Wednesday, 4 June 2008

KISAH PILU TAHANAN ISA-harakahdaily

Kisah pilu tahanan ISA: Setelah didera, kini dihantar ke Hospital Bahagia
Anis Nazri Foto GMI

Wed Jun 04, 08 8:55:50 pm MYT

KUALA LUMPUR, 4 Jun (Hrkh) - 'Sudah jatuh ditimpa tangga', begitulah yang dialami isteri seorang tahanan ISA, Sharmila Sanjeev Kumar, apabila suaminya yang kini lumpuh di Kem Tahanan Kemunting dicadangkan dimasukkan ke Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan.
Berita yang dimaklumkan pihak Kemta kepada Sharmila menambahkan lagi episod luka wanita itu, yang baru enam bulan mendirikan rumahtangga dengan Sanjeev Kumar Krishnan, yang ditahan pada 28 Julai 2007 atas tuduhan 'agen perisik asing'.

Sharmila berkata, pihaknya membantah pihak Kemta menghantar suaminya ke Hospital Bahagia atas cadangan Hospital Taiping kerana beranggapan suaminya tidak mempunyai masalah kesihatan, khususnya berkaitan mental.

"Suami saya seorang yang cergas dan aktif. Beliau juga sihat, dan normal. Sejak masuk ISA, dia selalu mengadu sakit-sakit," kata beliau di hadapan Pesuruhjaya Suhakam, Dr Chiam Heng Keng, di pejabat Suhakam, petang tadi.

Sharmila, yang ditemani abang Sanjeev, Gunalan Kumar, dan diiringi GMI turut meminta Suhakam mengambil langkah segera bagi membantu membebaskan suaminya untuk mendapatkan rawatan yang sewajarnya.

Serah memorandum
Dalam masa sama, Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh menyerahkan memorandum berkenaan dakwaan seksaan yang dilakukan ke atas Sanjeev, yang mengakibatkan beliau disahkan lumpuh.
Menurut Syed Ibrahim, Sanjeev yang kini berkerusi roda, dikatakan mengalami pelbagai penyeksaan yang dilakukan polis cawangan khas (SB) seperti ditendang dan dibelasah di bahagian badan dan kepala dengan menggunakan kaki, selain dipukul dengan botol berisi air.

Lebih malang lagi, katanya Sanjeev juga didera secara fizikal apabila kemaluannya dipukul dan duburnya dijolok dengan objek keras, di samping diminta meminum air kencing sendiri tiga hingga empat kali.
Syed Ibrahim berkata, selepas tempoh 55 hari penahanannya di bawah ISA, Sanjeev dihantar ke Kemta pada 22 September 2007, dan bermulalah episod kesakitan Sanjeev apabila beliau mula mengadu kaki kiri dan tangan kirinya sakit serta tidak berfungsi dengan baik.

Sehubungan itu, GMI dan Sharmila bertindak membuat laporan polis, di Balai Polis Dang Wangi, Jalan Stadium, 20 Mei lalu meminta agar PDRM menyiasat secara terperinci dan telus berkenaan dakwaan Sanjeev tersebut.

Dikatakan sakit mental
Menurut Syed Ibrahim, selepas kenyataan akhbar dan laporan polis GMI, Sanjeev dihantar ke Hospital Taiping pada 14 Mei, yang kemudiannya dirujuk ke Hospital Pulau Pinang, sebelum dihantar ke Kemta pada 24 Mei lalu.

Bagaimanapun, ketika lawatan keluarga pada 1 Jun lalu, Sanjeev memaklumkan kepada keluarga bahawa beliau kemungkinan besar akan dihantar ke Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan.

"Berita terbaru ini mengejutkan isteri dan GMI. Mengapakah beliau dihantar ke hospital yang dikhaskan untuk pesakit mental?" soal Syed Ibrahim.

Justeru, GMI menggesa Suhakam untuk menyiasat aduan berkenaan dan mencadangkan langkah tegas supaya Sanjeev dibebaskan dengan segera tanpa sebarang syarat atau membicarakan beliau di mahkamah terbuka.

Pendirian Suhakam
Sementara itu, Dr Chiam, dalam respon awalnya berkata Suhakam berpegang dengan pendirian bahawa ISA merupakan akta yang bertentangan dengan hak asasi manusia, dan setiap yang ditahan perlu dibicarakan di mahkamah.

Bagaimanapun, dalam kes Sanjeev ini, Dr Chiam menyatakan bahawa pihak Suhakam, melalui Pesuruhjayanya, Dato' Siva Subramaniam telah membuat lawatan ke Kemta pada 7 Mei lalu dan bertemu Sanjeev di Hospital Taiping.

Suhakam dimaklumkan bahawa Sanjeev mengalami simptom tekanan perasaan sehingga mengakibatkan beliau menjadi lumpuh, dan terpaksa dirujuk di Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan.

Dr Chiam turut memaklumkan bahawa pihak Suhakam sedang menunggu laporan kesihatan daripada Hospital Pulau Pinang mengenai status kesihatan Sanjeev.

Tekanan perasaan berpunca dari ISA
Sementara itu, Pengarah 'Kempen Bebaskan Tahanan Enam Tahun ISA', Norlaila Othman, berkata sesiapa saja yang ditahan ISA mesti mengalami tekanan perasaan apabila didera secara mental dan fizikal, apatah lagi dengan pelbagai ugutan.

Beliau yang juga merupakan isteri tahanan enam tahun, Mat Sah Satray, berkata adalah lebih baik jika Sanjeev dibebaskan segera agar beliau boleh menerima rawatan yang lebih baik.

"Berdasarkan kes sebelum ini, terdapat tahanan yang mengalami lumpuh. Bagaimanapun, selepas beliau dibebaskan, beliau pulih apabila mendapat rawatan sewajarnya. Berdasarkan pengalaman itu, kesihatan Sanjeev lebih terjamin jika di luar berbanding di Kemta," tegas beliau.
Vigil di Kamunting, 7 Jun
Dalam perkembangan lain, Norlaila menyatakan bahawa GMI Perak telah menghantar surat makluman kepada polis Taiping berkenaan program 'vigil' yang akan diadakan Sabtu, 7 Jun ini, di hadapan Kemta.

"GMI juga mengambil kesempatan untuk meraikan rakyat di sebelah utara (Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Perlis) untuk bersama-sama menjayakan kempen ini, yang mana mungkin sukar menyertai kempen kita di KL, sebelum ini," kata beliau, yang mensasarkan kehadiran 1000 orang pada kempen 'vigil' tersebut.

Beliau menyeru orang ramai agar turut sama menyertai program itu bagi menyatakan bantahan ke atas akta zalim tersebut. - mks.
(foto.....ehsan dari camera UMMUASIAH :))

7 comments:

Abang Long said...

Tiada hijab bagi do'a orang yang dizalimi !

Saya tidak pasti, bagaimana saya boleh membantu, disaat ini saya adalah seorang penganggur. Setiap sen adalah umpama nyawa. Hanya do'a yang saya mampu hulurkan buat mereka yang berjuang menuntut KeADILan.

Neeza Shahril said...

memang zalim apa yang diperlakukan. Dalam Islam pun tak pernah kata kita boleh menzalimi orang yang bukan Islam...

Neeza harap polis (SB) yang dera Sanjeev tu mendapat balasan azab siksaan yang maha pedih dari Allah s.w.t...

ummu asiah said...

Abg Long..

Do'a dan ingatan dan kesedaran sudah cukup kuat untuk membantu perjuangan menentang kezaliman ini..atau boleh juga kongsi cerita dgn sahabat2.

Sudah tentu amat sukar bagi abg long espc dlm situasi semua harga brg naik,org yg bergaji bulanan pun dah tak berseri lagi senyuman :(

ummu asiah said...

memang zalim..kalau tengok istri dgn adik dia memang kesian. dah la baru sahaja kawin.

Sama-sama kita do'a moga semua mereka dibebaskan segera

silversarina said...

kenapa masih dikekalkan ISA sukar dimengerti.. memang satu akta yang tak masuk akal dan benar-benar tidak berperikemanusiaan.

pakpayne said...

ummu asiah....syabas kerana menegakkan keadilan tanpa mengira kaum. Malaysia memerlukan lebih ramai pemimpin berjiwa besar....

PP

ummu asiah said...

Kak Rina..
ISA digubalkan kononnya atas dasar nak menjaga keselamatan negara...tapi dari awal lagi sudah nampak sebenarnya nak menjaga keselamatan orang yang memimpin negara..pemimpin yang sebenarnya merosakkan keselamtan rakyat..that's govt yg memerintah sukar nak hapuskan ISA. bnyk kes jenayah yg sebnrnya sebab kerja jahat pemimpin tapi mereka menyumbat org bawahan mereka dlm ISA utk tutup mulut and tutup kes..

Pak Payne..

InsyaAllah kami di GMI memperjuangkan keadilan dari segi melawan akta yang boleh menahan seseorang tanpa dibicarakan. Walaupun kesalahan dari segi Aqidah atau jenayah..kami tetap memperjuang nasib mereka...mereka tidak boleh ditahan tanpa dibicarakan..apatah lagi dalam ISA dibawah tahanan 60 hari seseorg tahanan memang terdedah pada penyeksaan mental dan fizikal sebab mereka seolah dicolek dan diletakkan di suatu tempat yg tersembunyi...keluarga pun tak tahu di mana