Kalau mahu dikira berapa kali kes
ini berjalan, saya memang tidak mengira berapa kali atau berapa hari. Kalau
mahu disebutkan berapa kali kami hadir dan kes ini ditangguhkan saya juga sudah
tidak ambil pusing walau bila ianya berlaku sudah pasti hati kecewa. Buang
masa, buang tenaga, buang wang ringgit. Oh, tetapi ianya tidak sepatutnya
dirasakan begitu. Ini adalah perjuangan, maka teruskan.
Ada kalanya ada sahabat-sahabat
yang turut serta hadir beri sokongan. Adakalanya hanya kami, OKT beserta isteri
dan saudara.
(PAS Kawasan Kuala Kangsar kehilangan seorang petugas parti yang gigih apabila kembali ke Rahmatullah Timbalan Yang
Dipertua PAS Kawasannya , Ahmad Mokhtar Mutalib)
Pada suatu ketika kami ada
seorang penyokong yang sangat prihatin. Beliau sering hadir hinggalah
kesihatannya merosot dan akhirnya beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir. Sekali sekala bila ada rakan yang
hadir terasa meriah dan bertambah semangat.
Isnin 17hb Disember saya dan
suami membawa bersama kami Auntie ‘Bersih’, Auntie Anne setelah berjumpa dengan
beliau di Perhimpunan Kebangkitan Rakyat Perak di Seri Iskandar. Kebetulan kami
bermalam di Hotel yang sama, maka saya mempelawanya mengikut kami ke Kuala
Kangsar sekiranya beliau tidak ada perancangan lain.
“Ada tempatkah di dalam kereta Nashita?” tanyanya sopan.
“Sudah tentu, Cuma saya, suami dan anak saya Asiah.” Gembira saya
mempelawanya kerana saya tahu pasti rakan-rakan OKT yang lain akan turut
gembira, juga peguam-peguam kami yang setia.
Kami bertolak dari Seri Iskandar
menuju ke Kuala Kangsar. Sepanjang
perjalanan diisi dengan perbualan mengenai perjuangan dan aktiviti
masing-masing. Saya menceritakan kepadanya detik bermula aktiviti kami dan
beliau menceritakan detik mula penglibatannya. Beliau tidak dapat mengingati
dengan jelas. Namun katanya “pada masa
itu semua pakai kuning dan bergerak ke Istana Negara.”
“Oh itu pasti BERSIH 1, November 2007.” Sejak itu Auntie Anne
sering mengikuti perkembangan semasa.
Memang beliau seorang yang ‘famous’. Ramai yang mengenalinya dan
ingin bergambar dengannya.
Kami tiba di Kuala Kangsar jam
9.30 pagi. Saya bawa dia ke tempat di mana kami berkumpul untuk sarapan pagi
sebelum bergerak ke Mahkamah. Saya tunjukkan kepadanya antara OKT-OKT yang sering bermurah hati membayar semua wang juadah kami.
Sebaik sampai di Mahkamah dari
jauh ternampak dua orang peguam kami yang dedikasi, Haji Aminuddin dan
Augustine Anthony. Ternyata mereka gembira dan bersemangat menerima tetamu kali
ini.
Masuk di dalam Mahkamah saya
perkenalkan Auntie Anne kepada setiap OKT dan sedikit latarbelakang siapa
mereka dan apa yang berlaku kepada mereka ketika ditangkap. Merah muka Auntie
Anne menahan rasa.
Sambil menunggu Auntie Anne
meminta saya menaip mesej di dalam handphonenya tentang apa yang sedang dia
lakukan supaya dia dapat menghantarkan kepada temannya untuk dimuatkan ke dalam
laman facebook.
Ini yang saya catatkan, “Saya
kini sedang berada di dalam Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar mengikuti perbicaraan
kes ‘Ops Bubar DUN Perak’. Melibatkan 13 orang yang ditangkap pada 6 Februari
2009 di perhimpunan aman membantah perlantikan Menteri Besar Perak. Beri
sokongan."
Kebetulan pula pada pagi tersebut
yang sepatutnya membawa beberapa orang saksi awam, namun mereka tidak dapat
hadir maka saya telah dipinta untuk menjadi saksi bersama seorang lagi isteri
OKT. Saya gementar.
Auntie Anne memberikan sokongan
kepada saya. Saya dapat lihat beliau di dalam galeri memberikan semangat itu.
Bila selesai dia memberitahu yang dia bertanyakan anak saya Asiah apakah dia boleh bersorak dan bertepuk tangan
memberikan semangat bila saya berikan keterangan. Semangat sekali.
Saya tidak tahu dengan jelas
apakah perasaan beliau setelah separuh hari bersama kami ‘travel’ ke Mahkamah,
duduk di dalam Mahkamah dan lihat sedikit proses perbicaraan yang berjalan.
Sedikit dari banyak hari dan jam yang perlu kami habiskan di dalam Mahkamah.
Kos yang perlu kami tanggung, sedikit keperitan yang perlu kami lalui.
Akhirnya dia menulis sedikit nota apa yang mesti dikongsikan setelah mendengar cerita dan setelah saya menunjukkan gambar
buku-buku nota yang dipenuhkan dengan tulisan mengenai kes yang berlansung.
Katanya saya mesti menulis
dan menerbitkan buku sekurangnya mendapat pulangan bagi membayar segala kos yang perlu ditanggung.
(koleksi buku nota yang pernah digunakan untuk menulis setiap soal jawab antara peguam, pendakwaraya, Puan Hakim dan saksi)
“When, so when?” berulangkali dia
bertanyakan. Saya tidak mahu beri jawapan, saya mesti lakukan.
Sekurangnya…inilah kisah kami..kami pernah melalui ini demi melawan kezaliman.
Selesai perbicaraan ditangguhkan beliau pulang sendirian meneruskan perjalanannya. Sedih pula lepaskan Auntie 'Bersih' Anne
pulang sendirian walau dia datang dari Kuala Lumpur sendirian menaiki bas.
Bertolak jam 6.30 petang dari Kuala Lumpur. Tiba di Nibong Tebal jam 1 pagi untuk ke Himpunan Kebangkitan Rakyat
Pulau Pinang. Menaiki bas ke Gopeng dan berjalan kaki ke Ipoh di waktu malam.
Hebat. Semata-mata untuk ke Himpunan Kebangkitan Rakyat. Katanya "I
don't want to trouble you anymore." Tidak lansung. Semua gembira dia
hadir beri sokongan.
Kami tidak memaksa sahabat dan penyokong bersusah payah hadir, namun kehadiran anda dinantikan dan menambahkan kemanisan dalam perjuangan.
Perjuangan tetap akan diteruskan walau disulami keperitan, tangisan,
marah. Episod yang ini khusus untuk kemarahan kami tentang peristiwa rampasan kuasa
Perak. Kuasa ini wajib dikembalikan kepada pemerintahan pilihan rakyat.
Bangkitlah Rakyat!