Tuesday 26 April 2011

“Kita tidak lagi menyorok balik tiang"

“Jangan terkejut bila kena saman... kita tidak seharusnya menyorok, kita akan keluar dan menguatkuasakan undang-undang,” katanya.

Nak tergelak pun ada bila baca kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Khalid Abu Bakar ni. Tetapi saya rasa bagi mereka yang telah berhabisan beribu-ribu ringgit untuk membayar saman pasti sakit hati membacanya. Begitu juga bagi mereka yang telah hingga terpaksa mengambil cuti beratur panjang dan menunggu lama bagi membayar dan menyemak saman pasti sakit hati mengenangnya.

Apa nak buat segalanya sudah berlalu. Saya mendengar pengakuan kawan yang mempunyai saman hingga RM 3,000, RM5,000 dan mereka telah membayarnya di saat-saat akhir tempoh pemberian diskaun. Ya Allah betapa banyaknya wang titik peluh susah payah yang terpaksa diperah untuk dilambakkan kepada PDRM dan kerajaan Barisan Nasional untuk terus menerus menzalimi rakyat.

Kami pula mempunyai 6 saman ekor yang berjumlah RM1,800 bagi kesalahan memandu melebihi had laju di lebuhraya. Ianya semuanya berlaku dari tempoh tahun 2005-2010. Betapa lamanya PDRM menyimpan saman tersebut dan ianya tidak pernah sampai ke tangan kami hingga kini. Apa yang sampai hanyalah PDRM sms alert.

Kami tidak menjelaskan saman tersebut kerana mengikut nasihat KASE yang mengatakan notis POL170A atau saman ekor itu adalah tidak sah dan seharusnya diabaikan. Namun sudah tentu kami terpaksa bersusah payah juga apabila gagal memperbaharui cukai jalan, namun ianya berbaloi apabila kerajaan menyerah kalah dan mengaku kesilapan mereka secara tidak lansung. Selamat wang kami...tapi apa jadi dengan wang jutaan ringgit mangsa saman ekor yang lainnya yang telah diperas ugut oleh oleh Kerajaan Barisan Nasional melalui Polis Di Raja Malaysia?

Bagi saya apa yang berlaku dalam soal saman ekor ini adalah satu sifat yang jelas bagaimana apabila kerajaan kekurangan modal dan wang maka cara yang paling mudah ialah dengan memeras ugut rakyat sendiri dengan kononnya memberikan diskaun untuk tempuh tertentu...ini contoh yang sangat jelas apatah lagi bila akhirnya mereka menarik balik tindakan senarai hitam tersebut walaupun alasan mereka kerana masih ada kes yang tertunggak di Mahkamah.

Saya berharap moga kita rakyat Malaysia akan terus bersatu hati dan tenaga mengumpul keberanian melawan segala tindakan kerajaan yang jelas dan nyata menzalimi kita.

Polis hapus sistem perangkap kelajuan, kata timbalan IGP

KUALA LUMPUR, 23 April – Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan menggunakan lagi sistem perangkap kelajuan, yang menjadi sebahagian daripada punca rungutan mengenai notis saman ekor selama ini.

Sebaliknya Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya akan bertindak telus dan akan memberi amaran kepada kepada para pemandu mengenai operasi mengesan kelajuan memandu terlebih dahulu.

Sistem perangkap kelajuan menggunakan kamera telah digunakan hampir dua dekad oleh PDRM.

“Kami tidak harus bersembunyi di sebalik belukar. Kami perlu tampil secara terbuka dan menguatkuasakan undang-undang (secara telus),” kata beliau kepada pemberita di Shah Alam hari ini.

Banyak pihak mempertikaikan notis saman yang dihantar ke alamat pemilik dengan ramai mendakwa bukan mereka yang mengendalikan kenderaan ketika dikesan.

Ada yang mewujudkan jawatankuasa atau pertubuhan bukan kerajaan membantah sistem itu, antara Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (Kase) yang mahu kerajaan menghapuskan sistem notis saman ekor.

Bagaimanapun kata beliau, jika dikenakan saman pemandu-pemandu terbabit mesti menjelaskan saman.

“Kita tidak lagi menyorok balik tiang, kita saman terus dan kalau sudah kena saman jangan lupa bayar,” katanya dipetik Bernama Online.

Monday 25 April 2011

Gombak-Kuala Kangsar-Ipoh-Manjong

Kuala Kangsar

Tiga hari kami berada di utara tanah air di Kuala Kangsar dan di Ipoh. Kuala Kangsar sudah menjadi seperti kampung ke dua kami, bahkan dari segi banyak kalinya kami perlu wajib berulang alik ke Kuala Kangsar membuatkan pekan Kuala Kangsar sudah menjadi no 1 di hati kami.
Dalam masa dua tahun boleh dikatakan setiap bulan kami perlu ke sana. Memang lebih dari balik kampung. Kadang kala cuti perlu diambil selama 5 hari berturut-turut paling kurang dua hari berturut. Dua tahun lamanya.

Jumaat 22hb April 2011 ialah tarikh kepastian samada permusafiran kami ke Kuala Kangsar secara wajib akan ternoktah di situ atau tidak. Jawapan yang kami dapati kami masih perlu lagi berulang alik ke sana.


Kedai makan tempat kami sering berhenti makan sebelum kes bermula dan ketika perbicaraan berhenti rehat dan tempat kami duduk berbincang-bincang.


Pada kakak warung makan di Kelab sebelah Mahkamah Kuala Kangsar kami sudahpun menyatakan kemungkinan tarikh itu adalah tarikh terakhir kami di sana. Kakak warung berpesan "eh janganlah macam tu, walau dah tak perlu datang, singgahlah juga di sini bila-bila nak pulang ke kampung tu."

Aktiviti kami setiap kali kes ditangguhkan ialah mencari lokasi laksa sedap dan power di sekitar Kuala Kangsar. Ianya mengubat duka di hati.

Akhirnya dari keputusan yang dibaca oleh Hakim pada pagi itu untuk kes "Ops Bubar DUN Perak", maka dengan rasminya kami masih terus harus berulang alik ke Kuala Kangsar untuk bela diri bagi pertuduhan pilihan kerana berada di 'Perhimpunan Haram." Untuk pertuduhan pertama di bawah Akta Polis s 27 di atas dakwaan gagal bersurai semua 13 orang yang dituduh telah dibebaskan. Menurut peguam kami pertuduhan ini adalah lebih berat dan ianya adalah kejayaan bagi pihak pembelaan dan OKT.
IPOH

Balik dari Kuala Kangsar kami singgah di Ipoh. Anak-anak dan suami berehat di sebuah hotel di Bandaraya Ipoh. Saya mencuba nasib berkampung di Minggu Saham Amanah Malaysia yang berlansung di Kompleks Sukan Ipoh. Bertugas di sana bersama ratusan agen-agen Takaful dan saham yang lainnya. Kali pertama mencuba nasib. Rupanya ianya bukanlah sesuatu yang mudah, mencabar tenaga saya yang sudah biasa menghabiskan banyak masa di rumah ataupun di Mahkamah.

Masuk hari kedua dengan keadaan 'mentally' tak berapa stable dan apa yang saya lalui tidak seperti apa yang digambarkan saya memilih untuk tidak meneruskan misi usaha saya itu. Namun banyak pengajaran sudah tentu dapat dikutip sepanjang masa di sana. Persahabatan, amanah dalam berurusan perniagaan, amanah dalam cara membuat pemasaran dan macam-macam lagi.

Nasib dan rezeki kita tidak sama, semuanya ditentukan Allah, namun apa yang penting ialah usaha dan KERJA SAMA tanpa ada rasa dengki dan tamak.
Saya pulang ke pangkuan keluarga....saya rasa lega, tenang dan gembira kerana hasrat awal saya yang telah saya membuat persediaan meninggalkan keluarga selama 6 hari.....rupanya sebagai seorang suri rumah selama berbelas tahun saya masih belum bersedia ke arah itu.

Teluk Rubiah.

Akhirnya saya dapat lakukan apa yang kami suami isteri gembira melakukannya. Kami mendapat maklumat akan adanya satu ceramah besar di Lumut berdekatan Teluk Rubiah pada hari Sabtu malam Ahad. Tanpa mengetahui sebenarnya di mana tempatnya kami berdua meredah gelap malam dari Ipoh menuju ke Manjung meninggalkan anak-anak di bilik Hotel.
Perjalanan malam yang seolah menyuntik kembali semangat 'susah senang bersama'....

Senang hati apabila kami akhirnya tiba ke destinasi. Berduyun-duyun rakyat setempat hadir. Kalau hendak diikutkan isu-isu yang hendak disampaikan kemungkinan kami telah dan boleh membacanya di internet, namun kelainannya ialah rasa bersama dengan rakyat setempat yang biasa-biasa. Suka melihat suasana kebangkitan itu.

Berduyun mereka datang mahu mendengar apa yang disampaikan sendiri oleh mulut pimpinan Pakatan Rakyat dan pada malam tersebut Dato' Seri Anwar Ibrahim sendiri yang turut hadir berceramah.


Rakyat memang tidak pernah jemu mendengar dan mengumpul maklumat kerana rakyat sudah muak dengan apa yang ditonjolkan oleh akhbar dan media perdana yang seolah menganggap semua rakyat ini bodoh belaka dan tidak berdaya menggunakan akal bagi menilai setiap berita yang disiarkan.

"Nak turunkan harga minyak? senang saja berbanding segala ujian yang telah saya lalui, kena londeh, kena pukul kena penjara dan lain-lain" kata-kata DS Anwar Ibrahim di dalam ceramahnya di Lumut.

Pertemuan dengan teman-teman seperjuangan yang hanya dikenali melalui Facebook dan blog juga menyuntik semangat dan rasa tidak rugi untuk kami bermusafir jauh semata-mata untuk ke tapak ceramah tersebut.

Hampir jam 11 malam walau ceramah belum tamat kami buat keputusan untuk pulang sebelum itu berjumpa sahabat OKT Kuala Kangsar juga yang menjalankan perniagaan kentang pusing di tapak ceramah. Syukur melihat kesungguhan mereka.

Kami pulang menyusuri jalan dari Manjung menuju ke Ipoh melalui Kelly's Castle yang tersergam indah dan bercahaya dilatari bulan purnama yang diliputi awan. Walau lewat malam hampir jam 1 pagi masih kedengaran suara-suara riang dari kedai yang bertapak di depan Castle tersebut.

Kami tiba semula di Hotel hampir jam 1.30 pagi dan terlihat kelibat AC Mizal dan isterinya bersama beberapa orang lelaki lain di cafe Hotel tersebut. Gembira sungguh kelihatan mereka. Keesokan harinya baru saya baca kisah sebenar apa yang telah mengambil tempat di hotel tersebut.

Semuanya demi sebuah perjuangan....yang membezakannya adalah niat dan jalan perjuangan samada benar-benar mahu menghapuskan kezaliman yang bertapak di bumi atau sebaliknya....

Thursday 7 April 2011

Kematian Pegawai Kastam Ahmad Sarbani. Moga Allah tunjukkan kebenaran.

Pasti majoriti rakyat Malaysia sedia maklum akan kematian seorang Pegawai Kastam Ahmad Sarbini yang jatuh dari tingkat 3 Bangunan SPRM Kuala Lumpur. Allahyarham adalah di antara beberapa orang pegawai Kastam yang telah ditahan SPRM untuk disoalsiasat. allahyarham telah memberikan keterangan beberapa hari lepas dan dilepaskan dengan ikat jamin. Allahyarham kemudiannya dengan secara sukarela pergi semula ke pejabat SPRM di Jalan Cohcrane untuk mengubah kenyataannya. Beliau ke sana dengan menunggang motosikal pada jam 8 pagi. Kemudiannya pada jam 9.30 pagi beliau telah dijumpai mati jatuh dari tingkat 3 bangunan SPRM.

Kematiannya mengejutkan ramai rakyat Malaysia yang prihatin. 2 tahun lepas Kita dikejutkan dengan kejadian Mendiang Teoh Beng Hock yang juga ditemui mati dengan keadaan yang serup jatuh dari bangunan SPRM di Shah Alam ketika beliau disoal siasat. Ramai rakyat marah dan mengutuk kejadian ini. Ketika itu kita mengharapkan itu adalah kejadian terakhir yang dapat kita lihat dan dengar. kita berdo'a moga tiada lagi kejadian malang yang ke 3 dan seterusnya.

Sungguh malang apabila siasatan atas kematian Beng Hock sedang berjalan dengan Suruhanjaya Siasatan Di Raja, malah hingga ke tarikh dan ketikanya semalam itu Suruhanjaya siasatan sedang dijalankan peristiwa malang itu berlaku!

Bertambah sedih dan pilu bila mendengar bahawa Allahyarham seorang yang baik, warak, jujur dan disenangi semua. Beliau berumur 56 tahun menunggu hari- hari pencennya mungkin.

Setiap jiwa pasti merasakan mati dengan pelbagai cara yang harus diterima dan diredhai. Namun kematian Allahyarham patut dibela dan didesak siasatan ke atas kejadian tersebut.

Pagi tadi jam 11 pagi satu sidang media telah diadakan di Kuala Lumpur Selangor Chinese Assembly Hall oleh SUARAM dan beberapa NGO yang prihatin dan mendesak agar siasatan segera dijalankan.

Rakyat harus bangun dan sedar akan hak kita. Syukur ahli keluarga yang sempat ditemui khususnya sepupu rapat Allahyarham kesal akan apa yang berlaku dan berani mendesak mereka yang bertanggungjawab mendedahkan apa sebenarnya yang telah berlaku dan menuntut keadilan ke atas kematian Allahyarham.

Buat masa ini saya berada di Surau Kompleks Kediaman Kastam. Menanti ketibaan jenazah. Kami juga sempat menziarahi ahli keluarganya yang menceritakan latar belakang Allahyarham yang penuh dengan kebaikan dengan keadaan menahan kesedihan.

Solat zohor di Surau ini dan disusuli dengan Solat Hajat berjemaah dengan sujud terakhir yang panjang. Do'a yang digalakkan dibaca ialah " Moga Allah tunjukkan kebenaran".

Sunday 3 April 2011

Tolong selamatkan rakyat!!! OKU Mengancam Keselamatan Negara???

ZALIMKAN TINDAKAN INI....kalau mahu soal siasat mengapa mesti seksa dan telanjangkan mangsa!!!!

Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), nescaya Neraka akan menyambarmu kepadanya, sedang kamu tidak ada sebarang Penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan.
surah Hud:113

Terjemahan ayat ini telah dibaca oleh YB Meru PAS Dr Rani, di dalam Sidang Dewan Undangan Negeri Selangor pada 1 April 2011 ketika membahaskan usul Mansuhkan ISA yang dibawa oleh YB Hulu Kelang Hj Saari Sungib.

Beliau ingin menjelaskan terutamanya bagi umat Islam yang masih lagi mahu menyokong satu akta yang sudah jelas zalim dan haram di sisi Islam, kerana penahanan tanpa dibicarakan.


YB Hulu Kelang pernah dua kali ditahan ISA, pada tahun 1998 dan 2001. Kedua-dua tahun tersebut menyaksikan kebangkitan rakyat menentang kezaliman parti yang memerintah UMNO dan Barisan Nasional berada di tahap yang tinggi.


Undang-undang zalim ISA digunakan kononnya atas dasar Keselamatan Negara. Bila seseorang ditangkap dan ditahan di bawah seksyen 73(1) ISA, maka ia telah dituduh sebagai mengancam keselamatan negara. Namun sudah jelas bahawa ianya digunakan apabila kerajaan berasa kedudukannya terancam dengan kebangkitan rakyat.



ISA digunakan untuk menakutkan rakyat dengan 'nature' penggunaannya yang zalim. Dipisahkan dari keluarga, tiada hak untuk dibicarakan di Mahkamah, disiksa dan dizalimi oleh pegawai penyiasat yang terdiri dari Polis Cawangan Khas, ditahan bertahun-tahun lamanya tanpa tahu bila akan dibebaskan dan banyak lagi kezaliman yang lain untuk diceritakan.



Di dalam Sidang DUN Selangor YB Saari Sungib dan YB Manoharan telah menceritakan pengalaman masing-masing yang menyiksakan ketika ditahan ISA. Kebanyakan tahanan ISA akan dibogelkan oleh SB durjana apabila mereka ditahan. Lakaran di atas adalah lakaran sebenar oleh bekas tahanan ISA ketika mereka ditahan dan disoal siasat di pusat tahanan reman. Mereka akan ditahan dan disoal siasat selama 60 hari sebelum disambung tahanan selama 6 tahun sekiranya Menteri Dalam Negeri mengesahakan mereka memang mengancam keselamatan negara!


Kerajaan Barisan Nasional masih mahu mengekalkan akta ini kerana akta ini telah terbukti berjaya menakutkan rakyat dan berjaya membantu mengekalkan pemerintahan mereka.


YB Permatang BN dalam sidang DUN Selangor berkata "Saya simpati dengan apa yang dilalui oleh YB Saari dan saya juga tidak mahu melaluinya (ditangkap ISA)". Namun sungguh ironi kerana mereka membangakan dan terus membahas hujah2 untuk terus mengekalkan ISA dengan penambahbaikan dalam akta tersebut.


Gerakan Mansuhkan ISA yang ditubuhkan 10 tahun yang lalu bersama rakyat telah dengan keras dan komited memperjuangkan agar akta ini dimansuhkan. Namun hingga kini kerajaan masih mahu mengekalkannya dan sentiasa akan ada tangkapan ISA.


Tidak ada rakyat yang selamat, ISA tidak mengenal siapa, aktivis Masyarakat, ahli politik malah rakyat biasa, tua atau muda, wanita mahupun pelajar semuanya kena.


Terkini pada 1 hb April 2011 seorang OKU yang kudung tangannya, Kadir Hashim berumur 42 tahun dari Kampong Kerinchi telah menjadi mangsa. Beliau hanyalah seorang peniaga sebuah restoran Tom Yam namun beliau ditangkap atas alasan membahayakan keselamatan negara dengan aktiviti SUBVERSIF!.


Sungguh sehinggalah akta ini dimansuhkan, saya dan anda juga tidak akan terlepas dari akta yang zalim ini...maka sama-samalah kita perjuangkan agar akta ini dimansuhkan.


Mansuhkan ISA, Bebaskan Semua Tahanan ISA.


Selamatkan Malaysia. MANSUHKAN ISA!!!