Friday 3 August 2012

Merdeka Review menamatkan operasinya. Saya bersedih.


Minggu lepas saya sudah pun mendapat perkhabaran dari editor Merdeka Review Edisi Bahasa Malaysia, Lim Hong Siang tentang kemungkinan besar portal berita online ini akan ditamatkan operasinya. Saya menyimpan rasa agar ianya tidak berlaku.

Namun malam ini sebaik pulang dari Solat Tarawikh saya menerima undangan di Facebook "In Love With Merdeka Review.com". Terus membaca di portal beritanya. "Merdeka Review menamatkan operasinya."

Tiba-tiba saya rasa sedih dan berduka cita dengan berita ini.

Baru berjinak-jinak dan diberi peluang keemasan oleh saudara editornya untuk saya menjadi penulis di kolum Merdeka Review. Saya bangga mendapat peluang ini, walau saya tidak tahu berapa ramai sebenarnya pembaca yang berpeluang membacanya, namun sedikit sebanyak dapat saya berkongsi pengalaman saya dalam perjuangan sebagai seorang aktivis dan pada yang sama menjadi seorang suri rumah sepenuh masa.

Saya masih ingat saya menegur Hong siang bila mana saya lihat tulisan pertama Adam Adli di ruangan kolum di Merdeka Review. Ketika itu nama Adam Adli melonjak dengan tindakan menurunkan bendera di PWTC.

'Cemburu' juga melihat orang lain berpeluang menulis di portal berita dan saya masih mencurahkan idea dan rasa hati di dalam blog dan Facebook. Saya rasa dan yakin saya ada cerita untuk disampaikan pada ramai di luar sana.

Terus saya diberi peluang untuk menulis. Perkongsian saya berkisar tentang isu ISA, kezaliman ISA, penderitaan keluarga juga pengalaman saya di dalam aktiviti menyertai perhimpunan aman.

Saya berjaya menulis 13 artikel termasuk laporan mengenai beberapa perhimpunan aman. Alhamdulillah. Beberapa artikel saya di Merdeka Review turut disiarkan di dalam Harakah dan Suara Keadilan. Sudah lama saya mengidamkan untuk turut menjadi penulis di dalam dua akhbar alternatif ini. Namun seolah hanya aktivis terkenal serta ahli politk terkenal yang dapat mendapat tempat di sana.

Artikel saya boleh dibaca di sini.

Syukur dengan peluang yang diberi oleh Merdeka Review untuk saya menulis kadangkala setiap minggu membuatkan saya memaksa diri berfikir dan berkongsi dengan harapan memberikan satu perkongsian kepada wanita-wanita khususnya bahawa tenaga dan suara kita diperlukan untuk turut serta memastikan segala kezaliman ditentang. 

Terima kasih Merdeka Review yang telah saya kenali sejak lama.

Lawan Tetap Lawan.

Thursday 2 August 2012

ISA itu ZALIM: Pemergian Abdul Razak Baharuddin: Bekas Tahanan ISA.


Keluarga tahanan ISA sudah seumpama keluarga kami sendiri. Sebuah keluarga yang besar. Walau bukan suami saya yang pernah ditangkap ISA apatah lagi anak-anak saya sendiri. Berjuang bersama mereka, bergelumang dengan penderitaan mereka, berusaha mencari sumber kewangan untuk mereka dan membantu sedaya mungkin bila mereka memerlukan membuat kami semua bagai sebuah keluarga.
Jam 12.33 tengahari Isnin saya menerima sms dari Cikgu Laila. 
"Cikgu Razak, bekas tahanan ISA meninggal dunia pagi tadi."
Saya terdiam sebentar dan cuba mengingati kisahnya. Ya saya ingat beliau dibebaskan awal dari yang lainnya yang senangkatan dengannya yang ditahan dengan dakwaan menganggotai Jemaah Islamiyyah di era peperangan menentang terorisma kononnya. Kebanyakakan tahanan ISA ketika itu ditahan sehingga 7-8 tahun lamanya. Allahyarham Cikgu Razak merengkuk di dalam kem Kamunting dari 2001 hingga 2004.
Allahyarham dibebaskan awal kerana menderita sakit buah pinggang. Penyakit yang dideritai sejak sebelum ditangkap di bawah akta zalim ISA.
Saya juga dapat mengingati bahawa anak Allahyarham juga ditangkap di Pakistan dan ditahan di bawah ISA ketika dibawa pulang ke Malaysia bersama beberapa orang rakannya yang lain.


 Oleh kerana berita pemergiannya sampai agak lewat maka saya membuat perancangan untuk menziarahi keluarganya bersama Puan Zumrah dan Ustaz Badrulamin yang pernah ditahan bersama Allahyarham.
Kak Imah isteri Allahyarham kelihatan pilu ketika kami tiba namun berubah tenang dan 'gembira' menceritakan tentang detik-detik akhir pemergian suaminya.
"Abang kelihatan sangat handsome, senang betul dia pergi. Sudah siap mandi dan bersuci untuk solat subuh, duduk di atas kerusi rodanya. Kakak tak benarkan dia berpuasa kerana Abang sakit semalamnya. Abang minum air dan tersedak, tertunduk dan mohon dibaringkan di atas katil. Abang pandang anak-anak dan Kak Imah, mulut terkumat kamit dan terus pergi."
Allahyarham menjadi Imam di Surau berdekatan dengan rumah mereka. Setelah Allahyarham sakit dan tidak mampu berdiri lama dan duduk di atas kerusi roda tempatnya diambil alih oleh anak lelakinya.
Sakit buah pinggangnya menjadi teruk hingga pihak Kementerian Dalam Negeri terpaksa membebaskannya. Doktor Pakar yang merawat begitu marah melihat keadaannya. Allahyarham hanya dibekalkan dengan ubat tahan sakit setiap kali sakit. Mungkin itu penyebab penyakitnya menjadi lebih teruk.
Teringat juga saya tentang kisah Allahyarham Dr Burhanuddin Helmi yang juga menderita sakit akibat terpaksa menahan kencing ketika di dalam tahanan ISA yang menjadi punca penyakit kematiannya.


Sesi ziarah kami ke rumah Almarhum Cikgu Razak juga menemukan saya dengan Radzi anak sulong Almarhum yang juga ditahan ISA selama setahun setengah. Bayangkan beliau ditangkap ketika berusia belasan tahun lagi. Diletakkan di Pusat Tahanan Reman Polis. Katanya tempat tersebut selesa ada TV, peti sejuk dan kipas angin. Namun jelasnya bilik mereka tiada tingkap ataupun lubang.
Maka tiada siang atau malam, tiada bulan, matahari mahupun bintang dalam kamus kehidupan mereka selama setahun setengah itu. "Lansung tak dapat melihat dunia luar?!" Terkejut saya dan sukar untuk mempercayainya, walau saya pernah mendengar cerita tahanan ISA selama mereka ditahan selama 60 hari. Tetapi ini untuk setahun setengah.
"Itu yang buat mereka stress dan tension, bagai nak gila." jelasnya lagi.
Namun mereka berpeluang juga keluar setiap kali dibawa keluar untuk ke Bukit Aman untuk sesi perjumpaan keluarga dan sesi belajar tetapi mata mereka ditutup dengan spek atau kain setiap kali dibawa keluar.
"Saya tidak pernah tahu di mana saya diletakkan sehingga kini. Apa yang saya tahu setiap kali perjalanan ke Bukit Aman ianya mengambil masa selama 45 minit."
Terpegun dan terkejut lagi saya mendengarnya. Terlopong! Inilah sisi gelap ISA.
Beliau berpeluang mengambil SPM di dalam pusat tahanan reman Polis. Sesi pembelajaran disediakan. Berjaya dengan cemerlang. Berjaya melanjutkan pelajaran ke UIA dan kini sedang menghabiskan peringkat Master dalam Al-Quran dan Hadith. 
"Baguskan ISA, dapat belajar dan keluar menjadi orang yang baik." Ini sudah pasti menjadi komen mereka yang mempertahankan ISA tanpa mereka mahu menerima hakikat bahawa individu-individu ini memang istimewa, hebat dan baik. Hamba-hamba Allah yang taat dan mempraktikkan ajaran Islam yang sempurna.
"Tak sangka berserban nampak baik rupanya buat bom di pejabat." Cerita Kak Imah tentang komen-komen dari pihak SB yang sampai ke telinganya.
Entah apa konsep baik dan tidak baik yang ada dalam kepala dan otak mereka.

Alhamdulillah, berjaya juga kami menjejaki rumah keluarga bekas tahanan ISA Allahyarham Cikgu Razak yang meninggal dunia Isnin 30 hb Julai 2012. Tidak mudah untuk menjejaki rumah mereka. Berkali-kali kami berhenti bertanya. Ramai yang mengenalinya sehingga ke kampung-kampung yang jauh dari rumah Almarhum. Akhir sekali kami ditemukan dengan Muallimah di PASTI Nur Syuhadah Kampung Medan Teluk Panglima Garang yang memberikan kami arah ke rumahnya. Perjalanan dan pencarian yang berbaloi.
ISA masih ada...trauma dan siksaan yang diterima terpahat dalam diri mangsa dan keluarga mereka.
Masih ada 45 orang yang merengkuk di Kem Kamunting menantikan saat mereka dibebaskan...entah bila...
"Ya, masa kena ISA dahulu tinggalkan keluarga bertahun-tahun, kini pergi untuk selamanya." Puan Norlaila Othman isteri bekas tahanan ISA, Mat Sah Satray.

Sedikit kisahnya boleh dibaca di sini.