Friday, 8 August 2008

Kes Mahkamah dan Harapan Baru untuk rakyat Malaysia...InsyaAllah

Seperti yang saya tuliskan di entry yang lepas, pagi tadi saya telah awal lagi bergerak keluar dari rumah. Pukul 7.30 pagi hantar anak-anak ke sekolah. Selepas itu terus memandu menuju ke Kompleks Mahkamah di Jalan Duta. Alhamdulillah, kes DS Anwar Ibrahim adalah pada hari sebelumnya, kalau tidak susah juga saya dibuatnya...tapi lagi bagus kalau sama hari dapat juga saya peluang berada di sana pada masa tersebut.
Kes saya didengar di kamar Mahkamah Tinggi Jenayah 5 oleh Yang Arif Hakim Zainal Azman Abd Aziz. Kesnya ialah rayuan untuk menolak syarat jaminan tambahan ke atas saya. Semasa saya dan rakan-rakan yang lain ditangkap, kami telah dihadapkan di hadapan hakim di Mahkamah Sesyen, di mana Hakim telah melepaskan kami semua dengan jaminan RM1000 seorang dengan seorang penjamin. Tambahan syarat jamin yang pertama kali dikenakan ialah dengan syarat kami semua yang ditangkap tidak boleh menghadiri sebarang 'perhimpunan haram'.
Saya bertuah kerana sahabat-sahabat saya dari Jemaah Islah Malaysia telah membantu saya dengan menyediakan sekumpulan peguam muda untuk mewakili saya. Bob dan rakan-rakan. Salah seorangnya ialah Radzlan. Pagi tadi saya terbaca namanya termasuk di dalam senarai peguam pembantu yang membantu dalam kes perbicaraan DS Anwar Ibrahim terkini. Alhamdulillah...saya tumpang berbangga dengan ke semua peguam-peguam muda ini. Semoga lahir lebih ramai lagi peguam seperti mereka yang berani dan sanggup ke depan berjuang dalam medan mereka.
Kumpulan peguam saya ini telah lebih awal lagi mengemukakan rayuan bagi pihak saya bagi mengenepikan syarat jaminan tersebut, kerana ianya benar-benar melanggar hak asasi saya sebagai seorang manusia dan rakyat Malaysia yang merdeka dan bebas.
Lagi pula...belum ada mana-mana mahkamah yang telah membuat keputusan bahawa sesuatu perhimpunan itu adalah satu perhimpunan yang haram. Maka peguam saya berpendapat saya dan rakan-rakan telah pun dihukum sebelum kami dijatuhkan sebarang hukuman atas tuduhan kami. Ini adalah kes kami yang didengar pada Jun lepas tetapi telah ditangguhkan ke bulan Oktober tahun ini.
Pagi tadi peguam-peguam saya yang bijaksana telah mengemukakan hujah mereka dan begitu juga hujah-hujah dari pendakwaraya. Semua penghujahan selesai sekitar jam 11.30 pagi. Hakim menangguhkan untuk memberi keputusan pada tarikh 15hb Ogos 2008.
Semoga kami berjaya dalam rayuan ini. Sambil saya menaip entry ini saya telah membaca berita ini dari Suara Keadilan Online..
Rasanya saya adalah antara orang-orang yang amat menunggu saat negara kita Malaysia diperintah oleh Pakatan Rakyat. Dengan janji seperti yang disebutkan oleh DS Anwar Ibrahim seperti di bawah. " Rakyat Malaysia tidak perlu lagi takut kepada penahanan dan pembicaraan yang sewenang-wenangnya".

Ini adalah kerana saya adalah antara ratusan dan ribuan lagi rakyat Malaysia yang ditahan, ditangkap malah dipenjarakan sewenangnya hanya kerana polis dan Hakim terpaksa mengikut perintah orang atasan. (saya akan cuba ceritakan di entry lain mengenai konspirasi untuk membiarkan kami dipenjarakan selama hampir 3 hari 2 malam..di IPK KL, Lokap Penjara Pudu dan Lokap di Mahkamah Tinggi Jalan Duta)

Pakatan ambil alih negara, tiada lagi penahanan dan bicara sewenangan.

Oleh Anwar Ibrahim

Saya berjanji sebuah kerajaan yang diperintah Pakatan Rakyat, rakyat Malaysia tidak perlu lagi takut kepada penahanan dan perbicaraan yang sewenangnya. Pegawai polis dan pendakwaraya yang berkonspirasi untuk memfitnah dan memalukan orang yang tidak bersalah akan dihukum. Setiap rakyat Malaysia pasti akan mendapat perbicaraan yang adil, di mana seseorang itu tidak bersalah selagi adanya bukti yang jelas untuk membuktikan sebaliknya. Penggunaan kuasa polis dan Peguam Negara untuk menghukum musuh politik akan diharamkan bagi memastikan demokrasi yang sihat, di mana sebarang perbezaan pendapat bukan sahaja di benarkan malah digalakkan.

Dengan ini setiap hak rakyat Malaysia akan dianggap sebagai suci dan akan dilindungi oleh kehakiman yang bebas dipandui oleh prinsip-prinsip yang selari dengan semangat Perlembagaan Persekutuan.

Nota...semalam bila suami saya pulang ke rumah, dia memaklumkan yang polis seperti cerita di entry yg lepas masih lagi menghubunginya untuk bertemu.....tetapi peguam kami menasihatkan untuk..jangan pergi..tetapi biar polis yang memberi formal notis...kalau pergi pun nasihat sahabat kami Zahir Hassan...jangan pergi sendirian...apa-apa pun boleh terjadi...

2 comments:

Neeza Shahril said...

bilalah orang yang beriman nak jadi pemimpin kita kan kak...? Muak neeza dengan cengkaman kuku besi yang memaksa orang buat jahat ni.. kalau tak ikut, habis nanti periuk nasi orang.. kesian pun ada kat orang yang terpaksa ikut ni.. tapi bagi boss2 besar tu, tak boleh ke diorang stay firm? tamak duit dah kot...

ummu asiah said...

itulah neeza...keadaan sekarang..orang takut dengan orang..especially bab takut rezeki hilang sekali..maklumlah..harta pangkat dan nama lebih penting. tak ramai yang berani berpegang pada prinsip pekerjaan masing-masing. InsyaAllah...janji Allah benar..kita mesti yakin dan berani!!!