Wednesday, 29 October 2008

Kes Ragut...jahat betul manusia ni....

Dalam kehidupan seharian, kita tidak dapat menjangkakan apa yang bakal berlaku kepada diri kita. Sebagai seorang muslim kita dapat berusaha dengan berdo'a dan bertawakal setelah segala usaha untuk memastikan keselamatan terhadap diri dan harta yang ada.

Semalam saya dan anak lelaki, Ammar telah keluar dari rumah sebaik selepas selesai solat maghrib. Tujuan utama keluar ke kawasan kedai di Greenwood ialah untuk membeli sedikit barangan untuk Ammar yang akan mengadakan jualan di sekolahnya. Minggu lepas untuk projek jualannya saya membuat aiskrim malaysia dan membeli gula-gula di kedai borong di Greenwood. Maka misi saya sama juga seperti di minggu lepas.

Ketika memandu di lorong yang berhadapan dengan deretan rumah berhadapan dengan deretan kedai di Greenwood, tiba-tiba seorang wanita terjatuh di atas jalan dan terus terbaring tidak bergerak. Barangan yang dibawanya nampak berselerak di atas jalan. Beliau jatuh betul-betul di hadapan kereta yang sedang saya pandu. Alhamdulillah, saya memang telah bersedia memberhentikan kenderaan. Jadi saya dapat lihat tubuhnya terbaring dengan jelas kerana lampu direct kearahnya.

Saya segera keluar dari kereta dan meluru kearah wanita tadi. Kedengaran juga ada anak muda yang menjerit dan cuba mengejar sesuatu. Baru terdengar ada orang yang menyebut wanita tu baru diragut. Patutlah saya juga sedar ada motor yang bergerak laju sebelah kereta saya. Tapi semuanya berlaku dalam sekelip mata sahaja.
Saya cuba membantu menggerakkan wanita itu, namun dia langsung tak bergerak dan masih tak sedarkan diri. Jadi saya berusaha mengangkatnya, namun dia masih tak bergerak dan longlai. Nasib baik ada seorang anak muda yang bersungguh cuba membantu. Ramai yang lain yang ada di situ cuma jadi 'tukang perhati' sahaja. Lebih menggeramkan hati saya ialah semasa kejadian berlaku ada beberapa orang wanita berada di luar pagar sebuah rumah, namun sebaik kejadian berlaku semuanya terus masuk dan hanya memandang dari dalam pagar rumah mereka yang betul-betul berhadapan tempat kejadian.
Jenuh juga saya dan anak muda tadi cuba mengangkat wanita tadi untuk dimasukkan ke dalam kereta saya. Mungkin kerana dalam keadaan pengsan tubuh seseorang menjadi lebih berat dari biasa untuk diangkat. Nasib baik ada klinik berhampiran dan saya kenal rapat dengan doktor di Klinik Keluarga tersebut. Saya terus park kereta berhadapan pintu klinik dan memanggil doktor keluar. Kebetulan doktor Noraini yang keluar, setelah menceritakan apa yang berlaku pada KakAni dia terus mengarahkan saya membawa wanita tadi ke Hospital Selayang ataupun GH. Kebetulan pada masa tu suami wanita tersebut sampai ke klinik, mungkin ada yang maklumkan kepadanya kerana dia rupanya memang pernah saya lihat kerana dia menjual bubur di gerai di taman Greenwood.
Wanita tadi masih tak membuka matanya, tetapi setelah disapukan air dimukanya dia dapat bercakap sedikit dan memberitahu yang kepalanya amat sakit. Suami wanita tadi tidak mempunyai kenderaan, lalu saya offer untuk membawa dia dan isterinya ke hospital, tapi katanya dia perlu pulang dahulu ke rumah mertuanya untuk mengambil kereta. Namun atas nasihat doktor saya terus membawa wanita tadi ke Hospital Selayang dan suaminya pulang dahulu ke rumah. Sepanjang perjalanan wanita tadi masih seperti seorang yang sedang tidur sehinggalah kami sampai ke kawasan kecemasan di Hospital Selayang. Di sana dia dipakaikan collar di lehernya keran dia mengadu sakit di leher dan di kepala. Risau juga hati saya takut2 tindakan saya mengngkatnya ke dalam kereta menyebabkan apa-apa lagi kesakitan ke atas dirinya. Namun saya tak ada apa pilihan ketika kejadian berlaku kerana lebih ramai yang memerhati dari menolong. Mungkin selepas ini saya perlu mempelajari tentang teknik-teknik membantu di waktu kecemasan.
Saya mengambil keputusan untuk pulang setelah suami, ibu dan ayah wanita tadi tiba di hospital. Hari ini beberapa kali saya cuba menghubungi suami dan anak wanita tersebut untuk bertanyakan khabar, tapi panggilan saya tidak berjawab. Ada masa saya akan kunjungi suaminya di gerai bubur di Taman Greenwood.
Saya cuba juga membayangkan sekiranya perkara yang sama berlaku kepada diri saya...maka saya harus lebih berhati-hati dan sentiasa bersedia. Semoga sekiranya sesuatu berlaku kepada diri saya, diharapkan ada insan yang ikhlas membantu dan menyelamatkan saya dan keluarga saya dan tidak mengambil kesempatan di atas kemalangan dan kesusahan orang lain. Namun saya berdo'a semoga kita semua dijauhkan Allah dari segala malapetaka.
Saya juga berdo'a agar anak saya Ammar yang sama-sama melalui kejadian semalam mengambil pengajaran dari apa yang berlaku. Semoga sifat tolong menolong membantu orang yang dalam kesusahan sentiasa ada dalam diri anak-anak kita tanpa mengira agama dan bangsa mahupun taraf hidup seseorang manusia.
Semoga hukum Allah dapat terlaksana di atas muka bumi agar tidak ada lagi manusia yang berani melakukan kejahatan.

1 comment:

Anonymous said...

Salam. Nak tanya kedai jual gula borong dkt greenwood tu dkt area mana yer. Sebelah perabut greenwood ker?