BERSIH. Bila terancam penguasa sanggup lakukan apa saja.
“Ummi, cepatlah Ummi, cepatlah Ummi!” Jerit Asiah girang sangat
sambil menarik-narik tangan kanan saya menghala ke depan. Tangan kiri memegang
tangan Asma’ yang berdiri di belakang.
“Sabarlah Asiah, perlahan-lahan, kenapa ni?” tanya saya kepada
Asiah.
“Dah boleh masuklah Ummi, dah boleh masuk ke Dataran.” Jerit Asiah
lagi masih dalam keadaan yang sangat teruja dan girang sekali.
Masih terbayang wajahnya.
Saya masih bertahan. Sukar juga
saya mahu mempercayainya. Namun dek kerana mahu menurutkan rasa teruja Asiah
yang seolah Dataran itu satu tempat yang bakal membebaskannya dari ‘kesesakan’
yang ada, saya turutinya perlahan-lahan.
“Bagi laluan, bagi laluan!” tiba kedengaran suara jeritan sambil
kelihatan seorang lelaki India dengan tongkat disisinya diusung keluar
berama-ramai. Keadaan sedikit kelam kabut.
Asiah masih menarik-narik tangan
saya ke hadapan. Bersama kami sejak awal berjalan dari hadapan SOGO ialah
Atikah dan Hakim anak-anak Dr Hatta Ramli. Kami sentiasa beriringan dari satu
tempat ke satu tempat. Ada peluang duduk kami duduk, ada arahan duduk kami
duduk walau berhimpit-himpit.
“Buka, buka, masuk, masuk!” tiba-tiba keadaan jadi sungguh kecoh
dengan orang ramai tiba-tiba bertolak-tolak ke hadapan. Saya sudah menghidu
sesuatu bakal berlaku, segera saya menarik tangan Asiah, menjerit nama Atikah
dan Hakim mengajak mereka berpatah balik ke belakang.
Namun semuanya sudah terlambat.
Kami tersepit. Semua cuba menyelamatkan diri. Ketika itulah apa yang saya
jangkakan akan berlaku telah berlaku. Kami tersepit, terhimpit. Tidak perlu
lagi melangkah. Ditolak, ditolak dan ditolak ke hadapan sehingga tidak ada
ruang lagi untuk bergerak. Gerun, takut, bayang-bayang tragedi menghantui diri
saya. Saya tidak ingat jeritan sesiapa, hanya terdengar jeritan Asiah, sayu,
sedih, ketakutan dan trauma.
“Ummi, ummi, ummi!”
Kuat-kuat saya pegang tangan
Asiah di tangan kanan. Kuat-kuat saya pegang tangan Asma’ di kiri. Pada masa
yang sama, gas pemedih mata menyelubungi, kelat, kesat, ketat dada dan hidung.
Asiah terus menjerit.
Saya sudah tidak hiraukan diri
sendiri lagi, tiada masa untuk menarik tuala kecil dan air menutup hidung. Saya
tenangkan diri tarik nafas. Saya harus selamatkan anak-anak saya. Kami masih
tersepit. Wajah Asiah sipi-sipi saya lihat tersepit.
“Tenang Asiah, tenang, jangan jerit jangan nangis.” Berkali-kali
saya tenangkan Asiah.
Asma’ disebelah kanan saya
kelihatan sudah tumbang, jatuh, cepat-cepat saya tarik tangannya dan Asma’
berjaya berdiri dengan stabil semula.
Bagaimana saya mahu
menyelamatakan anak-anak saya. Toleh ke belakang, kosong, lapang hanya gas
pemedih mata memenuhi segenap ruang. Saya harus bertindak segera dari kami
terus terhimpit dan tersepit dan Asiah terus trauma.
Saya mengambil risiko itu,
menarik tangan Asiah dan Asma’ dan masuk ke dalam kepulan asap gas pemedih
mata. Asiah terus-terusan menangis dan menjerit. Asiah sudah hilang kawalan
diri terus, saya tidak berupaya mententeramkannya lagi. Asiah lari lintang
pukang dari saya, melepaskan genggaman tangan saya. Saya hanya mampu menjerit
namanya.
“Asiah! Jangan lari dari Ummi, mari sini.”
“Tak nak, Asiah tak nak.” Asiah terus lari. Dari jauh saya lihat
berkali-kali Asiah jatuh dan bangun. Sambil terduduk saya lihat satu pasangan
Tionghua juga duduk berteleku menyelamatkan diri dari kesesakan. Semua orang
kelihatan cuba menyelamatkan diri masing-masing dari asap gas pemedih mata yang
menyesakkan.
Akhirnya setelah mengumpul
kekuatan sambil tangan sebelahnya kekal memegang tangan Asma’ kami berlari
mendapatkan Asiah dan menyelamatkannya. Datang seorang lelaki memberikan Asiah
garam dan membasuh mukanya. Tanpa segan silu saya merayu kepada lelaki itu, “Encik tolong selamatkan anak saya,
tolonglah.”
Lelaki itu terus duduk dan mengarahkan
Asiah naik ke atas belakangnya. Asiah dibawa lari ke arah kawasan lapang di
sekitar bangunan DBKL.
Pemandangan ketika saya berjaya
keluar dari terhimpit di hadapan kolam DBKL yang didepannya tembok sungguh
menyedihkan. Ramai yang terjun ke dalam kolam seolah tiada tempat lain untuk
menyelamatkan diri. Ramai tertunduk-tunduk dengan baju dan seluar yang hampir
tertanggal untuk cuba melegakan diri dari kesesakan gas pemedih mata.
Pedih mata, pedih lagi hati ini
yang melihat keadaan itu. Suasana seolah di medan perang, walhal ianya tidak.
Kami rakyat biasa tiada bersenjata.
Dari Dataran Merdeka gas pemedih
mata ditembak dan dilontarkan hingga ke Bangunan DBKL. Peluru gas pemedih mata
jatuh bertubi-tubi di sisi saya. Kami masih tidak selamat rupanya.
“Ummi, kenapa, dia orang (polis) buat macam tu, kenapa ummi?” berkali-kali
Asiah bertanya kepada saya dalam keadaan beliau masih terbatuk-batuk dan
termuntah-muntah, dalam esakan. Sayu dan sedih betul untuk saya menjawabnya.
Bila saya gagal memberikannya
jawapan, Asiah bertanya lagi “Bukankah
dia orang (polis) kena jaga kita Ummi.” Saya masih mendiamkan diri dan cuba
memujuknya untuk terus berjalan menyelamatkan diri.
“Sabar ya Asiah, kita jalan ke depan cari perlindungan.” Asiah
masih lagi trauma dan kami cuba mencari tempat untuk berlindung.
Pintu masuk ke DBKL semuanya
dikunci rapat. Pintu cerminnya membuatkan kami dapat melihat terlalu luas ruang
di dalamnya untuk kami dapatkan perlindungan. Polis beruniform dan bervest
hijau memenuhi segenap ruang di dalamnya.
Asiah dalam keadaan yang masih
trauma menjerit-jerit sambil mengetuk-ngetuk pintu cermin DBKL memohon simpati
agar mereka di dalam membukanya dan membenarkannya masuk. Asiah terus
mengetuk-ngetuk sambil menjerit “Bukalah,
bukalah, bukalah” berkali-kali.
Saya lihat setiap wajah dan tubuh
badan anggota polis di dalamnya terus berpeluk tubuh tanpa ada sekelumit
perasaan simpati di wajah-wajah mereka.
“Ummi, dia orang gelakkan Asiah Ummi. Ada polis tu gelakkan Asiah
Ummi.” Sedih sayu suara Asiah. Pedihnya hati. Kami teruskan perjalanan
menyelamatkan diri hingga terjumpa YB Fuziah Salleh yang memegang ‘gas mask’.
Tanpa segan silu saya memohon meminjam dan meletakkan di muka Asiah. Syukur
Asiah kembali tenang. Ramai yang menghulurkan garam, air serta minyak angin
untuk melegakan Asiah.
Akhirnya kami selamat dan saya membawa
Asiah pulang ke bilik penginapan sementara saya dan Asma’ meneruskan perjalanan
di jalanan melihat denyut perjuangan rakyat, anak muda terutamanya yang begitu
kental semangat mereka.
Saya tidak akan melupakan
bagaimana gembira dan terujanya Asiah apabila kami sudah berdiri bersama
ratusan ribu rakyat hampir tiba ke destinasi Bantah dan Duduk akhirnya kami
telah diperdaya dengan membiarkan kami terperangkap di dalam lautan orang ramai
yang kemudiannya dibedil dan dilemparkan dengan gas pemedih mata yang
bertubi-tubi tanpa belas kasihan.
Anak-anak kami yang turut bersama
Ammar, Asma’ dan Asiah bersemangat terus dan tidak akan gentar untuk bersama
lagi kerana sesebuah perhimpunan aman adalah aman hingga pihak berkuasa
memulakan serangan. Itu saya percaya dan akan terus percaya. Perjuangan ini
adalah perjuangan membebaskan rakyat dari ketakutan kepada sang penguasa.
Anak-anak kami dan ribuan anak-anak lagi yang turut serta akan terus berani
untuk membebaskan diri dari kezaliman.
LAWAN TETAP LAWAN.