Friday, 23 July 2010

Ops Bubar Dun Perak "Apakah akan bertemu jalan keluar"

"Bersurai segera atau kami akan suraikan dengan kekerasan" inilah amaran yang sering diberikan oleh pihak polis terutamanya dari unit FRU setiap kali sesuatu perhimpunan aman diadakan.

Ketua Unit PORU yang berdiri di atas salah satu Truck FRU akan menggunakan hailer dan menyuarakan arahan ini untuk mengarahkan orang ramai untuk bersurai.

Arahan ini juga akan dijadikan bukti oleh pihak pendakwaan bahawa amaran bersurai telah dikeluarkan berkali-kali namun peserta perhimpunan aman gagal mematuhinya yang akhirnya pihak FRU akan mengambil langkah yang benar-benar menggunakan kekerasan.

Perhimpunan Aman seringkali diadakan di sekitar Kuala Lumpur, KLCC, Masjid Jamek, Masjid Negara, Dataran Merdeka dan juga Istana Negara. Kawasan ini adalah kawasan yang terkenal dan mempunyai jalan keluar dan jalan untuk peserta perhimpunan aman bertebaran lari menyelamatkan diri dengan mudah.

Perhimpunan aman yang berakhir dengan kekerasan sering berlaku di sekitar kawasan di atas, tetapi untuk sebuah daerah kecil di Kuala Kangsar saya kira ianya adalah pertama kali diadakan. Kami antara segelintir orang luar yang bersama dalam perhimpunan aman di Masjid Ubudiyyah dan Istana di Kuala Kangsar.

Apabila kekerasan digunakan oleh pihak polis dan FRU dengan menembak gas pemedih mata semua lari menyelamatkan diri ke kawasan perkarangan Masjid yang terletak di atas bukit. Di hadapannya ialah Sekolah Agama Idrisiah yang sudah tentu mempunyai halangan dan berpagar. Sekitarnya adalah kawasan semak, tanah wakaf dan tanah perkuburan termasuk rumah penduduk setempat. Di kawasan inilah para peserta lari menyelamatkan diri dari peluru gas pemedih mata yang ditembak bertubi-tubi tanpa belas simpati.

Sepanjang perbicaraan kes Ops Bubar DUN Perak ini, pihak pendakwaan cuba membuktikan bahawa orang yang ditangkap adalah 'perusuh', mereka tidak bersurai apabila diarahkan bersurai. Pihak pembelaan pula cuba membuktikan dari rakaman bahawa amaran bersurai tidak kedengaran dengan jelas oleh kerana suasana yang bising dan kecoh apabila gas pemedih mata ditembak tepat ke arah orang ramai.

" Puan Hakim, kami ingin memohon kepada Mahkamah agar satu lawatan ke tempat kejadian diadakan esok, Puan" mohon Puan Julia dari pihak Pendakwaraya kepada Puan Hakim sebaik kes hampir ditamatkan pada hari kedua perbicaraan pada 14hb Julai 2010, bersamaan hari Rabu.

"Okay tiada bantahan dari pihak peguambela, maka esok semua datang ke mahkamah jam 2.30 petang dan semua akan bergerak ke kawasan Masjid Ubudiah dan Istana Iskandariah" tambah Puan Hakim sambil mengakhiri sesi perbicaraan pada hari itu.

"Yes, inilah yang kita sudah lama mohon dari Puan. Sejak dari awal bicara lagi kita sudah mohon untuk lihat sekitar kawasan kejadian. Mereka sebut saja ada lorong ada jalan untuk semua bersurai, sekarang kita semua boleh pergi lihat sendiri", gembira dan puas hati nampaknya peguambela kami pada petang itu kerana apa yang diharapkan akan berlaku pada keesokan harinya.

Maka keesokan harinya semua sudah sedia awal-awal lagi sebaik jam 2.30 petang di perkarangan Mahkamah. Semua OKT dibawa menaiki MPV polis. Turut serta ialah Puan Hakim sendiri dan pihak pendakwaraya.


Salah satu tempat yang polis berhenti dan semua yang lain turut turun dan melihat kawasan sekitarnya. Bermula dari Masjid Ubudiyyah, kemudiannya Istana Iskandariah.

Saya sendiri turut mengikuti rombongan tersebut menaiki kenderaan sendiri bersama suami yang juga OKT dan peguambela kami, Augustine Anthony yang melihat setiap jalan, lorong dan bangunan yang ada di sekitarnya.

"Excited", teruja begitulah perasaan saya ketika itu. Ianya seolah satu peristiwa ekspedisi, eksplorasi dan sebuah pencarian.

Teruja juga kerana ada polis yang mengiringi kami, depan, belakang dan tepi. Bila tiba di persimpangan jalan ada polis trafik yang menahan kenderaan dan memudahkan perjalanan kami.

Semua nampak buntu dan pening dengan semua laluan yang dibawa.

Sungguh banyak jalan, lorong, kawasan perumahan, kuil, tokong, tanah perkuburan hingga ke jalan mati yang tidak membolehkan kenderaan melaluinya, kami dibawa oleh Ketua Polis Kuala Kangsar (OCPD) demi menunjukkan bahawa ada jalan keluar sebenarnya dari Masjid Ubudiyyah dan Istana Iskandariah yang membolehkan semua yang berhimpun bersurai dan meninggalkan tempat kejadian. Namun komen orang setempat sendiri, mereka juga tidak arif dengan semua jalan di sana.

Namun, akhirnya bagi setiap pencarian dan permulaan pasti ada akhirnya, pasti akan menemui jawapannya. Pengakhiran pencarian kami pada hari itu ialah di sini, demikian juga berakhirnya episod ke 13 orang OKT itu ketika ditangkap dan dipenjarakan, adalah juga di sini. Episod perjuangan mereka membongkarkan kezaliman polis, salah laku polis, ikut arahan membuta tuli juga adalah di sini. Dan dengan ketentuan dari Allah keputusan apakah mereka bersalah atau tidak juga akan berkahir di sini. Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar.

"Apakah akan ada Jalan Keluar"

No comments: