22 January 2012

"Kami mengaku bersalah menyertai Perhimpunan Haram"


"Apa update di atas. Akak baru sampai, akak ke cafe dulu." sms dilayang pada Aiman di Tingkat 3 Sesyen Jenayah 5.
" Belum lagi kak. Kak tolong belikan ana, bihun dengan air mineral ya." permintaan biasa dari Aiman.
"Ok! No problem at all."
Bihun yang dibungkus dalam plastik bagi memudahkan makan tanpa terlalu jelas kelihatan.
Begitulah seperti biasa perjalanan pengalaman kami di Mahkamah.
Kadangkala dan selalunya, akan masuklah pesanan-pesanan ringkas memberi maklum bahawa sahabat OKT akan lewat datang atau tidak dapat hadir.

"Tolong maklumkan pada peguam ya. Saya lewat datang kerana ada urusan."
"Ok, no problem."

Kadangkala dalam sebulan Tuan Hakim akan menetapkan selama 5 hari untuk perbicaraan dalam dua set tarikh. Kadangkala dalam sebulan lansung tiada. Pernah terjadi Tuan Hakim menetapkan 3 hari berturut-turut. Setiap kali kami datang dengan masa yang ditetapkan pada jam 9am, jam 11 pagi Hakim masuk dan kes ditangguhkan dan berlaku 3 hari berturut-turut.
"Kak macamana ni cuti saya lansung habis tak ada lagi, tak mampu lagi untuk saya ambil cuti tanpa gaji." keluh seorang adik yang sukar lagi untuk mendapatkan cuti.
"Tak apa usahakanlah datang sekejap saja, jam 11 pagi pun ok, lepas tu baliklah ke pejabat." nasihat saya padanya.
Kalau tidak hadir waran tangkap akan dikeluarkan.
Bila hadir waran tangkap akan dihapuskan dengan budibicara Tuan Hakim.
26 Januari 2008 45 orang kami ditangkap kerana berhimpun membantah kenaikan Harga Minyak dan barangan. 27hb januari 2008 kami didakwa oleh seorang Majistret yang baru dilantik secara tergesa-gesa sehari sebelumnya dan kami mengenalinya. Kami merengkuk di dalam penjara selama 3 hari 2 malam.
Sehingga ke hari ini kami masih dibicarakan di peringkat pendakwaan. Berapa tahun telah berlalu 4 tahun dan masih ada beberapa orang saksi yang perlu dipanggil lagi.
Tiada pernah keluar istilah "mengaku bersalah sajalah" senang dan cepat. Habis cerita dan wang juga tidak perlu banyak dihabiskan.
Bayar denda saja.
Ada siapa peduli, ada sesiapa rugi, atau ada yang untung?

Tuesday, 20 December 2011

Perginya YB Edward Lee ADUN Bukit Gasing.



Pagi ini seperti biasa membaca di twitter agak terkejut menerima berita kematian YB Edward Lee, ADUN Bukit Gasing. Saya tidak mengenali beliau dengan dekat. Cuma mula mengenali beliau keti siri siasatan SELCAT berlansung beberapa tahun lepas. Seorang yang kelihatan sangat 'fatherly' dan lemah lembut dalam berbicara. Ketika itu saya sudah mengetahui bahawa beliau mengidap kanser.

Boleh baca di sini sidang SELCAT dengan gambar beliau. http://ummuasiah2001.blogspot.com/2009/03/day-5balkis-kau-sungguh-istimewadah.html

Dari kata-kata pimpinan Pakatan Rakyat yang lain memang Mendiang adalah seorang yang komited dalam perjuangan dan aktivis rakyat yang komited.

Bila seorang yang baik pergi ianya meninggalkan kesan di hati. Kita perlukan pemimpin yang benar2 berjuang untuk rakyat.

Thursday, 3 November 2011

"Sesungguhnya Allah Maha Mendengar"

"Assalamu'alaikum Shita, apa khabar lama tak dengar berita. BTW ada kawan I hajat nak donate kat poor family kat area Melawati or Gombak. You know any if boleh biar susah betul or ibu tunggal ka OKU. Tkasih ya."
Pesanan ringkas diterima dari seorang kawan pada jam 3.00 petang Selasa.
"Ya Allah Kau Maha Mendengar. Engkau tahu apa yang sedang aku fikirkan , mencari jalan dan berusaha mencari jalan pertolongan." itulah kata hati saya sebaik menerima pesanan ringkas tersebut.
Dengan segera menghubungi kawan tersebut tapi gagal, lalu satu pesanan ringkas dikirimkan.
"Kebetulan! Ada seorang kawan ada anak istimewa. Tapi depa tak tinggal di Gombak atau Melawati. Memang sedang susah sangat. Baru bersembang dgn depa semalam. sedang plan nak cari kawan2 untuk donate. Boleh ke untuk family ni.........(P&C)"
"I dah bagi your hp no to my friend Puan N. Moga Allah terima amal kita ya." balas kawan lama saya sejak dari darjah 1.
"Ok, i tunggu dia call. Kalau ada rezeki my friend tu. Tak sabar nak tolong bagi berita gembira." balas saya pada dia.
"Hope we could help the needy if u ada charity program pls sms me bila tak kerja, financially tak mampu tapi maybe tolong cara lain InsyaAllah." balasnya lagi.
Begitulah ceritanya...sebaik mendapat tahu saudara saya ini dalam kesusahan yang amat sangat, fikiran saya ligat memikirkan cara membantunya. Saya sudah buat perancangan untuk menghantar emel kepada kawan-kawan rapat kami yang mengenali mereka bak saudara juga untuk sama-sama memasukkan wang seorang sedikit bagi meringankan beban mereka. Namun dek kerana sibuk di siang harinya saya lupa, sehinggalah menerima sms dari teman lama tersebut.
Syukur yang teramat dan saya sabar menanti panggilan dari Puan N, dan jauh di dalam diri tidak sabar menyampaikan berita gembira kepada saudara yang dalam kesusahan tersebut.
Akhirnya petang semalam panggilan diterima dan lewat petang wang tersebut sudah dimasukkan ke dalam akaun saudara kami yang dalam kesusahan. Cukuplah buat meringankan beban mereka.
"Sesungguhnya Allah Maha Mendengar"

Tuesday, 25 October 2011

Kita menangis hilang RM50, Mereka billion pun tak heran..

Ini kesah yang berlaku hampir dua bulan yang lepas.

"Ummi, Asiah nak beli buku, boleh bawa Asiah ke Pustaka Rakyat?" tanya Asiah seperti biasa suka sangat ke Pustaka Rakyat.

"Okay, petang ni lepas Ummi habis berniaga, balik ummi bawa ke sana." Jawab Ummi yang tidak kesah sangat selagi barang yang nak dibeli adalah buku.

Sebaik habis berniaga di UIAM sekitar jam 6.00 petang saya membawa anak-anak ke Pustaka Rakyat. Memandangkan masa yang sudah lewat dan suntuk dan saya belum menyediakan apa2 masakan untuk ahli keluarga yang berpuasa di bulan Syawal, saya meninggalkan Asiah dan kakaknya Asma' di depan pintu masuk Pustaka Rakyat dengan berbekalkan wang RM50 dan kad keahlian. Saya pula meneruskan perjalanan ke kedai Nasi Ayam Gemas yang berada selang beberapa buah kedai.

Selesai membeli nasi ayam saya bergegas ke Pustaka Rakyat untuk melihat anak-anak dan barangan yang dibeli. Mereka berdua masih asyik membelek baranagn di dalam kedai.

"Asma', belum bayar lagi ya, mana duit yang ummi bagi tu?" tanya saya kepada Asma' yang masih membelek alatulis.

"Asma' bagi pada Asiah." selamba Asma' menjawab sambil menuding ke arah Asiah yang masih leka melihat alatulis.

" Asiah mana duit yang ummi bagi tadi."

Tanpa berkata apa-apa dan masih asyik melihat barangan Asiah menghulur dari tangannya.

"Mana duitnya Asiah, ni ada kad saja." tanya saya dengan nada yang agak marah.

"Mana Asiah tahu, Asma' bagi ke tangan Asiah ni saja." jawab Asiah selamba.

Apa lagi mulalah episod bertanya itu dan ini dan episod bebelan ummi.

"Tahu tak penat Ummi berniaga hari ini, satu hari Ummi menunggu bukan senang nak dapat walau beberapa ringgit. Ni RM50 banyak tu. Ummi kena penat bekerja. Bila Ummi berniaga baru Ummi rasa, betapa susah dan penatnya nak dapat duit tau."

Memang sungguh terasa kekecewaan dan kepedihan kehilangan wang sebanyak itu, walau jauh di sudut hati saya mengutuk diri sendiri kerana membiarkan mereka memegang wang sebanyak itu.

Kami mula mencari di segenap sudut dan tempat yang dilalui tanpa berputus asa. Jurujual di kedai juga turut membantu dan memaklumkan bahawa dia ternampak duit tersebut di tangan Asiah yang dipegang bersama dengan barangan lain. Kami terus mencari walau dalam hati memang sudah tahu perkara sebegini memang sudah tahu akibatnya, pasti akan cepat saja hilangnya.

Akhirnya setelah hampir berputus asa walau hati begitu ada rasa ralat yang tidak terhingga saya teringat kata-kata Dr Muhaya di dalam satu slotnya di IKIM. "kita redha dan do'a dan niatkan sebagai sedekah kepada mereka yang mengambilnya."

Spontan saya mengangkat tangan dan menyebut dengan jelas. "Ya Allah jika itu bukan hak kami kami redha dan sedekahkan kepada sesiapa yang mengambilnya."

Dengan segera bergerak ke arah kaunter untuk membayar.

Tiba-tiba...."Akak, ni dia duit akak ni, terselit jatuh atas file-file ni..."

Syukur Ya Allah....

Betapa besarnya nilai wang RM50 itu...apatah lagi jika anda baru berjinak-jinak berniaga secara kecil-kecilan dan tahu adakalanya begitu sukar untuk mendapat rezeki walau kita berusaha dan berdo'a. Semuanya di tangan Allah...kita berusah dan terus berusaha dan terus berdo'a dan bertawakal...

Namun hari ini kita kecewa dengan sikap yang tidak kesah, tidak apa, buat tidak tahu kerajaan membelanjakan wang rakyat...gila-gila, juta-juta malah billion-billion banyaknya....

Menteri pun tak tahu...apa nak jadi...kita rakyat saja yang perlu berbelanja berhemah,,,

Baca di sini.