Thursday 9 February 2012

Pengembaraan Hope2walk bersama impian semua...


Tinggal beberapa hari sahaja lagi Sham, Fandi dan An-Nur akan berangkat pergi. Pergi yang belum pasti bila mereka akan kembali.
"Ummi, nanti kalau Makcik Sham balik, Asiah dah besar dah masa tu kan Ummi?" tanya Asiah.
Jangkaan setahun di Beijing China. Kemudiannya meneruskan pengembaraan ke destinasi lain pula di United Kingdom.
"Pergilah Sham, pergi. kita usahakan bersama." begitulah lebihkurang komen saya kepada Sham setiap kali kami duduk bersembang dan berbincang tentang keadaan Annisa dan An-Nur. Ya, ketika itu Annisa masih bersama.
Santai di perkarangan Masjid Jamek Kajang di gerai Sham dan Fandi menjadi aktiviti kami ketika itu. Menikmati ABC Nyonya paling sedap sambil menyuap laksa enak gerai Ustazah Siti. Jika lapang kami ke sana. Membuat temujanji dengan Ummi Zumrah. Jauh dari Gombak dan juga Kepong meredah lebuhraya. Kami sanggup.

Ketika keadaan Annisa dan An-Nur sihat dan segar kami dan mereka punya peluang itu.
Tetapi dek kerana sering Annisa dan An-Nur sakit dan perlu dimasukkan ke wad berhari-hari malah mencecah berminggu-minggu dan berkali-kali, maka nasib kedai itu tidak terbela.
Kehidupan mereka juga jadi bertambah sukar hingga terlalu sukar yang menyebabkan saya sendiri tidak tahan melihat kepayahan mereka.
Pagi ini Sham menelefon saya "Kak N, tolong panjangkan jemputan kepada kawan kepada kawan Kak N tu yang bantu beri wang zakat RM500 masa Sham tak ada duit sangat tu."
(Sham sedang membuat persiapan untuk China. Tarikh penerbangannya sudah ada 12.50am 14 Februari ini. Sedikit kenduri Arwah dan kesyukuran sedang dirancangkan untuk dilaksanakan.)
Puas saya memikirkan siapa dia kawan saya yang baik hati itu. Baru saya teringat. Ketika itu Sham memberitahu saya tentang tahap kepayahan mereka. Saya memikirkan cara untuk membantu mereka, puas saya memikirkan kepada siapa saya mahu minta bantuan bagi pihak mereka. Syukur seolah Allah menjawab kerunsingan di hati saya.
Begitulah, Allah menurunkan dari kalangan hambaNya yang sudi membantu. Mengetuk pintu hati-hati HambaNya yang diinginiNya. Baca di sini.
Sejak bulan Oktober lepas, tertubuhlah Hope2walk dengan semangat prihatin kawan-kawan, saudara-mara dan sahabat perjuangan. Yang paling menyentuh hati ialah entah siapa lagi yang tidak pernah kami kenali walau yang dikenali dan kenal baik menunjukkan bermacam ragam dan persoalan.
Kami tidak pernah menoleh ke belakang lagi, terus jalan dan berusaha walau objektfnya seolah sukar untuk dicapai.
RM500,000.00 dalam masa kurang 3 bulan. Sukar, payah namun kami terus berusaha. Sungguh tidak disangka perjalanan menjadi mudah dengan perkenalan dengan En Hasan Suyut dengan pengalaman keluarganya dalam Kembara Atiq Wazif. Beliau sudah mempunyai pengalaman dan pertalian dengan pelbagai organisasi.
Akhirnya sungguh tidak disangka kami dapat berkerjasama dengan Encik Zawahir Abdullah dari Islamic Aid Malaysia, IKIM.FM dan Muzium Negara hingga terjadilah aktiviti Mega Bonanza Amal Hope2walk pada 4hb Februari 2012. Sudah tentu dengan kerjasama pelbagai pihak yang lain lagi.

Pastinya dalam setiap usaha dan perjuangan pasti ada cabaran dan dugaan. Dugaan berat yang ditempuhi ialah pemergian Annisa bertemu penciptaNya. Dijemput kembali kepadaNya pada 9 pagi 22hb Disember 2011. Pemergian yang begitu pantas sekali tika kami semua di Hope2walk sedang teruja melihat keluarga Sham dan Fandi muncul di kaca TV di slot Malaysia Hari Ini liputan kehidupan mereka sekeluarga bersama Annisa dan An-Nur dalam misi mengumpul sumbangan untuk hope2walk.


Setiap yang berlaku itu ada hikmahnya. Bak kata-kata babanya di blog.
Dia menolak untuk ke China, barangkali memberi ruang untuk adiknya kerana untuk mencapai sasaran kutipan masih terlalu jauh. Dia padamkan lilinnya di sini untuk menerangi lilin di kehidupan abadi. Untuk menerangi taman-taman wangi- mempersiapkannya untuk kami menyusul nanti.


InsyaAllah dengan izin Allah jua Impian Hope2walk akan tercapai. Pengembaraan ini bakal bermula. Kami melepaskan anda sekeluarga pergi, walau dengan berat hati kerana kita sering bersama dalam suka dan duka susah dan senang.
Impian untuk satu sinar buat An-Nur....impian Kakak Asiah untuk memimpin tangan An-Nur dan moga satu hari dengan hidup yang diberkati Allah, Asiah juga bakal memimpin tangan Annisa.
Kami di sini akan meneruskan usaha ini bagi meneruskan impian Hope2walk. Sumbangan semua masih diperlukan dan dialu-alukan.
Asiah memimpin tangan Atiq Wazif yang pernah melalui pengembaraan yang awal.

3 comments:

Anonymous said...

Terima kasih kak n.. Saudara, sahabat, kakak ku dunia akhirat...


Sham

kulupSakah said...

Telunjuk lurus digalas ibu , sahabat tulus mengasah hati budi

Rohaniah Noor said...

kami semya mendoakan adik an-nur akan boleh berjalan dan berlari mcm kanak2 biasa... insya Allah