Wednesday 21 July 2010

"Ganjaran hanya di akhirat kelak"

"Macam mana ni cuti 3 hari untuk minggu depan belum lagi diminta" tanya suami sambil kami berjalan ke kedai mamak di hadapan rumah untuk makan lewat malam.

"mmmmm.......kenapa ada cuti lagi ke?" saya tambah dengan soalan lagi kerana sudah sedia maklum yang sudah tidak ada lebihan cuti tahunan lagi untuk suami dari syarikatnya sejak dua bulan yang lepas.

Semalam ketika cuba memohon cuti 3 hari secara online suami bertanyakan lagi memohon pendapat " nak minta unpaid leave ke?"

Soalan juga yang saya jawapkan "ada cuti lagi ke?". Bayangkan sekiranya setiap bulan mengambil cuti sehingga tujuh hari maka sudah tentu sejak awal lagi licin semua cuti yang ada. Saya juga menghayati keresahan yang sama yang dialami oleh rakan-rakan OKT dalam kes PROTES. Namun semua pasrah dan reda dengan apa yang perlu dilalui kerana inilah jalan yang telah dipilih demi untuk membela nasib rakyat secara umum.

Itulah persoalan dan keresahan yang terbit di dalam hati sebaik mahkamah menangguhkan sesi perbicaraan dan tarikh-tarikh baru diberikan.

"Okay tarikh yang akan datang 28,29 dan 30hb Julai. 28 dan 29 hb jam 8.30 pagi dan 30hb kita mula jam 2.3o petang. Jangan lewat" begitulah pesanan Puan Hakim setiap kali selesai sesi perbicaraan yang diadakan selang seminggu sekali sejak dua bulan ini dan seminggu sekali di bulan Mei.

Sebaik selesai semua OKT akan bangun dari bangku keluar dari kandang orang salah dan suami akan memandang muka saya yang duduk di galeri awam dengan senyum kelat tanda peritnya untuk memohon cuti lagi dan lagi.

Kali terakhir perbicaraan diadakan ialah pada 13,14 dan 15hb Julai.

Kali pertama ianya disebut di Mahkamah ialah pada 11 hb February 2009 dan terus dibicarakan hampir setiap bulan dengan jarak 2 minggu sekali hingga kini.

36 orang saksi telah dipanggil memberikan keterangan, 1000 keping gambar dibawa ke dalam mahkamah sebagai bukti kehadiran OKT di tempat kejadian. Batu-batu dijalan, besar dan kecil diletakkan sebagai tanda bahawa batu ini telah dibaling ke arah polis. Pasir, botol plastik bertanda air cincau keluaran Jabatan Pertanian Perak, kayu sepanjang 2 kaki 14 cm (menurut saksi polis), helmet FRU yang pecah, kaki dan jari FRU yang didakwa luka dibaling objek dan termasuk juga penyaksian polis dan FRU yang pelbagai.

5-6 keping CD rakaman hari kejadian di tempat kejadian dimainkan berulang-ulang kali. Maka CD rakaman kejadian menjadi bukti penting polis dan pihak pendakwaan atas salah laku 13 orang OKT yang telah ditangkap.

Namun peguambela mengambil usaha dan inisiatif yang bersungguh-sungguh untuk mencari aksi-aksi di dalam CD rakaman bahawa hampir kesemua mereka yang ditangkap tidak melakukan sebarang kesalahan sebaliknya telah membantu polis mengamankan keadaan yang didakwa kecoh dan tidak aman.

Alhamdulillah, setelah setahun setengah peristiwa ini berlalu dan setahun setengah juga semua OKT termasuk peguam dan ahli keluarga berkorban masa, tenaga dan wang ringgit 'turun naik mahkamah', InsyaAllah semua cabaran dan dugaan ini akan berkahir juga dalam jangka masa yang terdekat ini. Hanya 3 orang saksi sahaja lagi yang tinggal untuk dipanggil memberi keterangan dan akan disoal balas oleh peguambela.

Kesyukuran sesungguhnya hanya pada Allah kerana terlalu banyak kesukaran yang perlu dilalui, dan setiap kali ianya dilalui semuanya menjadi mudah dan lancar hingga apa yang sukar pada awalnya seolah tidak pernah wujud.

Syukur tidak terhingga bila ianya selesai dan kami semua bersedia dengan apa jua keputusan yang bakal diberikan oleh Puan Hakim. Peguambela telah menjalankan tugas mereka dengan baik, bersedia sebelum kes bermula dengan hujah-hujah dan fakta-fakta dari kejadian yang sebenarnya. OKT juga ramai yang berdisiplin tanpa ponteng walau sekali malah untuk lewat juga akan sedaya upaya dielakkan.

Puan Hakim dengan sifat yang agak 'strict' sebenarnya mengajar semua untuk berdisiplin dan menghormati adab-adab yang sedia termaktub dalam etika Mahkamah. Memang sukar untuk saya sendiri menerima pakainya kerana terlalu biasa dengan cara yang sering dilalui di Mahkamah Kuala Lumpur.

Saya yakin bukan hanya apa yang dibicarakan di dalam Mahkamah yang akan diambil kira namun sikap kesungguhan dan disiplin semua yang terlibat akan memberi kesan kepada masa depan kes ini. Allah jua yang menentukan namun kita manusia berusaha dan terus berusaha. Peringatan ini sering diberikan oleh peguambela kepada kami semua setiap kali selesai kes dibicarakan pada sesuatu sesi.

Perjalanan kes ini memberi banyak pengajaran dalam hidup...siapa kawan, siapa lawan, hormat sesama insan, kawal diri, sabar, meletak sepenuh harapan pada Allah, cekal, yakin, bersungguh-sungguh dan pengorbanan, memberi erti yang besar dalam hidup.

"Ganjaran hanya di akhirat kelak" kata-kata Augustine peguambela kami terngiang-ngiang di fikiran saya........

2 comments:

ISA said...

Salam,

Insyallah, semuanya akan selesai dengan selamat. Banyak bersabar...

Saya kagum dengan semangat akak selama ini... syabas.

ummu asiah said...

Br Isa,

Terima kasih..sokongan kawan-kawan memang 'menghangatkan' lagi semangat walau kadang-kadang lemah juga jadinya.

Cerita macam ni kena ada inisiatif sendiri untuk berkongsi kalau tak hanya panas ketika kejadian terjadi saja...

Rakyat terus dizalimi....InsyaAllah moga Allah terus beri kita kekuatan dan ilham untuk berkongsi.:)