Malam ini saya tidak dapat tidur dan lelapkan mata kerana berita tersebar pihak polis sedang menyerbu hotel-hotel sekitar Kuala Lumpur mencari penyokong BERSIH. Di tempat kami menumpang ini juga sudah kelihatan ramai SB berkeliaran dan menurut receptionist polis dan SB telah datang melihat dan mengambil senarai nama tetamu di sini.
Jadi saya isi masa berkongsi dengan pengunjung pengalaman kami di Penjara Pudu ketika ditangkap dalam perhimpunan aman 26-01-08 di KLCC membantah kenaikan harga barangan dan minyak.
Sebahagian kisahnya saya letakkan di sini.
‘Mogok Lapar’
SB-SB yang ramai dan berbadan besar terus memarahi kami. Seorang dari mereka yang memperkenalkan diri sebagai Koperal Rahim mengarahkan SB yang ganas tadi untuk berundur diri. Beberapa kali juga kami terpaksa bertegang leher dengan SB-SB tersebut. Nasib baik di antara kami, Sdri Kohila memainkan peranan sebagai orang yang ‘berlembut’ sedikit. Koperal Rahim mula bertanya kepada kami apa yang kami mahu. Kami yang masih dalam keadaan marah menerangkan kepadanya tentang keadaan kawan kami yang sakit sejak semalam tetapi tidak mendapat layanan. Barulah selepas itu dengan segera sahabat kami itu dibawa keluar dari lokap. Alhamdulillah, berjaya juga tindakan kami melawan, walaupun kami semuanya secara fizikal sudah agak lemah kerana tidak makan dan minum. Saya dan Aiman bertekad untuk ‘mogok lapar’. Kami tidak menyentuh makanan yang diberikan, hanya minum sedikit air kosong.
Kami terus bertanya kepada Koperal Rahim, bilakah kami akan dibawa keluar untuk berjumpa peguam kami. Jawapannya ialah jam 11.00 pagi. Kami sudah dijanjikan untuk dibawa ke mahkamah untuk berhadapan dengan majistret. Selepas itu semua SB-SB tadi beredar pergi dari kawasan lokap. Keadaan kembali tenang. Kami bersyukur kerana tindakan kami melawan walaupun terpaksa berhadapan dengan serangan SB berjaya menyelamatkan sahabat kami dari terus terseksa. Selepas keadaan tenang dan aman, kami terdengar bunyi bising orang mengetuk-ngetuk mangga pintu sel dari arah sel kami. Ketika itu baru kami sedar yang 2 orang sahabat kami iaitu Nora dan Maisuharah telah ‘terperangkap’ dalam sel kami. Cepat-cepat kami minta kunci sel dibuka agar mereka dapat keluar bersama kami. Kesihan mereka terlepas daripada bersama-sama dalam keadaan yang runcing tadi.
Pudu Jail-5 Star!!
Semasa kami keluar dari sel, Mai masih tidur, dan Nora pula baru nak melelapkan matanya semula. Sebelum Nora mula hendak berbaring semula, dia mengingatkan kami bahawa lokap Pudu yang kami huni ini amat lebih baik kondisinya berbanding dengan lokap-lokap lain. Dia juga sudah meramalkan mengikut kebiasannya yang kami akan terus ditahan untuk tempuh 24 jam lagi. Maka kami pun biarkan dia terus beradu. Dia memang seorang yang sangat arif dengan keperluan dan keadaan yang perlu dilalui apabila ditangkap dan dipenjarakan. Semua orang yang ada ‘lesen’ untuk ditangkap elok juga belajar pengalaman darinya. Ini temasuklah persedian barangan peribadi yang rupa-rupanya boleh dibawa masuk. Pada pagi kami tiba ke dalam lokap, Nora telah mendapat sebuah beg yang berisi sepersalinan pakaian dan lain-lain keperluan peribadi. Barangan tersebut mungkin telah dihantar oleh suaminya. Cemburu juga kami dibuatnya. Namun ini bakal menjadi panduan untuk kita semua. InsyaAllah.
Acara kami setelah selesai episode pertama ‘berperang’ dengan SB-SB yang ganas dan besar-besar itu ialah duduk-duduk merehatkan diri. Kami masih menghabiskan masa kami dengan duduk berhadapan dengan pintu lokap yang besar. Kami tidak mahu lagi masuk ke bilik sel kami yang aromanya amat meruntun kalbu. Kami duduk bersembang dan berbincang-bincang mengenai banyak perkara, isu pilihanraya umum..ada di antara kami yang bakal menjadi calon dalam PRU12, isu-isu hak asasi..dengan mengaitkan keadaan tahanan yang kami lihat sendiri di dalam lokap pudu ini. Mereka dilayan tidak ubah umpama haiwan yang dikurung di dalam sangkar. Simpati kami melihat mereka. Banyak lagi isu-isu penting yang kami bincangkan bagi menghabiskan waktu yang kami nanti-nanti untuk dibawa keluar.
Persembahan di dalam Penjara
Jam 11 pagi seperti yang dijanjikan oleh SB tadi telah berlalu pergi. Memang benar SB tidak boleh dipercayai. Maka kawan-kawan yang lain mengajak kami semua menghiburkan hati. Ginie yang mungkin telah mendengar Aiman dan saya mendendangkan nasyid ‘Teman Sejati’ pun mula membuat permintaan agar kami mendendangkan nasyid tersebut semula.’Sedap didengar’ katanya. Maka dari situ kami semua mula mendendangkan nasyid-nasyid persahabatan dan perjuangan. Lagu-lagu patriotik dan lagu-lagu rakyat dan perjuangan turut kami dendangkan beramai-ramai dengan penuh perasaan, bersemangat dengan aksinya sekali. Kami turut mendendangkan lagu Tamil sambil menari-nari. Terkejut juga Kohila, Sarasvathy, Rani, Vijaya dan Ginie melihat kami muslimat bernyanyi-nyanyi. Mereka bertanyakan adakah boleh wanita Islam menyanyi. Sudah tentu boleh dalam lingkungan kaum wanita sahaja. Kami tidak lupa juga untuk terus menjerit dan mendesak supaya kami dibebaskan. “ Bebas, Bebaskanlah, Bebas, Bebaskanlah”…”Aku ingin Bebas, Aku ingin lepas, dari Penjara ini”…dan bermacam-macam lagi sehingga kami semua keletihan kembali. Selepas itu baru kami sedar yang kami sudah punya ramai peminat dan penonton yang tersedia, iaitu tahanan-tahanan yang ada di sel masing-masing memberi tepukan kepada kami. Kami memberitahu mereka sekiranya kami masih belum bebas, pada sebelah malamnya kami akan mengadakan persembahan khas.
Masa terus berlalu, kami terus menunggu dan menunggu, janji pukul 11 dah bertukar ke pukul 12 tengahari, bosan kami dengan janji-janji mereka. Apa-apa pun mereka perlu membawa kami berjumpa peguam dan majistret sebeum jam 2.30 petang, kerana tempuh 24 jam tamat ketika itu.
Makanan taraf 5 Star??
Makanan tengahari kami dihulurkan di dalam sebuah beg plastik yang besar. Di dalamnya terdapat bungkusan nasi, kuah di dalam plastik dan air kosong dibungkus di dalam plastic tanpa cawan dan straw. Tahanan hanya dibenarkan menghirup air terus dari plastik. Kami membuka satu bungkusan nasi untuk melihat isinya. Di dalamnya terdapat 2 ketul kecil terung yang direbus sehingga kehitaman warnanya dan ayam yang tersangat kecil sebesar ibu jari sahaja mungkin. Kuahnya pula ialah campuran air dan rempah kari. Tidak ada seorang dari kami yang sanggup menjamah makanan tersebut. Tahanan-tahanan yang berada di dalam lokap mereka meminta makanan tersebut dari kami. Kami terus membahagikan bungkusan-bungkusan tersebut kepada mereka. Puas juga hati kami dapat meneruskan khidmat bakti walaupun dipenjarakan
Sekali lagi kami sedih dan simpati melihat keadaan mereka,makanan mereka diletakkan di atas lantai di luar pintu lokap. Mereka terpaksa menghulurkan tangan keluar untuk mengambil makanan tersebut. Kadang-kadang kucing yang banyak berkeliaran terlebih dahulu menghidu-hidu bungkusan tersebut. Selesai makan kertas bungkusan diletakkan semula di luar pintu sel sebelum dipungut oleh tahanan Indonesia yang diberi tugas sebagai ‘bibik’ kepada pegawai polis.
Suara-Suara Keramat
Sedang kami menunggu kami mendapat perkhabaran dari pekerja yang keluar dan masuk semula ke lokap kami mengatakan, kawan kami di luar ramai sekali dan menjeritkan ‘bebas..bebaskan’. Kami bertambah segar dan bersemangat semula. Kami terus berlari memasuki semula bilik sel kami, kerana kedudukannya yang paling hujung dan ada tingkap yang berjaring besi. Kami cuba mengamati suara-suara yang datang dari luar. Sayup-sayup kedengaran suara melaungkan ungkapan keramat..’BEBASKAN, BEBASKAN, BEBASKAN TAHANAN’, ‘REFORMASI! REFORMASI!’. Seronok kami semua dibuatnya. Apa lagi kami menyusun semula barisan kami dan mula meneriakkan slogan-slogan perjuangan. Kami berhenti apabila semua sudah terlalu penat dan kehausan. Apabila tiba waktu solat zohor, kami tidak melengahkan masa untuk solat berjamaah,kerana bila-bila masa kami akan dibawa keluar.
Masa yang dinanti-nantikan akhirnya tiba apabila kami dijemput untuk keluar dari lokap. Kami dikehendaki beratur berdua dan menunggu arahan seterusnya sebelum berjalan keluar menuju ke pejabat Balai Polis. Di sana kami berkumpul di sebuah bilik yang agak besar. Tersedia sebuah meja panjang dan deretan kerusi di kiri kanan bilik tersebut. Beberapa minit kemudian para OKT lelaki dibawa masuk ke bilik tersebut.
Kami memberitahu kepada pegawai polis yang bertugas bahawa kami semua dahaga dan inginkan air untuk menghilangkan kehausan kami. Seperti biasa segala permintaan memang sukar dipenuhi, melainkan kami terpksa meminta dengan cara membuat bising. Sukar difahami mengapa sedemikian keadaannya. Maka mulalah kami membuat bising dengan menjerit ‘Nak Air, Nak Air’. Memang betul, barulah mereka datang membawa satu jug air dengan bebeapa gelas plastik. Habis sebekas air dapat pula mereka membawa sebekas lagi sehingga kami semua dapat menghilangkan dahaga.Alhamdulillah.
Sambil menunggu kedatangan peguam untuk mendapat keterangan dari kami, Dr Hatta mengajak kami semua berlakon seolah kami berada di dalam mahkamah dan Dr Hatta berlagak sebagai seorang majistret. ‘Majistret’ telah menghukum kami, dengan semuanya di sambung tahanan reman lagi.
Peguam Pembela Rakyat!
Peguam-peguam yang kami nantikan dengan penuh harapan akhirnya tiba dan masuk ke dalam ruang bilik tersebut. Mereka semuanya kelihatan segak bergaya dan masing-masing nampak begitu ‘confident and committed’ untuk membela nasib kami semua. Kami menyambut mereka dengan tepukan yang penuh bersemangat dan gembira sekali. Masing-masing berpeluang bertemu dengan peguam-peguam yang hadir pada hari itu. Ramai sekali jumlah mereka dengan diketuai oleh peguam Amer Hamzah. Peguam mengambil keterangan dari kami terutamanya mengenai di mana dan bagaimana kami ditangkap. Tahap kesihatan kami juga diberi penekanan.
Siapa? …dia…Majistret???
Majistret yang kami nantikan untuk mendengar dan menghakimi kes tahanan reman kami akhirnya tiba dengan didiringi oleh ramai pegawai-pegawai lain. Sukarnya untuk mengenal pasti yang mana satu majistretnya. Namun akhirnya mata saya tertumpu ke batang tubuh seorang wanita yang berjalan paling ke hadapan. Jantung saya seolah berhenti berdegup seketika. Termangu juga saya dibuatnya. Betulkah wanita ini yang bakal menghakimi kami???...Tak mungkin…mungkin saya tersalah orang kerana bukan selalu saya melihat wajahnya. Tetapi kakaknya adalah sahabat baik saya semenjak suaminya menjadi mangsa kezaliman undang-undang ISA. Kalau betullah orangnya, saya telah menghadiri majlis perkahwinannya pada bulan Ogos tahun lepas. Macamana saya nak pastikan, saya meraba ke dalam poket baju saya. Ah…terlupa pula, mana ada lagi handphone. Saya sempat berbisik pada Aiman dan Ustaz Badrul mengenai sangkaan saya siapa sebenarnya majistret tersebut. Masing-masing agak terkejut. Saya bingkas bangun dan keluar dari bilik tersebut untuk mencari sesiapa yang boleh meminjamkan handphone kepada saya. Akhirnya dapatlah saya menghubungi sahabat saya dan bertanyakan tentang hal itu. Maka terjawab sudah, memang betullah saya amat mengenali majistret ini, dan majistret ini juga pasti mengenali saya dan kebanyakan OKT yang bakal diadilinya di Mahkamah terbuka tersebut. Majistret dan Mahkamah yang sepatutnya mengadili kes dengan penuh kebijaksanaan dan bukan mengikut telunjuk orang atasan mereka.
Mesti Padamkan Mereka!!!
Saya masih menaruh harapan agar majistret ini sedar akan tanggungjawabnya yang sebenar dan takut akan azab Allah terhadap Hakim yang tidak adil. Pendengaran kes kami pada petang itu dilakukan mengikut kumpulan yang ditangkap, dimulakan dengan Saudara Arutchelvan. Setiap kami diwakili oleh seorang peguam yang membela. Inspektor Anand pula ialah orang yang ‘bertugas’ memastikan walau dengan apa cara dan segala alasan dan pertuduhan yang direkacipta dalam masa beberapa jam sahaja, untuk kami tetap ditahan reman dan disumbat dalam lokap untuk tempoh paling kurang 48 jam!. DPP pula dihantar khas oleh peguam Negara untuk kononnya menguatkan lagi segala hujah pendakwaan terhadap kami walupun kehadiran mereka adalah tidak perlu untuk kes seperti kami. Paling hebat Majistret yang telah diarahkan dengan tergesa-gesa, untuk datang membaca skrip yang telah disediakan. Keseluruhannya yang amat unik ialah semua pegawai kerajaan ini terpaksa mengorbankan hari minggu mereka untuk datang ke Pudu Jail dan satu ‘Mahkamah Terbuka’ terpaksa diadakan untuk melakonkan semua sandiwara pada hari itu.
Persoalan akhirnya, apakah kita boleh mendapat keadilan di dalam sistem kehakiman yang wujud seperti ini. Saya menerima sms dari seorang sahabat yang mengatakan bahawa apabila kita berjaya memerintah nanti orang pertama yang akan kita hakimi dan ‘pancung kepalanya’ ialah Ketua Hakim Negara sendiri! Dalam kes kami memang dia telah mengarahkan majistret untuk memastikan kami semuanya terus ditahan reman di dalam lokap.
Kami mengancam Keselamatan Awam???
Seperti yang dijangka, walaupun kita yakin dengan hujah peguambela kita dan jijik dengan alasan pegawai yang mendakwa, Saudara Arutchelvan dibenarkan oleh majistret untuk ditahan reman selama 24 jam lagi. Alasannya proses soal-siasat masih belum selesai, polis mempunyai banyak rakaman video yang perlu diproses menjadi ‘still pictures’.Atas alasan mengancam keselamatan awam dan terlalu banyak ‘perhimpunan haram’ yang diadakan. Maka cerah jugalah masa depan kami untuk mengikuti jejak langkah Arutchelvan.
‘Mahkamah’ berehat selepas ‘judgement’ keatas Arut dijatuhkan. Saya bertanya kepada peguam Amer Hamzah, apakah harapan untuk kami. Katanya dia akan cuba merayu agar OKT wanita dilepaskan. Lega juga rasanya. Selepas rehat giliran kumpulan kami pula tiba, 5 orang muslimat dan seorang adik lelaki. Kami berenam berdiri di hadapan Puan Majistret semasa peguam kami menyampaikan hujahnya. Seketika Majistret memohon berhenti seketika dan mengarahkan kami untuk duduk. Memang ada simpati di wajahnya yang sedikit pun tidak memandang wajah-wajah kami dan beliau hanya tunduk mencatatkan segala hujah-hujah yang dibacakan. Kami terus duduk bersimpuh di atas lantai di hadapan majistret. Seperti tadi Inspektor Anand terus membaca dakwaan ke atas kami. Paling menyakitkan hati saya sebagai manusia yang tidak bersalah ialah apabila Inspektor Anand menuduh kami ‘cuba melarikan diri apabila ditangkap’. ‘Kurang ajar’ betul dia. Namun wajah Inspektor Anand juga terserlah wajah orang yang amat serba salah, namun apakan daya tugasnya seperti diarahkan orang atasan perlu dilaksanakan.
Lawan Tetap lawan!!!!!
Akhirnya masa untuk memberi keputusan oleh Majistret tiba, beliau mengambil masa yang agak lama untuk membaca ‘script’ yang telah disediakan oleh ketuanya. Beliau membelek-belek halaman notanya berkali-kali sambil mengetap-ngetap bibirnya. Namun beliau masih tidak mampu untuk mengangkat wajahnya memandang kearah kami maupun kearah semua yang ada di dalam bilik tersebut. Oleh kerana lama masa yang diambil, kami berenam bangun berdiri semula. Akhirnya seperti nasib yang menimpa Saudara Arut, kami juga terpaksa merengkuk di dalam penjara sehari semalam lagi.
Bermula lagi episode baru di dalam kehidupan kami sebagai penghuni penjara yang menambahkan statistic tahanan yang ditahan di dalam Penjara Pudu tersebut, kerana nama-nama kami turut tercatat di papan putih mereka. Namun kami ditahan dan dipenjarakan hanya untuk menakutkan-nakutkan rakyat yang mahu bangun menyuarakan hak seperti yang termaktub di dalam perlembagaan. Di penjarakan untuk memadam api perjuangan dan kemarahan rakyat. Kami lalui detik-detik ‘penginapan’ kami di penjara dengan penuh kesedaran bahawa kami telah dizalimi.
Kami tetap melawan hingga saat kami dibebaskan semula dari lokap Mahkamah Jalan Duta dan berjalan keluar dari kompleks Mahkamah jam 7.10 malam Isnin 28 Januari 2008.