Wednesday 15 December 2010

Hidup perlu diteruskan walau apa jua badai dan isu yang melanda "ANWAR dan NEGARA"

Semalam sekali lagi kami sekeluarga bersantai di tapak ceramah. Kali ini terasa seronok juga sebab ceramah besar diadakan di tapak tidak jauh dari rumah.

Suami kini sangat berminat mengambil gambar suasana untuk dikongsi dan saya suka untuk bersantai memerhatikan gelagat orang ramai sambil menumpukan perhatian kepada isi ceramah seboleh mungkin.

Namun semalam saya tidak pula terlalu teruja untuk membuat liputan 'live' suka-suka melalui kemudahan yang ada. Saya habiskan masa melihat kehadiran orang ramai yang membanjiri tapak pasar malam yang diubahsuai menjadi tempat ceramah.

Kali ini satu kelainan, khemah yang besar berderet dipasang dengan plastik penuh menutupi. Dalam hati mungkin ini adalah syarat ketat polis yang harus diikuti, namun tidak menghalang orang ramai untuk memenuhi setiap ruang yang ada.

Ketika sedang menemani Asiah membeli makanan dan minuman, suami dengan penuh perasaan berkata kepada saya "hah..tu..tengok tu..Anuar Zaini!!" sambil memuncungkan mulutnya. Cepat-cepat saya menoleh ke arahnya. Nama Anuar Zaini...siapa dia??? Dia lah orangnya yang bertanggungjawab melakukan RAMPASAN KUASA ke atas negeri Perak Darul Ridzuan bersama 4 orang yang lain.

DS Ir Nizar akan sering menyebut nama manusia ini di dalam ceramahnya yang berkaitan dengan rampasan kuasa Perak....

Lama dia di sana di celah orang ramai seorangan berpeluk tubuh menghadam isu-isu yang dibangkitkan..

Saya masih terus tidak menaruh minat kepada butir bicara di dalam ceramah. Telefon ditangan di era teknologi twitter dan FB membuatkan saya boleh terus dapat ringkasan intipati ceramah yang penting di kala mata saya terus memberi tumpuan kepada suasana sekeliling. Ibu-ibu, ayah-ayah...ramai generasi di usia emas yang hadir yang saya lihat ada di belakang...berbagai kaum turut hadir.

Ternyata ceramah tetap jadi pilihan alternatif untuk rakyat berkumpul menimba maklumat setelah puas disogok dengan maklumat percuma sepanjang masa di mana saja oleh pihak kerajaan.

Pandangan dan perhatian saya sepanjang masa malam itu tertarik melihat satu pasangan OKU yang sedang gigih berjualan. Si isteri berdiri di di jalan sambil memegang senaskah Warkah Keadilan sambil menjerit kuat.

"Paper Anwar. Paper Anwar". Saya terharu bercampur simpati, tidak ramai yang mahu berhenti dan melihat.


Si suami pula menunggu bekalan naskah yang lainnya yang diletakkan di atas meja. Saya menghampirinya dan membeli senaskah walau di rumah sudah ada satu naskah. Tidak mengapa tanda sokongan dan bantuan.

Saya bersembang ringkas dengannya bertanyakan perihal diri mereka berdua. Mereka tinggal di Kepong dan dihantar ke tapak ceramah oleh seroang kawan yang akan datang mengambil mereka apabila selesai nanti.

Si isteri terus meneriakkan "Paper Anwar, Paper Anwar". Bila ada yang membeli dia akan ke belakang dan mengambil naskah yang lainnya.

Terus saya berdiri di sebelahnya dan cuba membantu...namun ketika sesi ceramah semakin hampir selesai, saya ke belakang dan terus mencapai ke semua naskah dan sama-sama membantu meneriakkan pada orang ramai untuk membeli tetapi tidaklah saya pula jeritkan "Paper Anwar'.

"Warkah Keadilan, warkah keadilan!!!...beli...beli...beri sokongan!!!".

Alahmdulillah...tidak menang tangan kami.....Asiah juga teruja dan turut sama membantu..seronok, puas apabila licin semuanya. Hingga ada lagi yang ingin membeli...namun sudah kehabisan.

"Yeaayyy...kita menang, kita menang!!!"....tiba-tiba jerit wanita OKU tadi. Girang betul dia....Asiah pun turut sama jerit..."yeaaayyy...kita menang".

Kami pulang dan rasa sungguh berbeza....dan mereka gembira...

Hidup perlu diteruskan walau apa jua badai dan isu yang melanda ANWAR dan negara.....

Foto-foto : Abah Anas



Thursday 9 December 2010

Di sebalik GELOMBANG MERAH 5 Disember 2010

Gelombang Merah Lautan Manusia.

Siapa yang tidak kenal dengan Demonstrasi di Malaysia, siapa yang tidak tahu perihal apa yang akan terjadi di Perhimpunan Aman di Malaysia khususnya di tengah Kotaraya jika dianjurkan oleh rakyat yang menolak kezaliman pemerintah.

Pastinya yang menyambut kebangkitan rakyat ini ialah ratusan dan mencecah ribuan anggota Polis, FRU termasuklah pelbagai unit PDRM yang lainnya.

Truck Water Cannon pasti beratur menanti saat untuk bekerja mengikut arahan yang ditetapkan. Tetapi uniknya walau tahu apa yang menanti di hadapan rakyat tidak gentar. Kalau yang muda dan kaum lelaki muda tentu tidak dihairankan sangat, namun kehadiran warga emas, pakcik-pakcik dan makcik-makcik sungguh sentiasa menggagumkan saya.

Berani....Seorang makcik yang saya terserempak ketika hendak menuju ke tandas awam menegur saya "kat mana nak kumpul untuk demo ni?".

"Demo yang mana satu kak?" saya tanya kerana di sebelah kami sudah ada ramai yang berkumpul dan berbaju warna merah.

"Demo air lah, tadi akak lalu kat depan sana bukan main lagi polis dah tahan dan tanya macam-macam. Ramai juga tak berani masuk" jelas kakak yang datang berpayung berbaju hijau bersama suaminya.


Kakak-kakak dan ibu-ibu yang tidak gentar untuk turut serta. Saya pasti mereka tahu apa yang menanti di hadapan mereka. Mungkin juga mereka adalah aktivis rakyat yang berani turun ke jalanan sejak tahun 1998 dahulu lagi.

Demonstrasi jalanan sejak tahun 1998 lagi rakyat mula bangun menentang kezaliman yang menimpa seorang individu dan lebih disedarkan tentang kezaliman pemerintah.

Hingga kini Demonstrasi jalan terus ada. Demonstrasi jalanan selain menjadi medan untuk rakyat menyatakan kebencian pada kezaliman secara terbuka, ianya juga menjadi ruang untuk keluar bersama seisi keluarga, ruang untuk bertemu dengan rakan-rakan yang jauh dan dekat. Teruja...

Kebiasaannya kita meluahkan rasa benci pada setiap tindak tanduk zalim kerajaan di ruang laman sosial Facebook, twitter, blog dan sembang santai...yang kemungkinan besar tidak tercapai oleh dunia luar. Maka peluang turun ke jalanraya akan menyerlahkan warna sebenar kezaliman tersebut.

Sham...sentiasa turut serta di setiap demonstrasi. Sudah pasti akan membawa anak-anak bersama, habis mahu ditinggalkan dengan siapa.

Ini lagi sebuah keluarga yang istimewa. Setiap kali ada perhimpunan aman pasti akan turut serta sekeluarga. Inilah indahnya bila diadakan sesuatu perhimpunan aman, indahnya bila satu keluarga sehati sejiwa dalam perjuangan.

Ketua keluarga ini, Saudara Zahir Hassan, Ketua Cabang PKR Titiwangsa turut sama ditangkap.

Peluang menghadiri demonstrasi untuk bersama dengan rakan seperjuang yang lainnya. Turun ke jalanraya untuk membolehkan suara rakyat didengari apabila telah mencuba dengan pelbagai cara yang lainnya.

Tapi sayangnya pihak berkuasa sentiasa mempunyai niat yang jahat kepada sesuatu perhimpunan aman itu dengan mengatakan ianya sebuah perhimpunan HARAM dan mengganggu keselamatan awam maka seluruh tenaga pihak PDRM dikerahkan untuk melawan rakyat malah membelasah rakyat yang terdiri dari pelbagai lapisan masyarakat umur dan kaum.

Gambar ini menunjukkan pihak polis dari pelbagai unit telah merusuh, merempuh dan membelasah rakyat yang sudah sedang bersedia untuk berjalan pulang dengan aman.

Dalam episod kejar mengejar dan merusuh oleh polis ini terdapat beberapa insiden yang melibatkan kecedaraan yang kami cuba membantu seboleh mungkin.

Saudara Azami Ismail 51 tahun dari Kelang telah patah kakinya ketika berlari apabila keadaan kecoh bila pihak polis mengejar dan melepaskan tembakan gas pemedih mata. Tabah pakcik ini menahan kesakitan. Moga Allah menganjarinya.

Ketika menguruskan Pakcik yang patah kaki Kak Zumrah isteri Ustaz Badrulamin yang turun untuk melihat dan beri sokongan pula jatuh pengsan. Syukur kerana pihak paramedik telah berada di berdekatan.


Kak Zumrah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut dan Pakcik yang patah kaki telah dibawa untuk dirawat di Hospital Kelang oleh anak Ustaz Badrul sendiri dan sahabat-sahabat dari Kelang.

Ini pula gambar yang diambil ketika kami berehat-rehat di ruang solat wanita di Masjid Negara sementara menunggu masuk waktu asar. Kakak bertudung merah berdua orang di hadapan ini masing-masing suami-suami dan anak ditangkap. Tenang sahaja menerima keadaan dan menunggu khabar suami masing.

Sempat lagi menceritakan niat mereka untuk melawat Pameran MAHA 2010 yang berakhir pada hari yang sama.

"Tak pe lah kalau suami belum bebas lagi kita pergi lah ke MAHA dulu" cool...sudah faham erti perjuangan...

Kakak yang sedang bercakap di telefon juga sedang menyampaikan pesan kepada anaknya.

"Mak di Masjid Negara ni, ada demonstrasi, dah habis nanti mak balik".

Rupanya anak jagaannya berkhatan pada hari tersebut juga..tetapi demontrasi tuntut hak rakyat juga penting.

Kami sekeluarga bersama keluarga Zahir Hassan juga santai-santai menunggu hingga semua dibebaskan, kerana kami yakin ada ramai rakan yang membantu memastikan semua dapat dibebaskan segera. Ketika sahabat lain bertungkus lumus di tempat tahanan kami di Masjid bertungkus lumus memastikan mereka yang tercedera mendapat rawatan yang sempurna...syukur...

SYABAS buat semua suri rumah yang berani terus berjuang.....

Sunday 5 December 2010

LARIIIIIIII!!!!! POLIS MALAYSIA MENGAMUK DI TENGAH KOTA












"GILA B@BI" punya Kerajaan.

"Ishh...Ummi ni buat malu Asiah saja cakap macam tu!" Jerit Asiah sebaik umminya habis bercakap telefon dan tiba di rumah.

"Apa yang ummi cakap yang Asiah malu tu?" memang tak faham dengan maksud Asiah.

"Tadi tu ummi cakap tu!" ulang Asiah lagi.

"Oooooo....tu...tak pe. Ummi menyumpah kerajaan yang Zalim yang naikkan harga minyak dan barang-barang" Ummi cuba terangkan pada Asiah duduk perkara yang sebenarnya. Lagipun bukan mudah dan lancar sahaja perkataan buruk itu boleh keluar dari mulut.

Dua hari lepas 3 Disember, saya mengambil masa terluang membawa anak-anak berjalan ke sana sini dengan misi tertentu, lagipun bukan mudah untuk mendapat peluang membawa ke 4 orang anak untuk berjalan bersama.

Destinasi pertama kami singgah di Village Mall Kepong. Sarapan dan santai sebentar, singgah di kedai buku dan terus keluar. Sebelum bergerak lebih jauh singgah sebentar di Kedai Minyak PETRONAS untuk mengisi minyak. Kebiasaannya hanya mengisi RM50 sahaja setiap kali isi dan bolehlah memenuhi separuh lebih sedikit tangki. Jarang sekali mengisi minyak setangki penuh. Itu pada jam 11.30 pagi.

Destinasi kedua menuju ke Pejabat SUK di Shah Alam. Menghantar resit dan menandatangani voucher untuk cek sumbangan dari Pertubuhan Kebajikan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS) kepada Gerakan Mansuhkan ISA. Sebentar sahaja singgah di sana sementara anak-anak hanya menunggu di dalam kereta. Selesai misi kedua ini, kami menuju ke Masjid Shah Alam dan saya meninggalkan dua orang anak lelaki di sana untuk solat Jumaat.

Selesai solat Jumaat jam 2.00 petang bergerak memecut pula untuk ke Pekan Kajang. Misi ini tidak dirancang. Asiah yang sempat ber 'chat' dengan Makcik Sham sebelum kami keluar. dari rumah awalnya. Asiah kata Makcik Sham ajak makan bihun sup dan kuih muih sedap di perkarangan masjid Jamek Kajang, dan Makcik Sham juga dalam proses baru membuka kedai di gerai MAIS di perkarangan Masjid. Asiah kata Makcik Sham nak pinjam drill kalau ummi dan abah punya satu.

Oh, lupa untuk dimaklumkan di sini bahawa sepanjang perjalanan dari Gombak melalui LDP, melalui SPRINT dan Lebuhraya Persekutuan, Lebuhraya PLUS dan Lebuhraya ke Kajang saya kira saya perlu melalui hingga 6 buah tol yang jumlah bayarannya hampir RM 15.00 pergi dan balik!! Memandangkan perlu melalui banyak tol plaza dalam satu perjalanan hanya di Lembah Kelang sahaja sungguh terasa sakit di hati.

Sampai di Kajang hampir jam 3. Keluarkan drill untuk diguna oleh mereka bagi menyediakan gerai untuk berniaga. Seronok berjumpa.

Topik perbincangan kami seringkali bagaimana untuk 'terus hidup'. Bagaimana untuk terus mencari rezeki menampung kehidupan. Ya, untuk kami mungkin tidak terlalu terdesak kerana punya pendapatan tetap. Bagi Sham dan Fendi ianya sesuatu yang harus dan wajib untuk mereka terus berusaha kerana mereka tidak punya pekerjaan yang tetap demi memenuhi masa untuk dua orang anak yang teristimewa.

Bersama Sham dan Fendi, Zunar dan An-Nur Annisa di Pelancaran BERSIH 2.0

Kami bersembang lagi sambil duduk santai di atas simen lantai gerai yang dingin dengan pemandangan yang tenang di sekitar Masjid. Ada pohon tinggi kehijauan di hadapan gerai, memang sungguh tenang dan indah. Ramai peniaga yang menumpang mencari rezeki di kawasan itu, di perkarangan Masjid. Ada abang penjual sup, mee, bihun, kuew teaw yang sungguh sedap. Anak lelaki, Ammar menghabiskan dua mangkuk besar mee sup sekali hidangan.

Pakcik penjual air tebu yang Sham panggil Wak. "Wak bagi satu air tebu free wak". Sengih saja Sham dan sampailah air tebu yang dipinta. Kakak penjual goreng pisang dan keropok lekor yang sunggu rangup. Di situlah mereka mencari rezeki. Kata Sham dah bertahun-tahun mereka di situ, berniaga mencari rezeki. Berniaga kecil-kecilan dengan motor, kereta sorong dan lori. Selagi tidak ada yang menghalau mereka di sana mereka akan terus mencari rezeki yang halal di situ.

Memang tenang dan kami terus bersembang dengan santai, sambil Sham memikirkan cara sebaiknya untuk menyusun atur kedai yang sederhana sahaja besarnya. Sham akan menjual pakaian, Al-Quran dan berbagai barangan yang lain mungkin. Sham harus juga memikirkan satu ruang bagi membolehkan dua orang anak istimewa mereka An-Nur dan Annisa berehat.

Asiah memang gemar melayan anak-anak kecil dan kawan. Kami santai bersembang di mana ada kesempatan.

Kami bersembang dengan penuh kritikal dan benci terhadap kerajaan yang tidak mementingkan nasib rakyat sendiri. Cuba juga membandingkan dengan negara-negara asing yang memberikan kelebihan kepada keluarga yang punya anak istimewa seperti An-Nur dan Annisa. Jika ada sudah tentu masa yang lebih dan berkualiti dapat disediakan untuk proses terapi anak-anak istimewa ini.

Kami bersembang dan terus bersembang sambil Asiah dan Asma' melayan An-Nur dan Annisa yang sebenarnya seusia dengan mereka berdua. Asiah dan Asma' menyorong An-Nur dan Annisa ke hulu dan ke hilir. Seronok melihat mereka bermain dan melayan kedua orang sahabat mereka. Mungkin ini peluang untuk An-Nur dan Annisa bermain dengan teman sebaya.

Seronok, memang seronok dan tenang mungkin kerana berada di perkarangan sebuah Rumah Allah.

Sebaik masuk waktu Asar kami merasakan dudah sampai waktu untuk pulang. Kami bersalaman dan berpelukan dengan berjanji untuk datang lagi kerana Asiah suka menjaga An-Nur umpama seorang bayi kecil.

Itulah perjalanan kami dengan misi pada hari Jumaat yang mulia, namun berakhir dengan sumpah seranah kepada kerajaan yang zalim yang menggunakan istilah 'pelarasan dan keseragaman' bagi menyembunyikan fakta yang sebenar bahawa mereka sanggup untuk membeban rakyat dengan serentak menaikkan harga barangan keperluan seharian 4 dalam 1, RON 95, Diesel, gula pasir dan Gas LPG yang digunakan oleh rakyat bawahan. Atas alasan bahawa pelarasan ini perlu dan tidak membebankan rakyat.

Berita kenaikan harga minyak dan barangan dibaca di twitter sebaik kereta keluar dari Lebuhraya DUKE, maka terus membatalkan niat untuk terus pulang ke rumah dan melencong untuk memenuhkan tangki minyak walau amat jarang melakukannya.

Maka saya menyumpah ketika bercakap dengan Sham di telefon "Gila B@Bi' punya kerajaan!

Saturday 27 November 2010

OPS BUBAR DUN PERAK...Apakah nasib mereka???

"Court Bangun!!!!!" Nyaring dan panjang sekali jeritan Che' Din, polis di dalam Kamar Mahkamah Hakim Puan Norsalha di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar. Seperti biasa dia akan menjerit sekuat hatinya sebelum Puan Hakim masuk duduk di kerusi tingginya. Lain mahkamah lain tatatertib dan akhlah yang perlu di jaga.

"Encik Augustine, are you ready?" tanya Che' Din lagi kepada peguambela kami yang sejak sejam lepas telah lama santai-santai menanti Puan Hakim masuk. Beberapa saat kemudiannya Puan Hakim muncul dan duduk di kerusi tingginya.

Peguambela Augustine Anthony memberikan taklimat sebaik mahkamah ditangguhkan. Turut kelihatan di sebelahnya ialah En Bah Tony seorang aktivis Orang Asal yang membantu pihak pembelaan dalam hujahan bertulis.

Senyum sahaja kelihatannya Puan Hakim kali ini. Hati yang panas dan menggelegak lantaran perlu menghabiskan banyak masa di dalam mahkamah menanti dan terus menanti sejak jam 8.30 pagi terubat jua.

Tarikh 26hb November 2010 telah ditetapkan sebagai tarikh untuk penggulungan kes Ops Bubar Dun Perak ini sejak 2 bulan yang lepas ketika Mahkamah menangguhkan perbicaraan buat kali terakhir. Seperti biasa kami yang perlu berulang alik dari Gombak Selangor akan keluar dari rumah seawal jam 5.30 pagi untuk tiba di kompleks Mahkamah Kuala Kangsar jam 8.30 pagi.

Kami minum dan bersarapan dahulu bila masa diberikan untuk kes bermula di awal pagi.

Kes ini mula dibicarakan pada 13hb Februari 2009 dan dibicarakan dengan mengikut jadual waktu perbicraan yang sangat ketat dan cepat. Setiap dua minggu sekali kami perlu berada di mahkamah selama 2-5 hari mengikut tarikh-tarikh yang telah ditetapkan oleh Puan Hakim. Tidak boleh menguzurkan diri. 13 orang OKT istiqamah menghadirkan diri ke mahkamah. Segala cabaran dan dugaan terpaksa ditempuhi. Ada yang kehilangan kerja, ada yang terpaksa dipotong gaji lantaran tiada lagi cuti tahunan yang bersisa.

Syukur yang teramat apabila Puan Hakim memutuskan bahawa 26hb November adalah tarikh penggulungan kes dan keputusannya akan diketahui bila-bila masa saja sebelum tahun 2010 melabuhkan dirinya. Bukan tidak risau dengan keputusan yang bakal dijatuhkan namun terasa kurang beban yang perlu digalas.

Mahkamah Kuala Kangsar

26hb November semua hadir dengan para penyokong di sekitar Kuala Kangsar turut hadir memberikan sokongan termasuk Yang DiPertua PAS Kuala Kangsar. Syukur dan terharu di atas sokongan.

"
Ada yg kecewa bila pimpinan tak beri sokongan. Namun kita tetap terus berjuang.Berjuang utk rakyat.Jika mereka muncul kita berbesar hati."

Kata-kata ini saya nukilkan di dalam laman sosial Facebook saya ketika fikiran mengelamun di dalam perjalanan dari Gombak ke Kuala Kangsar. Itulah perasaan sesetengah dari kami yang menjadi mangsa tangkapan di dalam perhimpunan aman yang dianjurkan bagi membela nasib rakyat.

Biarlah perasaan itu terus ada di dalam hati selagi ianya tidak mengganggu niat suci sebenarnya sesebuah perjuangan.
Perjuangan tetap diteruskan.

Namun untuk beberapa orang ADUN PR di Perak yang telah turut bersama kami di mahkamah di awal perbicaraan, kami terharu di atas sokongan anda.

8.30 pagi kami sudah mendapat berita-berita yang mengatakan bahawa kemungkinan Hakim akan memberikan keputusannya juga pada kes ini. Pada masa yang sama juga kami mendapat berita bahawa Puan Julia Timbalan Pendakwaraya belum lagi menyerahkan nota hujah penggulungan pihak pendakwaan kepada pihak peguambela, walhal pihak pembelaan telah berminggu-minggu menyerahkan nota mereka kepada pihak pendakwaraya. Dalam kata lain bolehlah dikatakan bahawa pihak pendakwaraya belum menyiapkan kerja mereka.

Menambah terukkan lagi keadaan ialah bila Pihak Timbalan Pendakwaraya lansung TIDAK menghadirkan diri. Maka Puan Hakim terpaksa menetapkan satu tarikh lain bagi sebutan penggulungan kes ini.

20hb Disember ditetapkan sebagai tarikh yang baru dan kemungkinan keptusan akan disebutkan pada hari tersebut atau kami perlu hadir pada satu tarikh yang baru sehari atau dua tiga hari selepas itu.

Ketika itu barulah kami akan tahu nasib ke 13 orang OKT Ops Bubar Dun Perak yang telah turun ke Masjid Ubudiyyah pada tarikh 6hb Februari 2009 diatas amanat yang telah didengar dari mulut Menteri Besar Perak yang sah sendiri ketika itu Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin agar rakyat bersama-sama berada di Masjid Ubudiyyah pada tarikh tersebut. Kami turun bagi menyatakan kebencian kami pada rampasan kuasa yang berlaku ke atas sebuah kepimpinan yang dipilih oleh majoriti rakyat Perak sendiri.

Akhirnya......

"Perasaan sedih dan kecewa tidak dapat dielakkan. Namun kami sedar semuanya adalah ketentuan dari Allah dan perancangan Allah jualah yang terbaik buat hambaNya. KAMI REDA."

Monday 22 November 2010

"Larangan Ketawa" or "I will throw you out of court!!!"

"Thousands hv shed tears due to teargas, sweated, shed blood for the struggle," ini kata-kata DS Anwar Ibrahim yang saya petik dari laman tweeter YB Elizabeth Wong ketika ucapan DS Anwar Ibrahim di Dewan MBSA pada 19 November lepas...bertujuan mungkin untuk menaikkan semangat dan penerusan semangat perjuangan.

Kalau diterjemahkan mungkin berbunyi seperti di bawah:

"Ribuan yang telah mengalirkan airmata lantaran tembakan gas pemedih mata, bermandi peluh bahkan ada yang darah merah mengalir dari tubuh mereka untuk perjuangan ini".

Kalau direnungkan bila dibaca ayat di atas sudah pasti mengaitkan diri kita dengan perjuangan menyatakan kebencian kita pada kezaliman di atas jalan raya, Demonstrasi, Perhimpunan Aman. Ya , di mana lagi bukan?

Kata-kata itu bila dibaca seolah tidak memberikan apa-apa makna lagi pada diri saya. Kerana apa pun saya tidak tahu, tetapi yang jelas, kiranya ada lagi panggilan untuk turut sama turun ke jalanraya bagi menyatakan kebencian pada kezaliman dan menuntut keadilan, InsyaAllah saya tetap akan turun.

Hari ini 22hb November hingga 24hb November, saya bersama 38 orang yang lain perlu terus berjuang di dalam Mahkamah Sesyen Jenayah 12 Jalan Duta untuk kes tangkapan di Perhimpunan Aman Mansuh ISA pada 1hb Ogos 2009.

Dan untuk kes ini kami mendapat Hakim yang sungguh nampaknya sangat "dot dot dot" tak berani nak tulis apa...tapi dek kerana kami telah tertawa secara perlahan dan tersenyum dan dek kerana Hakim telah nampak aksi kami...kami telah dapat amaran keras!!!.

YB Nurul Izzah telah datang memberi sokongan dan duduk di belakang kerusi kami, dia juga terseyum dan tertawa perlahan dengan gaya sahaja.

Tiba-tiba:

"You...yang pakai tudung pink sila keluar dari mahkamah" jerit Puan Hakim.

"Apa alasan Puan menghalau saya?" tanya Nurul Izzah.

"Awak telah ketawa tadi" jawab Puan Hakim.

"Kenapa bukan polis yang memberikan amaran awal kepada saya?" tanya Izzah lagi memohon penjelasan.

"Dalam mahkamah ini terpulang kepada saya yang memberikan amaran". jawab Puan Hakim tegas. Tiada kompromi dan tiada sebarang amaran lansung.

Nurul Izzah bingkas keluar, kami tetap bersalaman dengannya sebelum melepaskan beliau pergi.

Rupanya Puan Hakim tidak berhenti di situ.

"Cik Norlaila!" jerit Puan Hakim lagi.

Puan Norlaila bingkas bangun tanpa tahu apa sebabnya. Saya sudah tahu pasti ada yang tak kena dan sama dengan nasib Izzah mungkin.

"Cik Norlaila, sila bangun dan duduk di meja hadapan". Beliau diarahkan untuk bangun dan dudu di kerusi dan meja yang diperuntukkan oleh para media...terkedu kami semuanya.

Rupanya ianya tetap tidak berhenti di sana. Ada lagi darinya.

"Puan Azizah" jerit Puan Hakim lagi memanggil peguam yang mewakili kami, iaitu saya, Aiman, Norlaila dan Kak Salmah.

"Puan tolong nasehatkan anak guam Puan yang lain, Raj Muni, Salmah dan Nashita. kalau tidak saya akan THROW THEM OUT OF COURT as well".

Episod ini juga mengingatkan saat kami dihadapkan di hadapan Majistret di penjara Bukit Jalil di mana Majistret mengatakan kepada peguam Latheefa Koya "wah..your client seemed to be happy and enjoyed themselves in jail" hanya kerana kami tersenyum melihat gelagat sahabat OKT yang lain yang gembira setelah dibebaskan.

huuuuuiiiiiisssshhhh....pedih...geram...umpama bilah pisau dan keris yang menyiat-nyiat hati-hati kami....

Inilah perjuangan......

Friday 19 November 2010

'Bekorban apa saja?" Dari Suri Rumah ke Mahkamah.

"Yes!" Jeritan ummi yang kuat mengejutkan ke tiga-tiga orang anak-anak ummi yang asyek dengan urusan masing-masing. Anas, abang yang sulong berbaring sambil membaca di ruang depan. Asiah duduk di hujung kaki ummi yang berbaring sejak hampir sejam tadi dan Asma' pula duduk-duduk menonton VCD.

Ya, memang ummi sedang berbaring memejamkan mata cuba untuk melelapkan mata dan melepaskan lelah setelah letih dan cemas dengan ujian yang dihadapi di jalanan tadi, Tetapi walau mencuba sedaya upaya, mata hanya berjaya dilelapkan tetapi fikiran melayang ke merata pelusuk agenda dalam kehidupan, yang lepas dan yang akan datang.

Anas, yang asyek membaca buku di ruang depan bergegas berlari ke ruang di mana ummi sedang berbaring dan terpinga-pinga terkejut dengan jeritan ummi tadi.

"Ummi, ummi, kenapa ni ummi?", kesian dia, terkejut benar agaknya. Asma' hanya terlopong mulutnya. Asiah pula dengan selamba sahaja, seolah amat memahami 'style' umminya.

"Ummi dapat ilham. Betulkan ummi dapat ilham?" tanya Asiah dengan tenang dan selamba.

Ummi hanya senyum sambil berkata, "ha ah betul sangat tu". Memang betulpun, ummi mendapat ilham. Ilham yang selalu ummi impikan dan diingatkan setiap kali mata cuba dilelapkan dan ketika fikiran menerawang. Bak kata bijak pandai "bermimpilah kerana ianya tidak dikenakan sebarang bayaran pun.".

Cuma ummi belum benar-benar melaksanakannya lagi. Moga Allah ubah impian ummi menjadi kenyataan.

Syukur juga dengan kejutan dari impian dan lamunan tersebut terus bingkas bangun dan memulakan tugas di dapur tanpa agenda yang diatur terlebih dahulu. Mula mengemas barangan di dapur dan di seluruh pelusuk rumah. Hilang segala penat lelah dan keluh kesah yang bertukar menjadi tenaga untuk bergerak cergas. Mengemas dan mengurus rumah juga memerlukan daya fikir dan juang yang tinggi.

Tugas yang dilakukan yang dirasa perlu untuk dilaksanakan bagi menyambut tetamu yang bakal tiba di hujung minggu ini dan hari-hari yang seterusnya mungkin. Bukannya tetamu luarbiasa yang belum pernah bertandang, tetapi tetamu ahli keluarga di pihak suami sendiri yang bakal datang kerana anak saudara suami yang berasal dari Felda Pasoh Empat Kuala Klawang akan menjalani pembedahan di HUKM dan mula memasuki ke wad pada hari Ahad ini dan akan dibedah pada 23hb November.

Pembedahan yang dinamakan 'Posterior Instrumentation and Fusion' dan dirawat dengan nama perubatannya 'Adolecsent Idiopathic Scoliosis'.

Sukar bunyi penyakit dan pembedahannya. Secara ringkas dah mudah difahami, sakit tulang belakang yang bengkok sejak dilahirkan sebenarnya dan akibat dari jatuh di sekolah dan tidak diambil berat oleh sekolah menyebabkan tulang tersebut telah mencengkam jantungnya. Bahaya kata Tuan Doctor. Besi-besi, skrew-skrew, Nuts, Rods, Hook Crosslink perlu dimasukkan ke dalam tulang belakangnya. Ngeri bunyinya dan kos yang perlu ditanggung untuk membeli barangan besi-besi adalah tinggi untuk keluarga peneroka ini.

Pembedahan yang sepatutnya dijalankan sejak bulan Mei tetapi ditangguhkan ke November ini kerana anak saudara kami ini Nurul Aina, ingin juga menduduki peperiksaan PMRnya.

Justify Fulldikurung di dalam truck polis
Dan saya pula bakal bertukar profesion, bermula pada hari Isnin ini 22hb November hingga 25hb November bila perlu ke Mahkamah Jalan Duta semula. Menghadiri sambungan perbicaraan kes tangkapan perhimpunan Aman 'HIMPUNAN MANSUH ISA' disusuli dengan sambungan perbicaraan kes 'PROTES' dan 26hb pula mengikuti suami untuk penggulungan kes 'OPS BUBAR DUN PERAK' di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar.

sebaik dibebaskan selepas 3 hari dipenjarakan.

Semua urusan perbicaraan di Mahkamah hanya diketahui oleh kawan-kawan sahaja dan bukan ahli keluarga. Ahli keluarga sudah tentu sukar menerima hakikat saudara mereka ditangkap hingga dipenjarakan dan dibicarakan berpanjangan di mahkamah. 'Ditangkap, dipenjarakan, didakwa dan dibicarakan' diertikan dengan penjenayah!. "Siapa yang akan beri makan anak isteri kamu ni, janganlah lawan kerajaan' mungkin itu yang ada dalam fikiran mereka di kampung. Jadi biarlah mereka tidak mengetahui tentang apa yang kami perlu lalui.

Selagi kami yakin apa yang kami lakukan sehingga didakwa sebagai melawan kerajaan ada bertujuan melawan kezaliman kerajaan, dan berjuang untuk kebaikan rakyat secara umumnya walau hasilnya belum dapat dilihat jelas di hadapan mata.

Moga Allah memudahkan urusan mereka dan kami sekeluarga.

Monday 15 November 2010

Apa Nasib Anak Bangsa Kita????

Ketika memandu pulang ke rumah selepas menghantar anak ke sekolah telinga tertarik mendengar celoteh juruhebah di radio IKIM. Bukan sangat tertarik dengan celoteh mereka tu, tetapi tertarik untuk mendengar topik perbualan pada pagi tersebut, pagi tadi.

Sudah tidak berapa ingat tajuknya yang tepat, tetapi berkaitan dengan BANGSA, lebih kurang bunyi soalannya, "apakah nasib masa depan anak BANGSA kita?" begitulah lebih kurangnya.

Hah...apa hal dengan BANGSA...apa ada pada BANGSA...entahlah, saya tidak dapat pun mengikuti pendapat-pendapat yang dikemukakan oleh pendengar Radio IKIM pada pagi tersebut kerana telahpun sampai ke rumah. Apabila di rumah sudah tidak lagi berkesempatan untuk memasang dan mendengar radio walau dari corong komputer.

"Apakah nasib anak-anak kita?", ini memang soalan penting yang perlu difikirkan, buangkan perkataan BANGSA tersebut. Apa akan terjadi pada anak-anak kita?

Ya, kini saya memang runsing memikirkan tentang nasib anak-anak kita, anak-anak saya sendiri. Usah diceritakan tentang masalah negara, masalah kewangan negara lagi runcing rasanya kalau didedahkan semua, betapa anak cucu kita bakal menganggung hutang yang menggunung dek kerana kerakusan pemimpin yang memerintah negeri dan negara.

Semalam di ceramah bersama YB DS Mohammad Nizar Jamaluddin dan YB Ng Swee Lim di Taman Gombak, hadirin didedahkan dengan penyelewengan khazanah negeri masing-masing oleh pimpinan Barisan Nasional.

YB DS Nizar hanya memberikan satu contoh yang mudah dan ringkas untuk kita fikirkan dan bayangkan bagi kemungkinan yang lebih besar lagi.

Sarapan pagi yang disediakan bagi sesuatu acara peringkat Negeri di mana kos sebenar yang diakui oleh penyedia makanan ialah RM 4.50 bagi hidangan nasi lemak, kuih dan air tetapi harga tetap yang dikenakan oleh pihak penyaji makanana ialah RM45!! hanya kerana Menteri Besarnya sejak dahulu lagi telah menetapkan sedemikian. Berapa banyakkah kroni pemimpin ini telah kaya dengan wang rakyat.

Inilah nasib anak bangsa kita... inilah nasib yang bakal diterima oleh anak bangsa kita selagi kita tidak berani menentang kezaliman. Penentangan hanya dengan cara yang paling mudah...ubah pilihan kita, tunaikan hak kita untuk mengundi, daftar diri sebagai pengundi, cuba buat perubahan buat kali yang akan datang ini.

Apa nasib anak bangsa kita???

Dalam ceramah semalam juga DS Nizar menceritakan bahawa di Perak sahaja ada hampir 5000 keluarga bangsa MELAYU yang papa kedana. YB Ngeh Koo Ham yang telah mencadangkan agar Kerajaan Pakatan Rakyat membela nasib keluarga Melayu yang miskin ini. Maka mereka berusaha untuk memberikan RM 1000 sebulan untuk sebuah keluarga dan akhirnya perkara tersebut tidak dapat dilaksanakan kerana kekurangan dana dan diubah dengan mendapatkan dana sebanyak RM 2 juta dan dibeli barangan keperluan dan makanan untuk diedarkan.

Apa nasib anak bangsa kita?

Apa yang pemimpin yang zalim suka terjadi kepada rakyatnya?? Jawapannya, BODOH, MISKIN, JAHIL. Ini yang disebutkan oleh YB DS Nizar lagi. Beliau memberi contoh yang tindakan yang diambil oleh YAB Lim Guan Eng di Pulau Pinang di mana beliau melalui kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengeluarkan dana sebanyak RM 25 juta untuk sekolah-sekolah Tahfiz bagi projek dan misi beliau untuk membolehkan lahirnya dalam setiap keluarga seorang Hafiz penghafaz Al Quran kerana katanya apabila terdidik anak-anak Bangsa Melayu dengan pengetahuan agama dan Hafaz Al Quran maka mereka tidak akan melakukan kemungkaran seperti yang dipelopori oleh Kerajaan Barisan Nasional...

Apa nasib anak bangsa kita..bila mereka miskin dan merempat???

Sudah tentu apa saja yang dihulurkan kepada mereka, apa saja yang dipersembahkan akan diterima tanpa memikirkan motif di sebaliknya dan akibat daripadanya....selamatkah anak-anak kita di masa depan nanti???

Mahu lagi kita menlaung-laungkan tentang BANGSA..BANGSA MELAYU???

Apa nasib anak bangsa kita?????

Anda jawab sendiri...cari jawapan sendiri...tapi yang paling penting apa tindakan kita...

Kini cuti sekolah sudah bermula...dan saya sebagai seorang ibu dan suri rumah sudah mula runsing dengan apa aktiviti untuk saya bekalkan kepada anak-anak remaja di rumah..

"Ummi...kawan-kawan adik ajak keluar jalan-jalan hari ini, boleh tak ummi?"....apa harus saya katakan...buntu adakalanya...nak beri atau tidak....

Akhirnya saya turunkan ayat Al Quran yang dibaca oleh YB DS Nizar di awal ucapannya:

al-Hajj ayat 40-41, Allah berfirman,

“Sesungguhnya Allah menolong sesiapa yang menolong Agama-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Gagah, lagi Maha Perkasa. Iaitu mereka yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat yang makruf serta mencegah perbuatan yang mungkar. Dan kepada Allah sahajalah kembali segala urusan”.

Sunday 14 November 2010

Aku dan BERSIH 2.0 selepas disimbah air kimia 2007

(berita yang dah berhari berlalu..maklumlah seroang suri rumah yang multitasking)

10-11-10 : cantik juga tarikh ini, sama cantik dengan tarikh yang lainnya. Namun tarikh ini ada sejarahnya yang tersendiri yang tercipta hanya di tanah airku yang tercinta.


Ribuan rakyat malahan boleh saja ditafsirkan hingga mencegah angka 100,000 rakyat yang turun ke jalan raya mendesak 'BERSIH', bersihkan pilihanraya Malaysia, bersihkan SPR Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia sebelum pilihanraya dijalankan. Itu berlaku dalam tahun 2007, 10 hb November 2007.

Ribuan rakyat turun, ramai sekali membanjiri kota raya, entah dari pelusuk mana dalam negara mereka turut datang, beranikan diri walau tahu dalam sejarah negara kita apabila ada sebarang perhimpunan aman yang mendesak kerajaan berlaku adil pasti akan ada tentang dari pihak kerajaan. Polis dan seluruh jentera keselamatan negara dikerah untuk bersiap sedia.


Ribuan rakyat tetap turun hanya kerana inginkan pemurnian dalam usaha memilih pemimpin dan kerajaan yang bakal memerintah negara dan rakyat.

Kami adalah antara ribuan rakyat yang turut serta turun membelah rasa takut berhadapan dengan polis, FRU, water cannon dan gas pemedih api. Dan itulah habuan untuk kami semua.

10-11-07 peristiwa bersejarah itu berlaku. Sudah tentu bagi mereka yang turut serta tidak akan lekang dari kenangan peristiwa tersebut walau teruk 'dibelasah' oleh siraman air kimia dan gas yang menyesakkan dada.

Pilihanraya Umum ke 12 akhirnya diadakan pada Mac 2008 beberapa bulan sahaja selepas peristiwa 10-11, siapa sangka..ya siapa sangka..syukur dengan kemenangan besar. Bangga dan berpuashati menjadi warga yang berani turun di jalanraya mendesak..kerana usaha yang dilakukan secara diplomasi tidak pernah diambil endah oleh mereka yang berkuasa.

Lalu pada tarikh 10-11-10 seperti di tahun-tahun sebelumnya majlis menyambut ulangtahun peristiwa bersejarah ini dilaksanakan.


Tarikh 10-11-10 jatuh pada hari Rabu, dan satu pelancaran BERSIH 2.0 telah dijalankan sudah tentu ianya kesinambungan dari BERSIH yang mula diadakan di tahun 2007. Tanpa tahu apa bentuk program dan rancangan pelancaran BERSIH 2.0 saya sendiri begitu teruja untuk turut sama menjadi sebahagian dari sejarah dalam negara. Kepulangan suami dari tempat kerja lewat dari biasa dan dalam keletihan membuatkan saya terasa akan pasti terlepas peluang sekali seumur hidup ini.

Namun syukur kerana semangat kembali segar dan kami memecut ke Dewan Sivik Majlis Bandaran Petaling Jaya.

Keseronokan dan lebih teruja kerana bertemu ramai rakan-rakan sealiran. Kami turut sama masuk ke dalam dewan apabila majlis bermula untuk sama-sama menghayati apa yang bakal disampaikan.

Standup show dari Hishamuddin Rais memang sedap didengar dan buat ramai yang tertawa gelihati namun ada maksud dan kesah yang benar yang dibawanya dalam setiap cerita yang disampaikan.

Satunya tentang tugas sebenar seorang YB Yang Berhormat dan mereka yang dipilih oleh rakyat untuk memimpin kawasan dan Parlimen. Beliau memberi contoh bahawa bukan tugas seorang YB untuk terpaksa menghadiri majlis kenduri kahwin sehingga 15 kenduri dalam sehari!!!. Ini satu contoh sinis darinya.

Ada beberapa orang YB di dalam gambar ini, YB Teresa Kok, YB Dr Siti Mariah dan YB Dr Zul. Nama YB Teresa Kok berkali-kali disebut oleh Hishamuddin, memang terbahak-bahak semua ketawa, saya sendiri tidak arif dalam isu sinis yang mungkin cuba disampaikan oleh Hishamuddin...banyak sangat.

YB Dr Zulkifli pula teruk dan direct juga dibelasah oleh Hishamuddin Rais gara-gara bertekak dengan Zulkifli Nordin. Kata Hisham buang masa dan tidak perlu bertekak dengan orang seperti Zulkifli Nordin ini. Tak pasal-pasal hilang gaji sehari Dr Zulkifli lantaran diarahkan keluar dari dewan.

Kami tidak duduk lama di dalam dewan kerana akhirnya terasa agak bosan dengan bentuk program yang diaturkan di peringkat awal, kemudian hingga akhirnya tidak pula tahu bagaimana, kerana selepas itu lansung tidak masuk semula ke dalam dewan dan menghabiskan masa di luar dewan bersembang tentang isu semasa sebelum bergegas ke satu program lain yang sedang panas diperkatakan, program Anak Muda PKR di Selangor Chinese Hall.

Keesokan harinya terbaca di Malaysiakini tentang sikap yang diambil oleh BERSIH 2.0. Terfikir dan terus terfikir...bolehkah...tetapi agaknya biarlah keadaan yang menentukan...kerana ianya belum pernah terbukti berlaku lagi..yang ada setiap perjuangan menuntut keadilan pasti mereka yang berjuang akan ditentang dan dizalimi....

Bagaimana pula, makcik-makcik, pakcik-pakcik dan seluruh anak muda dari serata pelusuk negara terutama sekali di ceruk kampung akan turut sama menghayati BERSIH 2.0 dan turut sama memperjuangkan BERSIH nya Pilihanraya di Malaysia....bagaimanakan bentuk murni apolitis itu.,....bahasanya sahaja sungguh sukar untuk difahami......

PETIKAN BERITA DARI MALAYSIAKINI

BERSIH - gabungan parti politik dan puluhaan NGO - sebelum ini menggegarkan politik negara apabila berjaya menganjurkan demonstrasi besar melibatkan 40,00 orang di Kuala Lumpur bagi menyampaikan tuntutan mereka kepada Yang Di-Pertuan Agung.P

ada 9 Julai lalu, BERSIH 2.0 kembali semula selepas dua tahun melakukan pembersihan dirinya daripada parti politik, dengan ikrar untuk tidak lagi turun ke jalanan untuk mencapai matlamatnya.

Dan langkah pertama BERSIH ialah menyerahkan memorandum yang menyenaraikan 15 cadangan pembaharuan pilihan raya kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)Pengerusinya Datuk Ambiga Sreenevasan mengisytiharkan BERSIH 2.0 sebagai murni apolitis, tidak berniat menganjur demonstrasi besar seperti sebelumnya, sebaliknya mahu memfokus pada pendidikan awam.

Walau apapun dikongsi gambar-gambar dari peristiwa pelancaran BERSIH 2.0.

pameran kartun Zunar

Peguam Kes 'OPS BUBAR DUN PERAK' Augustine Anthony turut hadir dari Ipoh Perak.

DS Nizar juga turut bersama sebelum beredar ke tapak ceramah di Taman Melewar.

Persembahan dari Orang Asal



PENGUNDI HANTU