Bebas, Denda atau dipenjarakan. Keputusan Kes Himpunan Mansuh ISA.
"Kak, itu DPP kita kan kak, Kes Mansuh?" Soal Aiman kepada saya ketika kami duduk-duduk di bangku Mahkamah ketika menunggu Tuan Hakim masuk.
"Oh itu yang pakai specs tu ya. Ya lah DPP Kes kita Mansuh. Buat apa dia di sini pula?" Musykil kami.
Kami sedang berada di kamar Mahkamah Sesyen Jenayah 6. Mahkamah Hakim, Yang Arif Shakeri. Semalam adalah tarikh yang ditetapkan oleh Mahkamah untuk sambung bicara Kes PROTES. Tarikh ditetapkan hingga 17 Februari.
Selang beberapa minit kami sedar akan kehadiran DPP Kes Himpunan Mansuh itu, kelihatan Peguam kami untuk Kes PROTES Tuan Haji Nasha berjalan menuju ke arah kami berdua.
"Siapa yang buat hujahan untuk kes Mansuh nanti, dah hantar ke belum." Tanya Hj Nasha kepada kami berdua.
"Entahlah, kami tak tahu. Kami dah tak ada peguam. Peguam kami dah tarik diri." Jawap kami hampir serentak.
"Bukannya apa, DPP tu ingatkan untuk sampaikan. Kalau tak ada submission dia kata senang mereka tak perlu jawap." sambung Tuan Haji Nasha, peguam kes PROTES yang sering akan datang ke belakang ke arah tempat duduk kami sekiranya ada isu yang perlu dibincangkan. Begitulah sifat mereka semua peguam yang membela kami dalam kes PROTES.
"Oh, ok tak apa saya akan cuba minta peguam kami uruskan. Kata peguam yang lain mereka akan buat submission untuk semua. Tidak ada masalah untuk mereka walau peguam kami berlima telah menarik diri." Terang saya kepada Tuan Haji Nasha.
Ya, Peguam telah menarik diri di saat-saat akhir ketika keputusan untuk kes Himpunan Mansuh ini akan dibacakan pada 22hb Februari 2012. 222. Cantik.
Setelah bergelumang dengan kes ini sejak 1 hb Ogos 2009 hingga kini 2012 hampir 3 tahun. Akhirnya ia bakal tiba ke penghujungnya. Kami 'kalah' di peringkat pendakwaan. Puan Hakim mendapati ada alasan dari hujah-hujah pendakwaan dan kami perlu bela diri untuk dakwaan di bawah akta jenayah.
Peguam kami berpendapat kami tidak sepatutnya masuk ke peringkat pembelaan, kami semua sewajarnya dibebaskan sama seperti 13 OKT yang lainnya yang dibebaskan. Bilangan kami yang didakwa ialah seramai 29 orang, kini tinggal 16 orang kami yang perlu bela diri.
Peguam membuat pilihan untuk kami memilih pilihan yang kedua iaitu memberi keterangan dari kandang salah tanpa angkat sumpah dan tidak boleh disoal balas. Maka kami membaca keterangan yang sudah siap bertulis di atas kertas. Puan Hakim mencatat apa yang kami baca. Semuanya berjalan lancar dan pantas. Tidak perlu turun naik mahkamah bertahun-tahun seperti kes PROTES contohnya di mana untuk peringkat pendakwaan saja sudah masuk 4 tahun belum selesai lagi.
Kami menunggu tarikh 222 dengan penuh sabar, debar dan berserah kepada Allah akan keputusan yang terbaik buat kami semua. Hukumannya jika bersalah adalah denda, penjara atau mungkin kedua-duanya sekali. Kami telah sepenuhnya yakin dengan pilihan bahawa kami tidak akan membayar denda sekiranya keputusan bersalah dijatuhkan kepada kami.
Ketika terjumpa YB Dato' Mahfuz di satu majlis, saya menuju ke arahnya dan berkata:
"YB, untuk keputusan kes Himpunan Mansuh ISA pada 22hb nanti, kalau kami didapati bersalah, kami tidak mahu membayar denda dan akan memilih Penjara sama macam YB dalam kes Kriket Israel." Baca di sini.
" iissssshhhh....janganlah macam tu. Siapa nak buat kerja nanti." jawab YB Dato' Mahfuz.
Apa jua kita mengharapkan yang terbaik dan berserah pada Allah yang Maha Bijaksana.
Walau ada yang sinis mengatakan kes ini 'tak ada apa, mudah dan tidak berat' kerana tiada pimpinan yang terlibat, tetapi kami adalah mangsa kepada satu kes politik yang dijadikan ruang untuk mendera rakyat yang secara terang-terangan menentang kezaliman penguasa Negara.
Kata seroang sahabat yang juga seorang peguam Hak Asasi yang berpengalaman "Do'akan agar keajaiban berlaku."
1 comment:
Kenapa tak pilih masuk penjara sahaja? kenapa masih membayar denda? kenapa masih hendak merayu keputusan ke Mahkamah atasan?
Kalau anda pejuang sejati dan gagah berani, masuk sahaja ke dalam penajara.mudah. semoga Allah memberikan anda rahmat dah pahala atas pengorbanan anda. Ini anda punya cerita berpusing pusing.
Post a Comment