Thursday 23 October 2008

Jejak keluarga tahanan ISA

Sejak akhir-akhir ini..lebih-lebih lagi sejak penahananan blogger terkenal Raja Petra Kamaruddin, isu ISA begitu meletup-letup sekali. Ada juga kawan-kawan yang mengucapkan tahniah kepada kami di GMI kerana kini rata-rata orang memperkatakan tentang isu ISA terutama sekali mengenai kezaliman ISA.

Sebelum ini ISA telah lama bermaharajalela di Malaysia, telah ramai yang telah ditangkap dan dizalimi di bawah akta zalim ini. Telah ramai ahli keluarga yang menderita. ISA wujud sejak tahun 1960 lagi, ya...telah 48 tahun lamanya..kini di tahun 2008, barulah lebih ramai rakyat Malaysia yang membuka mata tentang akta zalim ini, namun masih ada ramai lagi yang cuba mempertahankan akta yang kuno ini.

Kami di GMI juga baru semenjak tahun 2001 berjuang berhabisan cuba memansuhkan akta ini dan berjuang membebaskan semua tahanan ISA. Di masa yang sama kita cuba sedaya upaya membela nasib ahli keluarga tahanan ISA yang ada sedaya upaya kami dengan pertolongan ramai lagi rakyat Malaysia yang prihatin. Sepanjang bulan Ramadan dengan Pusat Sokongan Keluarga Tahanan ISA GMI dengan bantuan Harakah juga telah berjaya mengumpul wang sumbangan yang kemudiannya kami salurkan kepada semua keluarga tahanan ISA yang ada dalam pengetahuan kami.


Hari ini sekali lagi saya bersama dengan Cikgu Laila cuba menjejaki sebuah keluarga tahanan ISA Puan M.Leela yang tinggal di sebuah blok rumah panjang di Cheras. Oleh kerana kami tidak pakar berapa pakar dengan selok-belok jalan ke kawasan tersebut, saya yang bertolak dari rumah di Gombak setelah menjemput Cikgu Laila di Keramat hanya tiba di rumah Leela pada jam 3.20 ptg. Setiap kali bersusah payah mencari jalan ke suatu tempat kita akan merasa berpuas hati apabila selamat sampai.

Sebenarnya kami juga telah berjanji dengan kumpulan dari Harakah iaitu, En Lutfi, Anis-wartawan dan Wan-jurugambar untuk sama-sama ke sana. Kumpulan dari Harakah datang dari Tanjung Malim selesai menziarahi bekas tahanan ISA, Sanjeev yang lumpuh akibat seksaan SB. Akhirnya mereka juga selamat sampai ke rumah Leela.

Seperti biasa hati pasti sedih bercampur geram mendengar cerita-cerita nasib keluarga tahanan ISA terutama sekali penderitaan isteri dan anak-anak. Leela kini menumpang tinggal bersama ayahnya yang sakit dan tidak bekerja. Bersama mereka juga tinggal seorang lagi adik Leela bersama 3 orang anaknya yang sudah ditinggalkan suami.

Kami bertanyakan kepada Leela tentang anaknya..maka dia pun menceritakan kisah anaknya yang dimaklumkan oleh doktor sebagai ada masalah mental..sambil dia menunjukkan kearah kepala seolah anaknya yang baru berumur 3 setengah tahun itu memang sakit mental. Terkejut juga mendengarnya...katanya anaknya begitu lasak dan ganas dan sering melukakan dirinya sendiri seperti menggigit2 tangannya. Saya katakan mungkin bukan sakit mental tetapi mungkin ada Dyslexia atau autistic. Dia seperti putus asa dengan nasibnya dan nasib anaknya, dia katakan kadang-kadang dia terasa seperti hendak membunuh anaknya dan dirinya sendiri. Mungkin kerana tekanan yang hebat lantaran suami yang ditangkap dan ditahan tanpa bicara.

Kami semua memberikannya nasihat dan memujuknya bersabar dan berusaha bersama-sama untuk cuba membebaskan suaminya.


Kami juga bertanyakan kepadanya apakah tuduhan yang dikenakan kepada suaminya...katanya suaminya dituduh sebagai orang yang membuat pasport, platik pasport dan kad pengenalan palsu. Yang nyata sudah tentu suaminya tidak terlibat. Sebelum ditangkap mereka berdua mempunyai sebuah kedai jahit dan mereka mengambil upah menjahit dan mempunyai beberapa orang pekerja yang datang dari India. Kini setelah suaminya ditangkap, segalanya telah hilang termasuk kedainya terpaksa ditutup. Kini Leela dan adiknya mencari nafkah dengan mencari tong fire extinguisher yang sudah expired dicuci dan dijual semula. Itulah sumber rezeki mereka sekeluarga.

Leela juga tidak dapat menziarahi suaminya selalu kerana masalah anaknya, suaminya juga tidak menggalakkannya untuk pergi selalu. Dia kini cuba meneruskan kehidupan dan menghilangkan keresahan di hatinya dengan menganggap bahawa suaminya sedang bekerja jauh di luar negara. namun pada hakikatnya suaminya terkurung di penjara tanpa dapat memberikan sebarang nafkah kepadanya sekeluarga. Begitulah zalimnya ISA yang terus menerus menahana seseorang tanpa dibicarakan.

Kami akhiri pertemuan kami dengan menyampaikan sumbangan kepada Leela untuk mengurangkan bebanan mereka sekeluarga.
Terlupa pula saya mencatatkan bahawa suami Leela, seperti tahanan ISA yang lain juga turut diseksa oleh SB dan polis ketika ditahan selama 60 hari. Namun Leela tidak mendengarnya dari mulut suaminya. Suaminya mengatakan kepadanya bahwa dia tidak diseksa, namun Leela hanya mengetahui bahwa suaminya turut diseksa dari cerita yang beliau dengar dari Sanjeev Kumar. Katanya suami diseksa dengan bulu di dadanya dicabut2 dan serangga seperti lipas yang banyak diletakkan di dalam seluarnya. Itu mungkin hanya sebahagia dari seksaan yang diterimanya selama ditahan di bawah ISA....mengapa mereka perlu diseksa??????

2 comments:

Abang Long said...

Ingat. Janji ALLAH adalah benar.

Allah Maha ADIL.

ummu asiah said...

abg long

moga Allah beri kita kekuatan dan kesabaran untuk terus berjuang hingga Keadilan tertegak