Thursday, 26 May 2011

Diari Aku Orang Kena Tangkap: "mana nak cari wang ikat jamin ni??"


"Ok semua orang dah ada wang ikat jamin dan penjamin?" suara peguam Latheefa Koya memecah suasana di dalam kamar Mahkamah Sesyen Jenayah 5 pada petang 28hb Januari 2008.

Tiba-tiba hati ini jadi sedih dan sayu. Aku memandang sekeliling mencari wajah suamiku dan anak-anak yang terpisah selama 3 hari dua malam ketika aku disumbatkan di dalam penjara Pudu bersama 44 orang yang lain.

PROTES kenaikan harga minyak dan barangan. Hati memang panas dan marah dengan kenaikan harga minyak, tol dan barangan ketika itu. Beberapa siri PROTES dengan cara mengadakan perhimpunan aman dijalankan di sekitar KLCC. Boleh dikatakan sering dijalankan. Malang atau bertuah aku tidak tahu tetapi pada tarikh 26hb Januari 2008 aku tertangkap ketika berjalan keseorangan kerana 4 orang teman wanita yang lain telah terlebih dahulu dibawa oleh polis menaiki trak polis yang telah sedia menanti.

Pada tarikh tersebut 26hb Januari 2008 satu perhimpunan aman telah dirancang diadakan di hadapan KLCC, namun sebelum perhimpunan bermula ada diantara peserta telah ditangkap termasuklah diri ini bersama beberapa orang yang lainnya.

Akhirnya aku sama menjadi mangsa.....Kami ditangkap dan disumbatkan ke dalam Penjara Pudu yang bersejarah itu.

Kisah 3 hari dua malam ketika kami dipenjarakan pernah kunukilkan dengan teliti ketika ianya masih panas dalam ingatan.

Ya...di mana harus kucari wang jaminan tersebut. Dalam hati berkata "bukankah pihak penganjur yang sepatutnya menyediakan wang jaminan tersebut."

Kata-kata Peguam Latheefa Koya benar-benar membuatkan perasaanku jadi sedih tak menentu, apatah lagi wajah suamiku masih tidak kelihatan di dalam kamar Mahkamah tersebut.

Setiap kali ku alihkan wajah untuk memandang ke belakang di ruang galeri awam mencari wajah suami dan anak-anak, ada saja penyokong yang melambaikan tangan memberikan semangat dan sokongan. Ramai sekali mereka penyokong di dalam galeri Mahkamah hingga padat, sendat dan ada yang berdiri.

Akhirnya dapat juga aku menghubungi suamiku yang sebenarnya sedang dalam perjalanan setelah mengeluarkan sejumlah wang untuk jaminan. Lega rasa hati ini, dan tidak lama kemudian suamiku muncul di galeri mahkamah bersama anak yang sulong yang tersenyum melihat umminya.

"Semua dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM1000 seorang dengan seorang penjamin." akhirnya keputusan dibuat oleh Tuan Hakim. Kami semua didakwa dan perlu dibicarakan di mahkamah.

Akhirnya wang ikat jamin untuk kesemua 45 orang yang ditangkap berjaya dikumpulkan melalui sumbangan dari NGO, Parti Politik Barisan Alternatif (ketika itu) dan sejumlah besar disumbangkan oleh Tan Sri Khalid Ibrahim. Syukur kerana nasib kami yang tertangkap terbela ketika itu.

Hingga kini sudah lebih 3 tahun berlalu kami masih turun naik Mahkamah dengan sungguh banyak kenangan yang ditambah di dalam DIARI seorang OKT: PROTES.

2 comments:

Anonymous said...

Tahniah atas semangat kental sdri, terus. Insyaallah, usaha itu akan dirahmati Allah SWT.

ummu asiah said...

Terima kasih atas sokongan....InsyaAllah kami masih teruskan sehingga menang...