Pengubat Letih......
Lama betul saya tidak memasukkan apa-apa berita dalam blog mahupun Facebook. Kali terakhir entry dalam blog ini ialah pada 24 hb June 2010. Hari ini sudahpun 6hb Julai, hampir dua minggu juga tu. Banyak peristiwa yang telah berlaku.
Perbicaraan Kes Himpunan Mansuh seperti di entri yang lepas dan 3 hari berturut-turut untuk perbicaraan kes PROTES dan pada masa yang sama Perbicaraan kes OPS BUBAR DUN PERAK berlansung selama 3 hari juga.
Sekali sekala melepaskan diri dari dunia blogging dan internet ini terasa lapang juga di dada. Sempat menghabiskan sebuah buku yang sangat mendidik diri walaupun ianya sesuatu yang telah lama terjadi. Buku 'Travelog Cinta Abadi: Masa yang berlalu..." tulisan Roza Roslan keluaran PTS Islamika Sdn Bhd.. Saya membaca dengan sepenuh hati sambil pemikiran saya menerawang ke alam kehidupan yang penuh cabaran dan rintangan yang dilalui oleh penulis. Sungguh mengujakan untuk dibaca dan dihayati...kalaulah dapat kita ambil iktibar dalam mendidik anak-anak kita dan generasi akan datang akan kepayahan dalam meneruskan kehidupan.
Kini ada dua buku yang sering ada di sisi saya dan di dalam beg ke mana saja saya pergi sedang menanti saat untuk keduanya habis dilangsaikan pembacaannya.
"STANZA CINTA"...tulisan adik yang dikenali Nurull Halawati terbitan Galeri Ilmu Sendirian Behad, sememangnya ianya sebuah novel percintaan sesuai untuk anak muda dan remaja...namun untuk saya yang sudah layak menerima menantu dan kehadiran cucu tetapi menjadi sebuah buku yang menarik untuk dibaca dan berupaya mendidik jiwa mengingati Allah dan cuba menjadi hamba yang terbaik di sisiNya.
Sebuah buku yang terlebih dahulu dibeli dan masuk ke dalam beg saya ialah buku tulisan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil keluaran Galeri Ilmu Sendirian Berhad. Tajuknya "Secangkir Teh Pengubat Letih". Juga seronok untuk dibaca mengenai pengalaman penulis di perantauan. Jauh Perjalanan Luas Pemandangan dan tajam pemikiran. Semuanya yang ditulis mengenai pengalaman lampau yang dimasukkan ke dalam blog dan akhirnya terhasil sebuah buku, namun tetap tidak jemu untuk dibaca..begitu juga dengan penulisan buku oleh Roza Roslan. dari blog terus menjadi sebuah buku..menguntungkan bukan...dan dapat jadi koleksi peribadi orang yang membeli, kekal selagi ianya ada...
Akhirnya sebuah buku 'latest edition' saya ialah "Malaysian Maverick: Mahathir Mohamad in Turbulent Times" sebuah buku sensasi.
Ketika mengambil buku ini untuk dibeli anak yang bongsu Asiah menegur "Ummi, kenapa ummi beli buku ni, kan ada gambar Mahathir kat depan"...wah 'allergic' rupanya dia dengan wajah pemimpin negara....jawab saya, "Asiah, buku ni bongkarkan kesah kezaliman Dr Mahathir"..terus dia diam seolah faham.
Kini hanya ada edisi 'hard cover sahaja di kedai buku Popular dan MPH. Namun ketika saya membeli di MPH ada tawaran istimewa untuk pemegang kad MPH dengan 30% potongan dan jika anda pemegang kad POPULAR anda bakal mendapat potongan 20%.
Buku-buku sudah ada di genggaman cuma kini perlu bersikap adil dengan masa yang ada untuk dibahagikan dengan pelbagai tugas yang ada...terutamanya tugas ibu kepada anak-anak dalam zaman yang serba mencabar ini dan tugas sebagai warganegara sebuah negara yang merdeka yang ingin melihat kemerdekaan yang sejati benar-benar wujud.
sekian dulu untuk waktu ini...silakanlah tonton paparan wajah-wajah di sekitar demo tak nak judi yang diadakan di perkarangan masjid Negara pada hari Sabtu 3hb Julai...ramai juga yang datang dan ramai juga yang datang dari jauh....gambar-gambar di entri sebelum ini dimasukkan sendiri oleh jurugambar yang mungkin jemu melihat blog yang tidak dikemaskinikan:)
Moga saya masih belum 'letih' untuk menyampaikan.....
No comments:
Post a Comment