Sunday, 30 January 2011

Tenang-Kita tetap menang!!!!


UBAH SEKARANG SELAMATKAN MALAYSIA UNDILAH PAS

"Kemenangan hakiki telah kita perolehi dengan bersama perjuangan ini. Ubah Sekarang Selamatkan Malaysia"

Kata-kata semangat Cikgu Mala di dalam siri ceramah terakhirnya semalam di DUN Tenang.

Kalau bicara tentang kalah menang dalam pertarungan di dalam Pilihanraya di Malaysia ni, memang ramai yang tidak yakin Pakatan Rakyat akan menang dalam Pilihanraya yang diadakan. Namun usaha gigih tetap dijalankan.

"Ini muda lagi, baru nak hidup. Ni dah lama".

Kata seorang pakcik tua bersungguh-sungguh pada kami antara suara dan kata-katanya yang agak sukar nak difahami.

Mulanya apabila mendengar suaranya yang bersungguh-sungguh tersebut kami kira dia akan buat perubahan kali ini. Rupanya akhirnya dia menambah:

"Yang ini dah lama, dah sebati dengan pakcik, pakcik pilih yang ini. Yang ini muda lagi, baru nak hidup"
kata Pakcik tua itu apabila kami menunjukkan biodata Calon bersama gambarnya.

Cikgu Mala bersama suami yang datang ke tapak ceramah. Ceria bersama walau teruk ditabur fitnah.
"Beliau mengalami stress, depression dan bukannya demam atau sakit. Depression terapi sebaiknya ialah untuk bersama isteri dan keluarga" jelas Hanipa Maidin di dalam ceramahnya semalam juga.

Begitulahkan sukarnya jika sesuatu perkara tersebut sudah sebati dalam diri 50 tahun lebih bersama rakyat Malaysia. Walau kezaliman jelas dilakukan terhadap rakyat, tetap sukar untuk buat perubahan.

Tidak rasa apa-apakah apabila ada berita bahawa RM888 BILION (sila baca di sini) wang lesap dari dalam negara mengalir ke luar negara...wang siapakah itu..tak terbayangkan kah betapa banyaknya wang itu...satu ketika bila negara ini muflis...empunya wang tersebut bergembira dan tersenyum.

Biarkanlah kini... "Ah tak perlu kata apa-apa, ayah saya dah senang, kami dah senang, kenapa nak pilih PAS" kata seorang wanita muda kepada Fadiah dan Farhana yang turut sama berkempen pada hari itu.

Ya, anda mungkin senang, kata anda FELDA dah beri segalanya pada anda, namun berapa banyak pula yang FELDA telah ambil dari anda dan yang lain-lain. Anda mungkin senang, tapi bagaimana pula jiran di sebelah anda dan di sekeliling anda?.

Orang ramai yang tidak pernah jemu hadir mendengar pendedahan dari pimpinan Pakatan Rakyat

"Assalamu'alaikum Kak, kami dari Pakatan Rakyat nak memperkenalkan calon di kawasan Tenang, ini calon kami, Cikgu Mala, harap akak dapat undi calon ni" lebih kurang sapaan kami kepada seorang penduduk sebuah rumah Felda yang sudi menerima sapaan kami.

"InsyaAllah" katanya yang keluar dari pintu rumah memakai tudung warna merah hati dengan brooch 1 Malaysia yang besar tersemat kemas di tudung.

"Terima kasih ya Kak, moga sudi buat sedikit perubahan kali ini" kami akhiri sentuhan kami.

"Tapi saya tetap pilih BN"

Dia pula mengakhiri pertemuan kami tersebut. Kami tersenyum kerana tahu sejak dari awal apa pilihannya. Namun sekurangnya dia sudi menerima risalah dan menerima kami dengan baik. Allah jua yang memegang hati-hati manusia. Manusia sepatutnya boleh berfikir yang baik, buat pilihan untuk kebaikan diri dan manusia yang lainnya. Bukan buat pilihan untuk sesuatu yang merosakkan dan menzalimi diri.

Memang sukar untuk buat perubahan apabila sesuatu itu sudah sebati dan tinggal karat dalam diri. Namun jika dikikis sedikit demi sedikit dengan sentuhan, penjelasan dan pendedahan InsyaAllah berkat usaha untuk kebaikan pasti Allah akan membuka jalan untuk kemenangan.

Walau hujan lebat dan terpaksa berpayung masih setia duduk mendengar.

Syukur walau seketika dari jam 5-6 petang sahaja dapat juga kami bergerak dari satu rumah ke satu rumah di kawasan Felda Cempelak di DUN Tenang. Mana tahu ada hati yang ternampak bulan di hati mereka ketika sedang memangkah kertas undi, mana tahu ada hati yang dibalikkan oleh Allah untuk memilih kebenaran dan keadilan.

"Makcik, ni lambang bulan ni, esok makcik pangkah yang ini ya, tengok ni gambar ni" kami berusaha menunjukkan gambar tersebut kepada makcik yang sudah uzur dan sukar berjalan. Anaknya menarik tangan kami untuk tetap masuk singgah dan berkempen kepada ibunya.

Di hadapan rumah mereka dan banyak rumah yang lain sudah terpahat dan tergantung lambang dacing yang besar. Sekiranya petugas yang datang dari Pakatan Rakyat mungkin tanpa berfikir panjang tidak akan singgah di rumah tersebut.

"Tak lah kak, ada orang datang letak staple kat sini" kata anak makcik tersebut.

"Kenapa tak buka buang saja" tanya kami kepadanya.

"Macamana nak buka takut juga" begitulah ceritanya.

Kita berusaha, inilah peluang yang ada untuk kita mendekati rakyat untuk memilih calon yang kita ketengahkan khususnya dan secara terus menerus mahu mereka buat perubahan. Peruabahan untuk kebaikan dan keselamatan rakyat sepanjang masa dan bukannya hanya seminggu atau sebulan sebelum pilihanraya.

"Ummi kenapa basikal dia orang semua saja ada raga di depan" tanya Asiah kepada saya apabila dia nampak beberapa orang anak seusia dengannya menunggang basikal ke sana sini di dalam Felda tersebut.

"Ye lah itukan basikal perempuan memangla ada raga di depan" saya cuba menjelaskan tanpa menyedari apa sebenarnya yang dirujuk oleh Asiah anak bongsu saya berumur 10 tahun yang turut mengekori kami.

" Wah cantiknya basikal adik ni, baru dapat ke?" tegur saya kepada seorang anak perempuan yang bermain basikal baru di dalam rumahnya yang kami singgah untuk merayu undi.

Jelas terpampang logo Barisan Nasional yang besar di hadapan raganya. Anak itu malu-malu dan menyembunyikan dirinya. Beruntung anak ini dengan habuan di pilihanraya.

Asiah senyum penuh makna pada saya. "Nantilah kalau ada rezeki lebih ummi belikan, tapi ummi malas beli sebab pencuri terlalu banyak" disambut dengan kehilangan seri di muka Asiah.

Untuk pengundi di waktu pilihanraya, apakah nasib pengundi sama selepas itu.
"Ish...teruknya jalan ni" keluh saya ketika kami dalam perjalanan pulang dari Labis menuju ke Segamat. Di dalam gelap malam, jalan tanpa lampu, hujan lebat kami terpaksa mengelak lopak-lopak air sepanjang jalanan...

" Rosmah ni tak de duit. Habis duit belanja beli kain, pergi Dubai, pergi Oman". Pantas saja Asiah jawab dari kerusi belakang. Di usia 10 tahun dia sudah dapat lihat dan baca apa sebenarnya berlaku dan apa kepincangan yang ada.
"Ummi do'akan Asiah dapat jadi pemimpin di usia 20an lagi, muda macam Cikgu Mala". Komen saya kepada komentar spontan Asiah awal tadi.

"Asiah do'akan PAS akan menang" sambung Asiah lagi.

Ya kita berusaha walau sedikit mana yang kita mampu dengan cara kita sendiri. Selebihnya kita berserah kepada Allah.

Moga generasi Asiah tidak kita tinggalkan dalam kesusahan dan terus dizalimi hasil sikap tidak kesah kita..."kami dah senang, ayah saya senang" moga sikap itu tidak kita biar berkarat dalam diri tanpa kita sedar ada saudara kita yang untuk membeli beras terpaksa juga membuka mulut untuk mohon pertolongan.

"Kita impikan bulan mengambang di Tenang. Tiada yang mustahil" kata-kata Cikgu Mala di dalam ceramah terakhirnya.

(sedikit catatan pengalaman ketika berkempen sebentar setelah terserempak dengan kumpulan YB Sivarasa, Latheefa Koya, Hj Suhaimi Said, Fadiah dan Farhana dari Lawyers for Liberty di Felda Chempelak)



Saturday, 29 January 2011

Moga Bulan mengambang di DUN Tenang!!!



Memang power Cikgu Mala. Petah berkata-kata. Bak kata Tuan Guru Nik Abdul Aziz

"Cara dia menggunakan bahasa (dalam temuramah) nampak hebat.

"Beliau nampak hebat dan layak untuk menjaga bumi Allah, bukan Johor (sahaja)," katanya.

Moga pengundi di Tenang membuat pilihan yang sebaiknya. Begitu juga semua rakyat di Malaysia lihat sendiri contoh pimpinan yang cuba diketengahkan oleh Pakatan Rakyat.

Kata-katanya dan impiannya di akhir temuramah membuatkan air mata mahu mengalir keluar.

Besar cabarannya bagi seorang wanita, isteri dan ibu apabila bergerak aktif dalam aktiviti masyarakat apatah lagi bergerak aktif dalam politik. Moga Cikgu Mala akan berjaya atau setidaknya PAS akan terus mengenengahkan beliau untuk berada di peringkat Pusat.

Hikmah beliau dipilih sebagai calon di Tenang...tidak ramai yang mengenalinya sebelum ini termasuk diri saya sendiri :)

Thursday, 27 January 2011

Sempena 3 tahun perjuangan OKT PROTES

Dedikasi untuk kita semua walau nama anda tidak disebut di sini....wajah anda dan persaudaraan kita dalam perjuangan tetap terpahat dalam ingatan....Moga satu hari nanti kita juga berupaya mengangkat tangan tinggi menyambut saat kita dibebaskan sepenuhnya.

OKT Wanita bergambar beramai-ramai pada lingkungan jam 3-5 pagi di dalam Penjara Pudu sebelum di bawa masuk ke dalam lokap.

Tarikh 26hb Januari adalah tarikh ulangtahun ke 3 Perhimpunan Aman Membantah Kenaikan Harga Minyak dan Barangan diadakan di hadapan KLCC. Seingat saya perhimpunan tersebut adalah perhimpunan terakhir yang dijalankan dalam siri Demonstrasi Membantah Kenaikan harga barangan khususnya minyak dan tol. Ketika itu kerajaan menaikkan harga tol, minyak dan barangan beberapa kali. Rakyat marah dan bangun membantah.

Ini juga adalah kali pertama saya ditangkap setelah terlibat aktif dalam setiap perhimpunan aman yang dijalankan sejak September 1998.

Kami ditangkap, dipenjarakan di Penjara Pudu selama 3 hari dua malam dan kemudiannya didakwa di Mahkamah dan seterusnya dibicarakan. Perbicaraan hingga kini memasuki tahun ke 3 belum nampak jalan keluar untuk selesai lagi.

Masa berlalu, masing-masing kami di yang menjadi OKT seramai 45 orang mempunyai masalah dan hal yang tersendiri. Setiap kali perbicaraan dijalankan pasti akan ada yang tidak dapat hadir dengan pebagai masalah dan alasan. Kehidupan perlu diteruskan, nafkah perlu terus dicari.

Gari-gari besi yang menanti kami di malam kami ditangkap dan diletakkan di IPK KL.

Kini dalam sejarah kami...

1. Seorang dari kami Allahyarham Azhar sudah meninggal dunia beberapa bulan yang lepas. (di dalam gambar beliau pemuda berbaju kuning duduk membelakangkan pagar besi Pudu Jail).

2. Di sebelahnya Abang Dino bertugas dengan YB Zuraidah kini dan sebelum ditangkap, in between beliau cuba bekerja sebagai pemandu teksi yang mungkin memudahkannya lagi untuk hadir ke Mahkamah.

3. Rani, wanita di kiri sekali sudah berbulan-bulan juga tidak dapat menghadirkan diri ke mahkamah kerana sakit. Beliau disahkan mempunyai tumour di dalam kepalanya.

4. Di sebelahnya di hadapan, berbaju merah hati, Mai Suharah. Ketika ditangkap, belumpun berumah tangga, kini sudah mempunyai seorang cahaya mata. Begitu juga Fatimah di belakangnya.

5. Nor Aziyati...ya, saya simpati kepadanya dan dapat merasai kesusahannya apabila suami saya juga menerima nasib yang sama. Kehabisan cuti tahunan kerana sering ke Mahkamah.

6. Ginie Lim, kini sedang melanjutkan pelajarannya di United Kingdom. Terpaksa juga bertolak pergi di hari perbicaraan dijalankan. Terpaksa 'take the risk'. Kasihan dia, terpkasa juga datang ke perbicaraan di hari di mana beliau telah terpaksa bertolak ke luar negara, dan pemergiannya terpaksa di dengar dan dibantah oleh Pihak Pendakwaraya.

Selainnya...kami-kami OKT wanita yang lainnya, Aiman Athirah Al Jundi kekal gagah perkasa berjuang sehabis dan sedaya mampu sepenuh masa untuk memenangkan pemerintahan yang Adil bersama PAS. Kohi Kogi bersama JERIT dan PSM, begitu juga Saraswathy semuanya memegang jawatan dan amanah yang besar untuk Selamatkan Malaysia.

Oh, seorang lagi yang tiada di dalam gambar ialah seorang ibu muda yang ketika ditangkap beliau sedang mengandung. Ditangkap bersama suaminya. Maka dia telah tidak dihantar ke lokap bersama kami.

Dan saya...masih seorang ibu dan isteri yang bercita-cita tinggi walau tidak berdaya menjadi aktivis sepenuh masa namun tetap ingin terus kekal menjadi seorang aktivis masyarakat selagi terdaya masa dan tenaga.

Kini..kita masih merindui suasana yang sama, rakyat sama-sama bangun melawan kezaliman pemerintah ke atas kita.

Tunisia...Mesir......memaksa rakyat bangkit apabila kezaliman melata hingga rakyat tersiksa...setiap perjuangan pasti memerlukan pengorbanan dan akan tersiksa untuk jangkamasa yang lama...

Benar sekali kata teman OKT kami ini...Kohi Kogi "Perjuangan berterusan....bersama kita berjuang untuk membina negara yang lebih adil dan saksama....".

Wednesday, 26 January 2011

Apa aktiviti First Lady hari ini agaknya???

Hari ini keluar dari rumah awal dari kebiasaannya. 6.30 pagi sudah siap masuk kereta untuk menghantar suami ke tempat kerja. Dek kerana kereta yang satu lagi terpaksa masuk workshop selama 3 hari. Mungkin ini kali pertama saya keluar waktu penduduk Kuala Lumpur yang lainnya keluar mencari rezeki.

Dalam suasana pagi yang masih kelam, lampu kereta di jalan sebelahnya di Lebuhraya Cheras menuju Kuala Lumpur kelihatan deretan lampu kereta...panjang...dan ini juga pemandangan tika malam malam menjelang.

Sukar menjadi penduduk Kuala Lumpur ni ya...siang malam, setiap hari jiwa dirundung resah dengan kesesakan jalanraya demi keluar untuk mencari rezeki yang halal dalam menampung kehidupan yang sukar dengan taraf hidup yang semakin tinggi.

Radio yang terpasang tika jam 7.00 pagi menyiarkan warta pagi. Jelas kedengaran tajuk berita:

"Lawatan Rosmah ke Oman dibiayai sepenuhnya oleh Negara itu".

Sukar nak percaya. Walau apa pun terdetik di hati indahnya hidup menjadi "First Lady Of Malaysia" ni. Sana sini mahu pergi mungkin boleh petik jari saja. Sudahlah hidup mewah, orang yang mewah juga mahu membiayai dirinya 'with the whole entourage" diiringi isteri-isteri Menteri dan isteri-isteri Timbalan Menteri berserta pegawai-pegawai mereka.

Tiba-tiba saya terkenangkan sms yang saya terima dari salah seorang isteri bekas tahanan ISA, yang di'forwardkan' kepada saya oleh seorang isteri bekas tahanan ISA juga, Norlaila Othman.

Mesej memohon bantuan kewangan dari kami di Pusat Sokongan Keluarga Tahanan ISA, memohon sumbangan wang bagi mencukupi tambang perbelanjaan untuk beliau menziarahi suaminya yang kini ditahan di Manila. Suaminya telah ditahan dibawah akta ISA di Kem Tahanan Kamunting dan sudah dibebaskan. Oleh kerana beliau adalah warga Filipina maka beliau telah dihantar balik dan disambung ditahan di sana.

Kasihan bukan...terpaksa memohon wang sumbangan untuk menziarahi suami yang dizalimi.

Sebelum itu kami juga menerima sms bantuan dari seorang lagi isteri tahanan ISA yang hanya inginkan sedikit wang hanya untuk membolehkan ibunya membeli beras.

"Kak, boleh bantu saya, saya sudah cuba hubungi En L, tapi dia tak sihat. Ibu saya nak minta tolong beli beras saja, saya belum dapat kerja"
.

Kasihan bukan...perlu wang bukan untuk beli pakaian atau lain-lain keperluan...cuma untuk beli beras..makanan asasi kita rakyat Malaysia...

Dan...mereka terus bermewah-mewahan.......hidup bak puteri kayangan....Indahnya Hidupmu wahai "First Lady of Malaysia".

Tuesday, 25 January 2011

Nak terus merungut sajakah kita??

Hari ini disebabkan terlalu mengantuk ketika memandu saya membuat keputusan membelok kereta memasuki kawasan tempat letak kereta di dalam bangunan Pasaraya TESCO Selayang. Bukan pertama kali tetapi sudah beberapa kali mengambil tindakan ini. Park kereta, matikan enjin, turunkan sedikit cermin tingkap dan lelap sekejap. Bila bangun rasa segar semula.

Kali ini memandangkan sudah berada di pasaraya, saya buat keputusan untuk masuk ke pasaraya dan beli beberapa barang keperluan rumah yang kebetulan sudah habis. Bawang besar, sabun mencuci dan lauk pauk. Saya suka juga membeli ikan dan lauk basah lain kerana selalunya agak murah. Tetapi hari ini nasib tidak menyebelahi saya, semua ikan, udang mahal-mahal belaka.

Sambil melihat-lihat bawang-bawang yang hendak dibeli tiba-tiba seorang makcik di sebelah saya merungut sambil berkata-kata:

"Apa nak buat dah pencen, gaji pun kurang, ambil je la bawang yang ni, balik masak rebus-rebus je".

Saya pun merungut "buruknya bawang ni" .

Makcik sambung "inilah yang paling murah".

Saya terdiam dan turut pilih beberapa biji bawang besar yang buruk tetapi murah itu untuk dibeli setelah dipilih beberapa biji yang paling baik.

Begitulah nasib rakyat..dibebani dengan kenaikan harga barang.

Mampu merungut sajakah kita...atau kita ada kuasa untuk merubah keadaan...masih mahu pilih kerajaan yang mendahulukan rakyat hanya untuk kesenangan mereka?

Di lain kali saya akan cuba untuk tidak terus mendiamkan diri bila terdengar rungutan begini...kita patut terus mendidik rakyat tentang hak kita untuk mengubah Malaysia menjadi sebuah negera yang lebih selamat untuk semua.

1 undi kita sangat berharga....

Thursday, 20 January 2011

Eh! Hakim Lain, Mana boleh!!!!

19hb Januari 2011, kami memulakan perjalanan dari Gombak menuju ke Kuala Kangsar seawal jam 5.30 pagi untuk membolehkan kami tiba di perkarangan Bangunan Mahkamah Kuala Kangsar tepat masanya jam 8.30 pagi. Syukur kami tiba di Kuala Kangsar jam 8.00 pagi maka dapatlah kami bersarapan terlebih dahulu kerana menjangkakan perbicaraan akan berlansung lama.

Memasuki kamar mahkamah seperti biasa jika ada kes yang lain berjalan seiring maka penuh juga kamar mahkamah. Peguambela Augustine Anthony telah sedia berada di tempatnya.

Belum sempat melabuhkan badan ke bangku mahkamah terdengar jeritan polis mahkamah seperti biasa "court bangun" dan Hakim masuk mengambil tempatnya.

Terkejut dan terpegun!

Mana mungkin Hakim yang baru pula mengambil tempat. Kes lain dipanggil untuk disebut dahulu dan saya masih menaruh harapan kemungkinan dia akan keluar dan Hakim Norsalha, Hakim asal kes 'OPS Bubar DUN Perak' akan keluar mengambil tempatnya semula.

Keadaan yang tenang jadi sedikit kecoh apabila ke semua 13 orang OKT (orang kena tangkap) dipanggil nama seperti rutin biasa untuk berbaris dan mengambil tempat.

"Meor Shafrizal, Zulhaizam, Mohd Faiz, Isha, Bad Latif, Ade Hilmi, ........" hingga semua 13 orang mereka siap berdiri mengambil tempat.

Maka harapan saya untuk melihat Puan Salha masuk dan menyambung misinya yang bermula pada 13hb Fenruary 2009 hancur berkecai. Hakim yang baru itu masih di situ.

"Hakim lain!!!" jerit hati saya sambil melontarkan kata hati itu ke dalam laman sosial Facebook dan Twitter.

"Hakim lain!! Kami sudah dpt info yg Hakim kami telah ditukar ke Sg Petani 1 Januari dulu. Kes dibicara di hadapan Hakim lain mana adil dapat Hakim baru pulak!" 8.42am.

Ya, bagaimana mereka sanggup meletakkan Hakim lain untuk mendengar penghujahan peguam bela dan pendakwaraya dan seterusnya membacakan keputusan apabila hampir dua tahun kes dibicarakan dan didengar di hadapan Hakim yang lainnya. 30 orang lebih saksi dikemukakan, 1000 keping gambar dianalisa, 5 keping VCD ditontonkan dan diputar entah berapa puluh kali di setiap kali perbicaraan dijalankan, mana mungkin penghakiman dibuat di hadapan Hakim yang hanya akan baca nota hujahan ke dua belah pihak.

Laju sahaja saya mendapat respon dari sahabat seorang peguam muda Puspa "Eh eh tuntut hakim yg sama! "

Ya memang betul...dengan segera Peguambela Augustine Anthony bangun memperkenalkan diri dan memohon agar hujahan didengar di hadapan Hakim Norsalha juga kerana Augustine telahpun menyerahkan nota hujahan pihak pembelaan sejak tarikh pertama ditetapkan untuk sesi penggulungan iaitu pada 26hb November 2010. Malah beliau telah menyerahkan teks tersebut lebih kurang dua minggu lebih awal.

Pada tarikh 26hb November 2010, Timbalan Pendakwaraya, Puan Julia yang mengetuai pihak pendakwaan tidak muncul tanpa sebarang notis dan nota hujahan mereka juga tidak diterima. Maka sesi berkenaan telah terpaksa ditangguhkan pada tarikh yang baru Isnin 20hb Disember 2010.

Pada hari Jumaat 17hb 2010 ketika kami sudahpun berada di luar daerah bercuti sebelum meneruskan perjalanan ke Kuala Kangsar untuk ke mahkamah. Kami telah menerima panggilan dari Mahkamah memaklumkan bahawa kes terpaksa ditangguhkan ke tarikh yang baru pula iaitu 19hb Januari 2011. Bila ditanya mengapa ditangguhkan di saat akhir, jawapan yang saya terima ialah "Puan tidak ada". Mudah saja...

19hb Januari, kami menanti kedatangan tarikh tersebut dan yakin segalanya akan berjalan lancar kerana tarikh tersebut sepertimana tarikh yang lainnya dipilih oleh Mahkamah sendiri. Tapi sayangnya ianya tetap terpaksa ditangguhkan sehingga waktu kami sudah berada di dalam mahkamah setelah membuat pelbagai persediaan.

Tuan Haji Nazeer ketua kumpulan OKT menunjukkan salinan nota hujahan dari pihak pendakwa yang baru diterima sambil diperhatikan oleh peguambela, Augustine Anthony. Satu nota yang nipis sahaja berbanding salinan hujahan pihak kami.

Sekali lagi wajah Timbalan Pendakwara tidak kelihatan lansung. Di luar mahkamah setelah kami beredar keluar dan berkumpul Peguambela Augustine menunjukkan salinan nota hujahan yang beliau lihat ada diatas meja ketika beliau masuk ke dalam mahkamah pada pagi tersebut!

"Ya Allah Sabarkanlah kami. Ditangguh, Peguambela mohon sebut semula sebab mahu submission di dibuat di hadapan Puan Hakim yg asal. Tangguh 28hb utk sebutan dan OKT tak perlu hadir ke Mahkamah."

Begitulah kata hati saya memohon moga Allah terus menerus mengurniakan buat kami kekuatan dan kesabaran menghadapi kerenah Mahkamah dan segala yang berkaitan dengannya. Kami diuji dengan pelbagai ujian sepanjang perjalanan kes dibicarakan.

Apabila kami gagal hadir sekali sahaja... "Minta OKT tiba dalam masa sejam dari sekarang".

Apabila kami lewat sekali sekala sahaja..... "Lain kali jangan lewat atau waran tangkap akan dikeluarkan".

Apabila peguambela menyatakan tidak dapat hadir kerana ada urusan lain yang lebih amat penting.... " Tak mengapa OKT boleh bela diri mereka sendiri jika peguambela tidak dapat hadir " atau dikatakan "apakah kes tersebut atau urusan tersebut lebih penting atau sengaja mencari alasan untuk menangguhkan kes".

Apabila mereka lewat atau gagal hadir.................kami pulang dengan penuh kekecewaan menyimpan rasa dendam dan geram di hati yang berpanjangan...akhirnya kami menerima kenyataan ini dengan hati yang terbuka kerana bak kata Fadiah seorang peguam muda di Lawyers for Liberty, OKT, kita adalah Orang Kena Tindas.

Namun respon dan kata-kata sokongan dari sahabat semua terus memberikan kekuatan kepada kami.

"Kesiannya.. Letih, Duit minyak. Moga Allah beri kesabaran dan kekuatan." Ya memang benar, memang amat 'frustrating' setelah kita meletakkan sepenuh harapan.

"ikut suka dia nak tangguh2 ...dengar pun geramm !!. Ya memang betul geram dan marah bukan sahaja ikut suka masa mereka nak tangguh-tangguh, lagi zalim ikut suka nak letak Hakim lain pula.

Seperti biasa kami akan menghiburkan hati dengan mencari kedai makan kegemaran selain warong Makcik "Blues" berdekatan stesen keretapi, warong Abang Lan di tepi jalan di Sayong kami cari untuk menjamu selera dengan laksanya yang sedap dan air kelapa lemon yang menyegarkan.


"Ada kes ya pagi ni?" tanya kakak pemilik kedai isteri Abang Lan.

"Semalam kami buat di sini buat solat hajat untuk kes ni." jelas kakak lagi. Syukur dan tenang sungguh rasa hati mendengarnya. Ramai yang memberikan sokongan kepada kami semua
.


Pesuruhjaya PAS Perak Ustaz Abu Bakar Hussin memberikan kata-kata semangat bahawa setiap perjuangan pasti ada dugaan untuk semua. Beliau berterima kasih kepada pasukan peguambela yang bertungkus lumus berusaha. Mereka semua sentiasa membantu memberi dan terus menberi.



Ramai yang turut datang memberikan semangat namun semua tidak sempat masuk melabuhkan diri ke dalam mahkamah kerana beberapa minit sahaja kes sudah ditangguhkan. Pimpinan PAS Perak ramai turut hadir. Antara yang hadir ialah Pesuruhjaya PAS Perak Ustaz Abu Bakar Hussin, ADUN Titi Serong, Drs. Khalil Idham Lm, ADUN Lubok Merbau, hH Zainuddin, YDP Kuala Kangsar Tn. Hj. Ibrahim dan Bendahari PAS Perak, Hj Abdul Rahim Ariff.

Terima Kasih semua.

Walau siapa kita, sebagai rakyat jika kita biarkan pemimpin berkuasa dan bermaharajalela maka kita akan terusan menjadi orang yang tertindas dan dizalimi...namun kena terus berusaha dan bak kata Zunar kena terus mendapat 'title' 'Orang Kuat dan Tabah' untuk terus beroleh keadilan.

"Zunar Kartunis Kak N, Bad dan semua OKT (Orang Kuat dan Tabah) , semoga beroleh keadilan.

Dan jangan jadi OKU dulu kini dan selamanya......"Ronasina Kartunis kami sentiasa mendoakan keadilan tertegak. kami sedia di belakang. jangan jadi OKU sudah..(Orang Kuat Umno).

Bertemu lagi pada 28hb Januari 2011...moga mendapat satu tarikh yang sesuai untuk Hakim 'Membacakan' keputusannya setelah selesai sesi penggulungan nanti.

Kami beredar dari Mahkamah menuju ke Kelab Sultan Idris untuk berbincang dan makan-makan seperti biasa.

Sebahagian dari OKT.

Isteri-isteri OKT, Isteri YB Zainuddin berkot hijau dan yang membelakang kamera ialah Suhana OKT wanita.

Wednesday, 19 January 2011

OKT Ops Bubar DUN PERAK..Do'akan yang terbaik buat kami....

(gambar di hari pertama mereka di bawa ke mahkmah untuk disambung reman..tiada dapat mengagak nasib mereka ketika itu maka suami menyampaikan amanat kepada saya)

Secara tiba-tiba badan terasa berpeluh-peluh..saya memang tidak dapat tidur lena setiap kali mahu memulakan perjalanan awal pagi kerana bimbang saya tidak terjaga dan kami bakal lewat tiba di Mahkamah.

Sepanjang perbicaraan dijalankan sejak 6b Februari 2009 sehingga kini entah berapa kali kes dijalankan tidak dapat saya kira lagi. Saudara Augustine Anthony peguambela kami telahpun bertanya kepada saya sekiranya saya mempunyai rekod berapa kali semuanya kes dijalankan sepanjang hampir dua tahun ini...entahlah, saya tidak punya rekod yang lengkap. Tetapi setiap bulan pasti tidak kurang dari 7 hari ianya dijalankan, jadi kemungkinan hampir 100 hari kami menghabiskan banyak masa berharga di sana.

Sepanjang ianya diadakan tidak ada seorang pun OKT yang gagal hadir kecuali satu sesi di mana salah seorangnya Adik Faiz perlu menjalani peperiksaan di Kolejnya dan sekali lagi kami terpaksa mencipta alasan tidak hadir, kerana Hakim menetapkan kes bermula jam 8am dan berakhir untuk separuh hari sahaja. Maka memandangkan suami sememangnya sudah lama kehabisan cuti tahunan dan kami juga terasa amat tidak berbaloi untuk travel jauh dan hanya untuk duduk di dalam mahkamah untuk masa dua atau tiga jam sahaja, maka kami tidak ke sana.

Memang perit melalui episod perbicaraan ini, namun tidak sangka kami berjaya mengharunginya dengan sokongan dan do'a semua..kami terus bertahan...Syukur Alhamdulillah.

Hari ini 19hb Januari adalah sesi penggulungan kes. Pada tarikh pertama yang ditetapkan pada hampir sebulan yang lepas memang telah dengar desas desus bahawa Puan Hakim akan terus membacakan keputusannya sebaik selesai sesi penghujahan.

Malam ini tiba-tiba tangan dan mata saya sampai ke blog Cina Islam dan saya terkejut dan peluh sejuk terasa mengalir apabila membaca:

"Menurutnya juga kemungkinan pihak mahkamah akan membaca keputusan penghakiman kes tersebut." (peguambela Hj Aminuddin)

Kes ini lain dari yang lain, sebelum ini hampir kesemua kes yang melibatkan tangkapan di Perhimpunan Aman yang berlaku di Kuala Lumpur semua yang ditangkap dan dibicarakan akhirnya dibebaskan oleh Mahkamah setelah pihak pendakwaan gagal membuktikan dakwaan dan tuduhan mereka. Maka semua bebas tanpa perlu membela diri.

Ini kes di luar Kuala Lumpur dan melibatkan institusi RAJA....kita nantikan kesudahannya...Hanya Allah yang Maha Adil dan Bijaksana...

Apa pun do'akan yang terbaik buat kami...apa yang saya runsingkan sekiranya keputusan tidak menyebelahi kami, maka kami harus melaluinya semula berulang alik ke Mahkamah Tinggi pula kemungkinannya...