Thursday, 11 November 2010

Moga impian terlaksana: Diari Seorang Suri Rumah.

Sejak beberapa minggu hingga berganti bulan dan seterusnya berganti tahun sudah, hati saya benar-benar terpaut dengan usaha-usaha ibu-ibu dan kawan-kawan yang menjalankan perniagaan mereka secara online. Pelbagai jenis perniagaan diusahakan dengan bidang kepakaran dan minat masing-masing.

Saya sendiri amat berminat membuka sebuah kedai buku. Cuba juga menceburkan diri di dalam usaha menyediakan laman blog untuk mengusahakan perniagaan secara online...namun rahsia tidak bergeraknya usaha saya ini ialah kerana saya tidak fokus...tidak bersungguh. Jadi saya tidak perlu menilai di mana silapnya kenapa ianya tidak berhasil.

Namun saya masih berusaha...niat tersebut tetap tertanam jauh di sudut hati.

Dua hari lepas saya membaca di laman Facebook Puan Ainon Mohd dari PTS tentang niatnya untuk menjalankan kursus percuma bagi mereka yang ingin membuka kedai buku.

Ainon Mohd. Iklan! Saya merancang mahu mengadakan kursus percuma dengan tajuk "Membuka Bisnes Kiosk Buku dalam Supermarket" Adakah tuan berminat hadir?


gambar dari laman Facebook Puan Ainon

Sungguh teruja membacanya dan saya menjadi antara yang terawal memberikan respon:

Nashita Md Noor
Minat!! saya dengan ajakan teman FB Ronasina dan isteri telah buat tempahan satu kiosk di Pusat Beli Belah Metro di Kajang. Sewanya agak murah. Jadi saya booking saja dulu satu tapak.

Saya memang sangat berminat untuk memiliki sebuah kedai ...buku..macam rezeki pula kalau dapat hadiri kursus ini..harap kesampaian.

Moga tercapai cita-cita ini...niat untuk meneruskan usaha menjalankan bisnes online akan tetap saya teruskan moga akan beroleh hasil juga dari usaha duduk-duduk di hadapan komputer..

Hari semalam saya menghabiskan masa yang agak lama di hadapan komputer melawat beberapa tapak perniagaan terutama sekali yang berkait rapat dengan dunia buku.

Sungguh bangga disamping teruja dengan usaha pasangan suami isteri ini dengan perniagaan mereka...mari kita sama-sama lawati dan lihat hasil usaha pasangan yang amat muda ini...

BELI BUKU ONLINE

Cuba pula lihat hasil bakery yang sungguh cantik ini...memang kreatif dan perlu daya usaha yang cukup tinggi...tahniah...

NAJAH HOMMADE CAKES

SELAMAT MAJU JAYA UNTUK SEMUA YANG BERUSAHA!!!

(Isshh..tak nak hilang pula tanda italic ni!!!)

"PADAN MUKA TV3!": Diari Seorang Suri rumah 11-11-10

Sedang tangan membilas pinggan mangkuk yang berlonggok di dalam sinki, fikiran melayang ke merata pelusuk alam. Sambil mata menikmati keindahan langit yang cerah di depan mata, akal fikiran ligat memikirkan bermacam perkara.

Tangan sempat juga menghulurkan ikan kepada kucing-kucing pelarian di belakang rumah. Ikan bakar yang sudah lama terperuk di dalam peti sejuk, hingga Asiah anak yang bongsu menegur umminya dua hari yang lepas:

"Ummi...ummi tahu tak lauk yang dalam peti ais tu dah lamaaaaaa sangat tau"...ish...budak kecik ni kalau ikut rasa orang tua mahu dicilikan mulutnya agaknya:).

Jadi dari peringatan Asiah seperti di atas Ummi pun mengambil inisiatif menukarkan makanan yang tersimpan lama itu kepada pahala kebajikan (sekiranya diterima Allah) kepada haiwan terbiar di belakang rumah kami ini.

Mengelamun lagi sambil pinggan terus dicuci dan dapur dibersihkan sebelum tiba saat kekotoran kembali lagi.....terdetik di dalam hati ingin menulis sesuatu tentang 'Diari Seorang Suri rumah'.

Wah terasa bagus sangat idea tersebut harus dimulakan segera...tetapi kata-kata hikmah yang terkeluar dari akal sejak awal lagi ialah, 'aku harus fokus apa yang aku perlu buat'. Terlalu banyak perkara yang wajib dilakukan dan sampingan yang ingin dilaksanakan.

Hari ini saya mulakan dengan kisah "PADAN MUKA TV3" dan yang sewaktu dengannya.

Pulang dari menghantar anak memikirkan:

"haruskah aku singgah membeli makanan, singgah kedai dan makan keseorangan atau terus pulang dan mulakan kerjarumah yang banyak tertangguh?"

Namun kaki terus menekan minyak menuju ke kawasan deretan kedai berdekatan dengan rumah. Seperti biasa meninjau tajuk akhbar hari ini...

"apa yang menarik untuk dikongsi"

Hah...tajuk akhbar Utusan Melayu tidak menarik di mata, sebab hati rasa sedikit tawar untuk mengikuti perkembangannya lagi....namun gambar Ustaz Azizan di muka depan paling atas dan hujung menarik minat untuk dilihat dan dibaca apa ceritanya. Ha...lihat di bawah...apa pula cerita sebenarnya tidak tahu pula...

"Azizan berang didakwa kurang bantu mangsa banjir".

Handphone di tangan digunakan untuk menyalurkan maklumat ini melalui laman Facebook walau tahu ramai yang tidak suka membaca apatah lagi membelinya:

"Nashita Md Noor Pagi-pagi tengok paper di kedai. Pandai Utusan Meloya ambil gambar dan letak gambar Ustaz Azizan MB Kedah 'sdg berang' isu bantuan banjir..ish..ish.."


..Apa-apalah Utusan Meloya ni....rupanya bila pulang rumah rayau-raya di Facebook jumpa pula tajuk "PADAN MUKA TV3". Ini rupanya cerita sebenarnya...memang patut dapat "PADAN MUKA" tu rasanya.

cuba klik di link ni..."PADAN MUKA TV3".

Rakyat Kedah dan Perlis teruk ditimpa bencana, mereka pula sibuk hendak berbuat berbagai fitnah dan adu domba...tidak serikkah mereka atau mereka masih tidak faham akan ayat Allah ini.

Surah Ar Rum
(30-41): Telah nyata kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia, sehingga dirasakan kepada mereka sebahagian daripada perbuatan mereka, agar mereka kembali.


Sedarlah wahai manusia...kerana bila Allah menurunkan bala tidak semestinya hanya terkena kepada mereka yang zalim dan buat kerosakan sahaja..Allah mahu menguji dan terus menguji sejauh mana angkuh dan lekanya orang-orang yang zalim ini...masih tidak mahu kembali???

Video rakaman juga boleh ditonton di bawah:




Monday, 1 November 2010

"Bebaskan rakyat dari salah guna kuasa Polis" BEBASKAN SELVACH!

Ketika saya mengemaskini aktiviti kami di hadapan Bukit Aman pada hari Sabtu 30 Oktober 2010, dalam usaha menghantar Memorandum sebagai bantahan kepada keganasan dan tangkapan ke atas Selvachandran saya telah mendapat komen dari seseorang di dalam Facebook.

Komennya berbunyi : "kenapa tak protes terhadap penjenayah yg tangkap orang awam rompak, rogol, belasah sampai mati pastu bunuh saksi lagi."

Jawapan saya :

Penjenayah semestinyalah dihukum. Kita semua bencikan jenayah apatah lagi merogol dan membunuh. Dalam mana-mana negara pun ada polis untuk menjaga keselamatan ,menangkap penjenayah dan jalankan siasatan untuk setiap laporan jenayah.

Masalah dan bantahan yang dibawa ke Bukit Aman pagi ini ialah tentang seorang saksi yang tampil ke mahkamah menyatakan bahawa beliau nampak seorang polis yang telah memukul dan menendang seorang tahanan Gunasegaran didalam lokap sehingga mati.

Saksi ini kemudiannya telah ditangkap oleh polis dirumahnya dipukul dan dibelasah oleh polis yang menangkapnya di rumah di hadapan anak dan isteri. Dibawa pergi tidak tahu di mana dan peguam serta keluarga tidak dibenarkan ziarah.

Jadi kita risau akan keselamatan saksi ini dan mahu polis dedahkan maklumat di mana dia dan bagaimana keadaannya. Kalau polis tergamak pukul dan belasah mangsa di hadapan isteri dan anak-anak sejauh mana kita dapat jamin keselamatan seseorang tahanan itu apatah lagi seorang yang telah berani ke muka pengadilan untuk menyatakan kebenaran.

Tujuan kita ialah untuk pastikan polis tidak meletakkan undang-undang di tangan mereka ikut suka hati mereka.

Tugas mereka menangkap penjenayah bawa ke muka pengadilan seterusnya diadili di mahkamah.

Itulah tujuan utama rakyat Malaysia yang prihatin telah beramai-ramai turun bersama Sarawathy isteri mangsa Selvachandran ke hadapan Bukit Aman menghantar memorandum bantahan.

Di dalam memorandum yang dibawa oleh kumpulan Lawyers for Liberty serta Suara Rakyat Malaysia SUARAM bagi pihak ahli keluarga Selvachandran berbunyi seperti di bawah:

Penurunan prestasi PDRM secara berterusan ke arah tidak memperdulikan undang-undang dapat dilihat dengan jelas dalam peristiwa penangkapan dan pemukulan K. Selvach Sathiran pada 25 Oktober lalu. Dia dipukul dan ditangkap oleh sekumpulan lelaki berpakaian biasa yang mendakwa diri mereka sebagai anggota polis yang tidak memperkenalkan diri mereka secara jelas. Selvach merupakan salah seorang saksi utama yang membuat kenyataan terhadap polis dalam inkues kes kematian R. Gunasegaran dalam tahanan pihak polis yang diputuskan baru-baru ini.

Pada hari keputusan itu disampaikan dalam inkues tersebut, polis bertindak ke atas Selvach dan datang ke rumahnya untuk menangkapnya. Ketika anak-anak Selvach bertanya kepada polis mengapa ayah mereka, diseret pergi, polis menjawab dengan memukul Selvach di hadapan anak-anaknya sendiri. Pihak polis dalam memutarbelit kasih sayang suami isteri, cuba membuat S.Saraswathy, isteri kepada Selvach untuk mencium suaminya, sebelum memukul Selvach di hadapan isterinya.

Suasana di hadapan kompleks Ibu pejabat Polis Di Raja Malaysia Bukit Aman. Keadaan tenang dan terkawal. Tiada kelihatan kumpulan polis yang ramai apatah lagi kehadiran polis bertopi merah tidak kelihatan di mana-mana. Semua yang hadir juga tidak mempunyai masalah untuk meletakkan kenderaan seperti yang sering perlu dilalui di aktiviti yang sebelumnya.

Sambutan dan sokongan terhadap protes ini juga amat memberangsangkan dengan kehadiran pelbagai kaum dan dari pelbagai organisasi juga termasuk ahli politik, Ahli Parlimen dan ADUN.

Mereka yang datang memberikan sokongan kepada ahli keluarga dan juga untuk mendesak agar polis memaklumkan keadaan sebenar mengenai Selvachandran.

Namun walaupun temujanji telah dibuat bagi pertemuan ini, polis tetap mengambil masa yang lama untuk memberi maklumat yang diperlukan, seperti di mana sebenarnya Selvachandran ditahan, apa asas utama polis menangkap beliau dan yang lebih penting agar isteri dan peguam dapat melihatnya.

"Polis tidak boleh dibenarkan untuk terus beroperasi dalam persekitaran yang bebas dan kebal daripada proses undang-undang dan kehakiman. Namun seperti apa yang jelas digambarkan dalam episod menyayat hati ini, pihak polis baru saja menyampaikan mesej mereka yang kuat, bahawa mereka boleh bertindak sesuka hati tanpa mengambil peduli undang-undang, profesionalisme pasukan polis serta undang-undang dan prosedur yang mengatur tata cara perilaku mereka."

Bukan pertama kali malah sudah beberapa kali perkara sebegini dibawa ke Bukit Aman untuk membolehkan penjelasan diberikan oleh pihak polis. Polis membiarkan orang ramai menunggu hingga lebih sejam sebelum memberikan apa-apa maklumat. Walaupun surat menyurat dan temujanji telah dibuat.

Lebih memalukan apabila sekian lama menunggu muncul seorang polis berpangkat tinggi menanyakan siapakah OKT (orang kena tangkap) yang dimaksudkan.

"who's the OKT?" beliau bertanyakan kepada pegawainya di hadapan kami semua.

"Gunasegaran?" tanyanya lagi. Terlopong kami semua.

"Gunasegaran tu dah tak ada la".

Polis tersebut masuk semula dan akhirnya kami mendapat maklumat yang hampir pasti bahawa Selvachandran ditahan di bawah akta Dadah merbahaya yang membolehkannya ditahan tanpa bicara sama seperti ISA.

Sungguh pelik peristiwa ini kerana Selva ditangkap dengan begitu cepat seperti maklumat di bawah: dipetik dari sini.

Kes penangkapan dan penahanan Selvach bertambah parah apabila dia ditangkap pada hari yang sama – selepas “keputusan terbuka (open verdict)” yang memalukan dan mengundang skandal itu disampaikan oleh Koroner Kehakiman Siti Shakirah Mohtarudin, dalam inkues mencari punca kematian R.Gunasegaran dalam tahanan polis.

Selvach merupakan salah seorang daripada tiga orang yang berada dalam tahanan polis bersama-sama dengan R.Gunasegaran dan mereka secara konsisten mengenal pasti Lans Kopral Mohd Faizal secara fizikalnya menyerang mendiang si mati. Mereka memberi keterangan walaupun terdapat ancaman terhadap keselamatan mereka oleh pihak polis dan biarpun terdapat pujukan bahawa kerjasama mereka akan menjamin mereka dibebaskan segera.

Perundangan tidak adil dan tidak bertamadun semacam Akta Dadah Berbahaya dan Ordinan Darurat tidak patut wujud dalam sebuah negara moden dan demokratik seperti Malaysia. Undang-undang dan pendekatan menindas ini melanggar hak-hak asasi manusia setiap rakyat yang dijamin perlembagaan serta meremehkan kuasa kehakiman dan proses perundangan. Majlis Peguam Malaysia dan masyarakat sivil secara tegasnya telah berkali-kali menyeru pemansuhan semua undang-undang tahanan pencegahan serta untuk berhenti melakukan penangkapan dan tangkapan berulang kali yang dilakukan dengan sewenang-wenangnya.

Polis tidak boleh dibenarkan untuk terus beroperasi dalam persekitaran yang bebas dan kebal daripada proses undang-undang dan kehakiman. Namun seperti apa yang jelas digambarkan dalam episod menyayat hati ini, pihak polis baru saja menyampaikan mesej mereka yang kuat, bahawa mereka boleh bertindak sesuka hati tanpa mengambil peduli undang-undang, profesionalisme pasukan polis serta undang-undang dan prosedur yang mengatur tata cara perilaku mereka.










Saturday, 30 October 2010

"Janganlah berlaku pada orang lain"

Lagi-lagi berita mengenai salah guna kuasa oleh polis. Kezaliman dan kerakusan segelintir pihak polis yang meletakkan undang-undang dan hukuman di tangan mereka.

"Kita tidak membenci polis, namun kita benci dengan tingkah laku polis yang menyalahgunakan kuasa" kata-kata YB Lim Kit Siang di dalam Forum bertajuk "Ketua Polis Bertukar: Institusi Polis Berubah?" yang diadakan baru-baru ini.

Memang benar, lantaran sikap segelintir polis yang melampau begini ditambah dengan tindakan dan hukuman yang tidak dikenakan ke atas mereka membuat rakyat hilang keyakinan dan benci dengan apa yang berlaku di hadapan mata.

Baru-baru ini satu inkeus tentang kematian Gunasegaran yang didakwa mati akibat dibelasah polis ketika di dalam tahanan polis. Ada saksi yang melihat seorang polis yang dikenal pasti bernama Lans Koperal Mohd Faizal Mat Talib telah memukul dan menendang Gunasegaran di dada dan belakangnya.

Namun keputusan akhir inkues tersebut ialah tiada bukti yang kukuh bagi menunjukkan akibat sebenar kematian beliau, maka polis yang didakwa telah bebas dan selamat.

R.Ganga, kakak kepada Mendiang Gunasegaran seorang wanita yang berani dan tahu akan haknya tidak membiarkan kematian adiknya begitu sahaja. Beliau bangun untuk mendedahkan hal sebenar yang berlaku.

" Apa yang berlaku kepada adik saya tidak patut berlaku pada orang lain" dalam sedu tangis, air mata ditahan dari mengalir keluar dari kelopak matanya.

Dalam kesedihan dan keperitan kehilangan ahli keluarga yang yang disayangi dan mungkin adik yang diharapkan untuk menyara keluarga beliau masih punya harapan dan ingatan kepada nasib rakyat Malaysia yang lainnya.

Bukan mudah untuknya mengusahakan agar ada yang mahu tampil ke hadapan apatah lagi ke muka pengadilan untuk membuktikan bahawa adiknya bukan mati mengejut atau akibat dari pengambilan dadah seperti yang didakwa, tetapi akibat keganasan polis yang sepatutnya menjaga keselamatan awam dan membantu menegakkan keadilan.

Dalam usahanya beliau berjaya mendapatkan beberapa orang saksi untuk tampil membantu membela kematian adiknya. Beliau berjaya membawa 3 orang saksi yang melihat sendiri kejadian tersebut dan ketiga orang mereka telah mengatakan bahawa polis telah memukul Gunasegaran.

"Saya tidak gembira dengan keputusan yang disampaikan semalam, susah untuk dapatkan saksi, saya ambil masa sebulan untuk lakukannya. Saya masih terkejut dan trauma dengan apa yang berlaku" kata R. Ganga dalam sidang media yang diadakan baru-baru ini.

"Saya kecewa dan sedih dengan keadaan mayat adik saya ketika dibenarkan melihat di Hospital" jelas R.Ganga lagi.

Mayat Gunasegaran dalam keadaan yang amat teruk di dalam simpanan bilik mayat HKL, maka ianya membuatkan proses bedah siasat untuk menentukan sebab kematian menjadi sukar.

"Polis minta saya cium suami saya, saya cium sebelum mereka membawanya keluar. Polis kemudiannya memukul suami saya di hadapan saya dan anak-anak", pengalaman ini diceritakan oleh isteri kepada seorang saksi dalam inkues kematian Gunasegaran.

Bagaimana dan mengapakah polis boleh bertindak sehingga ke tahap ini. Memukul mangsa sudah tentu satu perbuatan yang tidak dibenarkan, apatah lagi memukul di hadapan ahli keluarga di dalam kawasan rumah mangsa. Ini sungguh satu tindakan yang zalim!

S.Saraswathy (gambar di atas duduk di sebelah kiri) adalah isteri kepada salah seorang saksi, Selvachandran yang telah berani tampil ke muka pengadilan bagi menyatakan bahawa Gunasegaran telah dipukul oleh polis.

Malangnya selepas keputusan dijatuhkan mengenai sebab kematian Gunasegaran, pada hari Isnin, polis telah pergi ke rumah beliau dan beliau telah ditangkap oleh polis. Beliau kemudiannya telah digari dan dipukul oleh polis sebelum dibawa pergi.

Polis telah mengancam akan mengenakan tahanan selama 60 hari yang kemudiannya akan ditambah dua tahun lagi!!!

Kenapa? Mengapa perkara ini boleh berlaku. Kita fikirkan sendiri.

Tidak cukup dengan perkara di atas yang telah berlaku, semalam dilaporkan bahawa polis sekali lagi telah ke rumah Selvachandran. Tindakan ini sudah pasti untuk mengancam dan menakutkan ahli keluarganya.

Perkara ini sudah pasti tidak boleh didiamkan. Maka satu Memorandum Protes akan diserahkan ke Bukit Aman.

Tarikh : 30 Oktober 2010
Masa : 10 pagi
Tempat : Bukit Aman, pintu masuk Lake Garden.

Maklumat lanjut boleh dibaca di sini: Jelas Info

Saturday, 23 October 2010

Kisah Nasi Lemak Seringgit


"Assalamu'alaikum, Assalamu'alaikum, Assalamu'alaikum" selagi salam tidak dijawab dan tuan rumah tidak menjengukkan muka selagi itu ucapan salam akan terus diberikan.

Ucapan salam setiap pagi hari minggu untuk tuan rumah di sepanjang jalan di kawasan perumahan kami.

"Wa'alaikummussalam" menjengukkan wajah ke luar tanpa perlu tahu siapa tuan punya suara, kerana sudah tahu benar siapa yang memberikan salam tersebut.

"Cik, cik, nak beli nasi lemak tak, kuih pun ada" sapa anak kecil berumur sekitar 12 tahun dengan lemah lembut dan penuh sopan santun.

Hati dan renungan mata siapa sahaja pasti tidak akan sanggup untuk menolak jualan anak muda ini.

Kadangkala memang cuba juga untuk mendiamkan diri di dalam rumah kerana tidak mahu membeli nasi lemak kerana sudah ada cadangan untuk memasak atau memang sudah ada makanan sarapan terhidang atas meja di dapur.

Ada sekali pernah juga jualannya aku tolak, namun hati meronta terasa bersalah. Suatu pagi ketika aku baru tiba di rumah, anak muda ini baru selesai menjual makanannya dan melalui di hadapan rumah kami.

Ketika aku bersusah payah hendak mengeluarkan barangan dari dalam kereta dan membawa masuk ke dalam rumah, dengan sopan santun anak muda ini menyapaku.

"Cik, biar saya tolong cik angkat barangan ni cik" lemah lembut dan penuh sopan santun lagi menyapa aku.

"Ah, tak apalah dik, makcik boleh buat sendiri" dalam hati teringat peristiwa aku pernah menolak jualannya dan mata melirik melihat jualan di dalam bakulnya yang sudah kosong. Alhamdulillah, seringkali jualan habis dan laku.

"Tak pe, tak pe cik, saya boleh tolong" tanpa berlengah mengangkat beg dan membawanya masuk ke dalam pagar rumah ku.

Dalam hati berdetik terus, " baik betul anak ini, sopan santun dan rajin sekali".

Sukar lagi untuk terjumpa anak-anak sebayanya yang melakukan pekerjaan yang sedemikian, bersusah payah membantu keluarga dan memiliki peribadi yang sungguh mulia.

Siapakah ibu dan ayahnya, pasti sejuk perut ibu yang mengandung dan tenang walau hidup dalam kepayahan.

Sejak dari itu pasti aku tidak akan melepaskan peluang untuk membeli hasil jualannya walau sudah ada makanan yang terhidang di atas meja.

"Cik, nak beli nasi lemak?"

"Kuih ada?"

"Ada, karipap dengan donut"

"Ok, bagi makcik nasi lemak 5"


"Terima kasih makcik"


Nasi lemak RM 1, berbaloi dan kenyang perut menjamahnya. Alhamdulillah. Moga masih ramai anak-anak yang dibesarkan oleh kita, ibu-ibu dan ayah-ayah terus berperibadi mulia dan sedar akan tanggungjawab sebagai hamba dan Khalifah di bumi Allah.

Friday, 22 October 2010

Bicara kami dari dalam Kamar Mahkamah.

Dialog 1

"ha ni, kenapa kamu tak datang semalam?"
tanya Hakim sambil tangannya menulis sesuatu di atas kertas.

"Mohon maaf Tuan, saya betul-betul lupa, tak tahu lansung" jawab Abg Dino dengan nada yang sungguh lembut dan mendayu-dayu.

"Takkan orang lain tak beritahu kamu dan kenapa kamu tidak menelefon orang lain?" tambah Hakim lagi memohon penjelasan.

" Maaf Tuan, handphone saya hilang, saya tak ada nombor sesiapapun" jelas Abang Dino dengan nada yang membuatkan sesiapa sahaja yang mendengarnya pasti akan terharu.

"Habis tu macamana kamu boleh datang pula hari ini?" tanya Hakim lagi masih tidak puas hati.

"Oh..ada kawan yang menghubungi isteri saya dan memaklumkan" jelas Abang Dino dengan harapan semua persoalan dan jawapan diterima Tuan Hakim.

"Baiklah, kamu boleh duduk, lain kali pastikan dapat tarikh-tarikh perbicaraan" tegas Hakim.

"Baik, Tuan, Terima Kasih Tuan"......

Ha....ha....kami di belakang semuanya menahan gelak walaupun hati cukup terharu dengan dialog Tuan Hakim dan OKT yang tidak hadir pada hari pertama dari 3 hari perbicaraan dijakankan.

Dialog 2

"Ha ni kenapa pula tak hadir semalam?' tanya Tuan Hakim dengan pelat-pelat Kelantan.

" Mohon maaf Tuan, saya balik kampung semalam baru sampai hari ni" selamba memberi jawapan.

"Ha, lain kali tengok tarikh hari perbicaraan, rancang betul-betul" tegas Hakim tanda tiada kompromi.

"Maaf Tuan.Tuan saya nak minta diri awal nak bawak anak pergi klinik" sambung lagi permintaan OKT ini.

" Tak perlu, kes ini separuh hari sahaja hari ini, petang nanti boleh boleh pergi" wah tegas sungguh Hakim kali ini dalam keadaan dia mungkin menahan kesabaran.

"Baik Tuan, Terima Kasih Tuan" OKT menghabiskan permintaan dan berlalu untuk mengambil tempat duduk semula.

Dialog 3.

"Tuan, saya ingin memaklumkan yang saya baru menerima pesanan ringkas dari OKT no 2 yang beliau baru menyelesaikan menjual nasi lemak dan akan datang ke Mahkamah sebentar sahaja lagi" bangun peguambela bagi OKT no 2 menjelaskan tentang ketiadaan OKT tersebut di Mahkamah pada pagi berkenaan.

"Ok, tak apa, kita tunggu hingga dia datang." tegas Hakim dengan penuh diplomasi kali ini.

Namun bagi pihak Pendakwaan sukar juga untuk mendapat ehsan dari mereka.

"Tuan, kami mohon waran tangkap dikeluarkan bagi OKT-OKT yang gagal hadirkan diri ke Mahkamah" tegas pihak Timbalan Pendakwaraya.

"Tidak mengapa, kita tunggu hingga mereka datang di akhir sesi baru waran tangkap dikeluarkan. Bagi yang dah dikeluarkan waran tangkap boleh dibatalkan sekiranya mereka hadir di akhir waktu" Tuan Hakim bersuara sambil mengunakan kuasa budi bicara yang ada pada seorang hamba Allah.

Dialog 4.

"Ha ni kenapa lambat lagi, selalu saja datang lambat" tanya Hakim kepada OKT no 2.

"Mohon maaf Tuan Hakim, saya ada temujanji ulangan dengan doktor pagi ini sebab itu saya lambat" bicara OKT ke 2 di hari yang lain pula.

"Hish...apa lah Tan ni, cakap sajalah yang saya kena jual nasi lemak pagi-pagi dan pastikan ianya habis terjual, kalau tidak siapa yang nak pastikan saya punya wang untuk teruskan kehidupan menyara isteri dan dua orang anak" dengus OKT 20 yang duduk di sebelah saya sepanjang masa di dalam Mahkamah.

Akhirnya, sekian dahulu sedikit perkongsian dialog-dialog yang perlu kami lalui sebelum sesuatu kes dapat mula dibicarakan.

Atas sebab dialog-dialog di atas jugalah, saya sebagai seorang suri rumah sepenuh masa dengan anak-anak yang semua bersekolah dari waktu pagi hingga ke petang berusaha seboleh mungkin untuk berada di dalam kamar mahkamah, agar pihak peguambela yang bertugas, tanpa kami berikan sebarang bayaran tidak perlu bersusah payah untuk bangun mengemukakan berbagai alasan.

Begitu juga dengan sahabat-sahabat saya yang lain terutamanya Aiman Athirah, Mai Suharah dan beberapa orang OKT lelaki yang lainnya yang sering muncul di dalam kamar Mahkamah Sesyen Jenayah 5, Mahkamah Jalan Duta.

Juga agar bila Tuan Hakim mendongak kepalanya ke arah kerusi di galeri tidaklah banyak sangat lompongnya dan agar Pihak Pendakwaraya tidak akan cuba mengatakan bahawa kami tidak mengambil berat dan tidak endah dengan kes yang lalui ini.

Juga agar sahabat-sahabat OKT kami yang benar-benar dalam kesusahan dan memang punya alasan yang kukuh untuk tidak dapat hadir tidak menerima akibat yang tidak sewajarnya.

Ini hanya sedikit ujian bagi kami untuk teruskan perjuangan. Perjuangan yang di dalamnya sebenarnya terkandung hakikat bahawa di setiap perhimpunan aman ada yang ditangkap , dipenjarakan, didakwa dan dibicarakan tanpa sebarang alasan yang kukuh oleh pihak polis.

Thursday, 14 October 2010

Aman dan Lega

Banyak sungguh rasanya untuk dikongsi bersama. Kena fikir satu persatu.

Terlalu banyak isu dalam negara, perlu dedah satu persatu setakat yang mampu.

Semalam, Rabu 13hb Oktober 2010 setelah melalui episod perbicaraan sejak bulan Mac 2009 setelah ditangkap pada 6 hb Februari 2009 di perkarangan Masjid Ubudiyyah kerana membantah perlantikan Dato' Dr Zambry sebagai Menteri Besar Perak melalui rampasan kuasa kerajaan Pakatan Rakyat Perak oleh Barisan Nasional, perbicaraan kes OPS BUBAR DUN PERAK telah sampai ke penghujungnya..............syukur yang teramat.

Kes ini hanya membabitkan suami bersama 12 rakan OKT yang lain, namun diri ini cuba sedaya mungkin untuk turut bersama dengannya setiap kali kes dijalankan di Mahkamah Kuala Kangsar. Kecuali di hari di mana saya perlu menghadiri perbicaraan kes yang melibatkan diri sendiri iatu kes OPS PADAM 3 atau kes PROTES kenaikan harga minyak dan barangan.

Semalam saya telah 'missed' hari yang sudah lama kami sekeluarga nanti-nantikan kerana pada hari yang yang sama perbicaraan kes PROTES dijalankan di Mahkamah Sesyen Jenayah 5 Jalan Duta sejak 3 hari yang lepas.

Kami berdua bertukar-tukar situasi perbicraan di mahkamah. Lansung tidak menyangka bahawa kes tersebut akan diselesaikan dengan segera, namun sekitar jam 10.30 pagi berita diterima bahawa peguambela Augustine Anthony akan cuba selesaikan kes pada hari tersebut juga. Seterusnya pada jam 11 pagi berita diterima bahawa peguambela selesai soal balas saksi terakhir iaitu pegawai penyiasat. Pihak pendakwaraya masih ingin mengemukakan beberapa orang saksi lagi termasuk Ketua Polis Perak tetapi ditolak oleh pihak peguambela.

Syukur yang teramat. Kini ada dua proses lagi yang perlu ditunggu namun ianya InsyaAllah tidak akan membebankan kami dengan perlu berulang alik ke Kuala Kangsar sekerap setahun yang lepas.

Peguam

Prosedur yang perlu dilalui ialah penggulungan oleh peguam. Tarikh yang telah ditetapkan ialah pada 26hb November ini. Kemudiannya Puan Hakim akan menetapkan satu tarikh lagi untuk keputusan....segalanya akan ditentukan pada tarikh itu, apakah mereka semua dibebaskan tanpa perlu membela diri atau ada cukup bukti keatas semua tertuduh atas dakwaan keatas mereka.

Namun bagi pihak peguambela mengikut perjalanan kes, kami yakin kebenaran akan berpihak keatas pihak kami. Namun tiada siapa dapat meneka akan kelutusannya kerana ini adalah kes politik apatah lagi melibatkan pihak Istana.

Sebahagian OKT

Buat masa ini kami mahu menarik nafas lega dan memanjatkan segenap kesyukuran kepada Allah (SWT) Yang Maha Adil lagi Maha Bijaksana. Terasa ringan sedikit beban yang perlu digalas, bak kata Asiah anak kami yang bongsu "Aman". Entah apa maksudnya saya tidak tahu, namun itulah jawapannya sebaik dimaklumkan bahawa perbucaraan Kes Kuala Kangsar telah selesai.

Bagi kakaknya yang sering perlu ditinggalkan untuk beberapa hari setiap kali kami perlu ke Kuala Kangsar pula ialah: "Leganya, tak payah tumpang-tumpang rumah orang lagi".
Ya...lega buat masa ini, moga Allah terus kurniakan 'kelegaan' buat kami dan kita semua..Amin.