Tuesday, 24 January 2012

Keadilan milik mereka yang dizalimi.

"Kalau beginilah ramainya yang hadir pada malam ceramah di Kampung Baru, saya yakin pasti ramai yang akan berbondong-bondong ke Mahkamah Jalan Duta esok hari." Ini yang saya ungkapkan di Twitter sebaik melihat berbondong-bondong orang ramai yang memasuki dan memenuhi perkarangan Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baru pada malam sebelum 901. Begitu juga khabarnya di tapak ceramah di Kampung Pandan, ribuan yang hadir memenuhi padang. Hati kembali bersemangat untuk turun bersama rakyat dan penyokong.

Selesai ceramah, kami menuju ke sebuah restoran nasi lemak. Di sana terserempak dengan sahabat-sahabat aktivis yang dikenali yang datang dari Melaka dan Perak. Wah, semangat mereka tetap utuh!

"Tidur mana malam ni?" "Mana-mana saja yang sempat." Memang hebat.

901…Kempen Bebaskan Anwar. Ramai yang berkempen, menukar gambar profil di Facebook danTwitter. Ramai berkempen untuk bersama-sama turun pada tarikh itu. 9 Januari 2012. Saya tidak bertindak merubah apa-apa kepada wajah Facebook atau Twitter saya.

Terus terang dalam hati ketika itu sering berkata-kata, "Kenapa mesti hingga begini?". Kenapa mesti beramai-ramai turun dan berkumpul menunggu keputusan Mahkamah. Perasaan itu terus hadir dalam diri saya yang menyekat saya dari ingin berkongsi kehangatan kempen 901. Kempen Bebaskan Anwar Ibrahim.

Dalam hati saya memikirkan masih ada banyak isu kezaliman yang perlu sokongan ramai untuk memungkinkan ianya berjaya dan menyelamatkan Malaysia. Saya, suami dan rakan-rakan juga ada yang menjadi mangsa apabila ditangkap, dipenjara, didakwa dan dibicarakan bertahun lamanya hanya kerana menghadiri perhimpunan aman membantah kezaliman. Kami juga perlukan sokongan.

Kami adalah antara aktivis dan rakyat yang memilih turun ke jalanraya untuk menyatakan kebencian kepada ketidakadilan dan kezaliman. Demonstrasi jalanan bukan sesuatu yang asing bagi kami.

Kebencian kepada kezaliman dalam Negara muncul dalam diri tepat pada tarikh 2 September 1998, 902. Pada tarikh tersebutlah saya sedar tentang kewujudan kezaliman dan ketidakadilan dalam pemerintahan Negara, ya sebaik Anwar Ibrahim dilucutkan dari jawatannya. Maka bermula saat itu perhimpunan di jalanan sungguh dekat hati.

Mula dari saat itu juga seolah kezaliman menjadi "middle name" kepada pemerintahan Barisan Nasional. Semuanya terserlah. Pelbagai institusi dalam kerajaan nampak jelas disalahgunakan oleh pihak berkuasa.

Kezaliman PDRM dalam kes "shoot to kill" yang menimpa, Puan Norizan Bt Salleh dan Allahyarham Adik Aminulrasyid sebagai contoh. Kematian dalam lokap yang menimpa tahanan seperti kes A.Kugan dan ramai lagi menunjukkan bahawa rakyat berada dalam situasi yang tidak selamat walau di tangan mereka yang seharusnya menjaga keselamatan dan keamanan.

Kewujudan SPRM Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang kononnya untuk mencegah rasuah, menangkap, bicara, siasat dan dakwa mereka yang memberi dan menerima rasuah akhirnya juga dilihat sebagai tempat rakyat bawahan yang menjadi mangsa. Paling teruk bila terjadinya kes kematian yang melibatkan mendiang Teoh Beng Hock dan Allahyarham Ahmad Sarbani.

Semua peristiwa ini memerlukan rakyat terus bangkit bersama menentang kezaliman dan bukan hanya memilih isu yang melibatkan diri sendiri sahaja atau individu yang tertentu. Semua memerlukan pembelaan yang sewajarnya dan sama rata. Mungkin itu sebab-sebab yang membuatkan jiwa saya tidak begitu kental untuk turut sama berkempen 901. Saya mahu lihat setiap pemimpin Pakatan Rakyat setiap ahli Pakatan Rakyat berlaku adil pada semua yang terlibat adil pada semua isu.

Sungguh rakyat bencikan kezaliman dan mahukan ianya dipadamkan segera, dan mereka yang bertanggungjawab dijatuhkan dengan seberapa segera. Peristiwa pemecatan Anwar Ibrahim pada tahun 1998 adalah pencetusnya. Keaiban yang ditimpakan ke atasnya satu demi satu sukar diterima di hati. Mengaibkan manusia ke tahap itu sukar diterima. Rakyat sudah hilang ketakutan kepada kekejaman pemerintah. Rakyat tetap turun membela nasib DSAI dan pejuang serta aktivis lain yang turut terlibat sama.

Saya, suami dan anak-anak turun ke jalan, bukan ikut-ikut namun muncul dari hati yang faham dan sedar. Turun berdemonstrasi dengan sepenuh perasaan apabila berpeluang mahupun jauh apatah lagi dekat. Hati mula terpegun dengan kebangkitan rakyat secara tiba-tiba, satu gelombang yang besar. Rakyat dari pelbagai lapisan jauh dan dekat berkumpul bagi menyatakan kebencian pada kezaliman. Rakyat miskin dan kaya dan saya terpegun dengan rakyat dari golongan bawahan dan jauh dari ceruk kampung yang turut sama bangkit dan berani. Bersusah payah bermusafir jauh datang ke kota raya untuk turut sama berhimpun.

Dalam kelesuan hati namun akhirnya hati ini tetap tersentuh untuk turut sama turun pada tarikh itu kerana saya lihat harapan pada wajah-wajah tua, anak-anak muda, ibu-ibu dan ramai lagi yang hadir di ceramah dan di Kompleks Mahkamah Jalan Duta. Harapan mereka mungkin masih utuh apatah lagi apabila melihat individu itu terus menerus dizalimi dan diaibkan. Sudah tentu kehadiran individu itu amat penting hingga menjadi punca ketakutan kepada pihak lawannya. Buat sekian kalinya kita mahu lihat fitnah dan aib yang dipalitkan ke atas dirinya dicuci sebersihnya melalui proses kehakiman yang adil. Biar ahli keluarganya dapat berasa tenang dan diangkat semua fitnah berat tersebut.

Tarikh 901 muncul, saya yang pada mulanya agak tidak sepenuh hati untuk bersama kempen itu akhirnya seperti diketuk hati saya apabila melihat begitu ramai rakyat yang masih turun memenuhi kawasan ceramah yang diadakan sebelum tarikh 901.

Maka yakinlah di hati saya bahawa masih ramai rakyat yang terus sedar tentang kezaliman pemerintah di bawah parti UMNO dan Barisan Nasional. Ini sudah tentu bukan hanya isu Anwar Ibrahim seorang. Ini soal rakyat. Rakyat nampak segala penipuan, dapat baca segala ketidakadilan di sebalik setiap tindakan. Terlalu banyak isu yang terus membuka mata rakyat, terlalu banyak peristiwa yang mendera jiwa rakyat terlalu banyak tindakan yang merampas wang rakyat secara terang-terangan dan bersembunyi di sebalik berbagai alasan.

Isu NFC, National Feedlot yang melibatkan wang RM250 juta jatuh ke tangan keluarga seorang Menteri sehingga menyebabkan mereka hidup dalam kemewahan, wang zakat yang disalahgunakan oleh Menteri Agamanya sendiri, mahasiswa yang lantang dan berani disekat kebebasan mereka dengan undang-undang lapuk AUKU. Mahasiswa yang dibelasah teruk hanya kerana mereka berani mempertahankan hak mereka, penerusan penggunaan akta Zalim ISA walau janji sudah dibuat untuk memansuhkannya, kenaikan harga barangan dan terlalu banyak lagi untuk dicatatkan di sini. Semua ini begitu mendera jiwa dan fizikal rakyat yang ramai sudah sediakala menderita. Siapa yang boleh diam dan menyerah lagi?

Maka pada malam masuknya tarikh 901 itu saya meyakini bahawa saya tidak boleh duduk berdiam diri. Langkah mesti diatur untuk turun bersama rakyat.

Pagi Isnin 9 Januari, saya bersama suami mencapai topi keledar dan kami berdua bersemangat meninggalkan halaman rumah dengan lambaian dari anak-anak yang memberikan semangat.

Memang benar sungguh ramai rakyat yang hadir dari seluruh pelusuk negara memenuhi perkarangan Mahkamah hingga melimpahi ke kawasan sekitarnya. Sungguh meriah dan pentingnya sungguh bersemangat menantikan pengumuman keputusan yang akan dibacakan. Tiada siapa dapat meneka apa keputusannya walau ramai yang menyangka Anwar Ibrahim pasti akan menerima habuan buruknya.

Namun ketentuan Allah mengatasi segalanya. Keadilan milik mereka yang dizalimi. Keputusan diumumkan dan semua bersorak kegirangan, bersyukur dan terharu. Rakaman di Youtube menunjukkan suasana keseluruhannya di mana seorang berbangsa Cina, Tian Chua, membuat pengumuman bebasnya Anwar Ibrahim, disambut dengan laungan kesyukuran oleh semua yang ada, dan airmata kegembiraan mengalir di pipi seorang lelaki berbangsa India. Semua bersyukur dan gembira meraikannya.

Sudah tentu ini bukanlah penamat bagi sebuah perjuangan kerana ianya bukan untuk Anwar Ibrahim (gambar kiri) seorang sebaliknya ianya adalah perjuangan untuk keadilan semua bangsa dan agama, ianya perjuangan membebaskan sebuah Negara dari cengkaman kezaliman, maka rakyat akan terus bangun dan mesej ini akan terus disampaikan kepada seluruh pelusuk Negara dan saya khususnya tidak mahu ketinggalan dalam usaha berterusan ini.

Kita harus sama bangun melawan segala bentuk penindasan dan kezaliman tanpa mengira siapa yang terkena kerana kita adalah rakyat Malaysia. Slogan kita adalah Selamatkan Malaysia.

Bak kata Nurul Izzah yang mana keluarga mereka dizalimi dan diaibkan sejak 13 tahun yang lalu di dalam ceramahnya pada tarikh 801 "Saya rela ayah berjuang demi rakyat. Tidak ada sesaat pun yang saya sesali, perjuangan ini perlu diteruskan untuk SELAMATKAN MALAYSIA."

LAWAN TETAP LAWAN.
LAWAN SAMPAI MENANG.

Sunday, 22 January 2012

"Kami mengaku bersalah menyertai Perhimpunan Haram"



"Apa update di atas. Akak baru sampai, akak ke cafe dulu." sms dilayang pada Aiman di Tingkat 3 Sesyen Jenayah 5.
" Belum lagi kak. Kak tolong belikan ana, bihun dengan air mineral ya." permintaan biasa dari Aiman.
"Ok! No problem at all."
Bihun yang dibungkus dalam plastik bagi memudahkan makan tanpa terlalu jelas kelihatan.
Begitulah seperti biasa perjalanan pengalaman kami di Mahkamah.
Kadangkala dan selalunya, akan masuklah pesanan-pesanan ringkas memberi maklum bahawa sahabat OKT akan lewat datang atau tidak dapat hadir.

"Tolong maklumkan pada peguam ya. Saya lewat datang kerana ada urusan."
"Ok, no problem."

Kadangkala dalam sebulan Tuan Hakim akan menetapkan selama 5 hari untuk perbicaraan dalam dua set tarikh. Kadangkala dalam sebulan lansung tiada. Pernah terjadi Tuan Hakim menetapkan 3 hari berturut-turut. Setiap kali kami datang dengan masa yang ditetapkan pada jam 9am, jam 11 pagi Hakim masuk dan kes ditangguhkan dan berlaku 3 hari berturut-turut.
"Kak macamana ni cuti saya lansung habis tak ada lagi, tak mampu lagi untuk saya ambil cuti tanpa gaji." keluh seorang adik yang sukar lagi untuk mendapatkan cuti.
"Tak apa usahakanlah datang sekejap saja, jam 11 pagi pun ok, lepas tu baliklah ke pejabat." nasihat saya padanya.
Kalau tidak hadir waran tangkap akan dikeluarkan.
Bila hadir waran tangkap akan dihapuskan dengan budibicara Tuan Hakim.
26 Januari 2008 45 orang kami ditangkap kerana berhimpun membantah kenaikan Harga Minyak dan barangan. 27hb januari 2008 kami didakwa oleh seorang Majistret yang baru dilantik secara tergesa-gesa sehari sebelumnya dan kami mengenalinya. Kami merengkuk di dalam penjara selama 3 hari 2 malam.
Sehingga ke hari ini kami masih dibicarakan di peringkat pendakwaan. Berapa tahun telah berlalu 4 tahun dan masih ada beberapa orang saksi yang perlu dipanggil lagi.
Tiada pernah keluar istilah "mengaku bersalah sajalah" senang dan cepat. Habis cerita dan wang juga tidak perlu banyak dihabiskan.
Bayar denda saja.
Ada siapa peduli, ada sesiapa rugi, atau ada yang untung?