Monday, 21 April 2008

Duka Mereka..."Berat Mata Memandang, Berat lagi Bahu Yang Memikul"

"Hindraf ISA Detainee Vasantha Kumar's daughter admitted in Pantai Medical Center Cheras. She is missing her father dearly". Saya menerima sms ini dari Puan Vickneswary isteri tahanan ISA Hindraf, Vasantha Kumar. Mungkin Vickneswary menyimpan nombor handphone saya setelah beberapa kali saya berhubung dengannya ketika kami dari GMI ingin mendapatkan salinan laporan polis yang dibuat berhubung kes suami beliau didera mentalnya melalui soal siasat oleh SB ketika berada di Kem Kamunting. Saya juga telah berjumpa Vickneswary di Mahkamah Jalan Duta ketika judgement untuk kes Habeas Corpus suaminya dan tahanan ISA Hindraf yang lain diadakan di sana. Dimana, Mahkamah telah menolak permohonan Habeas Corpus tersebut, maka 5 orang tahanan Hindraf terus menerus ditahan di bawah ISA seperti nasib semua tahanan ISA yang lainnya.

Semasa saya berada di perkarangan Mahkamah Jalan Duta, kesemua isteri dan ahli keluarga tahanan ISA tersebut kelihatan sedih, lesu dan tak bermaya. Apa tidaknya suami mereka yang tidak dibuktikan kesalahan telah terus ditahan tanpa dibicarakan. Mereka akan melalui detik-detik kehidupan yang sama yang pernah saya lihat dilalui oleh beratus-ratus orang ahli keluarga tahanan ISA yang lain. Anak-anak kehilangan kasih sayang seorang bapa. Mereka akan terus merindui bapa mereka yang telah dibawa pergi, tidak tahu bila akan kembali. Mereka tidak memahami apa kesalahan bapa mereka. Apa yang mereka tahu, bapa mereka adalah orang yang baik, penyayang dan sering membantu orang lain yang di dalam kesusahan dengan cara mereka sendiri.

Oleh itu bila saya menerima sms tersebut, dengan segera saya membalasnya dengan panggilan telefon untuk bertanyakan khabar. Saya terus berjanji akan menziarahinya keesokan harinya. Saya mengatur rancangan untuk menziarahi Vickneswary dan anaknya bersama dengan seorang isteri Tahanan ISA-6 Tahun, Cikgu Laila.

Kami tiba di Pusat Perubatan tersebut pada jam 2.30 petang. Kelihatan di hadapan bilik tersebut ada beberapa orang penyokong Hindraf dan ahli Keluarga. YB R.Sivarasa-Ahli Parlimen Subang, juga ada bersama. YB adalah seorang peguam yang memperjuangkan Hak Asasi Manusia terutamanya mengenai isu ISA. Ahli keluarga dan penyokong Hindraf tersenyum dan menunjukkan rasa berbesar hati menerima kedatangan kami berdua. Kedatangan kami menunjukkan sokongan kami tidak mengira bangsa dan agama. Selagi mereka adalah mangsa ISA kami akan tetap membantu memberikan sokongan dan bantuan. InsyaAllah.

Uniknya mengenai kisah 5 orang tahanan ISA Hindraf ini ialah, sebaik penangkapan mereka di bawah akta ISA, ramai sekali kaum India yang bangun bersama menuntut agar ke 5 mereka dibebaskan segera. Majority dari mereka baru mula mengetahui tentang apa itu ISA sebenarnya. Setiap kali ada perjumpaan atau program mengenai ISA yang bersangkut paut dengan 5 orang tahanan tersebut, pasti setiap dewan atau majlis tersebut diadakan akan 'full house' hingga melimpah ruah. Begitulah adanya, bagaimana, lebih ramai lagi yang tahu bahawa di Kem Kamunting masih menyimpan ramai lagi tahanan ISA selain dari 5 orang tahanan Hindraf.

Cikgu Laila berkongsi pengalaman bersama Vickneswary mengenai nasib yang pernah dilaluinya selama 6 tahun menjadi isteri tahanan ISA. Vickneswary pula menceritakan apa yang sedang dilaluinya. Beliau berpeluang menziarahi suaminya setiap minggu di Kem Kamunting dengan bantuan dari ahli keluarga suaminya yang tinggal di Johor dan juga keluarganya sendiri yang tinggal di Kedah. Walaubagaimanapun dia masih sukar untuk menceritakan perkara yang sebenar kepada 2 orang anaknya yang berumur 6 dan 4 tahun tersebut. Beliau mengatakan yang ayah mereka berada di hospital..tetapi anak-anaknya akan bertanya, 'kalau hospital, mengapa tak ada doktor?".....Beliau juga runsing memikirkan nasib yang perlu dilaluinya lebih-lebih lagi dalam masalah kewangan. Satu masalah yang terpaksa dtanggung oleh semua keluarga tahanan ISA. Apa tidaknya seorang ketua keluarga diambil pergi begitu sahaja. Segala punca pendapatan hilang begitu sahaja dalam sekelip mata.

Kami di Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) hanya dapat terus membantu dengan terus-terusan mengadakan kempen untuk menyedarkan masyarakat mengenai kezaliman ISA dan terus menerus mendesak kerajaan untuk membebaskan ke semua tahanan ISA atau bicarakan mereka di Mahkamah dan buktikan kesalahan mereka sekiranya ada. Jika tidak mereka WAJIB dibebaskan segera.

InsyaAllah satu pertemuan di antara Pusat Sokongan Keluarga Tahanan ISA-GMI dan ahli keluarga tahanan ISA Hindraf akan diadakan dengan bantuan YB R. Sivarasa. Semoga pertemuan ini akan mengukuhkan lagi perjuangan menentang kezaliman ISA.

3 comments:

NURAZZAH8 said...

ummu asiah, boleh bagi emel tak? saya hendak menanyakan sesuatu perkara yg agak personal...
sila balas ke emel saya:
nurazzah8@yahoo.com

terimakasih.

Neeza Shahril said...

kesian anak yang rindukan ayahnya... tak pernah terfikir ke orang2 yang menahan orang lain tu, kalau lah perkara sedemikian terjadi kepada anak2 mereka... belum kena belum tahu kan.. semoga ayahnya dilepas kan segera...

ummu asiah said...

Neeza..memang kesian pada anak2 especiallynya..so far yang kami tahu dah ada 2 orang anak remaja yang mengalami masalah jiwa. ada juga anak yg ayahnya ditahan masa dia dlm kandungan.just imagine now umur dah 6 thn..macamana dia nak kenal ayah dia sendiri??..ayah ada tapi macam tak ada..