Friday 21 December 2012

Siswa Occupy Dataran dihukum penjara sebulan. bangkitlah Rakyat!


Umar Mohd Azmi (kiri) Mahasiswa yang ditangkap dalam aksi 'Occupy Dataran mendesak Mansuh PTPTN dijatuhkan hukuman penjara sebulan dan denda RM1000.

Menurut peguam Puspa Rosman "kami memohon pergantungan perlaksanaan hukuman sementara rayuan, Timbalan Pendakwaraya tiada bantahan tetapi Majistret enggan benarkan."

Peguambela tetap cuba menegakkan keadilan buat Adik Umar dengan cuba sedaya upaya menyediakan deraf notis rayuan, notis usul untuk pergantungan perlaksanaan, afidavit dan certificate of urgency untuk Umar dan akan diserahkan hari ini juga.

Kita harus berasa marah dengan situasi ini. Bagaimana dengan kesalahan lain, penjenayah, perogol, perpmpak, perasuah malah pembunuh dibiarkan lepas bebas.

Rakyat terus dizalimi.

Baca di sini. Siswa Occupy Datarn di hukum penjara sebulan.

Bangkitlah Rakyat!

Thursday 20 December 2012

Akibat 'Perhimpunan Haram'

(9 dari 13 orang OKT Ops Bubar DUN Perak bergambar selepas hari pertama sebutan kes pada Mac 2009. Faiz dua dari kanan, sebelahnya Tuan Haji Isha.)
" Hj Amin, macam mana ni, semalam seorang tak hadir, sekarang seorang lagi minta tak hadir. Berapa tahun lagi kes ini nak habis." Puan Norsalha, Puan Hakim untuk kes 'Ops Bubar DUN Perak' menegur Tuan Haji Aminuddin peguambela untuk kes ini.
Sejak kes bersambung pada Isnin 17 hb Disember, Tuan Haji Isha tidak hadir kerana sedang berada di Hospital di Kuala Lumpur menjalani pembedahan. Puan Hakim sudah memberi arahan agar sijil sakit segera dihantar hari ini atau waran tangkap akan dikeluarkan.
Manakala Faiz Arshad pula memohon pengecualian agar dia dapat pergi menghadiri temuduga kerja yang akan diadakan hari ini.
Faiz ketika ditangkap pada 6hb Februari 2009 adalah seorang pelajar di Kolej Islam Darul Ridzuan yang terletak tidak jauh dari Masjid Ubudiah di mana kejadian tangkapan berlaku-Perhimpunan Aman membantah perlantikan Menteri Besar Haram Perak.
Semalam 19hb Disember dua orang sahabat Faiz, Hashim Ahmad dan Zulkifli dipanggil menjadi saksi awam bagi pihak pembelaan. Mereka berdua turut bersama Faiz ketika kejadian.
Peguam kami Tuan Haji Aminduddin memaklumkan mereka berdua ini sekarang sudahpun menamatkan pengajian dua tahun mereka di Universiti Muqtah, Jordan dan pulang bekerja dan kini menjalani praktikal di sebuah sekolah di Sarawak. Faiz juga mendapat tawaran yang sama namun terpaksa ditolak kerana kes ini tidak membenarkan beliau melanjutkan pelajarannya di luar negara.
Entahlah, saya mungkin tidak memahami proses undang-undang. Namun saya berpengalaman melalui dua lagi kes yang lain juga berkaitan dengan tangakapan di perhimpunan aman. Untuk kedua tersebut juga membabitkan OKT yang ke luar negara melanjutkan pelajaran mereka masing-masing.
Kata seorang OKT, "patutnya Faiz bangun dan menyatakan bahawa dia sudah melepaskan peluang untuk melajutkan pelajaran, berilah peluang kali ini untuk pergi temuduga kerja pula."  Faiz akur dengan arahan Puan Hakim, "Telefon Pengarah syarikat ini dan maklumkan ada kes di sini." *Noktah*
"Tidak mengapa, Insyaa Allah, Allah akan sediakan peluang yang terlebih baik lagi." Kata seorang lagi OKT kepada Faiz sambil menepuk-nepuk bahu Faiz.
Ya, begitulah caranya kita mententeramkan hati. Allah lebih berkuasa, Allah tahu apa yang lebih baik buat kita. 
Bila sesuatu dugaan berlaku kita rasa seolah satu batu besar yang menghempap ke dada. Sesak. Sedih. Seolah sukarnya mahu nampak cahaya di hujung terowong itu. Namun bila ianya berlalu kita tidak sedarpun betapa Maha Mendengar dan Maha Mengasihaninya Allah pada hambaNya yang memudahkan urusan kita. 
Inilah yang telah kami lalui sepanjang hampir 4 tahun kes ini berlangsung. saya dapat memahami kekecewaan dan kesedihan itu bila mana suami sendiri terpaksa melepaskan peluang bekerja di luar negara yang memberikan pendapatan yang lebih. 
Perbicaraan kes 'Ops Bubar DUN Perak' bersambung hari ini jam 10.30 pagi. Bekas Aktivis Mahasiswa Shazni Munir dipanggil menjadi saksi. Kumpulan mereka pada hari kejadian telah berucap dengan sungguh bersemangat sekali sekitar jam 4 petang. Polis dan SB di sekeliling berlonggok namun tiada tangkapan dibuat.
Bila masanya sesebuah perhimpunan rakyat menjadi 'Haram' hingga segelintir perlu ditangkap, dipenjarakan, didakwa dan dibicarakan bertahun lamanya
. Ini persoalan yang kita mahu jawapannya di dalam mahkamah ini kerana mereka yang ditangkap didakwa berada di perhimpunan haram dan gagal bersurai.
"Kalau ini dibenarkan dengan alasan mandat susah nanti bila kes ini masuk ke Mahkamah Tinggi." tambah Puan Hakim lagi. Aduh, harapan kami biarlah ianya berakhir dengan baik dan cepat. 
Menang atau kalah, Allah jua yang berkuasa menentukannya. Apa yang kami tahu kami tidak bersalah dan kami berkumpul untuk menyatakan yang benar. Melawan kezaliman.
Bangkitlah Rakyat!

Wednesday 19 December 2012

Auntie BERSIH-Tetamu Istimewa OKT 'Ops Bubar DUN Perak'

Kalau mahu dikira berapa kali kes ini berjalan, saya memang tidak mengira berapa kali atau berapa hari. Kalau mahu disebutkan berapa kali kami hadir dan kes ini ditangguhkan saya juga sudah tidak ambil pusing walau bila ianya berlaku sudah pasti hati kecewa. Buang masa, buang tenaga, buang wang ringgit. Oh, tetapi ianya tidak sepatutnya dirasakan begitu. Ini adalah perjuangan, maka teruskan.

Ada kalanya ada sahabat-sahabat yang turut serta hadir beri sokongan. Adakalanya hanya kami, OKT beserta isteri dan saudara.
(PAS Kawasan Kuala Kangsar kehilangan seorang petugas parti yang gigih apabila kembali ke Rahmatullah Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasannya , Ahmad Mokhtar Mutalib)
Pada suatu ketika kami ada seorang penyokong yang sangat prihatin. Beliau sering hadir hinggalah kesihatannya merosot dan akhirnya beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir. Sekali sekala bila ada rakan yang hadir terasa meriah dan bertambah semangat. 
Isnin 17hb Disember saya dan suami membawa bersama kami Auntie ‘Bersih’, Auntie Anne setelah berjumpa dengan beliau di Perhimpunan Kebangkitan Rakyat Perak di Seri Iskandar. Kebetulan kami bermalam di Hotel yang sama, maka saya mempelawanya mengikut kami ke Kuala Kangsar sekiranya beliau tidak ada perancangan lain.
“Ada tempatkah di dalam kereta Nashita?” tanyanya sopan.
“Sudah tentu, Cuma saya, suami dan anak saya Asiah.” Gembira saya mempelawanya kerana saya tahu pasti rakan-rakan OKT yang lain akan turut gembira, juga peguam-peguam kami yang setia.
Kami bertolak dari Seri Iskandar menuju ke Kuala Kangsar.  Sepanjang perjalanan diisi dengan perbualan mengenai perjuangan dan aktiviti masing-masing. Saya menceritakan kepadanya detik bermula aktiviti kami dan beliau menceritakan detik mula penglibatannya. Beliau tidak dapat mengingati dengan jelas. Namun katanya “pada masa itu semua pakai kuning dan bergerak ke Istana Negara.”
“Oh itu pasti BERSIH 1, November 2007.” Sejak itu Auntie Anne sering mengikuti perkembangan semasa.
Memang beliau seorang yang ‘famous’. Ramai yang mengenalinya dan ingin bergambar dengannya.
Kami tiba di Kuala Kangsar jam 9.30 pagi. Saya bawa dia ke tempat di mana kami berkumpul untuk sarapan pagi sebelum bergerak ke Mahkamah. Saya tunjukkan kepadanya antara OKT-OKT yang sering bermurah hati membayar semua wang juadah kami.
Sebaik sampai di Mahkamah dari jauh ternampak dua orang peguam kami yang dedikasi, Haji Aminuddin dan Augustine Anthony. Ternyata mereka gembira dan bersemangat menerima tetamu kali ini.
Masuk di dalam Mahkamah saya perkenalkan Auntie Anne kepada setiap OKT dan sedikit latarbelakang siapa mereka dan apa yang berlaku kepada mereka ketika ditangkap. Merah muka Auntie Anne menahan rasa. 
Sambil menunggu Auntie Anne meminta saya menaip mesej di dalam handphonenya tentang apa yang sedang dia lakukan supaya dia dapat menghantarkan kepada temannya untuk dimuatkan ke dalam laman facebook.
Ini yang saya catatkan, “Saya kini sedang berada di dalam Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar mengikuti perbicaraan kes ‘Ops Bubar DUN Perak’. Melibatkan 13 orang yang ditangkap pada 6 Februari 2009 di perhimpunan aman membantah perlantikan Menteri Besar Perak. Beri sokongan."
Kebetulan pula pada pagi tersebut yang sepatutnya membawa beberapa orang saksi awam, namun mereka tidak dapat hadir maka saya telah dipinta untuk menjadi saksi bersama seorang lagi isteri OKT. Saya gementar.
Auntie Anne memberikan sokongan kepada saya. Saya dapat lihat beliau di dalam galeri memberikan semangat itu.
Bila selesai dia memberitahu yang dia bertanyakan anak saya Asiah apakah dia boleh bersorak dan bertepuk tangan memberikan semangat bila saya berikan keterangan. Semangat sekali.
Saya tidak tahu dengan jelas apakah perasaan beliau setelah separuh hari bersama kami ‘travel’ ke Mahkamah, duduk di dalam Mahkamah dan lihat sedikit proses perbicaraan yang berjalan. Sedikit dari banyak hari dan jam yang perlu kami habiskan di dalam Mahkamah. Kos yang perlu kami tanggung, sedikit keperitan yang perlu kami lalui.
Akhirnya dia menulis sedikit nota apa yang mesti dikongsikan setelah mendengar cerita dan setelah saya menunjukkan gambar buku-buku nota yang dipenuhkan dengan tulisan mengenai kes yang berlansung.
Katanya saya mesti menulis dan menerbitkan buku sekurangnya mendapat pulangan bagi membayar segala kos yang perlu ditanggung.
(koleksi buku nota yang pernah digunakan untuk menulis setiap soal jawab antara peguam, pendakwaraya, Puan Hakim dan saksi)
“When, so when?” berulangkali dia bertanyakan. Saya tidak mahu beri jawapan, saya mesti lakukan. Sekurangnya…inilah kisah kami..kami pernah melalui ini demi melawan kezaliman.
Selesai perbicaraan ditangguhkan beliau pulang sendirian meneruskan perjalanannya. Sedih pula lepaskan Auntie 'Bersih' Anne pulang sendirian walau dia datang dari Kuala Lumpur sendirian menaiki bas. Bertolak jam 6.30 petang dari Kuala Lumpur. Tiba di Nibong Tebal jam 1 pagi untuk ke Himpunan Kebangkitan Rakyat Pulau Pinang. Menaiki bas ke Gopeng dan berjalan kaki ke Ipoh di waktu malam. Hebat. Semata-mata untuk ke Himpunan Kebangkitan Rakyat. Katanya "I don't want to trouble you anymore." Tidak lansung. Semua gembira dia hadir beri sokongan.
Kami tidak memaksa sahabat dan penyokong bersusah payah hadir, namun kehadiran anda dinantikan dan menambahkan kemanisan dalam perjuangan.
Perjuangan tetap akan diteruskan walau disulami keperitan, tangisan, marah. Episod yang ini khusus untuk kemarahan kami tentang peristiwa rampasan kuasa Perak. Kuasa ini wajib dikembalikan kepada pemerintahan pilihan rakyat.
Bangkitlah Rakyat!


Tuesday 18 December 2012

Rampasan Kuasa Perak-Bangkitlah Rakyat!

Setelah 5 tahun keluar masuk mahkamah menjadi seorang OKT, Orang Kena Tangkap untuk 3 kes tangkapan di Perhimpunan Aman, tarikh semalam 17hb Disember 2012 adalah bersejarah buat saya.
Di dalam Mahkamah pada pagi itu tiba-tiba peguambela Augustine Anthony memanggil saya dan memohon saya untuk menjadi saksi pihak pembelaan memandangkan saya ada pada hari kejadian.
"Huh! jadi saksi?" Ikut hati lansung saya tidak mahu. Saya tidak suka cara pihak pendakwaraya bertanyakan soalan kadangkalanya. Membuat hati panas dan geram.
Kali ini saya tidak boleh mengelak. Minggu ini sepatutnya bermula dengan sesi mengambil keterangan untuk saksi awam setelah selesai kesemua 13 orang OKT memberikan keterangan mereka di kandang saksi. Termasuk suami saya sendiri.
Saya perlu memberikan keterangan bagi membela suami saya juga OKT yang lainnya.
Saya mungkin telah sedikit tersalah memberikan jawapan namun saya puas hati juga dengan jawapan yang saya berikan terutamanya dalam isu 'Perhimpunan Haram'. Memang saya sensitif dengan istilah 'Perhimpunan Haram' apatah lagi istilah 'Rusuhan'.
Soalan peguambela juga ada menyebut tentang Perhimpunan Haram dan saya jelaskan ianya Perhimpunan Aman. "There is no such thing as Perhimpunan Haram."
Timbalan Pendakwaraya terus 'picked up' istilah itu dan bertanyakan tentang perkara tersebut.
Saya menjelaskan "Setiap manusia setiap rakyat ada hak untuk bersuara menyatakan rasa tidak puas hati dan marah bila mereka dizalimi dan hak mereka dirampas. Sebagai contoh bila kerajaan Barisan Nasional merampas kerajaan Pakatan Rakyat Perak, rakyat marah dan bersuara."
Bila Timbalan Pendakwaraya bertanya lagi tentang ini saya menjawab "Sebagai orang Islam juga kita wajib bersuara bila dizalimi. Sebagai contoh bila rumah yang kita beli dan miliki dirampas orang kita tidak boleh berdiam diri dan mestilah menyuarakan hak kita."
Apa yang jelas saya terangkan kami ke sana dengan tujuan untuk merakamkan suasana. Ada solat hajat dan munajat. Merakamkan keberanian rakyat bangkit menentang kezaliman  ke atas mereka. Kami bukanlah wartawan hanya sekadar penulis blog yang mengikuti perkembangan isu-isu hak asasi manusia, politik dan aktiviti rakyat yang berani.
Dengan niat untuk berkongsi. Saya anggap diri saya sebagai seorang wartawan bebas yang ingin menyampaikan.
 (Aksi suami saya ketika mahu mengambil rakaman gambar Himpunan Kebangkitan Rakyat Perak di Seri Iskandar. Memanjat trak Demi Rakyat)
Ketika suami saya ditangkap di Perhimpunan Aman Membantah Perlantikan Menteri Besar Perak (Haram) beliau sudah memulakan minat dan 'kerjayanya' sebagai jurugambar. Kamera ada di lehernya ketika ditangkap. Soalan yang ditanya kepadanya di dalam kandang saksi juga berkaitan dengan ini. Semalam sebagai saksi saya juga ditanya tentang ini.
Keterangan saya ialah suami saya mengambil gambar dan saya memasukkannya ke dalam blog. Tugas ini secara sukarela untuk menyampaikan kepada rakyat di luar sana suasana yang sebenarnya walau kita tidak dapat hadir di sana.

 (rakaman gambar dengan wajah-wajah ribuan yang hadir di Himpunan Kebangkita Rakyat Perak)
Soalan akhir dari peguambela dalam sesi soal balas kepada saya ialah "Apakah Puan masih menjadi seorang wartawan bebas?"
Jawapan saya ialah "Ya, saya masih menjadi seorang wartawan bebas, cuma dengan lebih pantas lagi."

Sunday 9 December 2012

Travelog Peniaga 'Bundle' Pasar Tani: Kak Wok yang baik hati.

Jumaat 6 Disember 2012: Masuk minggu ke 5 melakukan kerja ini. Berjualan 'bundle' di Pasar Tani UPM Serdang berhadapan Masjid Jamek. 

Kami, saya dan Raja Rohaisham membuat keputusan 6 minggu yang lepas untuk meneruskan usaha murni seorang kakak menjual barangan terpakai di sini. Hasil jualannya ialah bagi membantu rumah anak Yatim Ummu Salamah di Terengganu. Namun kakak ini tetap masih membantu walau dia sibuk dengan urusan menghabiskan PHDnya.

Sampai bila kami mampu bertahan agaknya belum tahu lagi. Moga kami diberi kekuatan semangat dan sihat tubuh badan. Saya khususnya menumpang mencari rezeki di sini menjual produk TUPPERWARE. Keluar rumah seawal jam 6.30 pagi dari Gombak menuju ke Serdang. Berniaga di bawah terik mentari.



Minggu ini khemah berjaya dinaikkan bagi melindungi bahang panas pagi yang terik. Ada pakcik-pakcik peniaga yang datang membantu menegakkan khemah yang diinfaqkan ini. 

Kami gembira berjualan di sini. Berpeluang berkenalan dengan pelbagai lapisan masyarakat. Saya suka dengan masyarakat di sini. Suasana kekampungan wujud di sini. Tolong menolong tanpa hasad dengki.

Setiap habis Jumaat saya menanti tiba Jumaat satu lagi dengan penuh keterujaan. Bertemu kembali dengan pelanggan-pelanggan setia kami juga peniaga-peniaga yang setia mencari rezeki di tapak Pasar Tani ini. Mereka baik hati. Ada yang pasti tidak melepaskan peluang untuk membeli setiap minggu, kerana mereka tahu wang itu akan masuk ke dalam tabung sumbangan. Harga RM 2 mereka beri RM5.

Saya juga gembira kini apabila saya mengemas rumah jika ada baju yang masih elok dan sudah tidak boleh dipakai akan dikumpul dengan kemas dan dibawa untuk dijual. Jumaat lepas Kak Wok seorang pesara yang berniaga nasi lemak dengan gembiranya datang memborong baju-baju T Muslimah ini. Beliau dan suaminya yang sudah berusia lebih 50 tahun bersama kawan-kawan mereka akan mendaki Gunung Kinabalu. Hebat mereka. Mereka akan ke sana hujung minggu ini. Saya harap dipanjangkan umur Jumaat ini dapat bertemunya lagi dan merakamkan wajahnya. Oh! Kak Wok juga akan mengumpul rakan-rakannya bagi memulakan senamrobik Tae Kwan Do Aerobik yang disarankan oleh Sham. Semangat betul!

Jumaat lepas kami memesan kepadanya untuk menghantar nasi lemak lengkap dengan air panas untuk kami bersarapan. Baru minggu ini kami dapat bersarapan dengan sempurna. Alhamdulillah.

Perjuangan sedikit ini akan kami teruskan.

Manjadda wajada.