Sunday 29 May 2011

Diari Orang Kena Tangkap: Tribut buat Peguam Rakyat, Wang bukan kriteria.

Setelah 2 tahun 4 bulan berlalu, baru kami semua mendengar cerita di sebalik apa yang berlaku kepada salah seorang peguam yang membela nasib 13 orang yang ditangkap pada tarikh 6hb Februari 2009. Tarikh yang menyaksikan rakyat Perak bangun dengan beraninya membantah perlantikan DS Zambri sebagai Menteri Besar Perak secara tidak sah, mengambil tempat DS Nizar Jamaluddin.

Satu suasana yang belum pernah berlaku sebelum ini, mungkin juga ianya mengambil semangat jihad rakyat Palestine ketika itu. Ada yang hingga berbaring di atas jalan dalam cubaan cuba menghalang pergerakan kenderaan menuju ke Istana Iskandariah bagi majlis angkat sumpah DS Zambri sebagai Menteri Besar Perak menggantikan DS Nizar Jamaluddin dengan cara rampasan kuasa kerajaan Negeri Perak Pakatan Rakyat.

Pada hari itu 9 orang telah ditangkap secara rambang dan hingga tempoh 2 minggu selepas itu 4 orang yang lainnya ditangkap menjadi semuanya 13 orang.

Hingga kini kesemua 13 orang mereka dibela oleh beberapa orang peguam yang handal dan komited. Mereka terdiri daripada Tuan Haji Aminuddin, Augustine Anthony, Zamberi, Yusnita dan juga terkini, Bah Tony.

2 tahun lebih mereka berkorban masa, tenaga dan wang ringgit untuk membela mereka yang didakwa hingga ke tarikh keputusan dibuat kesemua yang dituduh diperlukan untuk sambung bicara dan membela diri.

Selepas tarikh itulah di dalam satu perjumpaan bagi persediaan untuk proses membela diri, Augustine Anthony menceritakan kepada kami semua yang terlibat apa yang telah dilaluinya selama melalui proses perbicaraan. Oleh kerana beliau tidak mahu lagi kami semua berterusan berterima kasih kepadanya kerana memberikan khidmat 'pro bono' tanpa bayaran.

"Dalam tugas seorang peguam kami akan bangun membela nasib rakyat apabila ianya diperlukan. Wang sudah tidak lagi menjadi satu kriteria yang penting." itu permulaan ketegasan beliau dalam profesion seorang peguam.

Pada hari kejadian rupanya beliau dalam keadaan yang sakit kuat dan sedang menerima rawatan di sebuah hospital bagi menentukan apa sakitnya. Beliau menerima panggilan yang memerlukan beliau hadir memberi bantuan kepada mereka yang ditangkap pada petang 6hb Februari 2009 itu.

Oleh kerana kesihatan yang tidak mengizinkannya memandu, dia telah dibawa terus ke Balai Polis Kuala Kangsar. Bermula tarikh itu hingga kini beliau tetap terus membela dan tidak pernah menguzurkan diri di setiap tarikh perbicaraan.

Pengalaman ditangkap sebanyak 3 kali dan pengalaman bersama perhimpunan aman yang berakhir dengan tangkapan membuatkan saya mengenali ramai peguam. Ramai peguam memang ramai setiap kali ada tangkapan. Ramai yang akan hadir pada hari mereka ditangkap...namun tidak ramai yang akan terus menerus bersama sepanjang jalan bertahun lamanya perbicaraan diadakan...

Tribut kami untuk semua peguam rakyat...yang berjuang dan terus berjuang mengikut semangat dan etika yang ada.....demi rakyat yang dizalimi bagi menuntut keadilan....

30hb Mei-2 jun adalah tarikh yang telah diberikan oleh Mahkamah untuk sebutan kes dan bela diri. Kami akan ke Kuala Kangsar mulai esok dan segalanya akan bermula di sana untuk satu episod perjuangan yang baru....BELA DIRI.

Friday 27 May 2011

Diari Orang Kena Tangkap : "Ku temui nikmat persaudaraan dan kasih sayang"

kena

Seronok hari ini, akhirnya dapat tunaikan hajat untuk lepak-lepak di Gerai MAIS di hadapan Masjid Jamek Kajang. Gerai Sham dan Fendi. Ada 5 gerai semuanya sebaris di situ dan beberapa gerai di bawah khemah di kawasan lapang yang menjual pelbagai jenis makanan dan minuman.

Kenyang dan kembung perut dibuatnya kami hari ini dengan makanan dan minuman. Sekali sekala bersembang dan berbual dengan beberapa orang pelanggan yang singgah dan tuan punya gerai yang lainnya.

Senang hati duduk-duduk di situ mengisi sedikit masa lapang berbual mesra. Sejuk hati dengan semangat tolong menolong dan setiakawan yang wujud dalam diri pemilik gerai-gerai bersebelahan gerai Sham dan Fendi.

Ketika saya dan dua orang anak perempuan tiba, Sham dan Fendi baru membuka gerai mereka yang kini menjual pakaian, tudung, telekung dan pelbagai produk kegunaan Muslim khususnya. Satu ketika dahulu Sham turut sama menjual minuman dan ABC istimewa. Sungguh laris hingga tidak menang tangan.

Saad, pemilik gerai yang menjual buku-buku agama membantu Sham dan Fendi menyusun barangan di kedai. Beliau juga membantu membawa makanan dan minuman yang kami tempah di gerai adik yang menjual laksa di hujung sekali.

Kami menumpang makan dan duduk santai di meja yang diletakkan di ruang hadapan kedai adik yang membuka kedai jahitan bersebelahan kedai Sham. Beliau baru membuka perniagaannya maka masih banyak masa terluang. Dia juga turut sama duduk-duduk santai bersembang sambil makan dan minum.

Sambil makan muncul pula seorang lelaki berkopiah dan berkain pelikat.

"Kak N, ni peguam ni Hj Othman." Sham mengenalkan saya pada lelaki tersebut.

"Eh, saya kenal dan pernah jumpa ni dalam kes mana tah ya." ya rasanya saya pernah berurusan dengan Tuan Haji Othman.

"Hj Othman, suami kakak ni lah yang kena tangkap untuk kes di Perak tu." jelas Sham lagi.

"Ya, dah sampai ke peringkat bela diri dah ni Tuan Haji." jelas saya pula.

"Ya ka, nak denda lah tu, tak apa ujian dalam perjuangan tu." Tuan Haji Othman memberikan semangat kepada saya.

Alhamdulillah, InsyaAllah akan lebih bersemangat menempuh ujian.

Sambil-sambil bersembang sempat juga saya membalas emel kepada AJK GMI dengan sedikit nada emotional...entah mengapa....

"hujung minggu ni hingga minggu depan kami sedikit stress dengan aktiviti anak-anak dan kes Kuala Kangsar yang tak glamour dan tak ada yang peduli itu akan mula bicara semula Isnin hingga Khamis." ish...sungguh beremosi entah kenapa..

.

Dapat balasan dari Pengerusi GMI:

"Nashita, amat simpati dengan stress yang dihadapi. Cubalah kongsi tarikh kes dan intipati kes. Kita war-warkan kepada kawan-kawan. Sabar dalam ujian. Sabar dalam tindakan. Sesungguhnya Allah bersama-sama orang-orang yang sabar."

Sungguh terasa saya tidak sabar dalam tindakan...ya...saya akan belajar untuk lebih bersabar di dalam setiap tindakan, ucapan, dan penulisan...Moga Allah terus beri kekuatan.

Namun di Kedai Sham dan Fendi saya temui nikmat persahabatan, persaudaraan, setiakawan dan nikmat kasih sayang....

Moga Allah berikan pertolongan kepada hamba-hambaNya yang bersabar dan berusaha.

Thursday 26 May 2011

Diari Aku Orang Kena Tangkap: "mana nak cari wang ikat jamin ni??"


"Ok semua orang dah ada wang ikat jamin dan penjamin?" suara peguam Latheefa Koya memecah suasana di dalam kamar Mahkamah Sesyen Jenayah 5 pada petang 28hb Januari 2008.

Tiba-tiba hati ini jadi sedih dan sayu. Aku memandang sekeliling mencari wajah suamiku dan anak-anak yang terpisah selama 3 hari dua malam ketika aku disumbatkan di dalam penjara Pudu bersama 44 orang yang lain.

PROTES kenaikan harga minyak dan barangan. Hati memang panas dan marah dengan kenaikan harga minyak, tol dan barangan ketika itu. Beberapa siri PROTES dengan cara mengadakan perhimpunan aman dijalankan di sekitar KLCC. Boleh dikatakan sering dijalankan. Malang atau bertuah aku tidak tahu tetapi pada tarikh 26hb Januari 2008 aku tertangkap ketika berjalan keseorangan kerana 4 orang teman wanita yang lain telah terlebih dahulu dibawa oleh polis menaiki trak polis yang telah sedia menanti.

Pada tarikh tersebut 26hb Januari 2008 satu perhimpunan aman telah dirancang diadakan di hadapan KLCC, namun sebelum perhimpunan bermula ada diantara peserta telah ditangkap termasuklah diri ini bersama beberapa orang yang lainnya.

Akhirnya aku sama menjadi mangsa.....Kami ditangkap dan disumbatkan ke dalam Penjara Pudu yang bersejarah itu.

Kisah 3 hari dua malam ketika kami dipenjarakan pernah kunukilkan dengan teliti ketika ianya masih panas dalam ingatan.

Ya...di mana harus kucari wang jaminan tersebut. Dalam hati berkata "bukankah pihak penganjur yang sepatutnya menyediakan wang jaminan tersebut."

Kata-kata Peguam Latheefa Koya benar-benar membuatkan perasaanku jadi sedih tak menentu, apatah lagi wajah suamiku masih tidak kelihatan di dalam kamar Mahkamah tersebut.

Setiap kali ku alihkan wajah untuk memandang ke belakang di ruang galeri awam mencari wajah suami dan anak-anak, ada saja penyokong yang melambaikan tangan memberikan semangat dan sokongan. Ramai sekali mereka penyokong di dalam galeri Mahkamah hingga padat, sendat dan ada yang berdiri.

Akhirnya dapat juga aku menghubungi suamiku yang sebenarnya sedang dalam perjalanan setelah mengeluarkan sejumlah wang untuk jaminan. Lega rasa hati ini, dan tidak lama kemudian suamiku muncul di galeri mahkamah bersama anak yang sulong yang tersenyum melihat umminya.

"Semua dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM1000 seorang dengan seorang penjamin." akhirnya keputusan dibuat oleh Tuan Hakim. Kami semua didakwa dan perlu dibicarakan di mahkamah.

Akhirnya wang ikat jamin untuk kesemua 45 orang yang ditangkap berjaya dikumpulkan melalui sumbangan dari NGO, Parti Politik Barisan Alternatif (ketika itu) dan sejumlah besar disumbangkan oleh Tan Sri Khalid Ibrahim. Syukur kerana nasib kami yang tertangkap terbela ketika itu.

Hingga kini sudah lebih 3 tahun berlalu kami masih turun naik Mahkamah dengan sungguh banyak kenangan yang ditambah di dalam DIARI seorang OKT: PROTES.

Wednesday 25 May 2011

Susahnya....Bukan kami tidak usaha...




"Sham, berapa dapat hasil jualan hari ni Sham?"
soalan saya kepada Sham setiap kali menelefon bertanya khabar.

"Ada la sikit Kak N, RM17, semalam lansung tak ada. Kira okay lah ni." jawab Sham sambil gelak-gelak saja.

"Sham, berapa hasil jualan hari ni pulak Sham?" panggilan terakhir saya semalam kepada Sham.

"RM 7 Kak N." jawab Sham dengan sedikit nada rendah.

"Sikitnya tu, teruknya." balas saya pada Sham.

"Apa nak buat, kedai kami terlindungla." jelas Sham lagi dan saya faham kerana telah pergi meninjau keadaan kedai tersebut semenjak mereka terpaksa tutup kedai dengan agak lamanya bila kedua orang anak mereka berada di wad.

Terlindung fizikal. Namun Sham terus membuka kedai mereka.

.

Satu ketika dulu ketika banyak masa luang kami sering ke sana, santai-santai minum dan berborak-borak. Sham buatkan ABC Nyonya best! dan Air Barli Lemon yang menyegarkan tekak.

Sham juga tidak menang tangan melayan pelanggan yang memesan minuman dari gerai mereka. Kami tetap duduk di situ menghabiskan masa luang. Anak-anak gembira membantu.

"Sham, jomla kita buat sesuatu, promosi jualan apa-apa ke, jemput kawan-kawan datang ramai-ramai ke." ligat juga fikiran saya memikirkan idea yang dapat membantu memberi nafas kepada gerai mereka.

"Idea yang bagus tu Kak N, boleh ajak kedai buku join sekali, tapi barang Sham tak banyak dan modal tak ada."

Maka idea kami hanya tinggal idea sahaja...memang sukar hidup ini..jangan kata tidak ada usaha...namun berusaha dan pada masa yang sama harus bersaing dengan orang yang tamak dan tidak berperikemanusiaan dan zalim maka dugaan hidup akan terus bertambah besar dan sukar.

Kisah 2

"Bulan ni memang teruk sikit banyak dugaan, banyak bil melambung, kena bayar itu dan ini." cerita seorang isteri bekas tahanan ISA kepada saya.

Saya terus mendengar luahan hatinya.

"Kerja suami pun tak menentu, kadang-kadang ada gaji, kadang-kadang tak ada. Sekarang anak yang sulong nak masuk U, banyak belanja. I dah ada saving sikit cukupla buat bekalan beli barang2 penting." saya menjadi pendengar setia setakat itu saja yang saya mampu lakukan.

"Ok, tak apa you jangan risau. I akan cuba usahakan mohon sumbangan dari sahabat kita yang selalu bantu kita dulu. InsyaAllah mesti dia masih ingat lagi.." janji saya pada dia.

Sedikit senyuman terukir di wajahnya.

Dalam hati.."tanggungjawab besar ni kerana aku telah beri harapan padanya."

Pulang ke rumah saya mengutus satu emel kepada sahabat setia kami yang sering memberikan sumbangan.

Selang beberapa hari, saya menerima pesanan ringkas ini:

"tadi i check di bank, ada sejumlah wang dalam akaun, memudahkan urusan I untuk anak seperti medical check-up, reformat lap top dan membeli beberapa pasang pakaian. Alhamdulillah, moga Allah tambah rezeki si dia yang pemurah tu dan disediakan satu tempat di Syurga untuknya."

Amin.......walau ada orang yang kedekut, zalim, tamak dan gila kuasa masih ada hamba yang tidak putus-putus mengumpul 'harta' yang boleh dibawa hingga bertemu Allah...

Kisah 3..kisah benar juga...

20,000 penjawat awam miskin
Oleh Haika Khazi

2011/05/23

PUTRAJAYA: Hampir 50 peratus atau kira-kira 20,000 daripada lebih 40,000 penjawat awam terutama mereka yang bekerja sebagai kakitangan sokongan di jabatan kerajaan di sini menghadapi masalah kemiskinan bandar kerana mempunyai pendapatan kurang dari RM1,500 sebulan.

Pendedahan itu dibuat Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Tengku Adnan berkata, keadaan ini menyebabkan ramai di kalangan kakitangan sokongan kerajaan terbabit terpaksa melakukan pelbagai kerja sambilan termasuk memandu teksi, menjadi pengawal keselamatan dan berniaga kecil-kecilan bagi menampung kos sara hidup keluarga masing-masing. .

Kisah 4...

Paling sedih apabila Kerajaan akan mempertimbangkan untuk penggunaan semula wang siling 1 sen bagi mengurangkan bebanan rakyat akibat dari kenaikan harga barangan.....

susahnya kita walau usaha berlipat kali ganda banyaknya....

Tuesday 24 May 2011

Tanah Runtuh: Gambar-gambar dan laporan dari lawatan MB Selangor.


Petang semalam kami berpeluang berada di lokasi kejadian tanah runtuh yang menimpa Rumah Anak-anak Yatim Madrasah Al-Takwa Hulu Langat.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim dan barisan EXCO kerajaan Negeri turut hadir bagi melawat dan mendengar taklimat. Ahli EXCO yang turut serta terdiri dari YB Yaakob Sapari, YB Rodziah Ismail, YB Dr Xavier Jayakumar, YB Elizabeth Wong, SUK, Datuk Mohammed Khusrin Munawi dan Ahli Parlimen Hulu Langat YB Che Rosli Che Mat.
Menteri Besar Selangor telah memendekkan lawatannya ke luar negara dan terus pulang ke tanah air sebaik menerima berita kejadian.

Turut hadir pada petang itu ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Struktur bangunan yang terletak di tebing bukit dan di pinggir jalan. Dari penerangan Pengarah Kanan Kejuruteraan Cerun Jabatan Kerja Raya (JKR) Datuk Ir Ashaari Mohamad kecerunan tebing bukit di belakang Madrasah tersebut ialah hampir menegak antara 75-80 darjah dan jarak antara kemah yg terletak di belakang madrasah sangat hampir dengan tebing bukit. Memang membuatkan hampir mustahil mangsa dapat melarikan diri apabila kejadian berlaku.


Ini adalah pemandangan di kawasan lapang di hadapan madrasah di seberang jalan.


Anggaran pihak JKR timbunan tanah yang jatuh menimpa lokasi kejadian ialah sebanyak muatan 600 buah lori dan mencapai ketinggian 4 meter!. Sungguh hebat dan tragis sekali kejadian ini.

Sebaik tiba di lokasi kejadian YAB Menteri Besar dan DS Anwar Ibrahim telah terlebih dahulu berjumpa dan bermesra dengan penghuni madrasah yang terdirii dari anak-anak yatim.

Setiap kejadian pasti ada hikmahnya dan sudah ada yang terpaksa menjadi mangsanya. Selepas peristiwa ini Kerajaan Negeri telah berjanji untuk memberikan peruntukan bagi bantuan kepada kerja kebajikan dan pusat kebajikan.


Kerajaan negeri juga akan mengenal pasti dan memastikan lokasi yang akan diberikan kepada pemohon adalah selamat dan prosedurnya tidak menyalahi undang-undang.

"Kerajaan negeri telah memutuskan untuk memberi tapak tanah milik kerajaan negeri dengan bayaran sangat rendah iaitu tidak lebih satu ringgit untuk usaha kebajikan," kata beliau selepas mendengar taklimat dan melawat tempat kejadian tanah runtuh di Madrasah Al-Taqwa, Hulu Langat, petang semalam. (harakahdaily)

Beliau berkata, pentadbiran sesuatu institusi kebajikan yang dibina juga akan dipantau bagi mengelakkan sebarang kejadian buruk berlaku.


Hadirin diberi taklimat tentang lokasi kejadian berdasarkan imej satelite sejak beberapa tahun lepas yang telah menunjukkan situasi berbahaya apabila ada aliran air akibat dari hujan lebat dan penebangan pokok di sekitarnya.


Pihak Polis juga memberikan penerangan tentang kerja-kerja menyelamat di kawasan tersebut pada hari kejadian.


Mangsa dan waris mereka.


Mereka-mereka yang menjadi mangsa yang kehilangan sahabat dan saudara.


Menurut saudara ini beliau kehilangan dua orang anak dan katanya semua mereka di sini adalah anaknya dekat di hatinya....


Mengambil peluang meninjau gambar-gambar di hari kejadian.

Sunday 8 May 2011

Mahal sungguh!! RnR PLUS Tapah.

Seperti biasa bila menggunakan PLUS highway untuk perjalanan yang jauh sudah tentu akan berhenti di RnR di sepanjang lebuhraya. Hari ini awal pagi kami sudah keluar memulakan perjalanan dari Gombak ke Kuala Kangsar. Untuk sarapan kami susur keluar ke RnR Tapah.

Ambil nasi goreng, minta ditambahkan dengan sambal ikan bilis dan ayam goreng.

" Nak bayar ni dik, berapa harga ni?" tanya saya kepada adik penjaga kedai.

" RM6.80" jawab adik yang menjaga kedai.

Terkejut saya mendengarnya, walau memang sering makan di kedai ini adalah kali pertama rasanya saya mendengar harga makanan yang begitu mahal sekali.

RM6.80 mahalnya betul ke ni. Saya masih sukar menerima kenyataan dengan harga yang disebutkan. Apa yang mahal sangat ni.

" Nasi goreng RM2.80, sambal RM1, ayam RM 1". "PLUS yang dah tetapkan harga ni, kami kena ikut saja." sambung adik penjaga kedai tanpa dipinta.

Dengan berat hati saya menghulurkan wang bayaran.

Kembali ke meja saya bertanyakan pula harga makanan yang dibeli oleh suami dan anak dari gerai yang bersebelahan pula.

"RM12.50" jawab suami. Mahal juga katanya untuk dua hidangan nasi lemak berlauk.

Kami berdua tidak puas hati dengan harga tinggi yang diletakkan yang sama dengan taraf restoran-restoran besar di Kuala Lumpur.

Saya bangun untuk mengambil gambar tanda harga yang terpampang di dinding gerai sambil diperhatikan oleh seorang pelanggan yang lainnya. Saya memberitahunya tentang perasaan tidak puas hati kami dengan kadar harga yang tinggi itu.

" Nak buat macamana kak, kena la terima memanglah mahal di tepi lebuhraya ni, di Seremban lagi mahal pada ni." jawab adik tersebut.

Saya sering sedih dan kecewa mendengar alasan dan keluhan yang berbunyi begitu.

" Mana boleh macam tu, kita ada daya dan usaha untuk meluahkan rasa hati dan membantah untuk perkara yang kita rasa menzalimi diri dan tidak adil." saya cuba beri penjelasan.

Beginilah nasib rakyat, kita sering terpaksa menerima setiap keputusan yang dibuat oleh mereka yang memiliki, mereka yang memerintah dan mereka yang berkuasa, dengan alasan mereka berkuasa segalanya, akhirnya kita juga yang dizalimi dan mereka terus menerus mengecap nikmat hidup atas jerih payah rakyat. Usah dibayangkan mereka yang punya wang beribu-ribu dan berjuta-juta yang mengguna lebuhraya dan RnR tetapi bayangkanlah juga rakyat yang susah dan sederhana yang menggunakan kemudahan yang sama.

Sudahlah kita sudah dikenakan caj menggunakan lebuhraya melalui sistem TOL yang tinggi, malah mereka juga dengan senang hati meletakkan harga makanan yang tinggi walau pelanggan mereka sudah sedia ada dengan mudah.

Saya adalah pengguna yang tidak puas hati dan panas hati.

Monday 2 May 2011

MAYDAY! MAYDAY! Catatan seorang Suri Rumah.

MAYDAY! MAYDAY!

Monorail Chow Kit.

Sekumpulan wartawan kelihatan mengerumuni sesuatu kumpulan. Semuanya mengangkat video kamera masing-masing tinggi ke atas. Pemandangan ini dilihat ketika kami menyusur dari Jalan Keramat untuk menuju ke Jalan Tuanku Abdul Rahman. Polis kelihatan di mana-mana sekitar jalan tersebut.

Himpunan Mei 1.

Arahan berkumpul di Stesen Mono Rail Chow Kit jam 10.30 pagi. Berpusing sekitar jalan untuk mencari tempat meletakkan kenderaan yang terdekat kerana kesihatan pemandu yang juga suami dan jurukamera tidak mengizinkan untuk jalan dengan jauh. Tiada, sukar!.




10.44am

"Nalini, hello" menghubungi adik E.Nalini untuk mendapatkan maklumat.

"Kak Nash, Maju Junction, Maju Junction, kami kumpul di sini, datang sini!" tegas Nalini dalam kebisingan suara latar di belakang.

"Ok, thanks coming on our way." segera meneruskan perjalanan dan mencari tempat letak kereta terbaik di hadapan Pertama Kompleks.

RM4 per hour. Mahal tu, tetapi itulah standard mereka yang tidak jemu-jemu mengaut keuntungan, bila hari minggu kadar bayaran akan dinaikkan dari biasa. Ini pilihan terbaik buat kami dalam keadaan semasa.

Di hadapan Maju Junction tika kami melepasi tadi sudah ramai yang berkumpul dan bersolidariti sempena sambutan Hari Pekerja yang disambut di seluruh dunia. Malah di Malaysia khususnya di Kuala Lumpur ianya adalah satu acara tahunan di mana perarakan aman dijalankan.

Suami membenarkan kami bergerak terlebih dahulu ke Maju Junction sebelum dia bersiap sedia mengeluarkan peralatan kamera dari boot kereta.

Bersama dua orang anak perempuan yang setia mengikuti kami melintasi jalan dan bergerak bersama aliran pekerja ladang khususnya yang turut serta dalam perarakan bergerak aman dari arah Pertama Kompleks menuju ke Maju Junction.




Persoalan Anak.

Walau anak tidak bertanya saya mahu mereka faham dan menghayati perjuangan dan tidak mengikut hanya untuk suka-suka berjalan dan bersiar-siar.

"Cuba lihat mereka ni semua datang dari jauh, mereka tinggal di ladang getah dan kelapa sawit bekerja dengan susah, dapat gaji kecil. Mereka berjuang untuk mendapatkan hak mereka mendapat akta gaji minima."

Kami teruskan perjalanan dan mencelah mencari tempat berdiri paling baik.

Bersedia menjadi jurucakap.

"Akak berucap ya lepas ni." tegur seorang adik penganjur.

"Alah, akak lansung tak bersedia untuk bercakap apa-apa pagi ni." cubaan saya mengelakkan diri.

"Akak dari GMI kan? Tak apa semua pun tak bersedia." adik tadi cuba memujuk saya.

"Ok boleh." yakin dengan keputusan setelah mengumpul kekuatan. Setelah 13 tahun mengikuti dari belakang sejak gerakan REFORMASI, saya perlu yakinkan diri bahawa tugas saya mungkin sudah sampai untuk beranikan diri untuk beri ucapan dan bukan lagi mencari alasan untuk mengelak.

"Beri akak masa dan bukan terus lepas ini ya." mohon saya.

"Ok tak ada masalah." lega mungkin adik tersebut kerana katanya ada yang sepatutnya berucap tidak menghadirkan diri.

Saya mengumpul idea dan memerah otak apa yang perlu diucapkan berkait dengan diri dan GMI Gerakan Mansuhkan ISA. Saya rasa lebih yakin dengan apa yang bakal saya ucapkan di hadapan ramai yang sedang bersemangat mendengar dan menyatakan sokongan kuat dan hebat.

Saudara Kadir Hashim.

Seorang tahanan ISA terkini yang juga seorang OKU yang kudung tangannya. Ditangkap polis di rumahnya dan ditahan dibawah akta zalim ISA selama 10 hari sebelum dibebaskan atas alasan menganggotai kumpulan subversif.

Setiap orang adalah pekerja bila dewasa dan bila perlu menyara diri lebih-lebih lagi keluarga. Akta Zalim ini tidak pernah memikirkan soal ini. Apabila seseorang ditangkap maka terputuslah hubungannya dengan ahli keluarga, sumber pendapatan hilang sekelip mata, ahli keluarga hilang tempat bergantung. Memandangkan akta ini zalim maka tidak ada sebarang layanan kepada ahli keluarga malah kekacauan mental dan fizikal yang dilimpahkan kepada mereka. Hanya limpahan Rahmat dari Allah dan sumbangan dan sokongan dari rakyat prihatin membantu mereka meneruskan kehidupan.

Rakyat perlu terus BERANI

Tiada yang lain yang ingin terus saya kongsikan dan luahkan selain dari harapan agar rakyat terus menerus berani melawan segala kezaliman perintah. Mereka yang berada di hadapan dan sekeliling saya sebenarnya adalah lebih berani dan mereka adalah warga rakyat Marhaen yang keluar kerana merasakan diri mereka tertindas oleh golongan pemerintah yang sering menggunakan rakyat untuk terus memeras ugut.

Kejayaan Kempen Anti Saman Ekor.

Kejayaan KASE mendesak kerajaan membenarkan mereka yang mempunyai saman ekor untuk baharui cukai jalan dan perjuangan memansuhkan saman ekor memberikan inspirasi bahawa selagi rakyat berani dan faham akan hak dan undang-undang maka kita tidak akan dengan mudah dijadikan oleh Kerajaan Barisan Nasional yang zalim sebagai sumber pendapatan mereka yang mudah. Peras ugut wang rakyat untuk bayar saman hingga berjaya mengumpul ratusan juta dalam masa yang singkat.

Maka kita rakyat dan pekerja harus terus berani mendesak dan melawan.

Kenaikan harga barangan.

Alasan kenaikan harga barangan juga harus tidak boleh kita terima dengan hati terpaksa sahaja, kerajaan seharusnya lebih bijak mengawal kenaikan harga barangan janganlah kerana alasan mengurangkan subsidi yang jadi beban kerajaan kononnya itu maka rakyat bawahan ini yang harus tanggung derita untuk mereka dari golongan kapitalis terus mengaut harta kekayaan!

BERANI walau dengan Cabaran.

Kita harus terus berani walau halangan perlu kita lalui, tangkapan akan berlaku, penjara perlu didiami, mahkamah perlu terus kita daki tangganya keluar masuk pintunya bertahun lamanya...inilah perjuangan agar rakyat keseluruhan dan anak cucu kita tidak menderita dan terus dijajah.


Tiada kesempatan berucap.


"Polis dah datang, cepat-cepat baca deklarasi, hentikan ucapan." tiba-tiba keadaan menjadi kecoh apabila polis mula merempuh masuk ke lokasi ucapan diadakan.

"Cepat akak lead baca deklarasi" seorang penganjur mengajak saya ke hadapan. Oleh kerana keadaan menjadi kecoh dan polis mula mahu merempuh saya menarik tangan kedua orang anak perempuan saya berdiri di hadapan. Sambil memegang mikrofon saya bersedia untuk 'menjerit' membaca deklarasi walau hanya 3 baris deklarasi dengan sepenuh hati.

HENTIKAN CUKAI BARANGAN DAN PERKHIDMATAN (GST)

GUBAL RANG UNDANG-UNDANG ANTI GANGGUAN SEKSUAL

TINGKATKAN PENGLIBATAN TENAGA KERJA WANITA, SEDIAKAN TEMPAT ASUHAN KANAK-KANAK




3 orang anak-anak kami yang bersama ketika di hadapan Balai Polis Jalan Tun HS Lee: Solidarity kepada mereka yang ditangkap.

Selesai membaca 3 baris deklarasi saya menarik tangan anak-anak perempuan saya dan kami mencari jalan keluar untuk kembali ke tempat parking kereta untuk membantu suami yang sejak beberapa minit tadi menelefon memberitahu kegagalan mereka membuka boot kereta yang tiba-tiba bermasalah dan tidak berfungsi. Peralatan kamera dan beg lainnya ada di dalam. Cukuplah penglibtan saya dalam masyarakat warga marhaen untuk Mayday pada pagi yang sekali lagi menjadi sejarah dalam perjuangan rakyat.

Sekian dahulu catatan seorang suri rumah yang bercita-cita merubah negara menjadi lebih baik agar anak-anak kita tidak menderita...anak-anak dari rakyat yang tertindas. Bersambung di episod seterusnya.