Tuesday, 10 November 2009

Kenangan: Tak sangka menghuni Penjara Pudu.


Saya terbitkan semula kisah ini setelah terbaca satu rencana yang ditulis oleh seorang peguam di blognya yang juga tersiar di Sinar Harian. Kisah ini mengingatkan kembali pengalaman saya dan kawan-kawan dipenjarakan. Saya tulis ini sebaik saya dibebaskan dari penjara pudu dan lokap Mahkamah Jalan Duta. Kami ditangkap pada 26-1-08 dan dilepaskan pada jam 7 malam 28-01-08. Di bawah ini adalah sebahagian cerita yang telah saya nukilkan sewaktu itu.

Bacalah....


Tak sangka menghuni Penjara Pudu


Bermulalah episod baru dalam kehidupan kami selepas itu, menjadi penghuni penjara pudu yang sangat terkenal itu. Namun tidak ramai yang tahu bahawa Penjara tersebut masih berfungsi dan menyangka Pudu Jail tersebut sudah tidak berpenghuni dan sudah menjadi sebuah muzium. Kehadiran kami di sana menjadi bukti bahawa ianya masih lagi utuh menyimpan tahanan-tahanan yang belum dibuktikan kesalahan mereka.


Kemungkinan kami tiba di Penjara Pudu sekitar jam 3.30 pagi. Kami dikumpulkan di satu kawasan terbuka namun dikelilingi oleh pagar besi dan kawat besi. Kami duduk-duduk dan bersantai di situ. Suasana begitu segar dan indah sekali, bulan mengambang tepat di atas kepala kami. Ramai yang masih segar dan cergas berbual-bual dan berlegar. Ada juga yang mahu-tidak mahu terpaksa jua merebahkan diri di atas simen di situ. Semuanya memang sudah amat keletihan.



OKT lelaki diarah untuk menukar ke pakaian lokap dan terpaksa berkaki ayam. Masa yang ada juga, kami dibenarkan untuk masuk ke pejabat balai dan membuat laporan polis. Kami juga sempat merakamkan beberapa aksi menarik ketika itu sebagai saksi kami pernah ditangkap dan disumbatkan ke Penjara Pudu. Bukan untuk bermegah-megah tetapi sebagai bukti kepada anak-anak dan generasi yang akan datang. Perjuangan menentang kezaliman bukanlah suatu perkara yang mudah, mesti bersedia untuk dipenjarakan oleh pemerintah yang takut dengan bayang-bayang mereka sendiri.


Setelah semua proses selesai, OKT lelaki mula dibawa masuk ke lokap bahagian lelaki, masing-masing sudah dipaksa memakai baju lokap dan berkaki ayam. Kami OKT wanita tidak dipaksa menukar pakaian. Namun kalau dipaksa, kami tetap akan berjuang menegakkan maruah kami. Namun kami tetap meminta seorang sehelai baju lokap yang bakal kami jadikan alas atau selimut sekiranya kesejukan. Kami dibawa masuk ke Bangunan lokap wanita sekitar jam 5 pagi. Di sana sekali lagi kami terpaksa melalui satu lagi proses yang panjang dan memenatkan. Kami terpaksa lagi berdiri dengan lama. Tetapi kami memberi peluang kepada sahabat seperjuangan yang tidak sehat untuk duduk di atas dua kerusi yang ada di dalam ruang Pejabat polis yang menjaga.

“Kami Tahanan Politik!”


Sedang kami menunggu, keluar seorang pegawai polis wanita yang bertugas memberi arahan kepada kami sambil menunjuk kearah lantai simen..” Semua duduk di bawah”. Wah apa lagi, kami semua menjerit serentak..”Kami bukan banduan, kami semua tahanan politik!!!”. Terus polis tersebut terdiam dan berlalu dari situ. Ada di antara kami yang terdengar dia berkata-kata “kenapalah mereka ni ditahan”. Kemudian datang pula seorang lagi polis wanita yang bertugas, mundar mandir seperti tidak tahu apa yang patut dilakukannya. Patutlah, saya telah duduk di atas kerusi yang sepatutnya dia duduk, dia pula tidak menyuruh saya bangun, hingga akhirnya Aiman menegur saya untuk bangun. Barulah dia dapat duduk dan meneruskan tugas-tugasnya.


Kami kemudiannya diberi arahan untuk membuka pakaian, apalagi, menjeritlah kami semua..”tidak mahu, kami dah diberi kata janji dari luar bahawa kami tak perlu membuka baju atau menukar ke baju lokap”. Polis tersebut terus berhubung dengan balai di luar. Sekali lagi arahannya ialah kami mesti membuka baju dan menukar ke pakaian lokap. Kami tetap berkeras dan membantah dan menyatakan baju tersebut diambil oleh kami untuk dijadikan alas atau selimut. Akhirnya tiada apa atau siapa yang dapat memaksa kami membuka baju dan menukar ke pakaian lokap. Kami berjaya mempertahankan harga diri kami. Subhanallah, Allah hu Akbar.


Proses dokumentasi di situ termasuklah membuka dan menyerahkan semua barang-barang kemas yang dipakai di badan termasuk jam, handphone dan lain-lain lagi. Kami diberikan satu beg plastik kecil seorang untuk dimasukkan barang-barang berharga milik kami. Kemudian seorang demi seorang memberi maklumat tentang setiap barang yang diserahkan. Kemudiannya seorang demi seorang perlu menurunkan cap jari bagi pengesahan. Selepas itu kami diberikan satu bag plastik yang lebih besar untuk kami masukkan kasut dan lain-lain barang yang ada. Kami juga diberikan satu palstik kecil yang berisi berus gigi yang batangnya sekerat, setiub kecil ubat gigi, sebuku kecil sabun cap kapak agaknya dan sehelai tuala good morning. Dapatlah juga kami membersihkan diri dengan bekalan tersebut.


Kami hanya dibenarkan masuk ke lokap dengan sehelai sepinggang dengan hanya pakaian yang lekat di badan kami. Maka berkaki ayamlah kami semuanya sepanjang berada di dalam lokap tersebut. Sebaik hampir selesai semua proses, jam di dinding menunjukkan hampir jam 6 pagi. Kami memohon untuk menunaikan solat subuh. OKT bukan muslim terus di bawa masuk ke dalam lokap yang bakal menerima kami sebagai penghuni barunya. Kami OKT Muslimat terus ke tandas untuk membersihkan diri dan mengambil wuduk. Alhamdulillah, keperluan dan kewajipan yang satu ini kami terima tanpa perlu menjerit dan berlawan. Kami juga dibenarkan menggunakan tandas pekerjanya yang lebih bersih. Kami menunaikan solat subuh di bilik yang ada di lokap tersebut. Mungkin bilik yang digunakan oleh pegawai polis yang bertugas.Kami mengambil peluang untuk solat berjemaah dan diikuti dengan zikir mathurat. Kedengaran sedu sedan diantara kami. Sudah tentu bukan sedih mengenangkan nasib kami yang dipenjarakan.


Bagi diri saya, terasa sedih mengenangkan nasib malang yang menimpa kita rakyat Malaysia lantaran mempunyai pemimpin yang zalim dan penindas, sedih mengenangkan apa yang bakal menimpa kepada generasi yang akan datang sekiranya rakyat terus leka dan tidak berani bangun menentang kezaliman. Dalam hati terus berdo’a agar Allah memberikan kepada kami dan semua pejuang keadilan dan kebenaran, kekuatan dan keberanian untuk terus berjuang hingga menang!. Allah hu Akbar.


‘Kejutan Budaya??’


Selesai solat kami bergerak menuju ke lokap. Kami terpaksa melalui pintu lokap yang pertama yang besar. Kami terpaksa menundukkan pandangan kami dan beristighfar di dalam hati melihat adegan-adegan dan aksi-aksi yang tak ingin kami lihat sepanjang perjalanan menuju ke bilik lokap kami. Ini mungkin satu ‘culture shock’ juga buat diri kami. Sebenarnya dalam lokap yang besar itu terdapat beberapa lagi lokap yang lebih kecil di kiri dan kanan ruang tersebut. Di dalamnya terisi dengan tahanan-tahanan reman yang terdiri dari warga asing. Ada yang dari Indonesia, China, Thailand, Vietnam dan merata pelusuk dunia lagi. Mereka ditangkap atas berbagai alasan yang kadangkalanya tidak tahu apa alasannya. Mereka semuanya berpakaian t-shirt lokap, tetapi masing-masing mempergayakannya dengan berbagai-bagai fesyen rekaan sendiri yang benar-benar ‘menjolok mata’. Ada yang hanya tinggal dengan pakaian dalam sahaja. Inilah sebenarnya pemandangan di dalam sana.


Lokap kami terletak di hujung sekali. Sebaik kami berlima masuk ke dalam lokap, pintu lokap terus dikunci dengan mangga yang besar. 6 orang sahabat kami masing-masing sudah terbaring di posisi masing-masing di atas simen yang dinaikkan sedikit seperti pangkin. Masing-masing menggunakan t-shirt lokap sebagai alas. Mereka semuanya kelihatan seperti sedang lena tidur. Kami yang lain mencari ruang-ruang yang sesuai untuk melabuhkan badan dan berbaring. Saya hanya dapat memejamkan mata, namun sedikit pun tidak terlelap. Kesejukan simen menusuk sehingga ke tulang-tulang. Entah berapa lama begitu, saya bingkas bangun dan menyarungkan t-shirt lokap untuk menghilangkan sedikit kesejukan. Rupanya saya tidak keseorangan, Aiman juga bingkas bangun dan kami sama-sama bersembang-sembang dan mendendangkan nasyid. Entahla samada teman yang lain geram atau tidak dengan kami kerana bising.


Seketika kemudian datang 2 orang tahanan Indonesia mengheret bakul dan meletakkan beberapa bungkusan roti berkrim, biskut 4 segi dan air teh yang diisi di dalam plastik kecil dan diikat dengan getah. Semua barang tersebut diletakkan di atas lantai simen di depan pintu sel. Ketika itu juga datanglah beberapa ekor kucing menghidu-hidu dan melangkah-langkah makanan tersebut. Kami biarkan saja makanan tersebut di situ. Tak terdaya hendak menyentuhnya.


“Hancing, keluarkan kami dari sini!!!”


Tahanan dari lokap yang lain selain dari kami kemudiannya dilihat bekejar-kejar keluar menuju ke satu pintu betul-betul di hadapan pintu sel kami. Seketika selepas itu mulalah hidung kami semua ditusuk dengan bau yang tersangat hancing menusuk ke hidung hingga ke dada-dada kami. Ketika itu ramai diantara kami mula bangun dari pembaringan masing-masing. Kami mula terpaksa menukar tempat duduk kami jauh dari pintu lokap kami. Rupa-rupanya lokap kami terletak betul-betul di hadapan tandas tahanan. Kebetulan pula mereka semua baru dilepaskan keluar dari lokap masing-masing sejak mereka dikurung semalaman agaknya.Entahlah, mungkin ada yang telah terhambur isi pundi kencingnya sebelum sempat sampai ke destinasi.


Pukul Berapa Dato’ Harimau??


Satu perkara lagi yang ‘menarik’ bagi mereka yang menghuni di penjara ialah, kita telah ditarik nikmat untuk mengetahui masa dengan tepat apabila jam kita diambil dan tidak ada jam yang kelihatan di dalam lokap. Kami terpaksa meneka-neka waktu yang sebenarnya dengan melihat cahaya dari luar dan bunyi-bunyian yang ada. Akhirnya dengan bertanya kepada tahanan Indonesia yang juga bertugas sebagai pembantu pegawai polis barulah kami tahu dengan pasti waktu ketika itu ialah jam 8.30 pagi. Aduh…lambat betul masa berlalu. Sebaik pintu sel kami dibuka kami terus keluar dan duduk-duduk berehat di hadapan pintu lokap yang besar. Berhadapan laluan pegawai polis yang menjaga dari ruang Pejabat ke tandas. Di situlah kami duduk-duduk bersembang, berbincang bagi mengisi masa lapang kami.


Lawan Terus Lawan


Salah seorang sahabat kami Vijaya, sejak dari mula kami tiba di Penjara Pudu telah mula sakit-sakit gastric. Semakin lama semakin teruk. Kami telah memohon untuk mendapatkan ubat dan air milo panas untuk diberi kepadanya. Namun semua permintaan kami yang entah berapa kali itu tidak dilayan sehingga ke siangnya. Sahabat kami semakin sakit. Maka mulalah kami berbincang dan membuat keputusan untuk ‘melawan’ dari dalam lokap. Kami mula membuat bising. Kami menjerit sekuat hati kami sambil melaungkan ungkapan-ungkapan “ Hidup Rakyat, Hidup Perjuangan, Bebas, Bebaskan lah, Kami nak Ubat, Kami nak Milo, Kami nak Peguam dan macam-macam lagi yang terkeluar dari mulut kami semua. Kami menjadi bertambah kuat dan semangat demi membela nasib sahabat kami yang memerlukan rawatan.


Rupanya kami tidak perlu mengambil masa yang terlalu lama untuk menarik perhatian mereka yang menjaga penjara pudu tersebut. Seketika, keadaan di hadapan menjadi kecoh dan dengan pantas sahaja muncul entah berepa orang SB yang semuanya tak beruniform dan berbadan besar. Beberapa orang dari mereka merempuh pintu lokap betul-betul di hadapan kami. Kami semuanya di waktu itu sedang berpaut pada besi-besi pagar pintu lokap. Salah seorang SB tersebut menghentak kuat mangga pintu lokap yang sebesar penumbuk itu. Bunyinya amat kuat dan menggerunkan. SB itu menjerit kepada kami “ Hoi!!!..Buka Pintu ni!!Nanti kami kunci semuanya di dalam lokap!!”. Wah menggigil tubuh badan saya ketika itu, bukan kerana takut tetapi kerana terpaksa menahan perasaan marah yang teramat sangat. Tidak semena-mena air mata saya mengalir keluar, juga bukan kerana kesedihan, tapi kerana tidak berdaya melawan mereka kerana jasad kami telah dipenjarakan…..


Nukilan di atas adalah sebahagian dari kesah 3 hari 2 malam menjadi tahanan politik......

No comments: