Travelog Peniaga 'Bundle' Pasar Tani: Kak Wok yang baik hati.
Jumaat 6 Disember 2012:
Masuk minggu ke 5 melakukan kerja ini. Berjualan 'bundle' di Pasar Tani UPM Serdang berhadapan Masjid Jamek.
Kami, saya dan Raja Rohaisham membuat keputusan 6 minggu yang lepas untuk meneruskan usaha murni seorang kakak menjual barangan terpakai di sini. Hasil jualannya ialah bagi membantu rumah anak Yatim Ummu Salamah di Terengganu. Namun kakak ini tetap masih membantu walau dia sibuk dengan urusan menghabiskan PHDnya.
Sampai bila kami mampu bertahan
agaknya belum tahu lagi. Moga kami diberi kekuatan semangat dan sihat tubuh badan. Saya khususnya menumpang mencari rezeki di sini menjual produk TUPPERWARE. Keluar rumah seawal jam 6.30 pagi dari Gombak menuju ke Serdang. Berniaga di bawah terik mentari.
Minggu ini khemah berjaya dinaikkan bagi melindungi bahang
panas pagi yang terik. Ada pakcik-pakcik peniaga yang datang membantu
menegakkan khemah yang diinfaqkan ini.
Kami gembira berjualan di sini. Berpeluang berkenalan dengan pelbagai lapisan masyarakat. Saya suka dengan masyarakat di sini. Suasana kekampungan wujud di sini. Tolong menolong tanpa hasad dengki.
Setiap habis Jumaat saya menanti tiba Jumaat satu lagi dengan penuh keterujaan. Bertemu kembali dengan pelanggan-pelanggan setia kami juga peniaga-peniaga yang setia mencari rezeki di tapak Pasar Tani ini. Mereka baik hati. Ada yang pasti tidak melepaskan peluang untuk membeli setiap minggu, kerana mereka tahu wang itu akan masuk ke dalam tabung sumbangan. Harga RM 2 mereka beri RM5.
Saya juga gembira kini apabila saya mengemas rumah jika ada baju yang masih elok dan sudah tidak boleh dipakai akan dikumpul dengan kemas dan dibawa untuk dijual. Jumaat lepas Kak Wok seorang pesara yang berniaga nasi lemak dengan gembiranya datang memborong baju-baju T Muslimah ini. Beliau dan suaminya yang sudah berusia lebih 50 tahun bersama kawan-kawan mereka akan mendaki Gunung Kinabalu. Hebat mereka. Mereka akan ke sana hujung minggu ini. Saya harap dipanjangkan umur Jumaat ini dapat bertemunya lagi dan merakamkan wajahnya. Oh! Kak Wok juga akan mengumpul rakan-rakannya bagi memulakan senamrobik Tae Kwan Do Aerobik yang disarankan oleh Sham. Semangat betul!
Jumaat lepas kami memesan kepadanya untuk menghantar nasi lemak lengkap dengan air panas untuk kami bersarapan. Baru minggu ini kami dapat bersarapan dengan sempurna. Alhamdulillah.
Perjuangan sedikit ini akan kami teruskan.
Manjadda wajada.
No comments:
Post a Comment