Thursday, 29 July 2010

Nak senang ikut 'demo kepala lembu'

Pagi 28 Julai 2010, semua 13 orang OKT 'Ops Bubar Dun Perak' datang ke Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar seperti biasa dan seperti yang ditetapkan oleh Mahkamah. 8.30 pagi adalah masa yang telah ditetapkan oleh Mahkamah untuk bermula.

Kami adalah antara yang perlu datang dari jauh. Bertolak seawal jam 5 pagi dan sampai di Kuala Kangsar sebelum jarum jam tiba ke jam 8 pagi. Bersiap dengan barangan untuk tinggal di Kuala Kangsar selama 3 hari.

Bila Hakim masuk, pegawai polis dengan arahan Timbalan Pendakwaraya baru terkial-kial memasang dua TV besar dengan satunya diletakkan di atas meja Hakim. Pada sesi yang lepas 13-15 julai, TV yang digunakan juga telah meragam yang menyebabkan hanya satu TV dikongsi antara saksi, peguambela, Pendakwaraya dan Hakim. Kali ini kedua-dua TV masih lagi bermasalah, maka perbicaraan terpaksa bermula lewat, jam 10.25 baru ianya dapat dimulakan. Justify FullNamun hanya dapat dilihat tetapi tidak dapat didengar, sedangkan kes ini berpandukan kepada rakaman video kejadian.

Maka perbicaraan pagi tadi diteruskan dengan sesi soal balas peguambela kepada saksi yang ke 36 iaitu Tuan Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar sendiri. Beliau telah beri keterangan sejak sesi yang lepas.

Peguambela selesai menyoal balas saksi ke 36 kurang dari sejam, dan Timbalan Pendakwaraya kemudiannya dengan senyum tenang memohon agar perbicaraan ditangguh ke keesokan harinya dengan alasan yang berbunyi begini:

"Puan, kami ingin memohon agar kes disambung esok kerana saksi kami tidak dapat hadir hari ini, dan saya sangkakan cross dari pihak pembelaan akan mengambil masa yang lama".

Dalam hati mengurut rasa ingin marah yang amat sangat dengan kata-kata hikmah yang menjadi pengubat segala resah dan marah "sabar sajalah".

Apa nak buat, terpaksa diterima, Puan Hakim juga perlu menerima, saksi tidak ada, rakaman video tidak dapat dimainkan, apa yang boleh diteruskan??. Maka kami semua berjalan longlai keluar dari mahkamah. 11.30 pagi semuanya berkahir, sejam sahaja masa keemasan digunakan.

Mengeluh, resah, duka, kesal dengan apa yang berlaku....anda punya pilihan sebenarnya, buat apa susahkan diri, mengaku salah sahajalah, semuanya selesai. Alhamdulillah, rasanya untuk kes ini belum dengar dengan berbukti lagi ada pihak yang membuat tawaran sebegini, "mengaku salah, bayar RM1000 lepas tu semua selesai". Tidak perlu menyusahkan diri, tidak perlu menghabiskan wang berulang alik ke Mahkamah. Peguam juga boleh mengisi masa tersebut dengan kes-kes mereka yang lainnya.

Ambil pilihan yang dibuat oleh peserta 'demo kepala lembu', mengaku salah, didenda antara RM1000 hingga RM 3000 dan ada yang dipenjara seminggu, habis selesai. Bagi mereka yang menjadi OKT 'Ops Bubar DUN Perak' wang ikat jamin mereka sahaja ialah RM4000 seorang.

"Apa yang ingin anda capai diakhir episod perbicaraan ini?" persoalan yang dilontarkan oleh peguambela yang perlu direnung dan difikirkan dalam-dalam dan masak-masak.

Ya, apa yang ingin dicapai dan perlu difahami oleh mereka yang mengikuti perkembangan kes ini dan secara umum apa yang ingin disampaikan kepada rakyat dan pihak berkuasa yang telah menangkap?

Kami yang berhimpun dengan tujuan menyampaikan rasa hati dengan cara yang dibenarkan di dalam perlembagaan. Kami berhimpun dengan aman tanpa sebarang niat melakukan keganasan.

"Saya cadangkan mereka yang telah ditangkap adalah secara salah, orang yang sebenarnya merusuh dan buat kecoh terlepas" cadangan peguambela kepada Tuan Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar di akhir sesi soal balas di dalam mahkamah pagi tadi.

Saya tidak jelas dengan jawapan yang diberikan oleh Tuan OCPD, namun saya tekankan kepada peguambela kami bahawa inilah yang kami semua mahu tegakkan, Bersihkan nama kesemua mereka yang ditangkap, buktikan bahawa pihak polis telah tersalah tangkap dan pihak polis juga yang melakukan kekerasan dan menimbulkan kekecohan pada hari kejadian 6hb February 2009 di hari di mana rakyat bangun membantah tindakan melantik Menteri Besar Perak yang dianggap sebagai tidak sah.

'At the end of the day', kita terima keputusan yang dibuat oleh Mahkamah hatta jika terpaksa dipenjarakan demi perjuangan. InsyaAllah.

"Jika takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai"

No comments: